Saturday, February 20, 2016

Cenat Cenut...




Bagaimana Majlis Daerah Jerantut Boleh Dinaiktaraf Majlis Perbandaran Jerantut?





Majlis Daerah Jerantut perlu dinaiktaraf sebagai Majlis Perbandaran Jerantut. Sebelum itu kena tahu apa itu PBT?

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lebih di kenali sebagai kerajaan tempatan adalah kerajaan peringkat ketiga dimana kerajaan peringkat pertama adalah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pula merupakan kerajaan peringkat kedua di dalam sistem pentadbiran negara.

Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) mewujudkan hanya dua jenis kerajaan tempatan iaitu untuk kawasan bandar (majlis perbandaran) dan desa (majlis daerah). 

Tetapi, Akta 171 itu membenarkan pembentukan kerajaan tempatan bertaraf bandar raya. Status ini dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan perkenan Majlis Raja-raja. 

Selain yang dinyatakan oleh Akta 171, beberapa badan khas telah ditubuhkan dengan peranan sebuah PBT. Badan-badan ini ditubuhkan samada melalui Akta Parlimen mahupun enakmen dan ordinan negeri. 

Hari ini, wujud empat jenis kerajaan tempatan di negara ini yang disusun mengikut hierarki seperti berikut:

  1. Bandar raya - dikenali sebagai Dewan Bandaraya atau Majlis Bandaraya
  2. Bandar - dikenali sebagai Majlis Perbandaran
  3. Luar bandar - dikenali sebagai Majlis Daerah
  4. Kawasan khas - dikenali sebagai Perbadanan atau Pihak Berkuasa Tempatan.

Di Malaysia, sesebuah bandar raya ditadbir oleh satu sistem kerajaan tempatan, sama ada majlis perbandaran atau pun majlis bandaraya. Kelayakan bagi kedua-dua badan kerajaan tempatan adalah seperti berikut:-

Majlis Perbandaran: Mempunyai lebih 100,000 penduduk serta mempunyai pendapatan setahun antara RM5 juta hingga RM20 juta

Majlis Bandaraya: Mempunyai lebih 500,000 penduduk serta mempunyai pendapatan setahun melebihi RM20 juta.

Majlis Daerah Jerantut ditubuhkan pada tahun 1982. Ini bererti status Jerantut adalah kawasan desa bertaraf luar bandar.

Padahal Jerantut pesat membangun sila klik di bawah:


Majlis Daerah Jerantut merangkumi kawasan seluas 120.09 km persegi iaitu hanya 1.59 peratus dari keluasan keseluruhan Daerah Jerantut. Keluasan keseluruhan adalah 7,563.46 km persegi. 

Daripada jumlah itu, 29.88 km persegi telah diwartakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) seksyen 127, seksyen 128 dan seksyen 163 sebagai kawasan operasi. 

Manakala selebihnya iaitu 90.21 km persegi telah diwartakan sebagai kawasan kawalan. 

Pihak Majlis Daerah Jerantut telah mengenakan cukai serta memberi perkhidmatan perbandaran di kawasan-kawasan operasi. Kawasan-kawasan yang selebihnya tidak diberi perkhidmatan perbandaran tetapi dikawal dari segi pembangunan.

Syarat untuk menaiktaraf Majlis Perbandaran ialah: 

Mempunyai lebih 100,000 penduduk serta mempunyai pendapatan setahun antara RM5 juta hingga RM20 juta.

Ketika ini Majlis Daerah Jerantut mempunyai penduduk hampir 100,000 penduduk serta mempunyai pendapatan tahunan lebih dari RM5 juta.

Majlis Daerah Jerantut boleh mempertingkatkan lagi hasil dengan memperluas dan membangunkan kawasan operasi kerana masih memiliki tanah yang luas dan strategik.

Sudah sampai masanya Majlis Daerah Jerantut dinaiktaraf Majlis Perbandaran Jerantut.

Wednesday, February 17, 2016

Legenda Kota Gelanggi Yang Menjadi Rebutan Ramai Raja-Raja Asia














Kota Gelanggi @ Kota Batu Hitam atau Klang Kio dalam bahasa Siam bererti perbendaharaan permata adalah sebuah bandar purba yang disebut di dalam Sulalatus Salatin / Sejarah Melayu.


Setelah berapa lamanya dijalan, datanglah kepada negeri Ganggayu.Shahadan dahulu kalanya negeri itu negeri besar, kotanya daripada batu hitam, datang sekarang lagi ada kotanya itu di hulu Sungai Johor. Ada pun asal namanya Klang Kio, iaitu bahasa Siam,ertinya perbendaharaan permata; oleh kita tiada tahu menyebut dia, jadi Ganggayu. Adapun nama rajanya Raja Chulan; adalah akan baginda itu raja besar, segala raja-raja di bawah angin dalam hukumnya.(W.G.Shellabear:1975:10)


Selama lebih 1,200 tahun Kota Gelanggi menjadi lagenda kota purba yang kaya dengan harta karun timbunan  emas dan permata menjadi rebutan ramai raja-raja Asia sejak dari zaman berzaman.

Kota Gelanggi dikatakan salah satu 'city state' merupakan antara bandar pentadbiran Empayar Srivijaya sejak tahun 775.

Kota Gelanggi dikatakan terletak di selatan Semenanjung Tanah Melayu dibawah Kerajaan Ligor satu Kingdom Melayu Siam di Segenting Kra. Pada masa itu Siam belum lagi didatangi oleh bangsa Thai dari Selatan China.

Srivijaya mengelarkan Kingdom Ligor ini sebagai Sri Dharmaraja.

Orang Melayu Siam panggil Ligor.

Orang India panggil Tambralinga.

Orang China panggil Tam-ma-ling atau Poling

Orang Melayu Islam panggil Siam

Orang Thai panggil Nakhon Sri Tammarat.

Pada akhir abad ke 12, Ligor ini bebas dari Srivijaya menjadi kerajaan Tambralinga.

Tambralinga meningkat kekuasaan dari abad ke 13 hingga awal abad ke 14. Pada masa ini Tambralinga telah menguasai seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Pada akhir abad ke 14, Tambralinga menjadi sebahagian dari Siam (Thai).

Pedagang Eropah mengelar Tambralinga ini sebagai Ligor sejak abad ke 16.

Ligor setelah lama memberontak dari Siam akhirnya menjadi negara Siam sepenuhnya pada penghujung abad ke 19.

