PRU 13 Parlimen Jerantut memberi peluang kepada 68,000 pengundi memilih parti mana yang dipercayai boleh memenuhi kehendak majoriti pengundi.
Dengan 80% pengundi Parlimen Jerantut terdiri dari orang muda yang berumur 21-45 tahun maka kemenangan mana-mana parti adalah ditentukan oleh cita rasa pengundi muda.
Ditambah lagi dengan kehadiran pengundi muda pertama mengundi seramai 13,000 adalah faktor penting bahawa BN dan Pakatan Rakyat perlu meletakkan calon-calon Parlimen Jerantut orang muda.
Calon-calon tua yang bakal diketengahkan nanti walau skema tidak kira berideologi tinggi mahu pun tahalul siyasi Islamis warakok bukan prasyarat yang boleh memikat hati dan minda majoriti pengundi muda Jerantut.
Pengundi muda Jerantut mahu calon orang muda yang boleh bercakap isu-isu yang mudah menyentuh kepentingan kehidupan orang muda Jerantut.
Isu-isu Perumahan dan Pekerjaan adalah kunci kemenangan PRU 13 Parlimen Jerantut. Lain-lain isu terutama isu-isu Kuala Lumpur cuma membazir masa orang muda Jerantut mendengarnya.
Jerantut memerlukan lebih banyak perumahan mampu milik untuk orang muda. Bukan mahu menafikan hak perumahan mewah namun masih ada banyak tanah di Jerantut yang boleh diperuntukan.
Memang terdapat banyak taman-taman perumahan dibina, sedang dibina dan bakal dibina di Jerantut tetapi harganya sangat tinggi lebih tingggi dari Kuantan bandar ibu negeri Pahang dan bawah sikit dari Kuala Lumpur.
Namun rumah-rumah ini habis dibeli sold out macam goreng pisang panas. Pembelinya ramai dari anak-anak Jerantut diperantauan dan orang luar yang mahu menghabiskan masa pencen di Jerantut. Bila ramai orang beli maka ini menggalakkan lagi pemaju perumahan membina perumahan berharga tinggi.
Apa yang tinggal kepada orang muda Jerantut? Majoritinya tidak mampu untuk membeli rumah yang berharga tinggi.
Ada 16 kawasan Felda dan beratus kampung tradisional di Jerantut. Dimana orang muda Jerantut mahu tinggal? Maka tinggal dengan ibu bapa peneroka generasi pertamalah akhirnya menyesakkan rumah bila generasi ke dua dan ketiga tinggal sebumbung.
Generasi ke dua kampung tradisional pun resah bila anak isteri tinggal sebumbung dengan ibu bapa mertua. Keresahan dan ketidakselesaan ini ada asasnya yang boleh menyebabkan beberapa masalah sosial.
Perumahan kos rendah lebih kepada orang yang sudah berkeluarga. Jarang kita dengar perumahan kos rendah untuk orang muda terutama yang bujang.
Jika kita mahu orang muda Jerantut mampu memiliki rumah baik rumah komersial hatta rumah mewah, apa pekerjaan yang sepatutnya mampu disediakan kepada orang muda Jerantut?
Pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan dan kebolehan mereka. Bagaimana mahu menyediakan pekerjaan yang berpendapatan sederhana dan tinggi kepada orang muda Jerantut?
Bagaimana menyediakan persekitaran yang kondusif kepada kerancakan orang muda Jerantut yang bekerja sendiri terutama di sektor pelancongan Jerantut?
Isu pekerjaan berkait rapat dengan pelaburan bernilai tinggi ke Jerantut. Berapa banyak pelaburan bernilai tinggi yang sudah berjaya dibawa ke Jerantut?
Pelaburan bernilai tinggi memerlukan kemudahan prasarana dan infrastruktur yang menyokongnya. Penyediaan prasarana dan infrastruktur yang berterusan dan komited perlu bagi Jerantut menarik banyak pelaburan sederhana dan bernilai tinggi.
Siapa pemimpin yang mahu dan mampu bukan sahaja memikirkan ini semua malah berani merancang dan cuba menjadikan apa yang WZWH tulis diblog ini menjadi kenyataan.
Berapa komitmen BN dan Pakatan Rakyat cuba untuk mengatasi 2 isu pokok Perumahan dan Pekerjaan yang WZWH sentuh ini adalah kunci isu kemenangan Parlimen Jerantut PRU 13 kerana itulah yang sebenarnya kehendak dan cita rasa pengundi muda Jerantut.
Siapa pengundi muda Jerantut yang membentuk 80% dari 66,000 pengundi mahu pilih parti mana dalam PRU 13 parlimen Jerantut nanti?