Tuesday, December 1, 2015

Lepaskanlah...Biar DS Najib Menjadi Perdana Menteri Sepenuhnya!






WZWH menyeru 3.5 juta ahli UMNO berdiri teguh menyokong kepimpinan DS Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO jika mahu UMNO dan BN kekal memerintah post PRU14.



Salleh Tun Said Keruak menjawab surat terbuka Tun Dr Mahathir

JAWAPAN KEPADA SURAT TERBUKA TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Banyak isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blog terbarunya dikitar semula, tidak tepat dan separuh benar yang disensasikan demi mempengaruhi sentimen dan emosi ahli UMNO untuk menentang kepimpinan Perdana Menteri. Sangat menyedihkan bilamana Tun sanggup menabur fitnah demi menyingkirkan Perdana Menteri dan menubuhkan Council of Elders yang akan mengawal Perdana Menteri boneka beliau.


1. “Satu Malaysia sama dengan Malaysian Malaysia”

Ini merupakan tohmahan kitar semula. 
Gagasan 1Malaysia merupakan suatu usaha untuk mewujudkan perpaduan. Perbezaan paling utama dengan konsep “Malaysian Malaysia” ialah 1Malaysia jelas menerima Perlembagaan Malaysia secara keseluruhannya, terutama semua peruntukan yang terkandung dalam Perkara 153. 
“Malaysian Malaysia” pada mulanya adalah suatu konsep yang bercanggah dengan Perkara 153 dan kemudiannya bersifat amat kabur. Kalaulah 1Malaysia benar-benar sama dengan “Malaysian Malaysia,” tentu sekali tidak akan ada Majlis Pemerkasaan Bumiputera, TERAJU dan lain-lain lagi. Kalaulah 1Malaysia benar-benar sama dengan Malaysian Malaysia, tentulah tidak akan ada Model Baharu Ekonomi (MBE), satu rangka kerja untuk meningkatkan sifat eksklusif dalam ekonomi dan pada masa sama, memperkasakan masyarakat Bumiputera agar mereka menjadi lebih berdaya saing. 
Mengatakan bahawa Gagasan 1Malaysia adalah sama dengan “Malaysian Malaysia” merupakan suatu putar belit, dengan niat yang tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk mengelirukan orang Melayu. 


2. “Penjajah dahulu dilantik sebagai penasihat”

Dalam era globalisasi ini, kebanyakan negara di dunia telah mengambil ramai perunding asing yang memberi nasihat kepada Kerajaan dan sektor swasta. Peranan mereka ini tidak lebih daripada memberi pandangan bukannya menjadi penguasa. Hakikatnya Negara ini masih ditadbir oleh orang tempatan, Melayu, Cina, India, Bumiputera Sarawak dan Sabah. Bukan orang luar. Kuasa tetap di tangan kita dan bukannya di tangan orang luar seperti zaman penjajah. 
PM mempunyai ramai penasihat di kalangan anggota kabinet, Majlis Tertinggi UMNO, pegawai tertinggi kerajaan, NGO, termasuklah rakyat Malaysia yang beliau sering lawati. Apalah sangat sumbangan “perunding luar” ini berbanding orang-orang tempatan yang begitu ramai yang sentiasa menasihati pentadbiran hari ini? Mengapa Tun menggunakan perumpamaan “penjajah” yang langsung tidak sama dengan keadaan sebenar? Beliau hanya ingin memburukkan PM dan menimbulkan kerisauan tentang kedaulatan negara dengan tak semena-mena. 


3. “Penubuhan PEMANDU untuk menggantikan Unit Perancang Ekonomi”

PM telah pun menjawab tohmahan yang dikitar semula ini. 
PM menubuhkan PEMANDU sebagai badan untuk menyelia program transformasi, yang bukan sahaja meliputi aspek ekonomi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) tetapi juga aspek bukan ekonomi di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang sudah tentulah tidak terletak di bawah bidang kuasa EPU, kerana ia adalah sebuah badan ekonomi. 
Bercanggah dengan apa yang dikatakan Tun, PM memberi kepercayaan yang amat tinggi kepada EPU kerana ia merupakan kunci bagi memastikan kejayaan ETP. Malah, melantik seorang daripada CEO paling berkebolehan di negara ini untuk menerajui EPU. 