Klang Kio atau Kota Gelanggi ini juga orang Melayu Islam panggil Gelanggui, Ganggayu, dan Linggui.

Rekod Jepun menyatakan Putera Mahkota Jepun, Putera Takaoka, Shinnyo Hosshinno (780-856) mati di Kota Gelanggi kerana diserang oleh harimau dalam perjalanan ke India.

Orang Jepun merujuk Kota Gelanggi sebagai Lo-Yue.

Pada tahun 1025, Raja Rajendra Cola dari Selatan India telah menyerang Kerajaan Gangga Negara (Beruas, Perak). Raja Rajendra Cola ini dalam Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang digelar Raja Suran kemudian menyerang Kota Gelanggi mengalahkan Raja Chulan.

Sejarah Melayu mengisahkan...

Setelah Raja Gangga Syah Johan melihat Raja Suran itu datang, maka Raja Gangga Syah Johan pun berdiri memegang panahnya; maka segera dipanahnya, kena gumba gajah Raja Suran, gajah itu jatuh terjerumus. Maka Raja Suran pun melompat serta menghunus pedangnya, diparangkan kepada Raja Gangga Syah Johan, maka kenalah leherya, putus kepalanya, terpelanting ke tanah. Maka Raja Gangga Syah Johan pun matilah. Setelah rakyat Gangga Negara melihat rajanya mati itu, maka sekaliannya pun lari; maka ada seorang saudara raja itu perempuan, Puteri Dara Segangga namanya; terlalu baik parasnya, maka diambil bagindalah akan isteri. Setelah negeri Gangga Negara sudah alah, maka Raja Suran pun berjalanlah dari sana.


Hatta berapa lamanya berjalan itu datanglah ke negeri Langgiu; dahulu negeri itu negeri besar, kotanya daripada batu hitam, sekarang lagi ada kota itu di hulu Sungai Johor. Adapun nama asal Langgiu itu dengan bahasa Siam ertinya Perbendaharaan Permata, maka adalah nama rajanya Chulan; akan baginda itu raja besar, segala raja-raja yang di bawah angin dalam hukumannya. Demi Raja Chulan mendengar Raja Suran datang itu, maka Raja Chulan pun menghimpunkan segala rakyat; dan segala raja-raja yang takluk kepada baginda, semuanya berkampunglah. Maka Raja Chulan pun berperanglah akan Raja Suran; maka rupa segala rakyat itu seperti lautan, rupa gajah dan kuda pun demikian juga, seperti pulau rupanya, dan tunggul panji-panji seperti hutan, dan segala senjata pun berlapis-lapis. Sekira-kira empat gorah bumi jauhnya berjalan, setelah datanglah pada suatu sungai, maka kelihatanlah rakyat Raja Suran seperti hutan rupanya.


Maka kata Siam, "pangkali" ertinya "sungai", maka dinamai orang sungai itu Sungai Pangkali. Maka bertemulah rakyat Siam dengan rakyat Keling, lalu berperanglah, tiada sangka bunyinya lagi; segala yang bergajah berjuangkan gajahnya, dan yang berkuda bergigitkan kudanya, dan yang berpanah berpanahanlah dianya, dan yang berlembing bertikamkan lembingnya, dan yang berpedang bertetakan pedangnya. Maka rupa segala senjata seperti hujan yang terlalu lebat, tidaklah lagi tarupak awan di langit, oleh kebanyakan kilat senjata itu; gegak gempitalah bunyi tempik sorak orang berperang itu, maka berbangkitlah lebu duli ke udara, kelam-kabut, siang menjadi malam seperti gerhana matahari. Maka segala rakyat antara kedua belah pihak itu pun jadi campur-baurlah, tiada berkenalan lagi waktu berperang itu. Mana yang mengamuk diamuk orang pula, ada yang menikam ditikam orang pula. Maka kedua pihak itu pun banyaklah mati dan lukanya, darah pun banyaklah tumpah mengalir ke bumi seperti air sebak. Maka lebu duli itu pun hilanglah, maka kelihatanlah orang berperang itu, beramuk-amukan terlalu ramai; sama-sama tiada mahu undur lagi. Maka Raja Chulan pun menampilkan gajahnya menempuh ke dalam rakyat Raja Suran yang tiada terpermanai banyaknya itu, barang dimana ditempuhnya bangkai bertimbun-timbun; maka segala rakyat Keling pun banyaklah matinya, lalu undur. Setelah dilihat oleh Raja Suran, maka baginda pun tampillah mengusir Raja Chulan itu. Maka adapun kenaikan Raja Suran, gajah tunggal lagi meta, delapan hasta tingginya; tetapi gajah Raja Chulan itu terlalu berani. Maka bertemulah kedua gajah itu, lalu berjuang, maka bunyi kedua gading gajah itu seperti bunyi petir yang tiada berputusan. Maka kedua gajah itu pun tiada beralahan; maka berdiri Raja Chulan di atas gajahnya menimang-nimang lembingnya, lalu ditikamkannya kepada Raja Suran, maka kenalah kebaluhan gajah itu, sejengkal menjunjung ke sebelah. Maka Raja Suran pun segera memanah Raja Chulan, kena dadanya terus ke belakang; maka jatuhlah ia dari atas gajahnya ke tanah, lalu mati.


Maka segala rakyat Raja Chulan melihat rajanya mati itu, maka sekaliannya pun pecah belahlah, lalu lari cerai-berai; maka diikuti oleh segala rakyat Keling mana yang dapat habislah dibunuhnya. Maka segala rakyat keling pun· masuklah ke dalam kota Langgiu itu, lalu merampas, tiada terkira banyaknya beroleh rampasan itu. Maka ada seorang anak Raja Chulan itu perempuan, Tuan Puteri Onang Kiu namanya; terlalu baik parasnya. Maka dipersembahkan orang kepada Raja Suran, maka oleh baginda diambillah akan isteri.


Dimana sebenarnya lokasi Kota Gelanggi ini?

Sejarah Melayu jelas mengatakan lokasi Kota Gelanggi ini di Hulu Sungai Johor.

Tapi beberapa ahli sejarah seperti Sweettenham (1885), Linehan (1936) dan Quartrich-Wales (1940) percaya lokasi Kota Gelanggi di Jerantut Pahang.

Manakala Winstedt (1932) dan Gardner (1932) memilih Hulu Sungai Johor.

