Monday, May 31, 2010

Bersama Membina Membangunkan Jerantut

Pernahkah kita terfikir pengorbanan pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian Jerantut dulu di dalam membina membangunkan Jerantut. Pemimpin-pemimpin UMNO yang banyak berjasa kepada pembangunan Jerantut seperti Arwah Dato' Shariff Ahmad, Dato' Wan Abu Bakar,Tuan Hj Kamaruzaman Baria, Arwah Kamariah, Dato' JP Bazain Mahmud, Dato' Azizan Yaakob. Jasa-jasa pemimpin-pemimpin di dalam menguatkan parti UMNO di peringkat cawangan dan bahagian dari pimpinan akar umbi hingga ke pimpinan atasan telah berjaya memberi majoriti yang besar dalam setiap PRU.

Pernah kita bertanya kegigihan usaha pemimpin-pemimpin UMNO kita sekarang di dalam membangunkan Jerantut seperti YBM Tengku Azlan, YB Dato' Ahmad Shukri dan YB Dato' Wan Amizan. Pada apa yang berjaya pemimpin-pemimpin ini lakukan pernah kita cuba memahami perjuangan dan kesungguhan mereka di dalam memberi servis yang baik kepada Parlimen Jerantut dan DUN. Pernah kita sebagai pengikut menghargai dan berterimakasih kepada pemimpin kita.

Berapa ramai antara kita sebagai pengikut tampil ke hadapan memberi sumbangan yang termampu oleh kita di dalam bentuk idea, masa, tenaga, usaha, wang, dan sebagainya untuk membantu pemimpin-pemimpin kita menjayakan misi organisasi parti. Berapa ramai cerdik pandai yang ada Phd, Master, MBA, Degree, Diploma sanggup berkorban masa, tenaga, wang berulang alik dari Kuala Lumpur, Kuantan ke Jerantut pada setiap hujung minggu contohnya demi perjuangan UMNO?

Kenapa kita tidak membantu pemimpin-pemimpin kita? Kenapa kita tidak memberi idea-idea, nasihat dan teguran kepada pemimpin-pemimpin kita. Kenapa kita suka mengutuk pemimpin-pemimpin kita, Kenapa kita suka mengatakan pemimpin-pemimpin kita. Kenapa kita tidak mengakui apa-apa projek pembangunan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin kita ke Parlimen dan Dun. Kenapa kita menidak dan dengki kepada apa-apa yang baik pemimpin-pemimpin kita berjaya lakukan.

Kita mesti keluar dari kepompong pemikiran sempit kita, buka mata dan minda kita luas-luas lihat persekitaran luar kita lihat kejayaan tempat orang dan bandingkan dengan tempat kita, apa yang kita kurang, apa yang kita lebih, bagaimana kita membaiki, dan cara apa kita mahu membaiki, perbetulkan sikap, pemikiran, permuafakatan barulah kita ada hati yang bersih dan suci untuk mencapai misi dan visi di atas jalan yang lurus.

Tidak ada mana-mana kumpulan yang kuat di Jerantut baik Ulu Cheka,Jalan Benta, Bandar, Jerantut Hilir, Pulau Tawar, Felda-felda dan Tembeling. Setiap kumpulan memerlukan antara satu sama lain, setiap kumpulan perlu bergabung membentuk pemuafakatan gagasan 1UMNO Jerantut yang kuat dan jitu. Kita pengikut-pengikut perlu menggerakkan gagasan 1UMNO Jerantut ini tidak kira kita pengikut mana-mana kumpulan, jika pemimpin-pemimpin kumpulan malu atau enggan berbuat demikian kitalah pengikut-pengikut UMNO yang setia perlu membuat gelombang perubahan mendesak penyatuan gagasan 1UMNO Jerantut.

Ini yang patut ahli-ahli UMNO buat. Kuatkan parti bersama-sama kita menguatkan UMNO bersama membina membangunkan Jerantut. WZWH komited menjayakan wawasan bersama membina membangunkan Jerantut. Biar pun WZWH tidak kaya tapi ada MBA, Degree, Diploma dengan sedikit sumbangan masa, tenaga, idea, sekuman wang bersemangat mahu melihat wawasan yang walaupun nampak macam mimpi tapi akan berusaha mencari jalan menjadikannya realiti.

Budak Kembar Najib-"Recycle Is Better"

Ku Lan Ahli Parlimen Jerantut selalu berkata,"saya sudah tidak berminat..? Jika kenyataan ini betul maka tajuk bicara WZWH Budak Kembar Najib-"Recycle Is Better" perlu diberi perhatian.

Semua orang politik UMNO Jerantut tahu budak kembar Najib ialah merujuk mantan Ahli Parlimen Jerantut Tuan Hj Kamaruzaman Baria dan mantan ADUN Pulau Tawar Dato' Azizan Yaakob. Memandangkan kedua-dua tokoh masih aktif berpolitik di Jerantut dan calon-calon lain dianggap tidak kuat untuk menghadapi PRU 13 maka tema "Recycle Is Better" bermaksud mereka perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan.

Teknologi sains membolehkan kita menghasilkan produk-produk yang dibuat daripada bahan kitar semula atau "recycle" lebih baik dari produk-produk original seperti kertas,plastik,kaca,getah dan sebagainya. Mungkin khidmat Tuan Hj Kamaruzaman Baria dan Dato' Azizan Yaakob diperlukan UMNO Jerantut pada PRU 13 kerana mereka ahli politik yang matang dan berpengalaman.

Tuan Hj Kamaruzaman Baria, 62 tahun, berkelulusan ijazah perhutanan dari Canada,MBA dari Strachclyde University Scotland, United Kingdom. Beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Parlimen MITI. Pada penggal 1995-1999, tiada jawatan Timbalan Menteri MITI maka kita boleh katakan SETPAL MITI itu juga sama dengan Timbalan Menteri MITI. Tan Sri Rafidah Aziz memuji Kamaruzaman sebagai "workaholic"-maksudnya kuat kerja. Beliau dilihat sebagai "inner circle" YAB PM.

Dato' Azizan Yaakob, 54 tahun, berkelulusan Diploma Pentadbiran Awam UITM, dan sedang belajar di UUM Graduate School dalam bidang MBA. Beliau pernah menjadi EXCO Pemuda UMNO Malaysia, sewaktu krisis ketika Anwar Ibrahim mahu menjatuhkan Mahathir pada lewat akhir 90an, Dato' Azizan merupakan tokoh yang mengerakkan tekanan kepada Zaid Hamidi supaya berundur sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia kerana menyokong Anwar Ibrahim. Dato' Azizan mempertahankan Mahathir.

