YM TS Tengku Azlan calon Ketua UMNO Bahagian Jerantut 2013-2017 dan YH Tok Muda Dato' Wan Abu Bakar sebagai wakil calon Tengku Azlan. Dato' Wan Abu Bakar adalah mantan parlimen Jerantut tiga penggal 1982-1995.
YM Tan Sri Tengku Azlan Ahli Parlimen Jerantut sejak PRU 1999 hingga PRU 2008. Tiga penggal YBM Tengku Azlan menjadi Ahli Parlimen Jerantut. Dikenali sebagi Ku Lan. Siapa Ku Lan? Putera kepada Almarhum Sultan Abu Bakar, adinda kepada Sultan Ahmad Shah, menantu Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Bapa saudara DYMM Agong Sultan Mizan yang dulu.
Dulu dari tahun 1980an hingga 1990an, Ku Lan merupakan pemimpin parti Semangat 46 pimpinan YBM Tengku Razaleigh. Ku Lan pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda Semangat 46 Malaysia dan Pengerusi Perhubungan Semangat 46 Pahang.
Pertama kali WZWH berjumpa dengan Ku Lan pada petang sewaktu ribut menyebabkan sebatang pokok tumbang menghalang kenderaan dekat dengan Felda Padang Piol pada tahun 1989 sewaktu WZWH mahu pergi ke Kuala Lumpur berlepas ke England. WZWH sempat berbicara secara peribadi dengan Ku Lan berkenaan hal keluarga dan politik semasa.
Pada tahun 1996 parti Semangat 46 dibubarkan dan diserap masuk ke dalam UMNO. Ini adalah atas usaha Ku Lan memujuk Tengku Razaleigh. Inisiatif Ku Lan ini sangat dihargai oleh Tun Mahathir yang ketika itu menjadi PM kerana mahu balance pengaruh DS Anwar Ibrahim TPM ketika itu.
Sejurus pembubaran parti Semangat 46, Ku Lan menjadi Ketua Cawangan UMNO Ulu Tembeling dan sungguh tidak menyangka Ku Lan akan bertanding di Parlimen Jerantut pada PRU 1999. Begitulah politik serba kemungkinan. WZWH teringat sebelum PRU 1999, WZWH dan blogger Sri Tri Buana selalu pergi ke rumah Ku Lan di Bangsar. WZWH selalu membayangkan Ku Lan akan bertanding di Jerantut semasa perbincangan. Ku Lan hanya gelak sahaja.
Ku Lan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di JPM dan Pengangkutan dan ditawar Timbalan Menteri Luar tetapi menolak atas alasan peribadi semasa zaman terakhir Tun Abdullah sebagai PM. Ku Lan kecewa kerana sebelum itu Tun Abdullah menjanjikan kepada beliau jawatan Menteri KKLW.
Mungkin ini alasan utama ada satu kumpulan UMNO Jerantut melawan kepimpinan Ku Lan pada pemilihan UMNO Bahagian Jerantut 2008 yang menyaksikan kumpulan itu tewas. Ahli-ahli UMNO masih mahukan kepimpinan Ku Lan dibantu oleh YB Dato' Wan Amizan dan Dato' Hj Nazri Ngah.
Semasa gelombang PRU 12 bila mana ramai Ahli Parlimen BN tumbang namun Ku Lan tetap menang di Parlimen Jerantut dengan majoriti 1946. Walaupun tewas majoriti 2000 undi di DUN Damak tapi DUN Tahan dan DUN Pulau Tawar membantu. Kalau bukan Ku Lan sudah tentu Parlimen Jerantut hanyut ke tangan PAS dan Pakatan Rakyat!
Pengkritik Ku Lan mengatakan semasa menjadi ahli parlimen Jerantut, Ku Lan tidak berbuat apa-apa di Jerantut, kurang menemui pengundi-pengundi, tidak servis, rumah pun tidak ada di Jerantut susah Ketua-ketua cawangan UMNO dan pemimpin-pemimpin kampong hendak berjumpa, hubungan dengan pengundi-pengundi kaum Cina kurang dan bukan penduduk asal Jerantut sebab orang Jerantut mahu Ahli Parlimennya anak jati Jerantut.
WZWH ingin menjawab beberapa persoalan-persoalan yang dibangkitkan pengkritik Ku Lan. Sebagai seorang yang dilatih dengan ilmu perakaunan, WZWH memandang kepada fakta dan angka. selama tiga penggal Ku Lan menjadi Ahli Parlimen, WZWH telah menyemak segala peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan oleh Kerajaan pusat dan negeri di Parlimen Jerantut adalah berjumlah lebih RM2.5 bilion.
Ku Lan banyak berperanan dibelakang tabir dalam menjayakan projek-projek pembangunan di Jerantut. Selama tiga penggal banyak perancangan pembangunan yang telah dirancang dan sudah nampak projek-projek yang sedang dibuat, Work-in-Progress, dan akan buat menyusul. WZWH akan bentangkan dan senaraikan segala projek-projek atas usaha inisiatif Ku Lan dalam posting-posting yang akan datang.
Ku Lan adalah anak Raja Pahang yang "the most gentleman", berbudi bahasa, rendah diri, tidak sombong, melayan semua orang tidak kira pangkat,darjat,kaya, miskin. Tidak ada istilah berpuak-puak dalam pemikiran Ku Lan. Sebab itu semua "warlord-warlord dan godfather-godfather" tunduk lemah kepada Ku Lan. Cuma nampak riak-riak ombak mahu membadai Ku Lan pada pemilihan UMNO Bahagian Jerantut 2008 tapi tersangkut di beting pasir hanya membasahi kaki sahaja! Ku Lan percaya kepada gagasan 1UMNO Jerantut.
Hanya Ku Lan yang boleh membuktikan beliau adalah tokoh perpaduan yang boleh mengabungkan semua puak-puak dalam 25,000 ahli UMNO Jerantut sejak mengambilalih kepimpinan UMNO Jerantut pada tahun 1999 hingga kini.
Ku Lan bukan orang luar. Rakyat Pahang kena faham Ku Lan adalah anakanda Almarhum Sultan Abu Bakar Pemerintah Negeri Pahang dan Jajahan takluknya bererti Ku Lan boleh pilih mana-mana Parlimen yang Ku Lan mahu. Siapa kata Ku Lan sebatang kara? Ku Lan bukan sebatang kara dan tiada saudara mara di Jerantut ini. Sebatang Sungai Tembeling itu tempat kediaman saudara mara dan penyokong tegar Ku Lan disamping ramai lagi rakyat Parlimen Jerantut yang meminati personaliti Ku Lan.
WZWH merasakan Ku Lan adalah aset kepada Jerantut dan bukannya liabiliti. Usaha Ku Lan memujuk Tengku Razaleigh dari mencabar DS Najib Presiden UMNO amat DS Najib hargai.
Demikianlah cerita Ketua Bahagian UMNO Jerantut- Ku Lan yang WZWH sayangi. Ku Lan diperlukan lagi oleh rakyat Jerantut dan 25,000 ahli UMNO untuk mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut pada pemilihan UMNO 19 Oktober 2013 nanti.
WZWH berharap Perwakilan UMNO Jerantut berikan peluang kepada Ku Lan untuk memimpin UMNO Bahagian Jerantut buat penggal terakhir.