Kota Gelanggi juga masih menjadi lokasi kajian sejarah dan arkeologi yang tiada kesudahannya. Imej yang diperolehi Malaysian Centre For Remote Sensing (MACRES) daripada satelit membuktikan kewujudan struktur bangunan di Kota Gelanggi. 

R.C Jameson dari University of Cambridge, Britain mengatakan mungkin ilustrasi Dipamkara Buddha pada manuskrip Sanskrit di situ mungkin menunjukkan suatu lokasi di Kota Gelanggi.

Abdul Rahman Ismail (1998) memilih Kota Gelanggi di Jerantut Pahang.

Abdul Halim Nasir (1990), Nik Hassan Shuhairi (2002) dan Arkeologis Raimy Che Ross (2004) percaya Kota Gelanggi ini dimaksudkan sebagai ‘Perbendaharaan Permata’ yang dicari-cari terletak di Hulu Sungai Johor.

Dzulkarnain Mat (1998) melontar teori menarik:

Johor telah menguasai Pahang dalam bulan September 1612, lebih kurang setahun sebelum Sejarah Melayu dihasilkan. Orang-orang Johor bukan sahaja membawa balik pampasan dan tawanan perang, malah cerita-cerita tentang Pahang, termasuk legenda Kota Gelanggi. Kemungkinan legenda ini mengilhamkan penulis Sejarah Melayu untuk mengaitkan Ganggayu dan Raja Chulan dengan keajaiban Gelanggi. Justeru itu, Klang Kio dinyatakan sebagai terletak di hulu Sungai Johor untuk menggambarkan kehebatan jajahan takluk Johor.

WZWH lebih berminat dengan teori seorang blogger sahabat Mo Razzi Untold History...

So.. what ingenious way Tun Sri Lanang buat?? 

Rahsianya cuma ditulis di 3 ayat ni :

"...... di hulu Sungai Johor"

Macam biase lah.. we go back to map:







































Maka.. berbodong-bondong lah manusia menjelajah "hulu Sungai Johor".. tapi tak jumpe ape-ape walaupun selepas 1,300 tahun.. 

Maka berjaya lah penipuan Tun Sri Lanang.. yang pada asalnye ingin menipu penakluk Acheh tentang kedudukan sebenar Perbendaharaan Permata itu bagi mengelakkan dicuri.. dengan korang-korang sekali kene tipu. Hahahaa

Sebenarnye.. Tun Sri Lanang tak tipu.. dia berpencak melalui kata-kata.. 

Ko bace balik ayat ni sekali lagi :

".... di Hulu Sungai Johor"

Now.. ko decipher it into :

1. Hulu ; arah ke daratan yang paling dalam.. farthest inland
2. Sungai ; Sungai lah
3. Johor ; Negeri

FINDING : Di bahagian paling hujung / hulu (1) + Sungai (2) + di Negeri Johor (3)

Now.. go back to Map.. :



























Upper Sedeli merupakan Territory of Pahang until 1861 sebelum Tun Mutahir Bendahara Pahang meng'hadiah'kan daerah Sedeli + Mersing + Endau kepada Maharaja Abu Bakar menantu kesayangan.


While, lower Sedeli merupakan Tanah asal Negeri Johor.

SUNGAI SEDELI pulak.. merupakan Sungai paling "Hulu" dalam negeri Johor.. and Gunung Panti merupakan the farthest inland yang Sg. Sedeli dapat mengalir.. 

FURTHERMORE.. 

Dikawasan INI JUGAK LAH ADE SUNGAI YANG BERNAMA 'SELANGGI' = "GELANGGI"??






































Ada dua pintu gerbang yang seperti foto di atas untuk memasuki Kota Gelangggi @ Kota Batu Hitam di Hulu Sungai Johor.


Apa yang pasti Wan Ahmad tidak bersetuju dengan keputusan Bendahara Tun Mutahir pada 1861 mengkurnia Sedeli, Endau dan Mersing kepada Maharaja Abu Bakar.

Maka marahlah Wan Ahmad yang baru menang Perang Saudara Pahang menjadi Bendahara Pahang yang pertama berkata," aku perang macam nak mampus kau senang-senang ambil negeri aku!!!". Kalau ikut hati Bendahara Wan Ahmad mahu saja berperang dengan Johor.

Lagi sekali British masuk campur memujuk Bendahara Wan Ahmad apa lagi Maharaja Abu Bakar untung senalo dapat Endau dan Mersing. Walaubagaimanapun Pulau Tioman diserahkan oleh Johor kepada Pahang.

Kemudian untuk settle hubungan antara Johor dan Pahang maka berlaku perkahwinan antara anak Raja Johor dengan anak Raja Pahang. Selesai...tak mahu gaduh lagi.

Apa yang pasti setelah Maharaja Abu Bakar mendapat Sedeli, Endau dan Mersing dari Pahang, kehidupan Maharaja Abu Bakar bertambah senang lenang dan kaya raya hingga menjadi Sultan Abu Bakar Johor.

Setakat mengembangkan ekonomi perladangan menanam gambir, lada hitam dan menjual getah perca serta hasil sewa tanah-tanah di Singapura belum tentu boleh kaya raya hingga terkenal ke luar negara.

Namun Bendahara Wan Ahmad tidak pernah kenal putus asa.

Seorang pemerintah besar seperti Bendahara Wan Ahmad sendiri amat tertarik dengan legenda gua Kota Gelanggi yang kononnya tempat tinggal seorang puteri, hinggakan beliau pernah menghantar orang-orangnya mencari puteri itu pada tahun 1872.

Tok Gajah dan beratus-ratus pengikut telah dititah oleh Bendahara Wan Ahmad meninjau dan memeriksa Kota Gelanggi.

Dalam tahun 1882, Bendahara Wan Ahmad telah berangkat melawat ke merata tempat dalam negeri Pahang. Dalam lawatan inilah Bendahara telah melawat sebuah gua yang ajaib lagi masyhur bernama Kota Gelanggi, yang terletak tidak berapa jauh dari Pulau Tawar, Jerantut.

Tapi tidak ada harta karun, emas dan perbendaharaan permata dijumpai. Barangkali peralatan tradisional tidak sesuai memerlukan peralatan moden yang lebih canggih dan sophistikated.

Jika benar segala legenda harta karun, emas dan perbendaharaan permata yang lokasi sebenarnya berada di Hulu Sungai Johor.