4. “Meletak negara di bawah kehendak Singapura,”

Ini adalah satu kesimpulan yang berbentuk fitnah. Tun menggunakan isu jambatan bengkok dan menyimpulkan bahawa Malaysia di bawah telunjuk Singapura. 
Jabatan Peguam Negara (AGC) kita telah menasihatkan kerajaan mengenai kesan sebarang pengubahsuaian kepada Tambak Johor di bawah undang-undang antarabangsa. AGC menasihatkan bahawa paip-paip dalam Tambak Johor adalah tertakluk kepada perjanjian air Johor-Singapura (1961, 1962), yang menggariskan bahawa paip-paip tersebut adalah milik Lembaga Kemudahan Awam (PUB) Singapura, dan sebarang pengubahsuaian paip itu mesti diluluskan oleh PUB. 
Tiada persoalan sama ada kita mempunyai keberanian yang mencukupi untuk menentang Singapura. Jambatan bengkok tidak dibina kerana Malaysia komited untuk mematuhi semua perjanjian yang telah ditandatangani. Mana-mana jambatan sekalipun, jika dibina bagi menggantikan Tambak Johor tanpa kebenaran daripada PUB Singapura, akan melanggar hak hartanah Singapura di bawah undang-undang antarabangsa. 
Kita telah membina hubungan dengan Singapura ke satu tahap di mana kita kini terlibat dalam projek dan usaha sama yang membawa kedudukan yang menguntungkan bagi kedua-dua buah negara. Bagi mengukuhkan lagi perhubungan antara Malaysia dan Singapura, kita kini akan membina kereta api berkelajuan tinggi. Malah, telah tercetus juga idea bagi membina jambatan persahabatan yang dimahukan kedua-dua negara dan tidak akan melanggar undang-undang antarabangsa. 
Tohmahan dan fitnah Tun bahawa PM meletakkan Negara di bawah kehendak Singapura ini adalah sangat dikesali dan menyedihkan. 


5. “Meminjam berbilion Ringgit yang sebahagian besar dilabur di luar negara...

Khazanah, PNB dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lain menjalankan pelaburan di dalam dan luar Negara bagi mengimbangi risiko pelaburan. Ekonomi negara-negara di dunia berkembang pada kadar yang berbeza. Pulangan pelaburan di sesetengah negara mungkin lebih tinggi dari yang lain dan pulangan ini dikembalikan kepada Malaysia dan rakyat. Namun sebahagian besar pelaburan tetap berada di dalam negara, yang dilaburkan melalui KWSP, Khazanah dan PNB. 
Malah pelaburan luar negara kini sangat membantu ekonomi Malaysia pada ketika ini. Pulangan kita dalam bentuk USD ini menjadi lebih besar nilainya apabila RM menyusut akibat tempias harga minyak mentah dunia. 
Jadi apa masalahnya melabur di luar Negara? 


6. "Menubuhkan 1MDB dengan modal pinjaman yang besar, tidak dapat buktikan dimana modal yang dilabur berada.”

Ini merupakan FITNAH dan PEMBOHONGAN. Mengikut audit oleh badan bertauliah antarabangsa pada 2014, semua wang pelaburan telah terkira. 
Tun Mahathir pernah mengatakan RM42 bilion telah lesap. Kemudiannya RM27 bilion pula lesap. Apabila 1MDB menunjukkan bukti di dalam akaunnya, beliau tidak lagi membangkitkan nombor-nombor ini. 


7. “Gagal membayar faedah hutang,”

Sekiranya sesebuah syarikat gagal membayar hutangnya, ianya akan bankrap. Namun sehingga hari ini 1MDB tidak bankrap, malah hutangnya telah menurun dengan mendadak baru-baru ini. 


8. “Membeli tanah Kerajaan dengan harga yang amat murah,”

Ini kenyataan yang separuh benar. Hakikatnya tanah yang dijual kepada 1MDB dengan harga murah kerana 1MDB 100% milik Kementerian Kewangan. Transaksi seperti ini adalah umpama keluar poket kanan, masuk poket kiri. 
1MDB tidak diberikan dana pelaburan secara tunai seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain, tetapi dana mereka adalah berbentuk tanah. Tun Mahathir berikan wang untuk GLC pada zaman beliau. PM berikan tanah. Kedua-duanya adalah dana pelaburan. 


