Nuffnang Ads

Pages

Saturday, January 31, 2015

Empayar Melayu Purba Srivijaya Apa Pelajaran Kepada Pemimpin Melayu?




Empayar Melayu Srivijaya yang menguasai politik dan perdagangan selama 600 tahun dengan kehebatan Rajanya antara empat  raja terhebat dunia ketika itu, teknologi perkapalan dagang maritim yang besar dan tercanggih menguasai ekonomi dunia menuntut pemimpin Melayu belajar dari sejarah silam.

Srivijaya yang menguasai ekonomi dunia melalui laluan sibuk Selat Melaka menghubungkan pedagang dari Arab, Parsi, India, China dan Asia Tenggara membuatkan laluan sutera menjadi tidak penting hingga pedagang Eropah terpaksa bergantung kepada kepentingan ekonomi Srivijaya bagi rempah ratus dan emas dll menjadikan Srivijaya lebih kaya.

Siapa ini Empayar Melayu purba Srivijaya? Bagaimana Srivijaya menjadi hebat? Kenapa Srivijaya akhirnya dilupakan sehingga awal abad ke 20 baru dikenali oleh pemimpin Melayu moden? Apa yang pemimpin Melayu boleh belajar?

Srivijaya (juga disebut Sri Vijaya atau Sriwijaya ) ialah sebuah empayar maritim Melayu purba yang berpusat di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu yang banyak mempengaruhi Asia Tenggara. Bukti terawal kewujudannya adalah dari abad ke-7; apabila seorang sami Buddha dari China, I-Tsing, ada menulis tentang lawatannya selama 6 bulan ke Srivijaya pada tahun 671. 

Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 683 masihi yang ditemui di Palembang, Sumatera juga ada menyebut tentang Srivijaya. Kerajaan ini runtuh sepenuhnya pada abad ke-13 disebabkan pelbagai faktor, antaranya ialah kebangkitan kerajaan Jawa Majapahit. Dari abad ke-8 hingga abad ke-11, Srivijaya adalah pusat pengembangan agama Buddha yang utama di kepulauan Melayu. Dalam Bahasa Sanskrit, sri bermaksud "seri" atau "sinar" dan "vijaya" bermaksud "kejayaan" atau "kemenangan".

Selepas kejatuhan Srivijaya, ia dilupakan sepenuhnya dan ahli sejarah tidak pernah menganggap ada kerajaan bersatu yang besar pernah wujud di kepulauan Asia Tenggara. Kewujudannya pertama kali diakui secara rasmi pada tahun 1918, oleh ahli sejarah berbangsa Perancis Georges Coedès.

Kebesaran raja Srivijaya digambarkan melalui catatan Arab yang mensifafkannya sebagai Raja di Gunung dan Maharaja di Pulau. Raja di Gunung dan Maharaja menggambarkan kebesaran raja yang mempunyai kuasa sakit, berkuasa multak, dan bersifat ketuhanan. Raja Srivijaya memerintah secara multak dan dibantu oleh menteri yang menjadi perantaraan raja dengan rakyat.

Srivijaya dan Sumatera telah dikenali dengan nama-nama yang berbeza oleh berlainan bangsa. Orang Cina memanggilnya Sanfotsi atau San Fo Qi, dan terdapat juga kerajaan yang lebih tua iaitu Kantoli dalam catatan Cina pada abad ke-5 yang dianggap pendahulu Srivijaya. Ia dikenali sebagai Yavadesh dalam catatan Sanskrit dan Javadeh dalam catatan Pali. Orang Arab menggelarnya Zabag manakala orang Khmer memanggilnya Melayu.

Sejarah awal Srivijaya adalah kabur. Catatan China dari Sejarah Negeri Liang menyatakan kewujudan sebuah kerajaan kuno bernama Kantoli disyaki berpusat di kawasan antara Jambi dan Palembang, dan dipercayai merupakan pendahulu Srivijaya. Ahli sejarah China, Shenyao (414-512) dalam bukunya Sung Shunya (Sejarah Awal Sung) ada menyebut tentang satu utusan dari negeri "Ho-Lo-Tan" yang dihantar oleh Raja "Shih-li-pi-cho-yeh" pada tahun 434 masihi, satu nama yang sangat mirip dengan sebutan "Srivijaya". Sejarawan moden berbeza pendapat tentang kedudukan sebenar "Ho-Lo-Tan", namun kajian lanjut menunjukkan ia terletak di Semenanjung Tanah Melayu.

Berdasarkan Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 605 saka (683 masihi), kerajaan Srivijaya didirikan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang memimpin satu armada dengan 20,000 bala tentera dari Minanga Tamwan ke Matayap dan menaklukinya. Beberapa batu bersurat lain yang ditemui diKota Kapur di Pulau Bangka (686 masihi), Karang Birahi di Jambi Hulu (686 masihi) dan Palas Pasemah di selatan Lampung, menceritakan peristiwa yang sama. Dari keterangan batu-batu bersurat ini, dapat disimpulkan yang Jayanasa mendirikan Kerajaan Srivijaya setelah mengalahkan musuh-musuhnya di Jambi, Palembang, Selatan Lampung dan Pulau Bangka. Asal usul Raja Jayanasa dan kedudukan sebenar Minanga Tamwan masih diperdebatkan ahli sejarah, ada yang berpendapat armada yang dipimpin Jayanasa ini berasal dari luar Sumatera, berkemungkinan besar dari Semenanjung Tanah Melayu.

Srivijaya meluaskan lagi empayarnya dengan menakluk bahagian barat Pulau Jawa pada penghujung abad ke-7. Batu Bersurat Kota Kapur yang bertarikh 608 saka (686 masihi) menceritakan tentang sumpahan Maharaja Srivijaya ke atas sebuah kerajaan di Pulau Jawa sebelum Srivijaya menyerang kerajaan tersebut. Masa peristiwa ini berlaku adalah bertepatan dengan masa kejatuhan kerajaan Tarumanagara dan kerajaan Kalingga (Ho-Ling dalam catatan China) di Jawa Barat. Ada juga rekod menyatakan sebuah keluarga diraja beragama Buddha yang mempunyai hubungan dengan Srivijaya, mendominasi bahagian tengah pulau Jawa ketika itu, berkemungkinan besar dari kerabat Sailendra. Kejayaan Srivijaya menguasai Pulau Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu membolehkannya mengawal laluan perdagangan utama di Selat Melaka, Laut China Selatan, Selat Sunda dan Selat Karimata.

Pada awal abad ke-8, pelabuhan-pelabuhan Champa di timur Indochina mula bangkit menjadi pesaing kepada kuasa perdagangan Srivijaya. Untuk menghapuskan ancaman ini, Maharaja Srivijaya, Sri Dharmasetu melancarkan beberapa serangan ke atas bandar-bandar pesisir Indonchina. Bandar Indrapura yang terletak di tebing Sungai Mekong pernah suatu ketika dikuasai oleh Srivijaya pada abad ke-8. Dominasi Srivijaya di pesisir Indochina berakhir apabila RajaJayavarman II menubuhkan Empayar Khmer pada abad yang sama. Sri Dharmasetu digantikan oleh Samaratungga yang menjadi Maharaja Srivijaya dari tahun 792 hingga 835 masihi. Tidak seperti Sri Dharmasetu yang mengamalkan dasar perluasan kuasa, Samaratungga lebih memilih untuk menguatkan kedudukan Srivijaya di Jawa. Candi Borobudur di Jawa tengah dibina dan disiapkan pada tahun 825 masihi, ketika pemerintahan Samaratungga.