Bendahara Wan Ahmad yang akhirnya menjadi Sultan Ahmad pertama Negeri Pahang dan Pemerintah Jajahan takluknya tidak perlu bimbang, risau dan kecewa.

Pahang masih lagi punya sebuah kota purba yang lebih kaya  dengan harta karun, emas dan permata di Tasik Chini tenggelam ke dasar lautnya oleh kerana berlaku pecah empangan mega bagi tujuan aktiviti perlombongan purba sila klik sini. Ini ialah kisah Kota Melayu yang hilang di bumi Pahang.

Friday, February 12, 2016

Fenomena Sekolah Kurang Murid Di Ulu Tembeling Apa Penyelesaian?



Aerial view tipikal sebuah sekolah rendah di Ulu Tembeling. Background bukit bukau yang menghijau dengan hutan yang kaya dengan flora dan fauna, udara segar yang membekalkan oksigen gred A adalah persekitaran yang kondusif bagi melahirkan murid-murid yang kreatif, inovatif dan cemerlang.

Kerajaan menyediakan infrastruktur pendidikan yang terbaik. kalau diperhatikan bangunan sekolah rendah ini seperti kolej layaknya dengan kawasan sekolah dan padang yang luas. Foto di atas adalah SK Gusai.

Di Ulu Tembeling terdapat 5 sekolah rendah, tiada sekolah menengah. Sekolah menengah yang terdekat di Kuala Tahan. Fenomena yang melanda sekolah rendah di Ulu Tembeling ialah semua sekolah ini berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM).

KPM mendefinasikan SKM ialah sekolah yang enrolmennya kurang daripada 150 murid. Fenomena ini berlaku biasanya di pedalaman, luar bandar dan tempat yang layu aktiviti industrinya.

Bolehlah dikatakan SKM ialah indikator petunjuk bahawa sesuatu tempat itu menurun pertumbuhan ekonomi atau ekonomi sudah mahu layu dan mati.

Sehingga tahun 2016, terdapat 2,260 (30%) sekolah rendah yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid, iaitu sekolah yang enrolmennya kurang daripada 150 orang. Hampir 90 peratus Sekolah Kurang Murid ini berada dalam keadaan daif dan menghadapi masalah kekurangan peruntukan, kemudahan dan guru terlatih.





Enrolment SK Gusai Ulu Tembeling pada 2016 adalah seramai 15 murid yang boleh dipecahkan seperti berikut:

Tahun 1:1
Tahun 2:4
Tahun 3:1
Tahun 4:2
Tahun 5:2
Tahun 6:5
Total: 15 orang.

Bilangan murid hampir sama ramai dengan guru yang berjumlah 13 orang!

Di seluruh daerah Jerantut bagi enrolmen 2016 terdapat 11,006 murid dan 1,164 bilangan guru.

Boleh dikatakan lagi 4 sekolah rendah SK Kg Bantal UT, SK Mat Daling, SK Kuala Sat dan SK Pagi adalah berstatus SKM walau lebih ramai lagi dari SK Gusai.

Sudah tentu fenomena ini begitu membimbangkan WZWH. Posting kali ini WZWH mahu mengutarakan isu ini dan apa penyelesaiannya?

  • Norma perjawatan sedia ada tidak bersesuaian dengan keperluan Sekolah Kurang Murid seperti ketiadaan perjawatan guru pemulihan. 
  • Penempatan guru di Sekolah Kurang Murid sukar dilakukan kerana kebanyakannya berada jauh dipedalaman. 
  • Mengamalkan pengajaran kelas bercantum.

STRATEGI PELAKSANAAN SKM 

Membangunkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar menyediakan:

  • Bekalan elektrik 24 jam ke sekolah pedalaman.
  • Merintis penggunaan solar hybrid.
  • Merintis penggunaan empangan mini.
  • Menyediakan bekalan air ke sekolah.
  • Menyediakan kemudahan internet.
  • Menambah baik Sekolah Kurang Murid.
  • Menilai pelaksanaan Sekolah Pusat bagi tujuan peluasan. 
  • Mewujudkan norma baru untuk guru di Sekolah Kurang Murid.

Cara untuk mengatasi kekurangan SKM dalam aspek-aspek antara lain 

  • Sumber manusia. 
  • Kemudahan asas.
  • Buku.
  • Sumber rujukan. 

Empat perkara utama yang menjadi asas kepada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah:

  • Perkongsian dalam aspek kemudahan fizikal.
  • Sumber manusia. 
  • bahan dan peralatan. 
  • dan bahan rujukan.

Perkongsian yang terstruktur membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran lebih sempurna.

Sumber-sumber sesebuah organisasi seperti sumber kewangan, peralatan komputer dan kemudahan-kemudahan lain mempunyai pertalian yang rapat dalam menentukan standard dan pencapaian sesebuah sekolah dalam akademik mahupun kokurikulum .

Namun sekolah masih mempunyai kemudahan seperti kemudahan komputer, alat bantu mengajar dan perpustakaan sekolah bagi membantu para murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

Salah satu sifat penting yang perlu ada pada seseorang guru ialah menimbulkan minat pelajar terhadap pengajarannya. Guru sepatutnya dapat membimbing untuk menggerakkan pelajarnya untuk belajar, membantu pelajar membina sikap yang positif, memperbaiki teknik mengajar dan memperbaiki diri terhadap mutu pengajaran mereka.

Akhir sekali apa penyelesaian fenomena Sekolah Kurang Murid di Ulu Tembeling?

Bagaimana mahu menjadikan Sekolah Kurang Murid kepada Sekolah Ramai Murid?

Pembinaan infrastruktur, berbagai kemudahan, sumber-sumber ekonomi perlu bagi menarik ramai orang Ulu Tembeling kembali balik ke kampung.

Jika ekonomi dan sosial Ulu Tembeling lebih mundur dibimbangi semua sekolah rendah ini akan ditutup kerana murid makin berkurangan.

Walaupun 6 jambatan diluluskan dalam pakej Projek Jalan Ulu Tembeling Fasa 2 bernilai RM280 juta namun untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan sosial Ulu Tembeling beberapa jambatan "inter kampung' perlu dibina.

WZWH nampak 3 jambatan perlu dibina menghubungi beberapa kampung tradisional Ulu Tembeling seperti Kampung Bantal, Kampung Gusai, dan Kampung Bukit Mat Daling.

