Wednesday, May 20, 2015

Sejarah Imam Perang Tok Gajah

WZWH susun posting ini mengenai sejarah seorang pahlawan Pahang yang hebat Tok Gajah. Nama-nama Tok Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan lain-lain adalah sinonim dengan kepahlawanan Pahang.

Kisah-kisah mengenai Tok Gajah memang benar-benar tertulis dalam banyak buku seperti Hikayat Pahang dan buku-buku sejarah lain tulisan sejarawan tempatan dan barat. Jelasnya, ia bukanlah satu mitos, cerita khayalan atau lagenda seperti hikayat-hikayat Melayu yang lain.

Kebanyakkan penulisan sejarah mengenai Tok Gajah adalah berdasarkan Hikayat Pahang (tidak diketahui pengarangnya) dan 'A History of Pahang' karangan W. Linehan yang mana kedua-kedua karya ini berusia lebih dari 80 tahun. Penulisan ini bersifat 'euro-centric' -kisah-kisah istana dan bangsawan negeri diutamakan, manakala cerita masyarakat/rakyat masa itu disisihkan- termasuk Tok Gajah yang datang dari masyarakat kebanyakkan.

Umpamanya, penulisan mengenai Tok Gajah yang mula-mula dikenali sebagai 'Imam Perang Sutan Garang', tiba-tiba saja 'muncul' dalam banyak pengkisahan, tanpa sedikit pun memperihalkan latarbelakangnya. Hal ini telah menimbulkan banyak persoalan siapakah sebenarnya Tok Gajah.

Sejarah banyak melakarkan yang Gajah Pahang itu hebat dalam memimpin peperangan. Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa Gajah Pahang juga adalah seorang yang beradab budaya Melayu yang tinggi, berbahasa dalam menyampaikan kutbahnya. Sastera dan budaya itu berkisar di kalangan ahli keluarga dalam menyampaikan mesej sesama mereka. Contohnya pantun berikut untuk dikongsi bersama:


"Sirih bergenta pinang bergenta,
Gajah Pahang di luar kota,
Bakar kemeyan menyampai kata,
Kemeyan punyah...kata yang nyata."


Dalam satu Ekspidisi ke Pahang dalam tahun 1885, Frank Swettenham, pemangku Residen Perak, telah dihantar oleh Gavenor Cecil Clementi Smith ada melapurkan;

..." To' Gajah who is a man of about forty, very thick-set and dark, but full of laughter, informed me that he has four wives, twenty-five children, and nine grand-children. To' Gajah's father was a Sumatran Malay, his mother a Pahang woman; he is reputed to be a great warrior, is a Field marshal of Pahang and ranks with the Orang Besar Empat or Chiefs of the first-class. He is a man of much energy, greatly feared by the discontented faction in the upper country, and greatly trusted by the Yam Tuan.....At noon, reached Tanjong Blanja the limits of To' Gajah's jurisdiction, and here we stayed for a half hours break-fasting, and then parted with the Dato' and continued our journey down-river. The To' Gajah has done everything possible for us. I gave him my Perak golok(chopping-knife) and parted excellent friends. I saw him in the river up to his waist saying good-bye to the Subadar."


Dari segi sejarah, riwayat hidup Tok Gajah yang berlaku dalam abad ke-19 itu tidaklah dikira terlalu lama. Namun pada abad itu telah berlaku banyak perubahan besar terhadap negeri-negeri di Timur Tengah, Asia Selatan, Nusantara dan Asia Timur kerana kejatuhan kerajaan Uthmaniah, Turki dan kebangkitan kuasa empayar Eropah.

Banyak kelompangan sejarah Tok Gajah ini adalah di peringkat asal usulnya. Kebanyakkan penulisan sejarah mengenai Tok Gajah bermula apabila beliau menjadi Imam Perang, semasa Wan Ahmad menyediakan pasukan menyerang pasukan Wan Mutahir-Perang Saudara Pahang.

Rajah di bawah menunjukkan garis masa riwayat Tok Gajah dan pengaruh penjajah British pada dekad itu. Pengaruh Islam di Nusantara amnya dan di Pahang khasnya.








Ini foto Tok Gajah yang dapat dirakam pada zamannya.

Orang Kaya Indera Shahbandar (Jahidin) adalah moyang moyet DS Najib PM. Berikut susur galurnya: Mohd Najib bin Abdul Razak bin Husin bin Mohd Taib bin Jahidin. Jahidin sepupu Tok Muda Abas of Pulau Tawar.



WARISAN LELUHUR KELUARGA TOK GAJAH.