Oleh kerana bos lama telah menjadi Perdana Menteri dan hubungan kedua-dua tokoh ini yang rapat dengan Najib maka mudah bagi Najib memilih ahli parlimen daripada kalangan mereka berdua kerana Najib sangat mengenali mereka. KPI mereka semasa menjadi wakil rakyat, dan semasa tidak menjadi wakil rakyat adalah di dalam kocek Najib.

Tuan Hj Kamaruzaman Baria masih lagi menjadi AJK Bahagian UMNO Jerantut dan sejak kebelakangan ini sering pulang ke Jerantut menghadiri program politik UMNO Bahagian. Manakala Dato' Azizan Yaakob memegang Ketua UMNO cawangan Berau Ulu Cheka dan aktif dalam NGO Jerantut. Dato' Azizan menjadi pengerusi kepada 9 NGO Jerantut membuktikan bahawa beliau amat rapat dengan masyarakat.

YB Dato' Wan Amizan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian boleh bekerjasama dengan kedua-dua tokoh ini jika mereka dipilih sebagai calon Parlimen Jerantut dalam PRU 13 nanti. YB Dato' Wan Amizan bertanggungjawab memastikan kemenangan bakal ahli parlimen Jerantut ini kerana beliau yang memegang tampok kuasa dalam UMNO Bahagian Jerantut. DUN Tahan amat bersedia memberi kemenangan besar kepada sesiapa yang bakal menjadi ahli parlimen nanti.

Juga YB Dato' Ahmad Shukri ADUN Pulau Tawar bertanggungjawab memastikan kemenangan besar bakal ahli Parlimen nanti. WZWH merasakan Tn Hj Kamaruzaman Baria dan Dato' Azizan Yaakob perlu merapatkan diri dengan YB ADUN Tahan dan YB ADUN Pulau Tawar selain perlu menghormati YBM Tengku Azlan yang masih lagi merupakan Ahli Parlimen Jerantut.

Oleh kerana Tuan Hj Kamaruzaman Baria dan Dato' Azizan Yaakob datang dari DUN Damak maka WZWH percaya kedua-dua tokoh ini amat masak dengan kehendak pengundi di DUN Damak. Dato' JP Bazain Mahmud, Tokoh Veteran UMNO Bahagian Jerantut sudah tentu akan bekerja lebih kuat memastikan kemenangan dua tokoh ini kerana mereka ini adalah anak didiknya.

Kedua-dua tokoh ini juga mesti turun padang menemui rakyat Jerantut, memperbaharui sentuhan dan kemesraan agar senang bekerja bila tiba waktu pilihanraya nanti. Seperti kata YAB PM,"kita perlu kehadapan menyelami denyut nadi rakyat...jangan tunggu lagi...tunjuk kerja...buat kerja.."

Sunday, May 30, 2010

Bersantai di Lata Berembun Ulu Cheka

Jerantut kaya dengan flora dan fauna. Ada banyak gunung, hutan,sungai, lata, binatang dan hidupan liar. Agak malang pihak-pihak yang berkenaan dan penduduk tempatan tidak berusaha secara kreatif dan inovatif untuk mempersembah "kekayaan dan keindahan" Jerantut dalam pakej menarik untuk dijual kepada pelancung tempatan terutamanya dan pelancung luar.

WZWH pagi tadi telah mengunjungi Lata Berembun Rengat Ulu Cheka. Dari Jerantut ikut Jalan Benta sampai di Pekan Damak masuk simpang kiri dan terus ke Ulu Cheka. Di simpang jalan ke Rengat, 2 sahabat dari Ulu Cheka dan Damak telah menunggu dengan kenderaan 4WD. WZWH menuju ke puncak Lata Berembun yang ada air terjun paling tinggi mengalahkan lata-lata lain di Gunung Benom.

Lebih kurang 6 km baru sampai dan kalau hendak selesa, jalan ini perlu dinaiktaraf dan sebuah jambatan perlu dibuat menghubungi seberang lata untuk ke puncak Lata Berembun. Memang Lata Berembun sangat cantik pemandangan air terjunnya, sungai, batu-batu, air yang jernih bagai kristal dan lubuknya berwarna hijau zamrud. Sungguh tenang, suasana santai dan relax boleh buat kita lupa segala masalah seketika.

Sempat juga WZWH mandi manda di Lata Berembun. Air lata mearomaterapi badan WZWH sehingga terasa segar. Bertuah sungguh kita orang Jerantut. WZWH guna alat GPS untuk tahu kontor dan topografi seluruh kawasan Lata Berembun. WZWH tahu dari puncak Lata Berembun hingga ke bawah menuruni sungai Rengat ada potensi...

Sahabat Ulu Cheka memperkenal sahabatnya bernama Tengku Ahmad Shah bin Tengku Ismail yang tinggal di Damak. Tengku Ahmad Shah mengikut isterinya orang Damak. Beliau mengusahakan ladang sayur seluas 20 ekar di Damak. Beliau menanam sayur kacang bendi dan nangka madu.

Siapa Tengku Ahmad Shah? Anak muda berumur 36 tahun. Berpendidikan tinggi ijazah Pengajian Perniagaan di London dan Sarjana Optometris. Pernah bekerja dengan syarikat England Optical. Beliau sebenarnya cucu Tengku Seri Nila kakak sulung Tuanku Sultan. Bermakna dia cucu saudara Ku Lan. Neneknya Tengku Seri Nila pernah menjadi Tengku Ampuan Terengganu tapi bila suaminya Tengku Ali iaitu Sultan Terengganu diturunkan dari taktha oleh British pada tahun 1940an kerana tidak menyokong British maka nasibnya berubah dan Tengku Ali menjadi pemandu teksi di Kuala Terengganu.

WZWH sungguh kagum dengan Tengku Ahmad Shah ini seorang anak muda yang berpelajaran tinggi tapi sanggup menjadi peladang muda menjaya tanaman sayurnya. WZWH berharap agar lebih ramai lagi anak-anak muda Jerantut mencontohi usaha gigih Tengku Ahmad Shah ini. Wakil Rakyat Parlimen dan ADUN di Jerantut perlu berganding bahu dengan agensi-agensi kerajaan menyediakan peluang kepada anak-anak muda Jerantut mendapat tanah untuk menjadi usahawan tani. kita tidak mahu anak-anak muda kampung di Jerantut berhijrah ke tempat lain.