Tambahan pembinaan 3 jambatan dan jalan ke Kg Bukit Mat Daling memerlukan peruntukan RM151 juta.

Transformasi penyusunan semula kampung-kampung tradisional Ulu Tembeling bukan saja melibatkan pembinaan infrastruktur, kemudahan public amenities, perumahan tapi juga punca ekonomi.

Perladangan getah dan kelapa sawit dari kumpulan Felda dan Yayasan Pahang Plantation adalah melibatkan hampir 50,000 ekar mampu menyediakan keperluan ekonomi kepada penduduk Ulu Tembeling.

Selain pertumbuhan ekonomi adalah penting juga perkembangan sosial yang diharap generasi orang muda Ulu Tembeling mempunyai pekerjaan di kampung. 

Penduduk perlu ditambah di Ulu Tembeling. Kemunduran dan peluang ekonomi yang kecil membuatkan ramai penduduk berhijrah ke tempat lain.

Tanah seluas 26,000 ekar telah diambil bagi tanaman getah yang melibatkan 5 kampung utama di Ulu Tembeling termasuk Kg Mat Daling.

Sebahagian dari tanah 26,000 ekar di Ulu Tembeling yang diambil oleh kerajaan negeri Pahang bagi tujuan agensi seperti Felcra dan Anak Syarikat Yayasan Pahang bagi tujuan penanaman getah.

Ladang getah Felcra dan Anak Syarikat Yayasan Pahang itu boleh memberi kebaikan kepada kepentingan penduduk Ulu Tembeling. Selain dari saham Felcra kepada peserta yang eksklusif hanya kepada penduduk Ulu Tembeling, ladang getah Anak Syarikat Yayasan Pahang telah dijanjikan oleh MB Pahang untuk diberi 30% keuntungan kembali kepada penduduk Ulu Tembeling.

Peluang pekerjaan, impak ekonomi, pembinaan infrastruktur boleh memberi kemudahan.

Ditambah lagi ladang gaharu seluas 12,000 ekar lagi boleh membantu dan menyenangkan ekonomi penduduk Ulu Tembeling.

Berkenaan dengan Projek Jalanraya Ulu Tembeling Fasa 1 dari Kg Tuit ke Kg Pagi telah dsiapkan pada hujung Ogos 2015.

Bagi Pakej 2 pula, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM280 juta untuk pelaksanaannya. Skop kerja bagi Pakej 2 bermula dari penghujung Pakej 1 di Kg Pagi sehingga ke persimpangan Kg Bantal Seberang sejauh 32km. Pakej ini juga melibatkan penambahbaikan 4 jambatan sedia ada.

Pakej ini juga melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan dalaman Kg Pagi sepanjang 5km yang mana bahagian ini telah dilaksanakan ke tahap R2 didalam Pakej 1. Bagi membolehkan laluan ini menjadi laluan utama, KKLW telah dipersetuju bahawa jalan dalaman ini dinaiktaraf ke R3 dan menjadikannya sebahagian daripada laluan utama.

Pakej 2 ini telah ditawar kepada Kontraktor yang sama dengan Pakej 1 dengan kos RM280 juta dengan masa pembinaan 36 bulan. Projek ini telah pun bermula pada 16 May 2014. Oleh sebab proses kelulusan kerja pembalakan memakan masa setahun maka projek ini dijangka siap pada 16 May 2018.

Buat masa ini kerja-kerja pembersihan tapak sedang rancak dijalankan dan kerja-kerja tanah sudah bermula dan keseluruhan kemajuan semasa disekitar 20%.

Bagi Pakej 3 pula, ia merupakan penyudah kepada keseluruhan projek. Pakej ini ditangguhkan pelaksanaannya akibat daripada kekangan peruntukan tambahan yang diperlukan sebanyak RM151 juta. 

Pakej ini melibatkan beberapa jalan antaranya:

  • Dari Kg Bantal Seberang ke Kg Gusai 5km
  • Kg Pagi By Pass 7km
  • Jalan kampung dari Kg Bantal Seberang ke Kg Mat Daling 13km
  • Jalan Kg Kuala Sat 5km
  • Sebuah jambatan di Sg Tembeling menghubung Kg Bantal dengan Kg Mat Daling sepanjang 220m
  • Sebuah jambatan di Sg Sepia di Kg Gusai sepanjang 85m
  • Membina 6 jambatan pendek merentasi Sg Semena, Sg Rek, Sg Kembir, Sg Semena-Main, Sg Bubut, dan Sg Betung 

Seterusnya memang wajar Projek Jalanraya Fasa 3 terus disambung dari Kg Mat Daling ke Kg Pasir Raja Terengganu.

WZWH percaya Ulu Tembeling sebagai hub ladang gaharu dan Kg Pasir Raja Terengganu sebagai hub ladang herba yang berjumlah berbilion ringgit akan memantaskan dan mempercepatkan lagi projek jalanraya ini dalam perlaksanaan ECER.

Tanah-tanah di Ulu Tembeling akan menjadi lebih mahal dan lebih strategik nanti bila rangkaian jalanraya ini siap sampai ke Terengganu. Sistem jalanraya ini yang lebih jimat masa dan lebih dekat akan membuatkan ramai orang akan menggunakan jalanraya ini dan pertumbuhan ekonomi pesat membangun.

Wednesday, February 10, 2016

Kisah Putra Putri Pahang Yang Ditawan Berjaya Menjadi Sultan Dan Permaisuri Acheh



Pada tahun 1613 dan tahun 1615 Acheh berhasil menakluk Johor dan Pahang. 23,000 rakyat Johor dan 10,000 rakyat Pahang termasuk Keluarga Diraja Johor dan Pahang dibawa ke Acheh.

Acheh menyerang Johor dan Pahang dengan alasan mahu "reeducation" Sultan Johor dan Sultan Pahang supaya jangan deal dengan Portugis.

Selepas kejatuhan Melaka, Acheh mahu mengambil tempat Melaka dan memerangi Portugis.

Sultan Johor dan Sultan Pahang berpendirian adalah bebas untuk berurusan dengan siapa saja negara asing demi urusan ekonomi.

Acheh oleh kerana ekonomi berkembang kerana ramai pedagang Islam bertumpu ke Acheh menjadikan Acheh kaya dan kuat.

