Tuesday, March 6, 2018

Empat Puteri Terhebat Pahang Sepanjang Millennia





Sejarah Pahang memperlihatkan bagaimana wanita menjadi lambang pengenalan Pahang. Barangkali Pahang dilihat sebagai lambang kewanitaan yang selalu menjadi idaman dan perhatian orang luar. Imej kewanitaan yang melahirkan keghairahan pihak yang lebih kuat menggunakan apa saja helah dan cara bagi mencapai apa yang diidamkan...


Pernahkah anda mendengar nama-nama wanita klasik berpengaruh ini seperti Puteri Onang Kio, Puteri Wanang Seri, Tun Teja Ratna Benggala dan Puteri Kamaliah? 


Puteri Onang Kio adalah puteri Raja Chulan Pemerintah Siam kerajaan Kota Gelanggi dibawah Kerajaan Ligor Tambralingga yang juga di panggil Klang Kio (Gelanggui) atau Ganggayu ertinya perbendaharaan permata. Kota Gelanggi terletak di Jerantut. Semasa Kota Gelanggi dilanggar oleh Raja Suran (Raja Rajendra Chola 1 dari selatan India) pada tahun 1025, Raja Chola terpegun dengan kecantikan Puteri Onang Kio lalu diperisterikannya.





Semasa Pahang di bawah pemerintahan Siam yang berpusat di Ligor, Gabenor Siam bernama Maharaja Dewa Sura pada tahun 1454 telah diserang oleh Sultan Mansur Shah iaitu Sultan Melaka dan Puteri Wanang Seri anakanda Maharaja Dewa Sura telah dibawa ke Melaka dan diperisterikan oleh Sultan Mansur Shah.


Hasil perkahwinan itu lahir dua putera, yang sulung dinamakan Raja Ahmad dan yang bongsu dinamakan Raja Muhammad. 


Tragedi sepakraga-destar terbunuhnya Tun Besar anakanda Bendahara Tun Perak membuatkan Raja Muhammad terbuang ke Pahang menjadi Sultan pertama. Raja Ahmad akhir menjadi Sultan Pahang ke dua.






Tun Teja Ratna Benggala puteri Bendahara Seri Amar Bangsa Diraja Pahang yang kecantikannya diperkatakan oleh pedagang-pedagang yang berdagang di Pahang telah dicolek dan diguna-guna oleh Hang tuah pada tahun 1490 untuk memuas kehendak Sultan Mahmud iaitu Sultan terakhir Melaka walaupun ketika itu Tun Teja Ratna Benggala adalah tunangan Sultan Ahmad Shah iaitu Sultan Pahang.





Sewaktu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam iaitu Sultan Acheh menakluki Pahang pada tahun 1617. Baginda telah membawa pulang 10,000 orang Pahang ke Acheh termasuk seorang puteri Pahang yang bernama Puteri Kamaliah. Tertarik dengan kecantikan dan kebijaksanaan Puteri Kamaliah maka Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah memperisterikannya.


Puteri Kamaliah sangat mashor dan cerdas menasihat suaminya dalam pemerintahan. Rakyat Acheh memanggilnya Putroe Phang. Seperti kata pepatah Acheh:


Adat bak Poe Teumeureuhom
Hukom bak Syiah Kuala
Qanun bak Putroe Phang
Reusam bak Laksamana


Ertinya:


Adat pada Marhum Mahkota Alam
Hukum pada Syiah Kuala
Kanun pada Puteri Pahang
Resam pada Laksamana


Puteri Kamaliah selalu rindu pada negerinya Pahang. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah membina sebuah taman yang ada model banjaran gunung dipanggil Gunongan dan Putroe Phang suka dengan taman itu bermain-main dengan dayang-dayangnya memanjat Gunongan. Kalau anda pergi melawat Acheh, anda akan melihat taman itu masih ada dan dijaga rakyat Acheh. Taman itu dinamakan Taman Putroe Phang dan Gunongan.


Demikianlah kehebatan 4 orang puteri Pahang dari zaman berzaman. Mereka wanita jelita menawan, cantik paras rupawan, cerdik, pandai, bijaksana bikin hati Raja dan Sultan cair hati lalu sanggup menghunus senjata menakluki negara.

No comments:

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...