9. “...menjual tanah ini kepada institusi Kerajaan dengan harga 50 kali ganda lebih tinggi.”

Ini juga kenyataan separuh benar. Institusi kerajaan yang membeli tanah ini bukan 100% milik Kementerian Kewangan, walaupun ianya di bawah penyeliaan kerajaan. Ini suatu perbezaan yang besar berbanding 1MDB, yang dananya datang dari kerajaan. 
Jadi walaupun 1MDB memperoleh tanah pada harga murah, mereka tidak boleh juga menjual tanah tersebut pada harga murah kepada syarikat yang tidak 100% dimiliki atau disumbangkan dananya oleh kerajaan, kerana badan itu akan mendapat keuntungan untuk pihak ketiga, dan bukanya kerajaan yang merupakan pemilik tanah tersebut. 


10. "2.6 bilion Ringgit tiba-tiba berada dalam akaun peribadi Najib, kononnya derma dari orang Arab,”

Ini bukan wang peribadi PM. Dana ini diketahui pemimpin UMNO seperti Setiausaha Agung dan Bendahari. Tun juga menyelia aset UMNO berjumlah berbilion ringgit. 
Tapi kali ini saya perasan Tun tidak lagi menyatakan secara terang-terang wang ini datang daripada 1MDB seperti dahulu. SPRM mengesahkan bahawa tiada wang 1MDB yang diambil. Adakah Tun mengubah fikiran sekali lagi seperti beliau mengubah fikiran bahawa RM42 bilion dan RM27 bilion tidak hilang seperti yang difitnah beliau sebelum ini? 


11. “Siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah dan Bank Negara ditamatkan oleh Najib sebelum tindakan dapat diambil, Peguam Negara dibuang, PAC dibubar supaya tidak dapat menyiasat 1MDB.”

SPRM, Bank Negara masih menyiasat. Malah Bank Negara telah pun mengeluarkan pengumuman tentang cadangan tindakan. Namun tiada langsung di dalam pengumuman tersebut menyatakan perkara jenayah berlaku, tetapi beberapa isu pentadbiran yang perlu diselesaikan. 
Peguam Negara berhenti kerana faktor kesihatan. PAC tidak dibubar, mereka masih sedang menyiasat 1MDB dan akan mengemukakan laporan tahun hadapan. 
Mengapa Tun mengatakan PAC dibubar? Ketua Audit Negara telah mengeluarkan laporan awal dan menyatakan tiada perkara yang mencurigakan dijumpai. 


12. “Gaji minima dinaikkan sehingga kilang-kilang berpindah ke negara lain dan pekerja hilang pekerjaan,”

Ini adalah lagi satu FITNAH. Cuba berikan fakta. Malaysia masih terus menerus menerima pelaburan dari luar Negara, khususnya di Iskandar Malaysia. 
Tambahan pula, baru-baru ini bagi suku ketiga tahun 2015, pelaburan asing (FDI) pada RM 500.2 bilion merupakan satu peningkatan daripada suku kedua tahun 2015. 
Kita memperkenalkan gaji minima sebagai langkah mengurangkan beban kepada golongan berpendapatan rendah bagi menampung kehidupan mereka. 
Walau bagaimanapun, kadar pengangguran di negara kita masih rendah pada kadar lebih kurang 3% dan terkawal. 


13. “Kejatuhan mata wang dan nilai saham yang teruk,”

