Sunday, September 3, 2017

Bila Gajah-Gajah Jerantut "Berkempen" Lebih Awal Sebelum PRU 14

Image may contain: tree, plant, outdoor and nature

Sekumpulan Gajah lebih kurang 13 ekor merayau bebas di bawah jambatan berdekatan Sungai Batu dekat Gua Kota Gelanggi, Pulau Tawar, Jerantut.


WZWH teringat cerita arwah Nenek bahawa ianya adalah pemandangan biasa melihat kawanan gajah minum air di tebing Sungai Tembeling bila orang kampung hilir mudik pada tahun 1940an dan 195oan.

Seingat WZWH bila selalu mudik hilir Sungai Tembeling dalam hidup WZWH sepanjang tahun 1970an, 1980an, 1990an hingga kini tidak pernah pun melihat kawanan gajah.

Gajah adalah binatang ikon Negeri Pahang Darul Makmur bahkan team bolasepak Negeri Pahang dikenali sebagai Tok Gajah.

Tun Sri Lanang penyusun Sejarah Melayu 400 tahun dulu mengambarkan Negeri Pahang ini punya hutan yang sangat tebal dihuni oleh banyak gajah, seladang dan harimau.

Dalam Negeri Pahang yang terbesar dalam Semenanjung, Daerah Jerantut pula merupakan sebuah daerah terbesar dan punya stok hutan simpan terbesar termasuk Taman Negara.

Arus pemodenan memyebabkan banyak tanah dan hutan dibuka sejak 1960an diseluruh Negeri Pahang untuk dibuat tanah rancangan Felda yang memberi manfaat kepada bukan sahaja rakyat Pahang bahkan juga kepada rakyat dari seluruh Semenanjung dipanggil menjadi peserta Felda.

Gelombang pemodenan Negeri Pahang ini diteruskan berdasar tuntutan dan keperluan semasa dengan dibina infrarakyat seperti jalanraya yang lebih baik, dibuka lagi Felcra bagi manfaat penduduk kampung tradisional, juga ladang kelapa sawit dan getah oleh GLC Pahang seperti Yayasan Pahang, PKNP dll.

Ditambah lagi Projek Hidroeletrik yang jangkaan kolam takungan yang besar membuatkan beribu ekar hutan terpaksa ditebang lebih awal.

Semua projek-projek ini adalah untuk kepentingan rakyat Negeri Pahang. Dalam mengejar arus pemodenan, Kerajaan juga sedar perlunya kemajuan yang 'balance' dan lestari untuk menjaga kepentingan 'natural stakeholder' iaitu flora dan fauna terutama kebajikan gajah, seladang, harimau, badak dll binatang termasuk unggas dan rimba.

Tanpa sedar, binatang-binatang ini terutama gajah-gajah Jerantut akhir-akhir ini sering dilihat 'jinak' merayau-rayau bebas seolah-olah seperti ' berkempen' lebih awal sebelum PRU 14. Kerajaan perlu sedar bahawa tuntutan dan keperluan stakeholder ini perlu juga dijaga.

Kehadiran kawanan gajah-gajah Jerantut ini keluar dari habitat asal mencari sumber makanan adalah manifestasi luahan politik ketidakpuasan mereka bahawa mereka juga sebagai 'natural stakeholder' punya hak dan kepentingan.

Bila gajah-gajah Jerantut ini menceroboh masuk kawasan ladang sawit, tanah kebun orang kampung sudah tentu menimbulkan konflik kerana banyak tanaman ladang dan kebun orang kampung musnah.

Kronologi ringkas:

Sebelum ini ada kejadian gajah keluar dari habitatnya tapi tak diindahkan. 

Setahun lalu gajah ini mengganggu penduduk Kg Garuk dan Felda Kota Gelanggi.

Awal tahun ini 17 ekor gajah menceroboh Kg Bukit Rang Pulau Tawar memusnahkan 20 hektar tanaman orang kampung.

Dua bulan lalu gajah ini memusnahkan beratus ekar tanaman orang kampung di Kg Kelola, Kg Bukit nikmat dan Kg Batu Leja.

Pulau Tawar dan Felda Jengka 8 baru kini jadi riuh. Alamat beratus ekar lagi kebun dan ladang yang akan musnah.


Paling membimbangkan ditakuti pertembungan gajah dan manusia boleh membawa kemalangan dan mala petaka. Kedua nyawa spesis gajah dan manusia boleh terancam.

Kerajaan juga bimbang jika gajah-gajah ini tidak dijaga akhirnya ikon Negeri Pahang ini akan pupus. Kakitangan Perhilitan begitu sibuk memantau dan menjejaki pergerakan gajah-gajah ini siang dan malam mahu menghalau gajah-gajah ini balik ke habitat asal.

Wakil rakyat-wakil rakyat Jerantut juga sibuk mendengar curahan hati kebimbangan orang kampung dan mengenal pasti kerugian yang ditanggung kerana hasil tanaman musnah.

Kos memindah gajah ini boleh menjangkau RM50,000 seekor. Adalah lebih murah jika Kerajaan memasang pagar elektrik disepanjang laluan gajah-gajah ini agar tidak menceroboh kawasan ladang dan tanah kebun orang kampung.

Dari segi jangka panjang satu santuari gajah perlu dipertimbangkan oleh Kerajaan untuk memastikan gajah-gajah ini merayau dalam habital yang dikhaskan seperti kawasan safari dan membolehkan pelancung dan peminat hidupan liar mengunjung dan memberi pulangan kepada Kerajaan.

WZWH percaya Kerajaan hari ini juga peka kepada keperluan dan tuntutan 'natural stakeholder' seperti gajah-gajah Jerantut ini.



Seekor anak gajah Jerantut yang satu hari nanti akan memimpin kawanan gajah mencari penyelesaian permasalah yang dihadapi bagi memenuhi tuntutan dan keperluan hak mereka sebagai 'natural stakeholder'.

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...