Sekitar tahun 1993, Pierre-Yves Manguin melakukan penyelidikan dan berpendapat bahwa pusat Srivijaya terletak di Sungai Musi di antara Bukit Siguntang dan Sabokingking (di provinsi Sumatera Selatan sekarang). Namun sebelumnya Soekmono berpendapat bahwa pusat Srivijaya terletak di kawasan hiliran Batang Hari, antara Muara Sabak hingga ke Muara Tembesi (di provinsi Jambi sekarang), dengan catatan Mo-lo-yu (I-Tsing) tidak di kawasan tersebut, jika Mo-lo-yu berada di kawasan tersebut, beliau cenderung kepada pendapat Moens, yang sebelumnya juga telah berpendapat bahawa pusat pemerintahan Srivijaya berada di kawasan Candi Muara Takus (provinsi Riau sekarang), berdasarkan anggaran petunjuk arah perjalanan dalam catatan I-Tsing. Ahli sejarah Thai berpendapat, daerah Chaiya di wilayah Surat Thani juga pernah menjadi pusat pemerintahan Srivijaya, berdasarkan penemuan banyak rumah-rumah ibadat dengan gaya seni bina unik yang berasal dari zaman Srivijaya. Namun yang pasti pada masa penaklukan Rajendra Chola I, berdasarkan Inskripsi Tanjore, ibu kota Srivijaya adalah di Kadaram (Kedah sekarang)

Pada tahun 100 Hijrah (718 masihi) Maharaja Srivijaya yang bernama Sri Indravarman mengutus sepucuk surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan memohon baginda menghantar seorang Ulama bagi menerangkan tentang agamaIslam. Surat tersebut berbunyi:

“ Daripada Raja kepada sekalian Raja yang merupakan keturunan dari seribu Raja-Raja, yang permaisurinya juga merupakan cucu kepada seribu Raja-Raja, yang taman haiwannya mengandungi seribu gajah, yang di dalam wilayahnya terdapat dua sungai yang mengairi pohon jadam, rempah wangi, buah pala dan limau nipis yang aromanya tersebar sejauh 12 batu. Ke hadapan Raja Arab yang tidak menyembah tuhan-tuhan yang lain selain Allah. Aku telah mengirim padamu satu hadiah yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan. Aku mohon agar kamu menghantar padaku seseorang yang boleh mengajarku tentang Islam dan menerangkan padaku undang-undangnya. "

Peristiwa ini menjadi bukti yang istana Srivijaya telah menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan dengan dunia Islam-Arab. Bagaimanapun ia tidak bermaksud yang Maharaja Srivijaya telah memeluk Islam, tetapi mungkin untuk menunjukkan hasrat Sri Indravarman yang ingin mendalami undang-undang dan budaya rakan dagang Srivijaya dan tamadun-tamadun di sekitarnya seperti China, India dan Timur Tengah.

Srivijaya menjalin hubungan yang erat dengan Kerajaan Pala di Benggala. Inskripsi Nalanda yang bertarikh 860 masihi ada mencatatkan yang Maharaja Balaputradewa menghadiahkan sebuah kuil Buddha kepada Universiti Nalanda. Hubungan dengan kerajaan Chola di selatan India juga pada mulanya sangat baik. Sekitar tahun 1005 masihi, Maharaja Sri Chulamanivarman yang dirujuk dalam inskripsi-inskripsi India sebagai "Raja Kataha dan Srivijaya" telah mengarahkan pembinaan sebuah kuil Buddha di Nagapattinam, selatan India yang dinamakan bersempena namanya iaitu Chulamanivarmavihara. Rajaraja Chola I menghadiahkan harta yang banyak dari sebuah kampung kepada kuil ini.

Sri Chulamanivarman juga meneruskan tradisi menjalin hubungan yang erat dengan negeri China seperti yang diamalkan pendahulu-pendahulunya, dengan menghantar beberapa utusan ke sana. Pada tahun 1003 masihi, Raja Se-li-chu-la-wu-ni-fu-ma-tian-hwa (Sri Chulamanivarman) menghantar dua utusan menghadap Maharaja China bagi menyampaikan ufti; mereka menceritakan yang negara mereka ada membina sebuah kuil Buddha bagi mendoakan kesejahteraan Maharaja dan mereka memohon perkenan Maharaja China untuk memberikan nama dan loceng untuk kuil tersebut. Satu titah perintah telah dikeluarkan dengan kuil itu mendapat nama Cheng tien wan shou yang bermaksud "kurniaan 10,000 tahun dari Syurga" (dipercayai Candi Bungsu, salah satu bahagian dari candi yang terletak di Muara Takus) dan sebuah loceng ditempa untuk dihadiahkan kepada utusan tersebut. Beberapa utusan kemudiannya dihantar lagi ke negeri China pada tahun 1004, 1008, 1016, 1017 dan 1018.

Hubungan yang erat Srivijaya dengan dua kuasa besar di Asia pada masa itu, Chola di India dan Dinasti Song di China telah membolehkan putera Sri Chulamanivarman yang menggantikannya, Maharaja Sri Mara Vijayatunggavarmanmembalas dendam perbuatan Raja Dharmawangsa dari Kerajaan Medang di Jawa Tengah yang menyerang Srivijaya pada tahun 990 masihi. Pada tahun 1006 masihi, bala tentera Srivijaya menyerang Kerajaan Medang dan menghancurkan Istana Watugaluh di Pulau Jawa. Dharmawangsa dan para pembesarnya kemudiannya dibunuh, membawa kepada berakhirnya Kerajaan Medang.

Hubungan baik Srivijaya dengan Kerajaan Chola bagaimanapun tidak kekal lama apabila Rajendra Chola I menaiki takhta pada tahun 1012 dan melancarkan perang ke atas Srivijaya pada tahun 1025 masihi.[38] Rajendra Chola I menakluk hampir kesemua kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Serangan besar-besaran kerajaan Chola ini bagaimanapun tidak membawa kepada kelangsungan politik Chola ke atas wilayah-wilayah yang diserang kerana pada tahun 1028 masihi, Maharaja Sri Sangrama Vijayatunggavarman yang ditawan di Kadaram telah digantikan oleh seorang Maharaja baru yang kemudiannya menghantar satu utusan ke negeri China. Dalam Sejarah Sung, Maharaja ini dikenali dengan nama Shih-Li-Tieh-Hua atau "Sri Deva" (berkemungkinan satu nama yang tidak lengkap).