Saturday, May 29, 2010

Pemandu Bot Klinik Kesihatan Ulu Tembeling

Pengambilan empat orang pemandu bot Klinik Kesihatan daripada bukan anak tempatan yang tiada pengalaman dan skil mengendalikan bot terutama mengharungi jeram-jeram sungai Tembeling yang deras ketika hilir mudik amat membimbangkan penduduk Ulu Tembeling.

Ini juga menyusahkan kakitangan-kakitangan Klinik Kesihatan Kampung Bantal bila berlaku kes-kes kecemasan yang memerlukan perkhidmatan bot ke Hospital Jerantut yang terpaksa menghilir Sungai Tembeling.

Penduduk kampung tidak yakin dan berasa tidak selamat apabila pemandu bot tidak berpengalaman mengharungi jeram dan alur ketika hilir mudik di Sungai Tembeling. Oleh kerana pengangkutan jalanraya tiada maka pengangkutan bot melalui Sungai Tembeling memerlukan kepakaran anak tempatan. Kemungkinan berlaku kebimbangan kemalangan bot karam di jeram melibatkan kematian jiwa dan pesakit dan keluarga yang mengiringi.

Kesan daripada polisi baru pelantikan pemandu bot Klinik Kesihatan dari luar yang sebelum itu mengambil anak tempatan sebagai pemandu bot telah meninggalkan kesan psikologi menekan kebimbangan ramai penduduk Ulu Tembeling . Mereka tidak yakin dengan perkhidmatan bot Klinik Kesihatan dan mungkin memberi kesan kepada PRU 13 nanti.

Konsep 1Malaysia-Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan tidak diamalkan dalam hal ini. Diharap pihak yang berkenaan mengambil tindakan terhadap isu ini. Kenapa pemandu-pemandu bot anak tempatan Ulu Tembeling yang lebih berpengalaman dan berskil tinggi dipinggirkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Thursday, May 27, 2010

Geng 30

Geng 30 adalah satu kod politik untuk menjatuhkan pemimpin di Jerantut pada lewat 70an semasa berlaku krisis politik di Jerantut dan Pahang. WZWH cerita "Geng 30" kerana mahu mengingat nostalgia politik 1970an dan 1980an yang pada masa itu WZWH sedang bersekolah rendah.

Cerita "Geng 30" banyak mengajar ilmu politik melalui perdengaran dan pemerhatian kepada WZWH melalui kaedah Socrates dan anak muridnya Plato. Kaedah bertanya soal jawab. Politiknya lebih kepada teori dan praktikal. Cerita "geng 30" mengingat WZWH kepada arwah datuk WZWH yang banyak mengajar teori politik semasa WZWH berumur 12 tahun.

Politik Pahang pada masa itu berlaku konflik antara MB pada masa itu Dato' Rahim Bakar dan Ahli Parlimen Jerantut Dato' Syarif Ahmad berjawatan menteri penuh. Soal siapa benar tidak perlu dipersoalkan kerana kuasa sebabnya dan WZWH pun tidak tahu jawapannya sebab WZWH hanya kanak-kanak ketika itu.

Apa yang buat "Geng 30" menentang dan ingin menjatuhkan Syarif Ahmad menteri penuh? Tentu jawabnya galakan dari MB sendiri iaitu Dato' Rahim Bakar dan anak-anak tempatan yang tidak mahu Dato' Sharif Ahmad bertanding lagi menjadi Ahli Parlimen kerana Dato' Sharif Ahmad atau dipanggil "Sharif Lobo" bukan anak jati Jerantut. Beliau berasal dari Bentong.

Siapa geng 30? 30 anak tempatan yang mahu mengulingkan Dato' Sharif Lobo. WZWH tidak ingat semuanya tapi yang ingat Arwah Dato' Harun Gintong, Cikgu Saharuddin dan adiknya Ramli yang diprojek untuk menjadi bakal Ahli Parlimen, arwah bekas YB Kamariah. Dato' Hj Rosdi pun terlibat.Juga arwah datuk WZWH yang merupakan 'mastermind' gerakan kumpulan ini.

Siapa yang mempertahankan Dato' Sharif Lobo? Mestilah ramai kerana Dato' Sharif Lobo adalah Ketua Bahagian UMNO, Menteri penuh pula. Antara penyokong-penyokong setianya ialah arwah Abbas Sani, Dato' Bazain, Arwah Simen,Tuan Hj Kamaruzaman Baria, Wan Hamzah, Wan Roafza, dan kedua-dua Penghulu Tembeling iaitu arwah Engku Mohd Basri dan arwah Wan Basri. Amat menarik bila keluarga WZWH berpecah dua, ada yang sokong ada yang tidak menyokong. Inilah memeningkan kepala WZWH kerana perbezaan pendapat politik susah menentukan kebenarannya.

Apa aktiviti geng 30? Setiap malam berkumpul dirumah ahli-ahli tertentu mengadakan mesyuarat membincangkan strategi-strategi bagaimana hendak menjatuhkan Dato' Sharif Lobo. Selalulah arwah datuk WZWH diusung kehulu ke hilir balik lewat malam malah pagi. Inilah politik geng 30.

Saya bertanya kepada datuk,"kenapa mahu gulingkan Menteri Penuh?" sebabnya pernah semasa kecil WZWH pernah menghadiri program politik di Kuala Tembeling ketika itu Dato' Sharif Lobo datang. Sangat bergaya orangnya, berbush jaket, menghisap cerut, botak dan leher pendek dan pandai berucap politik-orator. Sungguh bertokoh orang ini.

Datuk WZWH cakap," Masa telah tiba untuk orang Jerantut naik kerana hanya orang Jerantut lebih tahu dan memahami kehendak rakyat Jerantut"..Kenapa biar orang luar memerintah tempat kita.." Tapi ada satu sebab yang datuk WZWH mahu gulingkan Dato' Sharif Lobo dan WZWH boleh menerima sebab itu. "Jangan biarkan puak ini menekan kita, melaga-lagakan kita...kita naikkan orang kita." Baru WZWH boleh faham kenapa datuk bekerja keras menyelia geng 30.

Ramli Shamsuddin sangat yakin menjadi bakal ahli parlimen kerana dia berkelulusan universiti dan mendapat sokongan geng 30. WZWH fikir macamana datuk nak naikkan orang "kita". Dan datang Wan Bakar (belum dapat gelaran dato' lagi pada masa itu) baru berumur lewat 20an. Wan Bakar adalah sepupu keras datuk.