Oleh itu Acheh menyerang bukan sahaja Johor dan Pahang malah Perak dan Kedah pun diserang selain pantai timur Sumatera.

Di pihak Pahang selain Sultan Ahmad II, dua orang putera dan puteri Sultan Ahmad II telah dibawa ke Acheh. Putera itu bernama Raja Mughal@Raja Husein dan Raja Putri Kamaliah.

Tidak pasti dimana Putri Kamaliah diambil Acheh samada dari Pahang atau dari Johor. WZWH percaya pada tahun 1613 Putri Kamaliah diambil dari Johor kerana pada masa itu Putri Kamaliah adalah isteri kepada Raja Abdullah ( Sultan Abdullah Maayat Shah).

Di pihak Johor pula ketika Perang Batu Sawar pada tahun 1613 berlaku, beliau dibawa ke Acheh sebagai tawanan bersama-sama Sultan Alauddin Riayat Shah III, Sultan Johor-Riau, adinda Sultan, Raja Abdullah (Sultan Abdullah Maayat Shah) dan kerabat diraja Johor serta 23000 rakyat Johor. 

Mereka yang ditawan itu dilayan baik oleh sultan Acheh malah Raja Abdullah sendiri dikahwinkan dengan adinda sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang bernama Ratna Jauhari.

Pada akhir tahun 1613, Raja Abdullah dihantar pulang bersama-sama dengan 2000 tentera Acheh dan diberikan sejumlah wang oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam untuk membina semula kota Batu Sawar. Pada tahun 1614, Sultan Alauddin dibenarkan pulang setelah baginda berjanji untuk membantu Acheh melawan Portugis.

Namun sebahagian besar rakyat Johor memilih untuk menetap di Acheh dan ditempatkan oleh sultan Acheh di jajahan bernama Samalanga termasuk Tun Seri Lanang yang dilantik sebagai ''Uleebalang'' atau gabenor Samalanga dan diberi gelaran ''' "Orang Kaya Dato' Bendahara Seri Paduka Tun Seberang" ''' oleh Acheh dan di Johor, beliau digelar '''Dato' yang ke Acheh''' .

Sebagaimana tradisi pada masa itu, kerajaan yang kalah perang harus menyerahkan rampasan perang, ufti, dan pajak tahunan. Termasuk juga menyerahkan putri kerajaan untuk diperisteri sebagai tanda takluk.

Putri tersebut biasanya diperisteri oleh raja guna mempererat hubungan dengan kerajaan yang ditaklukkan. Sehingga kerajaan pemenang menjadi semakin besar dan semakin kuat pengaruhnya. 

Akan halnya putri dari Pahang itu terkenal dengan parasnya yang rupawan serta budi bahasanya yang halus. Hal itu lantas membuat pernikahan tidak lagi atas dasar alasan politik, kerana Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam benar-benar dibuat jatuh hati kepada sang putri Pahang. Sang Sultan pun mempersuntingnya sebagai permaisuri.


Putroe Phang by mufti89


Masalahnya Putri Kamaliah telah bersuami. Bagaimana Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam boleh beristerikan Putri Kamaliah?

Sudah tentu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam boleh buat apa sahaja sebab baginda berkuasa dan Acheh memang merupakan kerajaan Islam no 5 terkuat dunia.

Tetapi kenapa mahu ambil isteri seorang Raja? Alasan politik mahu mempereratkan hubungan Acheh dengan Johor dan Pahang adalah tidak masuk akal!

Atau Raja Abdullah mengadap Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam offer isteri kerana tahu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memang dalam diam berminat dan jatuh cinta kepada Putri Kamaliah.

Dengan berbuat begitu Raja Abdullah boleh cepat dibebaskan balik ke Johor.

Maka Raja Abdullah melepaskan Raja Kamaliah dan selepas habis edah Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam lalu memperisterikan Putri Kamaliah.

Dan Raja Abdullah sendiri dikahwinkan dengan adinda Sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang bernama Ratna Jauhari.

Sejarah mengatakan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam oleh kerana melihat Putri Kamaliah selalu sedih kononnya teringat ke kampung halaman di Pahang telah membina Taman Putroe Phang dengan Gunongan supaya Putri Kamaliah terubat melihat miniatur gunung ganang, Taman Ghairah, Pintu Gerbang Khop, sungai buatan, air pancut dan komplek taman sila klik sini dan klik sini.

Tidaklah diketahui adakah sebab rindu kepada negari asal Pahang atau sebab mengenang diri yang telah menjadi 'game barter' Raja Abdullah dan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.

Maka jadilah Putri Kamaliah Permaisuri Acheh.

Pada abad ke-17 Kesultanan Acheh di bawah pimpinan Sultan Iskandar Muda mengalami masa keemasan dan termasuk salah satu kekuatan adi daya di dunia khususnya di kawasan Selat Melaka.

Di balik kesuksesan seorang laki-laki selalu ada orang perempuan di balik layar. Bagi Sultan Iskandar Muda, perempuan di balik layar itu adalah permaisurinya yang bernama Puteri Pahang yang dalam bahasa Acheh lebih dikenal dengan sebutan Putroe Phang. 

Puteri Kamaliah masyhur karena cerdas dan bijaksana dalam memutuskan persoalan yang dihadapi masyarakat Acheh.

Sejak itu, Puteri Kamaliah yang lebih dikenal oleh masyarakat Acheh sebagai Putroe Phang itu menjadi rujukan dalam penyelesaian masalah hukum.

Putroe Phang sangat berpengaruh dalam pemerintahan dan penyusunan undang-undang kerajaan sampai-sampai lahir semboyan:


Adat bak Poeu Meureuhom
Hukum bak Syiah Kuala
Qanun bak Putroe Phang
Reusam bak Bentara

Artinya:
Adat dari Marhum Mahkota Alam
Hukum dan Syiah Kuala
Qanun dan Puteri Pahang
Resam dan Bentara (‘uleebalang)

Adat meukoh reubung
Hukum Meukoh purih
Adatjeutabarangho takong
Hukum hanjuet barangho takih

Artinya:
Adat dapat dipotong seperti memotong rebung
Hukum seperti memotong sagak (hujung buluh keras)
Hukum tak dapat diatur dengan semena-mena
(melainkan wajib didasarkan Quran dan Hadis)


Berbalik kepada Raja Mughal @ Raja Husein diperlakukan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sebagai anak angkat, menantu dan pewaris takhta kerajaan Acheh sebagai Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Syah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah II adalah Sultan Aceh ke-13.