Kerajaan Srivijaya banyak dipengaruhi oleh agama-agama besar dari India, pada mulanya oleh agama Hindu kemudian diikuti pula oleh agama Buddha. Berdasarkan catatan China dan India yang lain serta penemuan arkeologi, Srivijaya merupakan pusat agama Buddha yang utama di Kepulauan Melayu.

Sebagai pusat perkembangan agama Buddha Vajrayana yang utama, Srivijaya menarik ramai penziarah dan sarjana dari negara-negara lain di Asia, antara yang terkenal ialah sami Buddha dari China, I-Tsing. Pada tahun 671 masihi, dalam perjalanan ke Universiti Nalanda, India, beliau singgah di Srivijaya untuk mempelajari Sabdavidya (tatabahasa Sanskrit). Pada tahun 695, beliau melawat Srivijaya sekali lagi untuk mendalami agama Buddha. Menurut I-Tsing, penduduk Srivijaya melakar imej-imej Buddha dengan emas dan memberi sembahan kepada Buddha dalam bentuk bunga teratai emas. Ibu kotanya didiami oleh ramai sarjana Buddha dan menjadi pusat pembelajaran agama Buddha yang utama di seluruh Nanyang (laut selatan).

“ Banyak raja dan pemimpin yang berada di pulau-pulau di Laut Selatan percaya dan mengagumi Buddha, di hati mereka telah tertanam perbuatan baik. Di sebalik tembok kota Srivijaya, terdapat lebih dari 1000 sami Buddha, yang belajar dengan tekun dan mengamalkannya dengan baik. Mereka mengkaji dan mempelajari semua subjek yang wujud sama seperti di "Kerajaan Tengah" (Madhya-desa, India); tidak banyak perbezaan dalam aturan-aturan dan upacara-upacaranya. Jika seorang biarawan Cina ingin pergi ke Barat (India) untuk mendengar (syarahan) dan membaca (teks asli), lebih baik ia tinggal dulu di sini selama satu atau dua tahun untuk mendalami aturan-aturan yang betul sebelum melanjutkan pelajaran ke tengah India. - I-Tsing ”

Selain aliran Vajrayana, ajaran Buddha dari aliran Hinayana dan Mahayana juga turut berkembang di Srivijaya. Dharmarakshita atau Suvarnadvipi Dharmakīrti, salah seorang sarjana Buddha yang terkenal dengan teks Mahayana beliau, "Roda Senjata Tajam" (Bahasa Tibet: blo-sbyong mtshon-cha 'khor-lo) hidup pada zaman pemerintahan Sri Chulamanivarman, dan merupakan ketua sarjana Buddha di Suvarnadvipa (Sumatera). Sarjana Buddha dari Benggala yang terkenal dengan peranannya mengembangkan Buddha Vajrayana di Tibet iaitu Atisha, dikatakan pernah berguru dengan Dharmarakshita di Sumatera, dari tahun 1011 hingga 1023 masihi.

Kemahsyuran Srivijaya sebagai pusat perdagangan di Asia Tenggara berkemungkinan besar menarik minat para pedagang dan ulama Muslim dari Timur Tengah menyebarkan agama Islam. Beberapa kerajaan yang pada mulanya merupakan sebahagian dari Srivijaya, bakal muncul menjadi kerajaan-kerajaan Islam di Semenanjung dan Sumatera, ketika pengaruh Srivijaya semakin lemah. Ada sumber yang menyebut, kerana pengaruh orang muslim Arab yang banyak berkunjung dan berdagang di Srivijaya, maka seorang raja Srivijaya yang bernama Sri Indrawarman pada tahun 718 berminat untuk mengetahui tentang agama Islam, sehingga mungkin kehidupan sosial Srivijaya adalah masyarakat sosial yang di dalamnya terdapat masyarakat Buddha dan Muslim sekaligus. Tercatat beberapa kali raja Srivijaya mengutus surat kepada khalifah Islam di Damsyik. Salah satu naskhah surat yang ditujukan kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz (717-720) berisi permintaan agar khalifah sudi mengirimkan da'i ke istana Srivijaya.

Dalam dunia perdagangan, Srivijiya adalah empayar yang mengawal dua laluan utama antara India dan China, iaitu Selat Sunda dari Palembang dan Selat Melaka dari Kedah. Catatan Arab menyatakan yang empayar Maharaja Srivijaya adalah sangat luas sehinggakan kapal yang paling laju pada zaman itu pun tidak mampu untuk belayar mengelilingi semua pulau-pulanya selama dua tahun. Menurut keterangan I-Tsing, Raja Srivijaya memiliki kapal-kapal yang banyak untuk tujuan perdagangan. Komoditi utama adalah rotan, gaharu, kino merah, kapur barus, jadam, cengkih, minyak cendana, buah pala, buah pelaga, buah pinang, buah kelapa, kemukus, gading dan timah, menjadikan kekayaan Maharajanya setanding dengan mana-mana raja di India. Srivijaya juga adalah negara yang sangat kaya dengan emas, bahkan I-Tsing pernah menggelarnya sebagai "Chin Chou" atau "Kepulauan Emas". Rakyatnya menyediakan sembahan kepada Buddha dalam bentuk bunga teratai emas, menggunakan bekas-bekas dari emas, dan membina arca-arca dari emas. Berbeza dengan mata wang China pada zaman tersebut yang biasanya diperbuat dari tembaga, loyang atau besi, orang Srivijaya hanya menggunakan emas dan perak dalam perdagangan.

Selain menjalin hubungan dagang yang menguntungkan dengan India dan China, Srivijaya juga membentuk jaringan perdagangan dengan dunia Arab. Berkemungkinan besar, satu utusan yang dihantar Maharaja Sri Indravarman untuk menyampaikan surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dari Kerajaan Bani Umayyah pada tahun 718 masihi, telah kembali dengan Zanji (hamba wanita kulit hitam dari Zanj), hadiah Khalifah kepada Maharaja. Kemudiannya, catatan China ada menyebut tentang Shih-li-t-'o-pa-mo (Sri Indravarman), Maharaja Shih-li-fo-shih yang menghantar kepada Maharaja China ts'engchi (sebutan China untuk perkataan Arab Zanji) sebagai hadiah.

Pada separuh pertama kurun ke-10, ketika zaman kejatuhan Dinasti Tang dan kebangkitan Dinasti Song, perdagangan berkembang dengan pesat di antara dunia luar China dengan kerajaan Min di Fujian dan kerajaan Nan Han di Guangdong. Dengan kemakmuran yang dikecapi pada zaman permulaan Dinasti Song, keadaan ini sangat menguntungkan Srivijaya. Pada tahun 903 masihi, penulis Islam Ibn Rustah sangat kagum dengan kekayaan pemerintah Srivijaya sehingga beliau pernah menyatakan yang tiada Raja lain yang sekaya dan sekuat Raja Srivijaya. Pusat perbandaran utama Srivijaya pada zaman itu adalah di Palembang, Muara Jambi, Kedah dan Chaiya.