Ini lagi satu kenyataan separuh benar. RM jatuh sebahagian besarnya disebabkan kejatuhan harga minyak mentah dunia yang mendadak. Ini merupakan faktor terbesar dan faktor ini di luar kawalan kerajaan. 
Nilai saham juga jatuh kerana faktor harga minyak. Ini kerana pendapatan hasil minyak merupakan antara penyumbang besar pendapatan Negara. Jika pendapatan Negara jatuh, maka nilai mata wang dan juga pasaran saham akan menerima tempias. 
Namun di bawah pentadbiran Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, kebergantungan kepada pendapatan minyak telah berkurang daripada 30% ke hampir 20% sahaja. Kita bernasib baik kerana GST telah berperanan menyelamatkan Hasil Negara, dan membolehkan kita membentuk bajet 2016 yang banyak membantu golongan B40 dan M40. 
Dahulunya banyak syarikat yang lari daripada membayar cukai, tetapi dengan GST, mereka tidak dapat lari dan sudah mula membayar cukai. 
Sebahagian daripada penambahan ini membolehkan kita meneruskan Belanjawan tahunan yang menyeluruh dan pro-rakyat, di samping mengekalkan anggaran perkembangan ekonomi pada tahap 4-5% pada tahun 2016. 
Walaupun realitinya kejatuhan harga minyak dan keadaan ekonomi dunia adalah faktor utama kejatuhan nilai RM dan juga kebanyakan mata wang negara-negara lain, Tun menyembunyikan fakta ini supaya rakyat dan orang UMNO menyalahkan Perdana Menteri semata-mata. Tun mengetahui hal ini, namun beliau menggunakan hujah tersebut bagi memperdayakan golongan yang tidak mengikuti perkembangan ekonomi global. 


14. “Kos sara hidup meningkat,”

Kerajaan terus berhempas pulas mengambil langkah mengurangkan beban kos sara hidup, seperti BR1M, PR1MA, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, pengurangan cukai pendapatan untuk M40, Bantuan Buku 1Malaysia dan banyak lagi. 
Kita masih meneruskan dan memperbanyakkan usaha seperti ini. 


15. “Besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU 14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang.”

Yang akan membuatkan Barisan Nasional kalah adalah tindakan Tun sendiri yang tidak sudah-sudah mengeluarkan fitnah, pembohongan dan tohmahan seperti ini. Sesiapa yang ambil alih jawatan PM tidak akan terlepas daripada serangan bertalu-talu Tun. 
Malah Tun sudah secara terang-terangan menyatakan bahawa beliau ingin menubuhkan Council of Elders yang akan menyelia Perdana Menteri seterusnya sekiranya Dato’ Sri Mohd Najib disingkirkan. 
Ini merupakan tindakan tidak demokratik, semata-mata demi memenuhi kehendak Tun yang tidak boleh menerima cara yang lain melainkan cara beliau. Kerana inilah Tun tidak berhenti-henti meminta PM melepaskan jawatan. Kerana PM seterusnya akan mengikut arahan beliau melalui Council of Elders. 
Program pembangunan Kerajaan yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat sedang rancak berjalan. 
Antara lain, kunci kepada beberapa projek rumah mampu milik PR1MA telah diserahkan dan semakin banyak lagi akan menyusul. Jambatan Pulau Pinang kedua sudah siap, Fasa 1 MRT hampir siap, 1.5 juta pekerjaan baru diwujudkan dalam 5 tahun lepas dan menjadikan kadar pengangguran kita antara yang paling rendah di dunia. Koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia menyaksikan infrastruktur, rumah, kilang dan kawasan komuniti maju sedang dibina. Greater KL telah pun dimulakan, kawasan perbandaran makin bercambah, Fasa 1 Bas Rapid Transit telah siap pada pertengahan tahun ini dengan lebuh raya Pan Borneo akhirnya dilaksanakan dan bakal menjadi pemangkin ekonomi utama di Sabah dan Sarawak seperti lebuh raya PLUS untuk Semenanjung. Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) sedang dijalankan. Ini semua adalah projek dan usaha yang dijalankan oleh pentadbiran Perdana Menteri untuk membangunkan negara ini. Seperti yang anda lihat, ini adalah hasil Program Transformasi yang dilancarkan 5 tahun lepas. Ia akhirnya berlaku dan kita amat teruja melihat impaknya. Inilah yang benar-benar penting buat rakyat. 
Penambahbaikan sedang berlaku di depan mata kita. Tetapi saya tahu bahawa ada yang akan melihat kepada yang buruk dan terus bercakap mengenai khabar angin, perkara separuh benar dan putar belit yang tidak berkesudahan. Mereka terus percaya bahawa ‘pengakhiran amat dekat’ dan bahawa pembangkang akan menang. Ia merupakan dakwaan yang dibuat berulang-ulang kali dalam tempoh lima dekad yang lalu, namun kita masih di sini. 
Walaupun semua orang bebas untuk mengkritik PM dan menyenaraikan semua ‘kegagalan’ beliau, ia juga penting untuk menyedari sejauh mana pencapaian kita dalam tempoh enam tahun lepas, dalam usaha memberikan pandangan yang adil mengenai sesuatu. 
Jikalau segala usaha-usaha ini disokong, dan lebih diketengahkan oleh Tun, Insya-Allah rakyat akan menyokong Barisan Nasional. Malah UMNO akan bertambah kukuh. Apabila Tun hanya menyerang sahaja, sudah tentulah kekuatan UMNO akan terhakis! 
Jadi sekiranya Tun berhenti, kita akan lebih mudah mengukuhkan UMNO dan menerajui pembangunan negara ini! 