Dibawa ke Acheh, beliau berkahwin dengan puteri Sultan Iskandar Muda, yang kemudian bernama Sri Ratu Safiatuddin Taj ul-Alam. Selepas Sultan Iskandar Muda mangkat pada 1637, Raja Husein menggantikan Sultan Iskandar Muda sebagai Sultan Kerajaan Islam Ahceh Darussalam dengan nama "Iskandar Tsani Alauddin Mughayat Syah". "Tsani" dalam bahasa Arab bererti "dua".

Seperti halnya Sultan Iskandar Muda, Sultan Iskandar Tsani menggunakan istana beliau sebagai pusat pendidikan Islam. Beliau merupakan pelindung dari Syeikh Nuruddin al-Raniri, seorang cendekiawan Islam dari Gujarat yang datang ke Acheh pada tahun 1637.

Sultan Iskandar Tsani tidak dapat melanjutkan kejayaan ketenteraan ayah mertuanya. Sebenarnya baginda merupakan penguasa yang kuat, sanggup menekan orang kaya dan berusaha untuk mensentralisasikan kekuasaan seperti yang dilakukan oleh Sultan Iskandar Muda.

Namun, kerana masa pemerintahannya terlalu pendek untuk membuat perubahan besar. Beliau mangkat pada tahun 1641. Selepasnya, isteri beliau Safiatuddin, diangkat menjadi Ratu kerajaan Acheh Darussalam. Selepas kemangkatan beliau, kerajaan Acheh mula hilang pengaruh dan menjadi lemah.

Tuesday, February 9, 2016

Tun Sri Lanang Menulis Sulalatus Salatin Menjawab Sumpah Palapa Gajah Mada Dan Imperialis Barat



Di daerah Samalanga, Acheh terdapat makam Tun Sri Lanang, seorang Bendahara Johor yang amat terkenal kerana menulis buku "Sulalatus Salatin", juga dikenali sebagai "Sejarah Melayu".




Beliau adalah Bendahara Johor awal abad ke 17 tetapi ditawan lalu dibawa ke Aceh bersama sejumlah bangsawan juga kerabat diraja malah Sultan Johor sendiri oleh Sultan Iskandar Muda yang memerintah Acheh 1607-1636.




Tun Sri Lanang kemudian diangkat untuk menjadi Uleebalang (Raja) yang memerintah daerah (dahulu negeri) Samalanga lalu dipanggil Ampon Sheikh Samalanga.




Ia adalah jawatan turun-temurun yang diwarisi keturunan beliau di sini lalu makam mereka turut terdapat berdekatan makam Tun Sri Lanang.




Seorang cucu perempuan Tun Sri Lanang pula berkahwin dengan Sayyid Zainal Abidin Al-Idrus dari Acheh. Cucu Sayyid ini menjadi Bendahara Johor bernama Tun Habib Abdul Majid yang mana anak cucu Bendahara ini kemudian menjadi Sultan-sultan Terengganu, Johor dan Pahang serta Selangor hingga kini.


Y.M. Sayyid Zainal-Abidin al-Idrus, sometime Temenggong Paduka Tuan of Muar, son of a Sayyid from the Al-Idrus clan*, from Kampong Pasir, Aceh, who originated from the Hadramaut in South Arabia. m. To’ Mengkadu, daughter of Y.M. Sri Paduka Tun Jenal bin Tun Mamat Sri Lanang, Dato’ Bendahara Paduka Raja, of the Bendahara family of Aceh. He had issue, a son:
  • 1) Y.M. Sri Paduka Tun Muhammad ‘Ali [Mat Ali] bin Temenggong Paduka Tuan Sayyid Zain al-’Abidin al-Idrus, Dato’ Bendahara Paduka Maharaja, formerly Dato’ Maharaja Sri’ di-Raja. m. a daughter of Makmun, Orang Kaya Darma, of Muar. He had issue, three sons and a daughter:

a) Y.M. Sri Paduka Tun Muhammad bin Tun Mat ‘Ali, Dato’ Bendahara Sri Maharaja 1673-1677. He d. a fugitive in Trengganu, 1688. His son include i) Y.M. Sri Paduka Tun ‘Abdu’l Jamil bin Tun Muhammad, Dato’ Laksamana Paduka Raja.


b) Y.M. Tun Sayyid Ja’afar bin Tun Mat ‘Ali, Dato’ Pasir’ di-Raja, of Muar from 1699. He d. at Segamat, Johore, 1707.


c) Y.M. Sri Paduka Tun Pikrama Tun Habib ‘Abdu’l Majid bin Tun Mat ‘Ali, Dato’ Bendahara SriMaharaja (cre. 1677). Regent of Johor 1688-1697. m. Y.M. Tun Rambiah, daughter of the Chief Minister of Aceh. He d. at Padang Saujana, Johor, 27th July 1697 (bur. there at Makam Bendahara)


a) Puteri Bakal binti Maharaja Sri ‘di-Raja Mat ‘Ali mother of H.H. Paduka Sri Sultan Mahmud Shah II ibni al-Marhum Sultan Ibrahim Shah, Sultan of Johor and Pahang (k. at Kota Tinggi, 3rd September 1699), son of H.H. Paduka Sri Sultan Ibrahim Shah, Sultan of Johor and Pahang.


Tun Sri Lanang menulis Sulalatus Salatin @ Sejarah Melayu 400 tahun dulu bukanlah omongan kosong. Buku ini masih kekal relevan kepada survival politik Melayu dan negara bangsa.

Walau Profesor Sejarah ada yang mengecilkan hasil kerja Tun Sri Lanang namun WZWH berpendapat kita yang tahu dan mewarisi budaya Tun Sri Lanang perlu mengatakan ini hasil kerja pakar yang profesional dalam bidang politik  yang kita boleh banggakan.

Seorang Bendahara yang amat terkenal, iaitu Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad anak kepada Tun Ahmad juga dikenali sebagai Tun Sri Lanang, lahir pada tahun 1565 Masihi di Seluyut, Johor. Beliau menjadi Bendahara kepada dua orang sultan bagi Kerajaan Johor Lama, iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1570-1597) dan Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1615M).