Ketika era keemasannya, Srivijaya adalah kerajaan yang terkuat dan terkaya di bahagian barat kepulauan Melayu, dan empayarnya meliputi 15 negeri seperti yang diceritakan oleh Chou-Ju-Kua; Pong-fong (Pahang), Tong-ya-nong (Terengganu), Ling-ya-si-kia (Langkasuka), Kilan-tan (Kelantan), Fo-lo-an (Dungun), Ji-lo-t'ing (Cherating), Ts'ien-mai (Semawe, Semenanjung), Pa-t'a (Sungai Paka, utara Semenanjung), Tan-ma-ling (Tambralinga, Ligor atau Nakhon Si Thammarat), Kia-lo-hi (Krabi), Pa-lin-fong (Palembang), Sin-t'o (Sunda), Lan-wu-li (Lamuri di Aceh), Kien-pi (Jambi) dan Si-lan (Kemboja).

Pengaruh kuasa perdagangan Srivijaya di Lautan India telah membawa kepada penghijrahan penduduk kepulauan Melayu ke Madagascar. Selain itu, pengaruhnya juga menjalar ke bahagian timur ke Borneo sehingga ke kepulauan Filipina, terutamanya kepulauan Sulu dan Visayas. Pada kurun ke-10, Kerajaan Tondo yang berada di bawah pengaruh Srivijaya telah ditubuhkan di Manila.

Akibat dari kekacauan yang berlaku di pesisir pantai China ketika zaman kejatuhan Dinasti Tang, bukan hanya aktiviti perdagangan orang Arab dan Parsidengan China terjejas teruk, malah Srivijaya juga menerima kesan besar darinya. Walaupun ia masih menguasai laluan perdagangan di Selat Melaka dan pesisir utara Semenanjung Tanah Melayu, perdagangan dan kekayaannya mula merosot pada penghujung kurun ke-9 dan awal kurun ke-10. Menjelang tahun 925 masihi, tiada lagi komuniti pedagang asing di China, kekacauan dan pelanunan semakin menjadi-jadi selama beberapa dekad berikutnya di sepanjang pesisir selatan China. Pada penghujung kurun ke-10, perdagangan dengan Asia Selatan dan Asia Tenggara mula pulih dengan peranan Dinasti Song Selatan di China, bagaimanapun ia menimbulan persaingan yang serius di antara Srivijaya dengan Kerajaan Medang di Jawa Timur dan Wangsa Chola di India selatan. Ketiga-tiga kerajaan bersaing merebut laluan perdagangan dengan China yang baru pulih.

Di antara tahun 1003 dan 1018, Srivijaya menghantar 7 utusan ke China, mengiklankan produk-produk Asia Selatan beserta dengan barangan wangi, rempah dan lada. Kerajaan Medang juga cuba menjalin hubungan perdagangan langsung dengan China manakala Chola pula menghantar satu utusan ke sana pada tahun 1015. Akibat dari persaingan tiga segi ini, Srivijaya menyerang dan menghancurkan kerajaan Medang pada tahun 1006, namun ia diserang pula oleh angkatan laut Chola di bawah Rajendra Chola I pada tahun 1025. Angkatan laut Chola menyeberang Teluk Bengal, menjarah ibu kota Srivijaya di Kadaram, dan menawan Maharajanya, Sri Sangrama Vijayatunggavarman. Selain Kadaram, Pannai di Sumatera dan Malaiyur di Semenanjung Tanah Melayu juga diserang. Inskripsi Tanjore yang bertarikh 1030 masihi ada menceritakan tentang kempen ketenteraan Chola ini:

Dalam masa 100 tahun, beberapa lagi serangan telah dilancarkan oleh Wangsa Chola ke atas Semenanjung dan Sumatera. Meskipun dipaksa berperang secara defensif dalam tempoh yang sangat lama, kekuatan Srivijaya yang terletak di pulau-pulau yang mengawal selat-selat, tidak mampu dimusnahkan sepenuhnya oleh angkatan Chola yang kuat. Serangan-serangan Chola selama 100 tahun ini boleh dianggap sia-sia kerana ia tidak membawa kepada pendudukan efektif Wangsa Chola di Kepulauan Melayu, sebaliknya ia hanya mampu melemahkan kedudukan Srivijaya bahkan melemahkan kuasa Chola sendiri dan membuka peluang kepada penguasaan orang Islam di Lautan Hindi.

Kelemahan Srivijaya telah menyebabkan banyak negeri lindungannya membebaskan diri dari kekuasaannya, beberapa kerajaan serantau lain yang kuat juga mula muncul menyainginya, seperti Kediri dan kemudiannya Singhasari. Kerajaan-kerajaan ini yang berasaskan pertanian, adalah berbeza dengan Srivijaya yang sangat bergantung pada perdagangan pesisir dan jarak jauh. Kekuatan tentera Srivijaya yang semakin lemah juga menyebabkan ia tidak mampu lagi mempertahankan dirinya dari serangan-serang dua kerajaan yang kuat: Sukhotai Siam di utara danSinghasari di selatan. Sukhotai menawan Ligor, Takuapa dan lain-lain bandar pelabuhan di Segenting Kra. Singhasari pula menawan kebanyakan wilayah di bawah ketuanan Srivijaya di Jawa dan Sumatera. Pada tahun 1288, Singhasari melancarkan Ekspedisi Pamalayu untuk menawan negeri-negeri Melayu di Sumatera. Menjelang tahun 1292, empayar ini telah runtuh sepenuhnya, Marco Polo yang melawat kepulauan Melayu pada tahun tersebut tidak ada menyebut langsung tentang Srivijaya. Begitu juga dengan Kakawin Nagarakretagama yang dikarang pada tahun 1365, tidak lagi menyebut tentang Srivijaya untuk wilayah-wilayah yang dulunya di bawah ketuanan Srivijaya.

Berakhirnya Kerajaan Srivijaya tidak bermakna tamatnya tradisi pemerintahan istana Melayu. Beberapa percubaan untuk menghidupkan kembali Srivijaya telah dilakukan oleh waris-waris diraja Srivijaya yang menjadi pelarian di negeri-negeri yang masih setia. Pada tahun 1293,Majapahit yang merupakan pengganti Singhasari menguasai sebahagian besar Sumatera. Putera Adityawarman diberi tanggungjawab memerintah Sumatera pada tahun 1347 oleh pemerintah ketiga Majapahit, Tribhuwana Wijayatunggadewi. Satu pemberontakan yang berlaku pada tahun 1377 berjaya dipatahkan oleh Majapahit. Pada tahun 1324, Sang Nila Utama yang mendakwa dari keturunan diraja Srivijaya dari Bentan, bersama para pengikut dan tenteranya yang terdiri dari Orang Laut, telah menubuhkan Kerajaan Singapura Lama di Temasek. Menurut Sejarah Melayu dan ahli sejarah China, Wang Ta Yuan, orang Siam menyerang kerajaan Singapura di antara tahun 1330 hingga 1340, namun berjaya dikalahkan. Serangan Majapahit pada penghujung abad ke-14 bagaimanapun berjaya menundukkan kerajaan ini, dan Rajanya yang terakhir, Parameswara terpaksa melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu.