Wan Bakar adalah seorang ahli politik yang pandai mencari peluang-the right place at the right time. Dia baik dengan Arwah Dato' Harun Gintong lalu ada akses dengan Dato' Rahim Bakar. Tapi bila dia tahu Ramli adalah calon favourite geng 30 dia tahu peluangnya sukar. Tetapi datuk WZWH hanya senyum sebab datuk WZWH tahu ada suis yang perlu ditekan. Suis ini yang datuk guna-"the old family secret"

Wan Bakar cerdik orangnya. Dia pergi ke Kuala Lumpur berjumpa Dato' Sharif Lobo menyatakan dia hormat kepadanya. Bila Mahathir menyatakan kepada Dato' Sharif Lobo dekat pilihanraya bahawa dia boleh bertanding tetapi tidak boleh menjawat jawatan menteri lagi maka Dato' Sharif Lobo tahu...dan dia tidak mahu bertanding.

Semasa pemilihan bakal calon Ahli Parlimen disampaikan kepada Tuanku Sultan ketika itu Baginda adalah DYMM Agong ada dua nama 1. Ramli bin Shamsuddin 2. Wan Bakar bin Wan Mohamed
Maka Dato' Sharif Lobo merekomenkan kepada Tuanku Sultan nama Wan Bakar kerana inilah budak muda yang berjumpa dengannya dan menghormatinya..Tuanku Sultan hanya tersenyum.

Itulah cerita geng 30. WZWH tahu strategi datuk WZWH boleh diguna pakai dan berjaya dilaksanakan. Ramli selepas itu pergi ke England sambung belajar..maka Wan Bakar menjadi Ahli Parlimen selama 3 penggal. Kadang-kadang WZWH terfikir bolehkah modus operandi geng 30 dilaksanakan semula? Seperti Dato' Wan Amizan berkata,"Kita diibaratkan menakek tiang besi TNB, habis parang kita tumpul...silap-silap patah!"

Siapa YBM Tengku Azlan Ahli Parlimen Jerantut?

YBM Tengku Azlan Ahli Parlimen Jerantut sejak PRU 1999. Sudah tiga penggal YBM Tengku Azlan menjadi Ahli Parlimen Jerantut. Dikenali sebagi Ku Lan. Siapa Ku Lan? Putera kepada Almarhum Sultan Abu Bakar, adinda kepada Sultan Ahmad Shah, menantu Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,Bapa saudara DYMM Agong Sultan Mizan.

Dulu dari tahun 1980an hingga 1990an, Ku Lan merupakan pemimpin parti Semangat 46 pimpinan YBM Tengku Razaleigh. Ku Lan pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda Semangat 46 Malaysia dan Pengerusi Perhubungan Semangat 46 Pahang.

Pertama kali WZWH berjumpa dengan Ku Lan pada petang sewaktu ribut menyebabkan sebatang pokok tumbang menghalang kenderaan dekat dengan Felda Padang Piol pada tahun 1989 sewaktu WZWH mahu pergi ke Kuala Lumpur berlepas ke England. WZWH sempat berbicara secara peribadi dengan Ku Lan berkenaan hal keluarga dan politik semasa.

Pada tahun 1996 parti Semangat 46 dibubarkan dan diserap masuk ke dalam UMNO. Ku Lan menjadi Ketua Cawangan UMNO Ulu Tembeling dan sungguh tidak menyangka Ku Lan akan bertanding di Parlimen Jerantut pada PRU 1999. Begitulah politik serba kemungkinan. WZWH teringat sebelum PRU 1999, WZWH dan Sri Tri Buana selalu pergi ke rumah Ku Lan di Bangsar. WZWH selalu membayangkan Ku Lan akan bertanding di Jerantut semasa perbincangan. Ku Lan hanya gelak sahaja.

Ku Lan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan dan ditawar Timbalan Menteri Luar tetapi menolak atas alasan peribadi semasa zaman terakhir Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri. Mungkin ini alasan utama YB Dr Shukri melawan kepimpinan Ku Lan pada pemilihan UMNO Bahagian Jerantut 2008 yang menyaksikan kumpulan YB Dr Shukri dimastermind oleh mantan YB Dato' Azizan tewas. Ahli-ahli UMNO masih mahukan kepimpinan Ku Lan dibantu oleh YB Dato' Wan Amizan rupanya.

Semasa gelombang PRU 12 bila mana ramai Ahli Parlimen BN tumbang namun Ku Lan tetap menang di Parlimen Jerantut dengan majoriti 1946. Walaupun tewas majoriti 2000 undi di DUN Damak tapi DUN Tahan dan DUN Pulau Tawar membantu. Kalau bukan Ku Lan sudah tentu Parlimen Jerantut hanyut ke tangan PAS dan Pakatan Rakyat!

Pengkritik Ku Lan mengatakan Ku Lan tidak berbuat apa-apa di Jerantut, kurang menemui pengundi-pengundi, tidak servis, rumah pun tidak ada di Jerantut susah Ketua-ketua cawangan UMNO dan pemimpin-pemimpin kampong hendak berjumpa, hubungan dengan pengundi-pengundi kaum Cina kurang dan bukan penduduk asal Jerantut sebab orang Jerantut mahu Ahli Parlimennya anak jati Jerantut.

WZWH ingin menjawab beberapa persoalan-persoalan yang dibangkitkan pengkritik Ku Lan. Sebagai seorang yang dilatih dengan ilmu perakaunan, WZWH memandang kepada fakta dan angka. selama lebih 3 penggal Ku Lan menjadi Ahli Parlimen, WZWH telah menyemak segala peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan oleh Kerajaan pusat dan negeri di Parlimen Jerantut adalah berjumlah lebih RM1.5 bilion. Jika usul WZWH mahu bina loji janakuasa nuklear di Lembah Tembeling direalisasikan sudah tentu nilai pembangunan di Parlimen Jerantut bertambah lebih RM10 bilion!

Ku Lan adalah anak Raja Pahang yang "the most gentleman", berbudi bahasa, rendah diri, tidak sombong, melayan semua orang tidak kira pangkat,darjat,kaya, miskin. Tidak ada istilah berpuak-puak dalam pemikiran Ku Lan. Sebab itu semua "warlord-warlord dan godfather-godfather" tunduk lemah kepada Ku Lan. Cuma nampak riak-riak ombak mahu membadai Ku Lan pada pemilihan UMNO Bahagian Jerantut 2008 tapi tersangkut di beting pasir hanya membasahi kaki sahaja! Ku Lan percaya kepada gagasan 1UMNO Jerantut.