Sebelum peristiwa Acheh menyerang Johor dalam Perang Batu Sawar pada tahun 1613 Masihi, Tun Sri Lanang telah dititahkan oleh Raja Abdullah, adinda Sultan Alauddin untuk menyusun kitab Sulatus Salatin atau Sejarah Melayu pada 13 Mei 1612 Masihi. Tun Sri Lanang ialah seorang genius Melayu dan berbakat besar menghasilkan sebuah karya agung sehebat menulis Sulalatus Salatin.

Pada ketika 500 tahun dulu 1511 Melaka jatuh ke tangan Portugis dan disambung oleh Belanda pada 1641 dan diserang oleh Acheh apa harapan Malay Kingdom-Johor mahu membangkitkan kembali semangat juang dan motivasi hidup rakyatnya?

Ketika berlakunya Perang Batu Sawar pada tahun 1613, Tun Seri Lanang dibawa ke Acheh sebagai tawanan bersama-sama Sultan Alauddin Riayat Shah III, Sultan Johor-Riau, adinda Sultan, Raja Abdullah (Sultan Abdullah Maayah Shah) dan kerabat diraja Johor serta 23,000 orang rakyat Johor. 

Jawatan Bendahara Johor disambung oleh waris keturunannya.  Keturunan Tun Sri Lanang yang terkemuka ialah Bendahara Tun Habib Abdul Majid, Raja Temenggung Muar dan Laksamana Paduka Raja Tun Abdul Jamil.

Kedah, Perak, Pahang dan Johor mudah diratah oleh musuh penakluk. Negara hancur porak peranda huru hara ekonomi sosial dan politik. Negara ditawan, rakyat dikerah migrasi, keluarga raja dibawa pulang sebagai hasil peperangan.

Apa yang tinggal harapan untuk rakyat? Rakyat perlukan hero. Rakyat perlukan semangat. Rakyat perlukan pemimpin.

Sulalatus Salatin dalam bahasa Arab ialah "pertuturan segala Raja-Raja" ialah Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. 

650 tahun dulu Gajah Mada, Amangkubhumi (Perdana Menteri) Empayar Majapahit di zaman kegemilangan semasa Raja Hayam Wuruk memerintah telah bersumpah Palapa yang berisi bahwa ia akan menikmati palapa atau rempah-rempah (yang diertikan kenikmatan duniawi) bila telah berhasil menaklukkan Nusantara.


“Sira Gajah Mada pepatih amungkubumi tan ayun amukti palapa, sira Gajah Mada: Lamun huwus kalah nusantara ingsun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seram, Tañjungpura, ring Haru, ring Pahang, Dompu, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana ingsun amukti palapa”
bila dialih-bahasakan mempunyai erti :
“Beliau, Gajah Mada sebagai patih Amangkubumi tidak ingin melepaskan puasa, Gajah Mada berkata bahwa bila telah mengalahkan (menguasai) Nusantara, saya (baru akan) melepaskan puasa, bila telah mengalahkan Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, demikianlah saya (baru akan) melepaskan puasa”


Gajah Mada memang hampir berhasil menaklukkan Nusantara. Dimulai dengan penaklukan ke daerah Swarnnabhumi (Sumatera) tahun 1339, pulau Bintan, Temasik (sekarang Singapura), Semenanjung Malaya, kemudian pada tahun 1343 menaklukan Bedahulu (di Bali) dan kemudian penaklukan Lombok, dan sejumlah negeri di Kalimantan.


DS Najib pun patut ikut Gajah Mada bersumpah Palapa:


"Sira Najib Tun Razak pepatih amungkubumi tan ayun amukti palapa, sira Najib Tun Razak: Lamun huwus kalah Pakatan Harapan ingsun amukti palapa, lamun kalah ring Kelantan, ring Pulau Pinang, ring Selangor, ring Wilayah KL, ring DAP, ring PKR, ring PAS, samana ingsun amukti palapa".



Tun Sri Lanang boleh beri inspirasi kepada cucu-cicitnya sedangkan sebagian keturunannya kembali ke Johor dan menjadi bendahara (Perdana Menteri) di sana seperti Tun Abdul Majid yang menjadi Bendahara Johor, Pahang Riau, Lingga (1688- 1697). Keturunan Tun Abdul Majid inilah menjadi zuriat Sultan Trengganu, Pahang, Johor dan Negeri Selangor hingga sekarang ini.


Di Acheh, Tun Seri Lanang dilantik menjadi Penasihat kepada Sultan Kerajaan Islam Aceh Darussalam, iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M) dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675M). Tun Seri Lanang juga diangkat menjadi Uleebalang (Raja) pertama Samalanga; yang terletak di pesisir timur Acheh, pada tahun 1613 – 1659 Masihi dan terus memerintah selama 40 tahun sehingga kematiannya pada tahun 1659 di Lancok Samalanga, Aceh. Di Acheh, Tun Seri Lanang bergelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.

Makamnya masih kekal di daerah Kota Blang, Samalanga bersama-sama rumah pusaka tinggalannya. Ketokohan beliau sebagai wira, pemerintah dan tokoh cendekiawan Nusantara memberikan sumbangan yang besar kepada kerajaan Acheh, menukar Samalanga kepada pusat perkembangan dan pendidikan Islam di kawasan timur Acheh selari dengan perkembangan sastera hingga kini. 

Tun Seri Lanang selalu berguru dengan ulama ulama terkenal di Acheh, seperti Nurdin al-Raniri, Tun Acheh, Tun Burhat, Hamzah Fansuri, Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani. Hubungannya yang rapat dengan Syeikh Nuruddin al-Raniri menarik kedua-duanya bertukar ilmu ajaran Islam yang dikuasai oleh Syeikh Nuruddin, dan bahasa serta sastera Melayu yang dikuasai oleh Tun Seri Lanang.

Keturunan beliau di Acheh yang telah bercampur baur dengan bangsawan Acheh, banyak yang menjadi tokoh terkenal seperti Pocut Meuligo-''Srikandi Acheh'', Ampon Syeikh Teuku Muda Bugis, Uleebalang Samalanga yang berhasil menewaskan Belanda dalam Perang Acheh (1873-1942) pada tahun 1881, Teuku Hamid Azwar, Teuku Daud Shah dan Teuku H Zainal Abidin Bendahara serta banyak lagi.

[Autosaved] WZWH Mula Menulis…

Sudah lama WZWH tidak berblog WZWH mula menulis… Sekarang Perang US-Israel VS Iran. Ganggu keamanan dan ekonomi dunia Sudah tentu beri kesan...