Parameswara kemudiannya mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1402. Kesultanan Melayu Melaka akhirnya menggantikan kedudukan Srivijaya sebagai kuasa politik Melayu yang utama di kepulauan Melayu. Walaupun Kesultanan Melaka jatuh pada tahun 1511, Melaka kekal menjadi suatu prototaip institusi: satu paradigma tata urus negara dan satu titik rujukan budaya Melayu untuk negeri-negeri pengganti seperti Kesultanan Johor (1528–kini), Kesultanan Perak(1528–kini) dan Kesultanan Pahang (1470–kini).

Peninggalan terpenting kerajaan Srivijaya berkemungkinan besar adalah Bahasa Melayu itu sendiri. Selama beberapa abad, melalui penaklukan, kuasa ekonomi dan kekuatan ketenteraannnya, Srivijaya memainkan peranan besar dalam menyebarkanBahasa Melayu Kuno ke seluruh pelusuk Kepulauan Melayu. Ia menjadi bahasa utama perdagangan dan lingua franca, digunakan di banyak pelabuhan dan pusat perniagaan di rantau ini. Bahasa Melayu kemudiannya semakin berkembang maju semasa era pengganti Srivijaya, Kesultanan Melayu Melaka. Era Kesultanan Melaka menyaksikan pengaruh Islam yang kuat dalam Bahasa Melayu, dengan kemasukan banyak perkataan pinjaman dari Bahasa Arab dan Parsi. Perkembangan ini menghasilkan Bahasa Melayu Klasik yang kemudiannya menjadi asas kepada Bahasa Melayu Moden yang digunakan dengan meluas hari ini di Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

Srivijaya menjadi fokus kepada kebanggaan nasional dan identiti serantau, terutamanya kepada penduduk Palembang khususnya, dan kepada semua Orang Melayu amnya. 

Thursday, January 29, 2015

Hikayat Orang Gunung




Nama 'Melayu' adalah nama moden yang digunakan untuk menerangkan bangsa atau bahasa yang mendominasi Tanah Melayu dan kepulauan Melayu di Asia Tenggara. Sebelum itu bangsa ini bukanlah bergelar Melayu lagi.

Ini samalah dengan perkataan 'Hindu' yang diberikan oleh sarjana Barat merujuk kepada Hind atau satu lembah di Sungai Ganges. Padahal sebelum itu ajaran purba ini bukanlah Hindu tetapi satu ajaran kuno yang berasal dari agama meyembah Tuhan yang Satu.

Begitu juga dengan masalah yang kita bincangkan ini,perkataan Melayu, 'Malaya' ,Malay atau Malaysia adalah nama moden yang digunakan pada abad-abad terakhir hingga kini.Namun bangsa ini sebelum digelar Melayu mempunyai pelbagai nama yang menerangkan tempat tinggal bangsa ini semasa pengembaraan atau gelaran atau sifat bangsa ini.

Di antara nama-nama ini adalah Malai,Funan, Kulon, Sailendra, Nam, Champa, dan Jawi. Malai adalah nama yang berasal dari tradisi Vedic-Parsi yang bererti 'gunung'. Begitu juga dengan yang lainnya SEMUANYA MERUJUK KEPADA 'GUNUNG' ATAU 'BUKIT'.

Ini memberikan satu petunjuk tentang kemaraan bangsa Aryan dari arah pergunungan utara India seperti Himalaya-Tibet dari arah Asia Tengah, dari perbatasan Parsi seperti Bactria,Parthia dan Aria.

Bangsa ini juga menerbitkan suku pahlawan Kamboja berkasta Ksyatria,merupakan salah satu suku Aryan yang menyerang perbatasan India dan menubuhkan kerajaan-kerajaan purba India.

Bangsa misteri ini digelar bangsa gunung atau kaum yang datang dari pergunungan adalah kaum yang dihormati dan digeruni oleh suku-suku asli atau kerajaan-kerajaan kecil di Benua India.

Bangsa ini berubah-rubah namanya akibat asimilasi dan percampuran bangsa ini dengan etnik-etnik asli tempatan.Bangsa ini telah melahirkan keturunan Sakya dan Ksyatria ketika tinggal di Tibet dan di Benua India.

Bangsa ini juga menghasilkan sukukaum Champa, Funan dan Khmer juga sebahagian Viet dari asimilasi Mala dengan etnik-etnik yang kecinaan di perbatasan sempadan Yunnan-China dan Indochina.

Nampaknya bangsa misteri inilah yang mewarnai sebahagian besar bangsa-bangsa Asia di mana bangsa ini yang berasal dari keturunan Keturah isteri ke tiga Nabi Ibrahim seperti ditugaskan untuk membawa risalah ajaran Ibrahim ke Timur dan memajukan bani Adam yang terdiri dari etnik-etnik asli yang kurang bertamadun yang berasal dari keturunan para pengikut Nabi Nuh yang bertebaran ke sana.


“Telahku semahkan darah pada batu bersurat,telahku perahkan limau pada keris wasiat.Sampai masa aku bangkit untuk berjuang.Ku pertahankan bangsa atas nama agama.Sebab wujud bangsaku kerna membela agama.Bukan sebab bangga aku membela bangsa.Bukan sebab dunia aku membela bangsa.Sebab hakikat kebenaran yang diminta.Sebab kasihkan agama.”



"Akulah cicit Maharaja Bukit Siguntang itu.
Titisan darah iskandar zulkarnain juga mengalir ditubuhku


Bapaku bernama Sakranta,
pemerintah Empayar Jawaka,
Berketurunan dari negara Medang Gana dan Langkasuka
Di akhir abad pertama masihi.


Keturunan ku dari susur galur Empayar Jawadwipa
Suwarnabhumi ( Semenanjung emas) juga jadi sebutannya,
Dari situlah munculnya tamaddun bangsaku:
Al-Jawiyun nama gelarannya,
Tanah jawi tempat asalnya.
Kemuncak zaman keagunganku di abad ke 13.


Pada 1339,bersama sahabatku Gajah Mada,
Kurangkumkan negara diutara semenanjung swarnabhumi,
Campa,Kemboja dan Samudera - Pasai,
Bersatu di bawah Empayar Chermin.
Yang gah bernama Nusantara.


Inilah silsilah keturunanku:


Anakku Raja Bharubhasa ,putera sulungku,
ku beri gelarannya Sultan Jiddah,
Sultan Mahmud shah juga gelarannya.
Langkasuka negaranya.
Bersemayam gagah di Kota Mahligai,
Mengusir jauh Raja Bersiong,
Lalu menakluk Gangga Negara.
Bergabung dengan Mapahit dibawah Gajah Mada,
Untuk kegemilangan Pamalayu Kertanegara di Nusantara.
Lalu menakluk Champa,Kemboja dan Samudera,
Menjadi Empayar Chermin yang terkemuka.
Anakku ini katanya mangkat 1362,
Namun kutahu putera perkasa ku ini ghaib begitu saja.
Kalau mangkat dimana makamnya?


Cucuku Raja Baharun anakanda Raja Barubhasa menaklukiTiktawilwa
Lalu Tiktawilwa ditukar namanya kepada Singa Negara,
Cucu cicitnya kini menyebutnya Senggora atau Songkla.