Ku Lan bukan orang luar. Rakyat Pahang kena faham Ku Lan adalah anakanda Almarhum Sultan Abu Bakar Pemerintah Negeri Pahang dan Jajahan takluknya bererti Ku Lan boleh pilih mana-mana Parlimen yang Ku Lan mahu. Siapa kata Ku Lan sebatang kara? Ku Lan bukan sebatang kara dan tiada saudara mara di Jerantut ini. Sebatang Sungai Tembeling itu tempat kediaman keluarga Wan dan bukan Wan adalah saudara dan penyokong tegar Ku Lan disamping ramai lagi rakyat Parlimen Jerantut yang meminati personaliti Ku Lan.

WZWH merasakan Ku Lan adalah aset kepada Jerantut dan bukannya liabiliti. Demikianlah cerita Ketua Bahagian UMNO Jerantut- Ku Lan yang WZWH sayangi. Ku Lan diperlukan lagi oleh rakyat Jerantut untuk mempertahankan parlimen Jerantut pada PRU 13 nanti.

Wednesday, May 26, 2010

Sejarah Keluarga Wan Tembeling

Bila blog WZWH menyertai blogger politik Jerantut, banyak blog dan komentar merujukkan WZWH dari keturunan Bendahara @ Wan. Ramai orang Jerantut tertanya-tanya datang dari mana keluarga ini terutama generasi baru. Maka WZWH mahu menulis tentang sejarah keluarga Wan Tembeling sebagai pengetahuan terutama komuniti politik Jerantut. Jika ada kesempatan WZWH akan menulis sejarah keluarga Pulau Tawar, Ulu Cheka, Felda-Felda dan bandar Jerantut. Ini penting untuk menjadi ahli politik Jerantut kita kena tahu budaya sub-etnik sosial Jerantut.

Keluarga Wan Tembeling bersusurgalur dari Pemerintah Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga. Sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Kedudukan hierarki Pemerintah: Sultan di Riau, Bendahara di Pahang dan Temenggong di Johor. Bila Sultan Mahmud Shah mangkat dijulang pada 1699, tiada waris maka berakhirlah pemerintahan kesultanan Melaka. Bendahara Tun Habib Abdul Majid Padang Saujana mengambilalih tampok pemerintahan dengan melantik anaknya Tun Abdul Jalil sebagai Bendahara Johor dan seterusnya menjadi Sultan Johor dengan sokongan pembesar dan rakyat memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV(1699-1718).

Penguasaan kesultanan Johor oleh keturunan Bendahara menimbulkan rasa tidak puas hati Raja Kechil dari Siak yang mengaku sebagai putera almarhum Sultan Mahmud Shah. Pada 1717, Raja Kechil telah menyerang Johor dengan angkatan perang Minangkabau. Kalahlah Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV lalu membawa diri ke Kuala Pahang tetapi akhirnya dibunuh oleh pembunuh upahan orang suruhan Raja Kechil pada 1720 dikenali sebagai Marhum Kuala Pahang. Namun Raja Sulaiman putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV telah menuntut bela dengan membuat pakatan dengan anak raja Bugis lima bersaudara iaitu Daeng Perani,Daeng Menambun, Daeng Marewah,Daeng Chelak dan Daeng Kemasi untuk mengusir Raja Kecil bagi mendapatkan semula kuasa. Pada 1722, Raja Kechil dapat dikalahkan dan Raja Sulaiman ditabalkan menjadi sultan Johor yang baru.

Seorang anakanda Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (Marhum Kuala Pahang) iaitu Tun Abbas iaitu abang tua kepada Raja Sulaiman dilantik menjadi Bendahara Pahang(1722-1735) kemudian melahirkan Bendahara Tun Abdul Majid(1770-1802) yang pada era ini Sultan Johor telah menganugerahkan Pahang kepada Bendahara Tun Abdul Majid. Bendahara Tun Abdul Majid mempunyai empat orang putera iaitu Tun Abdul Mutalib, Tun Muhammad (Marhum mangkat di laut), Tun Koris (jalur kesultanan Pahang sekarang) dan Tun Da(Tun Yusuf Pedah).

Selepas kemangkatan Bendahara Tun Koris(1803-1806) sepatutnya yang mengantikannya ialah Tun Da mengikut sistem pewarisan Bendahara pada masa itu tetapi apa yang berlaku semasa pemilihan Bendahara Pahang yang dibuat di Riau, Tun Ali iaitu putera Bendahara Tun Koris telah dipilih maka Tun Da membawa diri ke Tembeling setelah anak saudaranya dipilih. Dari jalur Tun Da inilah melahirkan keluarga Wan Tembeling. Tun Da(Tun Yusuf) berbondakan Y.M. Tun Inah ,Encik Puan Bendahara puteri Y.M. Tun Husain ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (Marhum Kuala Pahang), Dato' Bendahara Paduka Raja, Terengganu. Tun Koris berbondakan Y.M. Tun Engku Besar, puteri Bugis dari Endau. Tun Da melahirkan secara ringkasnya Tun Abdullah(Marhum Ketapi) melahirkan Engku Khatib( Wan Endut) melahirkan Wan Husain (Marhum Kampung Labu) melahirkan Wan Mahmud dan beranak pinaklah anak cucunya di Tembeling.

Seperti dijelaskan oleh W. Linehan dalam bukunya A History Of Pahang,"The Bendaharas naturally did not encourage territorial ambitions amongst their relatives, do not giving lands to potential rivals. There was however one part of Pahang where men of the Bendahara's stock held sway. The valley of the Tembeling was controlled by the Wans descendents of Bendahara Tun Abdul Majid whose son Tun Da migrated to that valley. To keep watch on their doings the Bendahara stationed in the Tembeling a Penghulu Raja who was under the direct orders of his master. The water shed of the Tembeling has been held at least from the beginning of the 17th century by the relatives of the rulers".
Seterusnya W. Linehan memperinci lagi,"The third meeting of the State Council was held on 11th December 1890 when Hugh Clifford was acting as Resident. The Resident raised the question of an allowance to Wan Husain of the Tembeling, and explained that in Tembeling were two chiefs, the Penghulu Raja and Wan Husain, the former being the head man of the district, and the later holding an authority from the Sultan to rule over the Wan class and any others who might care to follow. The Penghulu Raja had an annual grant of $20. It was decided to give Wan Husain a similar amount".