16. Quote dalam blog Tun “Saya menulis dalam blog saya kerana sekatan yang ketat diadakan supaya saya tidak dapat berjumpa dan bercakap dengan ahli UMNO dan orang awam. Jentera yang diguna yang terdiri dari badan-badan Kerajaan dan parti amatlah berkesan. Dengan sendirinya ini menjadi bukti kesalahan-kesalahan sedang dilakukan.”

Bukti adalah bukti dan sehingga kini Tun tidak pernah mengemukakan bukti segala tuduhan beliau. Tun telah bertindak secara keterlaluan sehingga memporak-perandakan parti dan pentadbiran negara. 
Pada awalnya PM dengan ikhlas cuba untuk menjawab segala persoalan yang dibangkitkan Tun, namun Tun tetap mengitar semua tuduhan dan tomahan ini berkali-kali. 
Jadi adakah benar Tun ikhlas inginkan jawapan, atau pun Tun hanya ingin menjatuhkan PM saja? 
Jangan kata PM tidak jawab, dia dah jawab berkali-kali, tetapi Tun yang tidak pernah menghentikan desakan beliau. 
Jadi perbuatan keterlaluan ini perlu dihentikan sebelum membarah. Tun bukan orang biasa, Tun seorang yang berpengaruh. Tetapi pengaruh yang digunakan Tun telah banyak menimbulkan kekeliruan serta salah faham di antara orang UMNO dan rakyat Malaysia. Jadi ini tidak boleh berterusan. 


17. “Menyokong Najib mungkin memberi nikmat kepada orang tertentu hari ini. Tetapi apabila BN kalah nikmat semua akan hilang... Wahai ahli dan pemimpin UMNO diakar umbi. Fikirlah baik-baik. Jangan sokong dan setia secara buta tuli,” quote blog Tun.

Ini merupakan pembohongan dan manipulasi. Ahli UMNO menyokong kepimpinan demi menguatkan parti dan bukannya membuta tuli. Jikalau Tun Abdullah boleh disingkirkan kerana serangan Tun, sekiranya PM juga boleh disingkirkan kerana serangan Tun, maka sesiapa yang menjadi Presiden UMNO seterusnya akan buat selama-lamanya menjadi lemah kerana boleh disingkir oleh serangan Tun. 
Dan jikalau ahli UMNO sentiasa boleh dipengaruhi asakan Tun dan orang luar untuk membenci, menolak Presiden UMNO, maka porak perandalah kepimpinan parti pada masa akan datang. 
Oleh kerana itulah ahli UMNO memberi dorongan dan sokongan kepada kepimpinan agar saf peneraju parti sentiasa kukuh bagi meneruskan perjuangan agama, bangsa dan negara. 
Sebelum ini, kami masih boleh menjalankan kerja menguatkan parti dan membangunkan negara. Kami mampu menepis serangan pihak pembangkang. Namun sejak Tun mula menyerang, maka usaha kita memperkukuhkan parti dan negara semakin mencabar. 
Sudah tiba masanya Tun melepaskan tanggungjawab mentadbir negara kepada generasi seterusnya. Sesungguhnya tindakan-tindakan beliau inilah yang sebenarnya akan memudaratkan UMNO dan negara tercinta ini. 
Hentikan segala fitnah. LEPASKANLAH


YB Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak

Menteri Komunikasi dan Multimedia

1 Disember 2015

1 comment:

Anonymous said...

Aii... Najib tak jadi PM sepenuhnya lagi ke selama ni..?? Kalau tak jadi PM sepenuhnya mcm mana buleh dapat RM2.6B...??

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024