Cucuku Raja Ibrahim anakanda Raja barubhasa
itulah digelar Pra Ong Mahawangsa,
Dialah nenek moyang raja raja kedah kini.


Cucuku Raja Tanjung Pura anakanda Raja Barubhasa
Atau digelar Sultan Baki Syah
Raja Cermin juga gelarannya.
Keturunan kesultanan kelantan dan Champa
adalah darinya.


Anakku Singa Dhiraja,putera ku yang kedua,
Ku beri gelarannya Sultan Sulaiman Syah,
Langkasuka lama atau Wurawari negaranya,


Cucuku Raja Negeri Mahligai anakanda Singa Dhiraja
Juga digelar Phya Kurub Mahayana


Cicitku Sultan Ismail Syah,anakanda Raja Negeri Mahligai
Juga digelar Phya Tu NakPa
Darinya bermulanya kerajaan Patani Darussalam.
Cicitku inilah sultan pertama menyebut shahadat dibumi nusantara,
Lalu digelar Sultan Ismail Zilullah Fiil-Alam.
Yang bererti bayangan Allah di mukabumi.


Puteri sulung ku Puteri Urduga,
ku beri gelarannya Cik Siti Wan Kembang.
Tanah Seindah Sekebun Bunga negaranya.
Terpahat namanya di Batu Bersurat Minye Tujuh di Aceh
Tertulis di situ “Warda Rahmatullah berketurunan Barubhasa,
mangkatnya pada jumaat 14 zulhijjah 781 hijrah
bersamaan 1380 Masihi.


Puteri Sadong anak angkatnya,
Juga ghaib hilang entah dimana.


Puteriku yang kedua Puteri Chendana,
Kukahwinkan dia dengan Sultan Malikul Zahir
Iaitu cucunda kepada Sultan Malikul Salih
atau Merah Silu,Sultan lagi wali yang tersohor itu.
Dari keturunan keduanya kah lahirnya Al-mahdi itu?
Yang memiliki titisan darah dan nasab keturunan
Hingga kepada Rasulullah dan dari iskandar Zulkarnain
Yang terkumpul padanya dua kekuatan
Kekuatan Rohani dan Fizikal
Yang akan membawa panji hitam dari timur
Panji kebenaran diakhir zaman



Puteriku yang ketiga Puteri Linang Cahaya.
Kukahwinkan dia dengan Syed Hussien Jamaluddin Kubra,
Dari keturunan keduanya lahirlah Syed Ali Nurul Alam
Yang juga digelar Sultan Qumbul atau Patih Gajah Mada,
Merupakan moyang kepada wali songo yang ternama itu.
Dari keturunan keduanya kah akan lahirnya Bani Tamim itu?
Yang disebut pembantu Al-Mahdi di akhir zaman.



Akulah Sangtawal Sakranta….
Aku kembali mencari negaraku yang hilang.
Aku kembali mencari keturunanku yang hilang.
Aku kembali mencari bangsaku yang hilang.
Aku kembali membuka pintalan sejarah dan menuntut kebenaran
Aku kembali mencari politik Pamalayu dari Kertanegara.
Aku kembali mencari Dinar emas bertarikh 577 Hijrah bersamaan 1180M,
Tertulis disitu cop mohor gelaran “Al-Mutawakkil”
Cop mohor diraja Kelantan atau Kelathana atau Medang Gana.


Ku selusuri jejak dari Himalaya ke Funan
Dari Maharaja gunung dan Sailendra
Mudik kehilir Sungai Mekong
Menjejak Campa dan Gangga Negara
Mencari Sriwijaya dan Mataram
Memburu perlak hingga ke pasai
Dari Pasai Ke Samudera
Lalu ku mengerti
Mengapa Aceh,Kedah dan Kalathana
disebut serambi mekah


Ingin kutitip kembali kisah secupak dari istambul itu.
Aku kembali mencari Sheikh Said Barsisa dari Pasai yang datang dari Hadramaut itu.
Beliaulah yang berjasa mengislamkan cucuku Sultan Ismail Zillulah Fiil-alam.
Aku kembali mencari Masjid Kerisek misteri itu untuk dikenang.


Aku kembali mencari meriam patani Sri Negara ,Sri Patani dan Mahalela yang hilang ,
Aku kembali mencari keris taming sari yang jatuh didasar lautan
Aku mencari kembali adinda Sheikh Jamaluddin Kubra
iaitu Sheikh Thanaudin ataupun digelar Sang Adi Putra
Aku kembali mencari Hang Tuah, laksamana melayu yang terbilang
Untuk bertanya kenapa katanya “Takkan melayu hilang didunia”
Aku mencari Jebat kerana aku kagum dengan semangatmu Jebat.
Aku mencari kitab sejarah melayu itu,
Kitab Sulalatus Salatin yang digubah indah
Oleh Tun Sri Lanang ,negarawan terbilang.
Banyak cerita samar di dalamnya,
haruskah ku ubah,atau haruskah ku uji,
Agar cucu cicitku bisa mengerti.


Aku mencari kitab Mahkota raja raja
Yang dikarang indah pembodek negara
Pengkhianat itu bernama Sheikh Nuruddin
Angkara dialah Sheikh Hamzah Fansuri dihina.
Angkara dialah karya agung fansuri dimusnahkan..
Angkara dialah pengikut fansuri dibunuhnya
Masjid Baitulrahman menjadi saksi
Betapa bencana Tsunami telah menjadi bukti
Masjid ini masih megah berdiri
Berkat daulat dan keramat Hamzah fansuri.


Nah …Kebenaran tetap unggul sepanjang zaman
Demi kebenaran aku datang,
Demi kebenaran aku berjuang.
Kerana sejarah itu kebenaran zaman
Sejarah ditulis oleh yang menang,
Putih katanya putihlah sejarah,
Hitam katanya hitamlah sejarah.
Agar cucu cicitku keturunanku
tidak menelan mentah cerita lama


agar cucu cicitku mengerti
agar mereka menilai segalanya
dengan akal dan mata hati


Mana penglipur lara itu yang memutar sejarah.
Mana penglipur lara itu yang mengubah cerita,
Mana dia tok selampit itu yang memadam sejarah.
Mana dia tok dalang wayang kulit itu yang bijak bersandiwara.
Mana dia juara tukang dikir itu yang mempesona .
Mana dia saudagar sejarah,
Mana dia peniaga bangsa.
Mana dia tetamu yang tak diundang
Musafir bermukim dibawah naugan payung mahkota


Telah lupakah dikau asal usulnya dimana
Tidak bersyukur setelah tidak diminta upah ufti atau dinar emas
Apa lagi untuk berterima kasih atas penghormatan Sang Penguasa
Mengadu domba, meminta betis setelah diberikan paha
Lalu bertanya erti ketuanan
Siapa itu ketuanan Melayu katanya
Apakah sewaktu datang mu dulu
negara berdaulat ini tidak beraja tidak bertuan?
sedangkan kakimu yang berpijak itu adalah atas bumi berdaulat
mana ada ketuanan rakyat?
Sekali lagi mereka cuba menipu sejarah
Namun bila panji kebenaran tertegak
pasti
Cerita dongeng mereka akan berselerak


Bukalah kembali hikayat raja-raja Pasai.
Didalamnya tercatat jelas sabda junjungan
Wasiat Rasul dikeji jangan
Kebenaran pasti datang dari bumi Samudera- negeri dibawah angin
Yang bernama Nusantara.