Kemudian ada satu lagi puak keluarga Wan yang berasal dari Terengganu dari keturunan Sultan Zainal Abidin 1 yang merupakan anak bongsu Bendahara Tun Habib Abdul Majid Padang Saujana Johor datang dari Kampung Janing dan akhirnya menetap di Kampung Pulau Besar Ulu Tembeling di ketuai oleh Wan Ismail bin Wan Saleh bin Tun Khamis bin Tun Muhammad ibni Sultan Zainal Abidin 1. Oleh kerana dari jalur Bendahara Tun Habib Abdul Majid Padang Saujana Johor maka puak Wan Pulau Besar ini bersaudara dengan Wan Tembeling. Wan Ismail ialah tokoh yang membawa pulang Wan Ahmad ( Sultan Ahmad pertama) bersama dengan tujuh pendekar Janing dari Kampung Pasir Raja Terengganu ke Tembeling semasa kempen perang saudara Pahang. Secara ringkasnya Wan Ismail melahirkan Wan Abdullah melahirkan Tok Muda Wan Mustapha melahirkan Wan Hashim dan beranak pinaklah cucu cicitnya.

Pada mulanya berlaku perkahwinan campur antara puak Wan Pulau Besar Ulu Tembeling dengan puak Wan Tembeling dan hidup berbaik-baik tetapi entah bagaimana berlaku konflik dan seterusnya peperangan antara dua puak merebut kawasan pegangan. Ada dua versi cerita bagaimana peperangan dua puak ini berlaku. WZWH tidak mahu memenangkan mana-mana puak kerana mempunyai darah campur dari kedua-dua puak kecuali Dato' Wan Amizan kerana dia dari jalur Wan Tembeling 100%. Konflik berjaya diselesaikan oleh Sultan Ahmad pertama Pahang seperti ditulis oleh W. Linehan dalam bukunya A History Of Pahang,"The fifth meeting of Council held on 8th October 1891, the boundaries of the pegangan (or districts) of the chiefs were fixed as follows...extracted...Maharaja Perba of Jelai: from Tanjong Lindong along the Sungai Jelai to Perak and Kelantan (excepting Sungai Lipis) and from Kuala Tembeling to Pasir Durian; The Penghulu Raja of Tembeling from Pasir Durian to the source of the Tembeling, excluding the Districts of Wan Husain and Wan Ismail Pulau Besar.

Dari cerita orang tua-tua, agak berat juga Sultan Ahmad mengenakan hukuman denda yang dikenakan kepada kedua-dua moyang WZWH iaitu Wan Husain dan Wan Ismail. Sebab itu WZWH tidak mahu puak-puak Wan ini bergaduh lagi kerana boleh jadi lemah dimanipulasi oleh musuh-musuh politik yang ada agenda. Diharap sedikit sebanyak pengkisahan sejarah keluarga Wan Tembeling boleh menjadi pengetahuan kepada siapa-siapa yang berkenaan.

Monday, May 24, 2010

Mesyuarat Tahunan Cawangan UMNO Jerantut

Mesyuarat tahunan cawangan UMNO Jerantut telah bersidang pada 15 hingga 16 Mei 2010 melibatkan 103 cawangan. Kecuali cawangan di Ulu Tembeling bersidang pada 20 hingga 21 Mei 2010.

Tahun ini sungguh meriah kerana setiap Ketua UMNO cawangan mendapat wang sebanyak RM1000. Maka ceria dan banyaklah menu dan kuih muih, hamper, cabutan bertuah dan sedikit elaun untuk ahli-ahli UMNO. Terimakasih di atas initiatif UMNO Bahagian Jerantut. YB Dato' Wan Amizan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian sebagai Pengerusi Pengurusan UMNO Bahagian Jerantut menambah," tahun depan kita bagi RM2000, kalau tak cukup kita tambah lagi!"

WZWH sangat setuju baik kita ceriakan orang UMNO orang kita dulu. Kita jaga ahli-ahli UMNO dulu. Pemimpin UMNO yang pandai cari projek apa salahnya beri balik sumbangan kepada UMNO supaya Kita boleh bergerak dengan laju. Kalau pemimpin UMNO tak mahu menceriakan siapa lagi kita mahu harap.

Pada 16 Mei 2010 juga WZWH kena merasmi mesyuarat UMNO cawangan Kampung Perlok Ulu Cheka sebagai wakil UMNO Bahagian. Tahun ini agak pelik sikit AJK Wanita, Pemuda dan Puteri diberi tugas merasmi mesyuarat UMNO cawangan sama taraf dengan AJK UMNO Bahagian yang WZWH kira satu benda innovatif dari Dato' Wan Amizan.

Mana-mana AJK Wanita, Pemuda dan Puteri yang tidak bersedia atau mudah gugup dan gagap sudah tentu terketar-ketar ketika berucap sebagai wakil UMNO Bahagian. WZWH merasakan ini satu perkara yang baik buat mereka kerana merekalah nanti akan mengantikan kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut nanti.

Ketua UMNO cawangan Perlok ialah En. Abdul Kassim bin Sulaiman. Beliau juga Tok Empat di kampung itu. Beliau menyatakan Kampung Perlok mula dibuka pada tahun 1961. Beliau merupakan antara perintis utama. Kampung Perlok mempunyai 105 buah rumah dan mempunyai penduduk lebih kurang 500 orang. Masyarakatnya hidup dengan aman dan muafakat. Kampung Perlok merupakan kawasan pertanian. Pusat penyelidikan penternakan benih ikan ada di Kampung Perlok dikatakan yang terbesar di Asia.

Sewaktu mesyuarat UMNO cawangan itu WZWH mendapati apa yang ahli-ahli UMNO Kampung Perlok mahu ialah:
1) memohon menaikkan taraf jalan ke kelompok sejauh 3 km.
2) memohon pihak PLB menaikkan taraf jalan tar ke rumah semua penduduk Kampung Perlok
3) meminta perkhidmatan syarikat bas Lin Siong disambung semula perkhidmatannya dari Kampung Perlok ke Jerantut

Sewaktu jamuan makan selepas mesyuarat, WZWH sempat bersembang dengan Ketua UMNO cawangan Kampung Perlok, En. Abdul Kassim bin Sulaiman merangkap Tok Empat. WZWH bertanya tentang status menaikkan taraf jalan ke kelompok sejauh 3 km tersebut. Tok Empat berkata bahawa Dato' Wan Amizan dan Dato' Hj Nazri ada datang melihat keadaan jalan tersebut dan selepas itu pihak Pejabat Daerah menghantar pegawainya yang bernama En. Azhar datang menyukat tanah. WZWH rasa sudah ada tindakan terhadap status jalan itu.

Tok Empat Abdul Kassim menanya WZWH asal orang mana. WZWH jawab berasal dari Tembeling. "Oh bukan orang lain kita ni wok!" WZWH terdiam memikirkan siapakah Tok Empat ini. Panggilan "wok" adalah panggilan mesra antara keluarga-keluarga lama di kampung tradisional di Jerantut seperti Tembeling, Pulau Tawar dan Ulu Cheka.

Tok Empat Abdul Kassim 64 tahun sebenarnya ialah cucu arwah Pawang Nong seorang tokoh masyarakat yang legenda di Ulu Cheka. Ada sebuah sekolah rendah kebangsaan mengambil sempena namanya. Walaupun WZWH tidak pernah berjumpa dengan Pawang Nong semasa hayatnya yang meninggal pada tahun 1977 tapi WZWH tahu dari cerita orang tua-tua, ilmu kebatinannya sungguh hebat.

Aki Abdul Kassim menceritakan sedikit kisah sejarah hidup Pawang Nong kerana beliaulah cucu yang sempat tinggal bersama dengan Pawang Nong. Sebenarnya Pawang Nong adalah juga
berketurunan bangsawan berdarah raja tapi membuang bangsa hidup aman di kampung pendalaman di Ulu Cheka. Pawang Nong seorang yang berpandangan jauh atau futuristik. Beliau boleh nampak apa yang akan berlaku 50 tahun ke depan.

Sewaktu Aki Abdul Kassim masih muda, beliau mahu berhijrah ke Felda seperti anak-anak muda sezamannya tapi ditegah oleh Pawang Nong. "Kassim kamu duduklah di Perlok tu, jagalah tempat tu..jadi orang tua disitu. Esok ada jalan sampai ke Kuala Kerau. Maju tempat tu" Padahal masa itu Pawang Nong bercakap pada tahun 1961!

Pernah pada masa 13 Mei 1969, Pawang Nong berbaring dalam kelambu selama 3 hari 3 malam sampai Aki Abdul Kassim risau bimbang akinya sakit tapi apa yang berlaku 2 buah bas dari Kuala Lumpur datang bersama anak-anak muda Melayu yang bersemangat dengan parang dan keris ke Ulu Cheka. Mereka kata."Orang Tua Pawang Nong panggil!".

Ada satu peristiwa mistik berlaku sewaktu Aki Abdul Kassim masih muda remaja..pada suatu petang ada seorang tua datang menziarah Pawang Nong di rumah. Kemudian selepas Pawang Nong dan orang tua itu berbicara, orang tua itu memberi sebilah keris kepada Pawang Nong lalu menuruni tangga pulang. Pawang Nong berkata kepada Aki Abdul Kassim," Kassim, awak tahu siapa orang tua tu? Aki Abdul Kassim menggelengkan kepala. " Orang tua itulah Mat Kilau!

Nampaknya ada hubungan antara Pulau Tawar dan Ulu Cheka. WZWH diberitahu orang tua-tua dulu semasa berlaku penentangan Dato' Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau menentang Inggeris di Pahang, Moyang-moyang WZWH yang bernama Wan Husin bersemayam di Kampung Labu di Tembeling Tengah selalu membekalkan peluru dan ubat bedil kepada Mat Kilau. Ada moyang WZWH bernama Wan Abdullah bin Wan Ismail telah menolong Mat Kilau melarikan diri sewaktu pertemporan di Jeram Ampai sampai tercedera ditembak Inggeris. Pada tahun 1970, sewaktu orang Tembeling datang ke Pulau Tawar menziarahi Mat Kilau selepas perisyitiharaannya sebagai Mat Kilau. Mat Kilau berkata," Di Kampung Labu ada tinggal seorang Raja..(itu moyang WZWH bernama Wan Husin bin Engku Khatib).

Demikianlah corat coret kisah mesyuarat UMNO cawangan di Kampung Perlok. Juga penceritaan cucu Pawang Nong. Cerita keluarga-keluarga lama di kampung-kampung tradisional Jerantut. WZWH amat bertuah berjumpa dengan cucu Pawang Nong yang sebenarnya mengenali asal usul keluarga WZWH.

Saturday, May 22, 2010

Siapa Sebenarnya Penulis Blog Berita Pemuda UMNO Jerantut?

Ramai orang politik Jerantut tertanya-tanya siapa sebenarnya penulis Blog Berita Pemuda UMNO Jerantut(BPUJ)? Sila baca http://beritapemuda.blogspot.com/2010/05/loji-nuklear.html ini. Kerana mereka telah lama mengenali personaliti,perwatakan,adab budi bahasa,profesionalisme ilmu, kesetiaan kepada parti dan ketua,sahsiah WZWH yang sebenar. WZWH tidak sekali-kali akan memperlekeh penduduk Hulu Tembeling yang 99.99% adalah darah dagingnya, tanah tumpah nenek moyangnya beratus tahun bersejarah,apa lagi mahu memindahkan penduduk Hulu Tembeling dan menganggap mereka sebagai membebankan wakil rakyat. Adakah logik WZWH meninggalkan dan menidakkan masa depan penduduk Hulu Tembeling sedangkan WZWH adalah pemimpin pelapis harapan Hulu Tembeling yang suatu hari nanti akan memimpin UMNO Jerantut ini.

Penulis blog BPUJ adalah seorang yang tidak beretika, tidak profesional, keji, berniat jahat terhadap WZWH,YB Dato' Wan Amizan KP Pemuda UMNO Jerantut merangkap ADUN Tahan, EXCO Pemuda UMNO Malaysia dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jerantut dengan menyamar identiti dan profile WZWH bagi tujuan memburukkan, menjatuhkan kredibiliti, memfitnah YB Dato' Wan Amizan yang KPInya sungguh cemerlang membangunkan DUN Tahan dengan peruntukan projek-projek beratus-ratus juta mencurah ke DUN Tahan. Setakat hari ini telah lulus peruntukan sebanyak RM260 juta di DUN Tahan.

Penulis blog BPUJ juga berniat jahat, memburukkan, menjatuhkan kredibiliti, dengan cerita-cerita "half truth" separuh benar dan ditokok tambah kerana dengki dengan usaha WZWH mahu bawa projek berbilion-bilion ke Lembah Tembeling.

WZWH mahu memberi amaran kepada penulis blog BPUJ bahawa perbuatan ini menyalahi Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. WZWH akan ambil tindakan undang-undang jika penulis blog BPUJ masih meneruskan aktiviti-aktiviti "subversif komunis" menghancurkan, memporakperandakan Pemuda UMNO Bahagian Jerantut dan UMNO Bahagian Jerantut.

WZWH berharap rakyat Jerantut terutama komuniti UMNO Jerantut mendapat gambaran yang sebenar siapa itu penulis blog BPUJ yang sebenar itu BUKAN WZWH tapi "penyamar media baru". Ada orang di belakangnya yang turut bertanggungjawab menyebar surat layang yang tidak bertanggungjawab. Itu media lama kerja orang lama.