Mana zuriat keturunanku yang pernah hilang
Mana dia bangsa jawiku yang terbuang
Mana Empayar melayur yang hilang
Mana Empayar Cermin yang pernah terbilang
Moga ketemu diakhir zaman
Moga bersatu diakhir zaman
Moga menang keakhir zaman
Bersatu dan Bangkitlah wahai melayu Islam UMNO,
melayu Islam PAS,
dan melayu Islam PKR
Usah khianati Bangsa kita Sendiri
Bangkitkan dan tegakkan Empayar Khalifah
Kibarkan Panji panji Allah dari Timur ini"

Tuesday, January 27, 2015

Program Pasca Banjir Tengku Puan Pahang Di Kg Labu DUN Tahan



















Tengku Puan Pahang bersama Anakanda Tengku Afzan dan Tengku Jihan menyediakan makanan kepada penduduk Kg Labu dan Kg Jong Berlaboh Tembeling Tengah Jerantut.


KDYTM Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ibni Almarhum Sultan Mahmud Iskandar, Tengku Puan Pahang terkenal dengan minatnya yang mendalam terhadap bidang masakan dan pernah mengeluarkan buku resipinya sendiri, Air Tangan Tengku Puan Pahang & Masakan Tradisional Pahang. 

Tengku Puan Pahang adalah isteri kepada KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah dan kekanda kepada  Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Mahmud Iskandar,Sultan Johor.

Tengku Puan juga tidak kekok memasak untuk mangsa-mangsa banjir di Pahang. Seingat WZWH ini adalah siri ke 15, Tengku Puan Pahang memasak untuk mangsa banjir di seluruh negeri Pahang.

Kg Labu dan Kg Jong Berlaboh bertuah kerana dipilih sebagai kampung pertama dalam Program Pasca Banjir Tengku Puan Pahang dan kampung angkat.

Selain dari Tengku Puan Pahang memasak untuk menjamu orang kampung, bantuan kepada lebih 100 mangsa banjir diberikan dalam bentuk peralatan elektrik, dapor memasak, dan juga pakaian.

Tengku Puan Pahang bersama NGO-NGO Wanita, Sosial, Pandu Puteri , dan Kolej dan Sekolah Antarabangsa turut menjayakan program tersebut. Antara pengisian program ialah kelas jahitan bersama sumbangan mesin jahit, pemeriksaan kesihatan oleh Hospital Swasta, peraduan melukis kanak-kanak, permainan santai tradisional.

WZWH rasa tersentuh dengan sentuhan Tengku Puan Pahang yang berjiwa rakyat, tidak protokol, santai bersama anakanda-anakanda putera dan puteri dalam menyayangi rakyat Pahang. 

WZWH present foto-foto di bawah.





















Keberangkatan KDYTM Tengku Puan Pahang bersama anakanda-anakanda Yang Mulia Tengku Putri Afzan Amina Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Putri Nur Jihan Khalsom Athiyatullah ke Kg Labu.




















Rakyat Kg Labu dan Kg Jong Berlaboh meraikan keberangkatan KDYTM Tengku Puan Pahang bersama anakanda-anakanda.




















Tengku Puan Pahang tertarik dengan kanak-kanak yang secara spontan disuruh menyanyi lagu tadika.




















Kemeriahan dan keceriaan di Kg Labu.







































Persediaan di dapor utama . 




















Background Sg Tembeling di Kg Labu.




















Panorama Sg Tembeling di Kg Labu.




















Tempat makan bersila di Labu Sentral.























Lagi tempat makan bersila di depan Labu Sentral.




















Pelajar International School menyediakan pakaian untuk diberi kepada orang kampung.




















Santai bermain congkak dan dam.




















Kanak-kanak seronok melukis dan mewarna lukisan bersama ibu-ibu.




















Pilihlah mana pakaian yang padan dan berkenan di hati.




















Pemeriksaan kesihatan di sediakan oleh sebuah team Hospital Swasta. Awas penyakit kencing tikus dan penyakit pasca banjir!




















Kelas jahit menjahit. Semua mesin jahit disumbang kepada orang kampung.




















Tengku Puan Pahang sibuk memasak bersama team memasak. Orang kampung tidak dibenarkan memasak.



















ADUN Tahan mahu menyibuk juga menolong memasak. Tengku Puan Pahang menjadi chief utama.




















Sumbangan dapor untuk orang kampung.




















Lagi sumbangan bantuan banjir.




















Lagi sumbangan bantuan banjir untuk orang kampung.




















Sementara menunggu Tengku Puan Pahang dan team siap memasak, WZWH bersama Ahli Parlimen Jerantut, ADUN Tahan, Tuan OCPD Jerantut, ADO memungkor cerita politik dulu.




















Sementara itu juga YM Tengku Afzan dan YM Tengku Jihan melayan kanak-kanak Kg Labu dan Kg Jong Berlaboh.




















Rakyat Kg Labu yang pertama bertuah menerima layanan hidangan air tangan masakan Tengku Puan Pahang.




















ADUN Tahan beratur menunggu giliran mengambil makanan tengahari yang disediakan oleh Tengku Puan Pahang.




















Ahli parlimen Jerantut dan Tuan DO Jerantut menunggu layanan air tangan Tengku Puan Pahang.




















ADUN Tahan dan Ahli parlimen Jerantut duduk makan bersila bersama menikmati makan tengahari air tangan Tengku Puan Pahang. 

Begitu power Tengku Puan Pahang boleh buat ahli politik -ahli politik duduk bersama.

Tengku Puan Pahang akan kembali lagi ke Kg Labu membawa Perkhemahan Pandu Putri dalam masa terdekat ini.

Monday, January 26, 2015

Parameswara Part 2 : Raja-Raja Melayu Singapura



Runtuhan Empayar Srivijaya buat leluhur moyang aku melarikan diri dari pulau ke pulau. Sang Nila Utama Sri Tri Buana pada 1299 telah rebranding Temasik kepada Singapura.

Singapura walau kecil elok dibuat kerajaan. Tiada Srivijaya ada Singapura jadilah. Masih ada harapan Singapura menjadi pelabuhan utama dan sibuk. Orang Laut banyak membantu dan setia.

Seperti kota-kota zaman kegemilangan Srivijaya, perdagangan maritim, import export dan barter trade memberi kemakmuran dan kekayaan kepada pelabuhan Singapura.

Hubungan diplomatik akrab dengan Maharaja China Yuan menguatkan lagi politik dan ekonomi Singapura.

Lalu...kuasa-kuasa tamak Majapahit Jawa dan Ayuthaya Siam bukan sahaja tidak puas menjarah dan merogol negeri-negeri tinggalan Sriwijaya malah mahu membaham Singapura.