Friday, May 21, 2010

Kesilapan Pemimpin-pemimpin Tua Jerantut

40 tahun dulu,pemimpin-pemimpin tua Jerantut telah melakukan kesilapan kerana tidak bersetuju dengan idea Tun Razak untuk membina Hidroelektrik dam di Tembeling. Jika pemimpin dulu menyokong, projek itu boleh bermula pada tahun 1978 dengan kos hanya RM300 juta. Berbagai infrastruktur-infrastruktur menarik ditawarkan Kerajaan seperti kawasan penempatan baru,jalanraya,ladang-ladang, sekolah,dewan dan sebagainya. Jerantut akan lebih cepat membangun ekonominya. 20 tahun kemudian sekali lagi pemimpin-pemimpin tua Jerantut membuat kesilapan kerana menolak hasrat idea Tun Mahathir pada tahun 1982 untuk menghidupkan semula projek Hidroelektrik dam. Lantas projek itu ditarik ke Bakun.

Sekarang ini sekali lagi peluang terhidang di depan mata bila Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam laporannya menyatakan Pahang sesuai dijadikan tapak loji janakuasa nuklear kerana tempatnya terpencil dan dekat dengan sumber air mengikut panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa(IAEA). Lembah Tembeling amat sesuai sebagai tapak cadangan pembinaan loji janakuasa nuklear. Di Jepun terdapat 55 buah logi janakuasa nuklear yang boleh menyalurkan 49467MW kepada keperluan domestiknya. Diikuti China 40 loji, Korea Selatan 18 logi, Taiwan 8 logi, Korea Utara 6 logi. Selain Malaysia yang mengumumkan tahun 2021 mula beroperasi logi janakuasa nuklear, Thailand umum 2021, Vietnam 2018 dan Indonesia 2016. Baru-baru ini Turki telah menandatangani perjanjian dengan Rusia berjumlah RM80 bilion untuk bina 4 reaktor nuklear. Perlumbaan loji janakuasa nuklear telah bermula di Asia dan Asean.

Kos untuk membina loji janakuasa nuklear kapasiti 1000MW dianggarkan hampir RM9 bilion. Projek ini memberi peluang pekerjaan kepada 4000 pekerja. Jerantut perlu melobi projek ini demi impak besar kepada ekonomi Jerantut. Pemimpin-pemimpin Jerantut perlu sokong projek ini. Kemukakan kepada YAB PM Najib pada bulan Julai nanti. Jangan kita ulangi kesilapan pemimpin-pemimpin tua Jerantut dulu. Jerantut perlu tunjuk kekuatan dan kelebihannya kepada negara agar pucuk pimpinan negara memandang kepentingan Jerantut.

Lembah Tembeling- "Lembah Tenaga Negara"

Lembah Tembeling akan berjasa kepada negara kerana berpotensi menjadi proposed site loji janakuasa nuklear kapasiti 1000MW. Ditambah pula cadangan pembinaan hidrolelectrik dam Sg Tekai dan Ulu Sungai Tembeling. Saya mengingatkan projek-projek ini tidak akan menyebabkan perpindahan penduduk Ulu Tembeling. Projek hidro dam di hulu Sungai Tekai dan atas hulu Sungai Tembeling. Dengan guna teknologi baru tidak perlu kepada kolam yang lebih besar. Logi janakuasa nuklear memerlukan kawasan seluas 80 ha. Projek ini boleh menjana pekerjaan 4000 pekerja profesional, separa profesional, mahir dan buruh. Fikirkan impak projek RM9 bilion kepada ekonomi Jerantut. Kita boleh guna teknologi Perancis,Jepun,Rusia,China,Korea Selatan. Aspek keselamatan dan persekitaran dari impak projek mengikut sistem dan piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) diutamakan. Rakyat Jerantut perlu menyokong projek ini.Di Jepun dan Korea Selatan,bila kerajaan mengumumkan proposed site tapak loji janakuasa nuklear,pihak berkuasa tempatan berebut-rebut melobi projek kerana mereka tahu kesan ekonomi yang boleh mengubah kehidupan rakyat setempat.Jika rakyat Jerantut bersetuju, dan sempena YAB PM Najib akan merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Jerantut nanti, kita akan kemukakan kepada PM. Tapak cadangan bakal dikenal pasti pada tahun 2012 dan pembinaan logi janakuasa nuklear bermula pada tahun 2015. Itu harapan saya.

Monday, May 17, 2010

Loji Janakuasa Nuklear

Mengikut Laporan Putrajaya, Pahang sangat sesuai dijadikan propose site loji janakuasa nuklear kerana kawasan terpencil dan banyak sumber air. Saya mencadangkan loji janakuasa nuklear dibina di Tembeling Jerantut. Berkapasiti 1000MW. Kos antara RM3-9 bilion ringit. Lebih selamat, bersih dan murah kosnya dari segi jangka panjang. Hidro Bakun menghasilkan 3000MW tetapi tidak jadi untuk disalurkan ke Malaysia Barat kerana industri aluminium di Sarawak. Dijangka pada tahun 2017, kontrak IPP yang membebankan negara tidak akan diperbaharui. Ini bermakna lebihan rizab kapasiti 40% akan jadi sifar maka kita perlu mencari sumber tenaga yang lebih murah. Kita boleh guna teknologi dari Perancis, Korea Selatan, Jepun dan China. Ini boleh beri impak besar kepada ekonomi Jerantut.

Tekai Hidroelectric Dam

Saya telah mencadangkan dibina sebuah hidroelectric dam di Sg Tekai. Berkeupayaan menghasilkan 300MW. Kos antara RM2-2.5 bilion. Malaysia memerlukan sumber tenaga baru kerana kos minyak, gas, dan arangbatu yang semakin meningkat dan bekalan suatu masa nanti berkurangan. Saya cuma menghidupkan kembali idea Tun Razak. Negara perlu bekalan elektrik yang mencukupi dan lebih murah. Fikirkan impak RM2 bilion kepada ekonomi Jerantut.

Pola Politik Cina

Pola politik orang Cina Sibu menakutkan BN. Sarawak dan Sabah dikatakan 'Fixed Deposit' BN. Pola negatif ini boleh menjejaskan BN. Maka pola politik orang Cina yang tidak menyokong BN juga boleh berjangkit kepada politik Jerantut lantas menjejaskan parlimen Jerantut. Bagaimana penyelesaian masalah ini?

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024