Walau tidak sampai 100 tahun cuma sempat 5 Raja Melayu memerintah Singapura dari Sri Tri Buana hingga aku Parameswara @ Sri Iskandar Shah.

Aku ceritakan sedikit serangan terhadap Singapura  oleh Majapahit dan Siam...

Pada 1347 ketika Sri Wikrama Wira memerintah Singapura, 70 jong angkatan laut Siam menyerang Kota Singapura. Cuma bertahan di dalam Kota hingga angkatan laut China tiba baru angkatan laut Siam berundur.

Pada 1350 Hayam Wuruk Raja Majapahit penuh ambitious mahu menakluki seluruh Asia Tenggara menitahkan Mahapatih Gajah Mada jeneral perang yang sangat digeruni menyerang Singapura.

Ditambah lagi dengan ideologi Negarakertagama yang mahu mengwujudkan kesatuan Asia Tenggara.

Mahapatih Gajah Mada terkenal dengan sumpah palapa mahu menakluk seluruh Asia Tenggara dalam Bahasa Jawa...


"Sira Gajah Mada pepatih amungkubumi tan ayun amukti palapa, sira Gajah Mada: Lamun huwus kalah nusantara ingsun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seram, Tañjungpura, ring Haru, ring Pahang, Dompu, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana ingsun amukti palapa"


Ertinya...


"Ia, Gajah Mada sebagai patih Amangkubumi tidak ingin melepaskan puasa, Gajah Mada berkata bahwa bila telah mengalahkan (menguasai) Nusantara, saya (baru akan) melepaskan puasa, bila telah mengalahkan Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, demikianlah saya (baru akan) melepaskan puasa"

Raja Hayam Wuruk menghantar wakil minta Singapura menyerah. Namun Sri Wikrama Wira tidak tunduk malah beri mesej provokasi mahu cukur kepala Raja Majapahit jika berani serang Singapura.

Lalu 180 kapal perang dan banyak kapal kecil menuju Singapura. Singapura menghimpun 400 kapal perang. Peperangan berlaku dekat pantai Singapura selama 3 hari. Tentera Jawa yang tidak berpengalaman berperang di lautan akhirnya kalah dan berundur.

Pada 1362, Sri Rana Wikrama menjadi Raja Melayu Singapura. Pada masa inilah popular dengan kisah Badang yang gagah perkasa menjadi kesukaan Raja. Hubungan dengan Kerajaan Islam Perlak buat aku akhirnya memeluk Islam setelah berkahwin dengan seorang wanita Islam dari Perlak.

Pada 1375, Sri Maharaja menjadi Raja Melayu Singapura. Sebelum itu Maharaja China Yuan telah diganti oleh Maharaja China Ming. Terputuslah hubungan dengan Kuasa besar China.

Ketika inilah todak melanggar Singapura. Ramai orang Singapura mati bertahankan betis. Lalu muncul anak kecil bernama Hang Nadim mencadangkan supaya bertahankan pokok-pokok pisang.

Todak itu muncul tiba-tiba kerana sumpahan setelah Raja membunuh Tun Jana Khatib seorang ulamak dari Pasai.

Budak ini sungguh bijak. Satu hari nanti budak ini akan menjadi seorang pemimpin yang berwawasan. Malangnya Pembesar-pembesar mempengaruhi Raja supaya bunuh budak ini bimbang budak ini boleh mempengaruhi rakyat mengguling Raja.

Akhirnya Hang Nadim dibunuh kejam dengan dibuang ke laut ketika itu baru berumur 7 tahun.

Pada 1389 aku pula menjadi Raja Melayu Singapura. Ketika aku memerintah, Bendahara aku bernama Sang Rajuna Tapa. Aku mempunyai wawasan mahu menjadikan pelabuhan Singapura terkenal kepada seluruh pedagang ke seluruh dunia.

Salah seorang gundik favourite aku adalah puteri kepada Bendahara Sang Rajuna Tapa. Aku dikhabarkan puteri Sang Rajuna Tapa itu bermukah dengan bekas kekasihnya. Apa lagi aku sangat marah...panas..panas..panas tercabar maruah aku sebagai Raja Melayu Singapura.

Lalu tanpa usul periksa aku menghukum sula dikhayalak ramai gundik aku itu bersama kekasihnya.

Ini buat Bendahara Sang Rajuna Tapa gempar dan bersedih. Seluruh rakyat Singapura bersyugul.

Tanpa aku sedari Bendahara Sang Rajuna Tapa telah berpakat sulit dengan Majapahit mahu menyerang Singapura.

Pada 1398, Majapahit menghantar 300 kapal perang dan beratus lagi kapal kecil serta tidak kurang 200,000 tentera menyerang Singapura.

Aku masih yakin Kota Singapura boleh bertahan. Mula-mula aku arah tentera Singapura bertahan di luar Kota. Selepas itu aku ubah strategi mengarah tentera Singapura bertahan di dalam kota.

Ternyata strategi aku itu betul. Walau serangan Majapahit dengan ramai tentera bertalu-talu namun Kota Singapura tetap gagah dan utuh. Aku mula percaya dan yakin dapat melemahkan tentera Majapahit dengan bertahan lama dalam Kota.

Sebulan lamanya aku dan tentera Singapura bertahan, makanan mula berkurangan. Aku mengarahkan Bendahara Sang Rajuna Tapa supaya mengedarkan beras dan ubi kepada tentera dan rakyat Singapura ambil dari setor Diraja.

Malang sekali bukan sahaja Bendahara Sang Rajuna Tapa menipu aku mengatakan barang makanan sudah kehabisan malah pintu Kota Singapura dibuka lalu musuh dari ramai tentera Majapahit masuk ke dalam kota dan pembunuhan dan penyembelihan beramai-ramai berlaku.

Darah mengalir bagaikan sungai....

Hancur luluh hati aku.

Aku tahu aku bersalah menjatuhkan hukuman sula kepada gundik kasayangan aku tanpa usul periksa yang buat Sang Rajuna Tapa berdendam kepada aku.

Tapi pengkhianatan Bendahara Sang Rajuna Tapa kepada aku, kepada Kerajaan Melayu Singapura itu lebih berdosa lebih besar kerana meruntuhkan sebuah kerajaan Islam yang aku mahu terapkan nilai-nilai ajaran Nabi Muhammad dan mengikut ajaran Islam berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Aku bercita-cita selain dari mengkaya dan memakmurkan Singapura, aku mahu mengembangkan agama Islam kerana lebih ramai lagi orang Melayu beragama Buddha dan Hindu serta Pagan di Kepulauan Melayu pada masa ketika itu.

Aku tahu aku sudah kalah....kerajaan Melayu Singapura hancur....aku dan pengikut-pengikut aku mesti melarikan diri ke utara supaya aku bina kembali kegemilangan kerajaan Melayu yang baru...


Dialog monolog diadaptasi dari Sulalatul Salatin, Bustan al-Sulatin, Suma Oriental, Chronicles dari Cina, Jawa dan India untuk diskusi politik kreatif.