Ramai yang bertanya tentang dari manakah asalnya bapa Tok Gajah. Adakah dia orang Minangkabau atau Rawa? Maklumat dari dalam keluarganya sendiri adalah seperti berikut:






PERPINDAHAN TEUKU ALI(BAPA TOK GAJAH). KE TEMAU, Pahang.

Setelah Teuku Mahmud (adik Teuku Ali) berkhawin dan bermastautin dengan amannya di Bagan Dato, Perak, Teuku Ali meneruskan penghijrahan bersama orang kanannya, Malim Yunus dan sebahagian pengikut-pengikut yang lain. Mereka melalui Ulu Slim, Perak merentas banjaran Titiwangsa ke Ulu Lipis dan menetap di Temau, Pahang.

Semasa di Temau, Teuku Ali menukar namanya kepada Tok Shahrom.



TOK SHAHROM@TEUKU ALI DI TEMAU.

Semasa di Temau, Teuku Ali yang menukar namanya kepada Tok Shahrom mendirikan rumahtangga dengan seorang perawan Pahang bernama Siti Hajar binti Shaikh Ali.

Manakala, sebahagian lain pengikutnya meneruskan perjalanan bersama Malim Yunus hingga ke sebuah pulau bertanah tinggi dan tiada berpenghuni di Sungai Pahang dikenali sebagai Pulau Tawar.

Tok Shahrom berkerja melombong emas di kawasan Temau. Ulu Peruas hingga ke Budu bersama suku Rawa dan Mandailing. Pada malamnya beliau mengajar agama di madrasah sekitar kampung-kampung dari Dong hingga ke Budu.

Hasil perkongsian perkhawinan mereka, keduanya dianugerahkan 5 orang zuriat; yang pertama Ratin Mas, ke-2 Maimunah, ke-3 Khatib Rasu Abd Salam, ke-4 Khatib Mohd Amin, ke-5 Khatib Mohd Arif. Ratin Mas dan Maimunah lahir di Temau.

Dalam satu perbalahan merebut emas mentah, Ratin Mas yang sarat mengandung anak yang pertama telah dibunuh. Suaminya, Haji Hassan Keramat, turut dibunuh dalam perebutan itu.

Keluarga Tok Shahrom mengubah haluan dengan berpindah ke Budu di mana Rasu dan adik-adiknya yang lain dilahirkan.


PETEMPATAN AWAL TOK SHAHROM DI BUDU

Kampung Permatang Lama yang terletak di Bukit Raya adalah tapak petempatan awal Tok Shahrom di Budu. Kampung Permatang Lama yang tingginya mencapai 300 meter dari paras laut masih ada sehingga kini. Namun ia tidak lagi didiami manusia.

Berhampiran dengan Kampung ini terdapat juga gua dikenali sebagai Gua Meratak. Gua ini merupakan tempat simpanan makanan, tempat pahlawan berlatih silat dan bersuluk.

Kampung ini juga adalah lokasi di mana Mat Kilau menempatkan penduduk Kampung Budu untuk menyelamatkan diri dari serangan British pada 22 Mei 1892. Kampung Permatang Lama telah menjadi saksi kepada usaha murni Mat Kilau dalam menyelamatkan generasi akan datang dari terus pupus dan mati dek kerakusan tentera British.

Tok Shahrom menempatkan keluarga dan pengikutnya di permatang yang tinggi sebagai satu strategi menghadapi musuh-musuh pada masa itu sekitar tahun 1840. Pada 22 Mei 1892 atau 52 tahun kemudian, Budu di serang British.

Kita lihat, Sun Tzu (554-496 BC), seorang Jeneral Militer, strategis dan ahli falsafah China, mengarang sebuah buku 'The Art of War', ada mengutarakan agar pasukan tenteranya menduduki kawasan tinggi sebagai satu taktik peperangan gerilla mereka.


PEKERJAAN AWAL TOK SHAHROM DI BUDU

Tok Shahrom berkerja melombong emas di kawasan Temau. Ulu Peruas hingga ke Budu bersama suku Rawa dan Mandailing. Pada malamnya beliau mengajar agama di madrasah sekitar kampung-kampung dari Dong hingga ke Budu

Scrivenor J.B(1911), Ahli geologis, F.M.S Government, melaporkan bahawa orang Melayu melombong secara ‘lombong tebuk’ dan ‘lombong dedah’ di Ulu Peruas, Budu, Jeransong, Kemahang dan Tanjung Besar dan Temau.

Anuar Abd. Rahman (2011) menunjukkan berpuluh bekas’lombong tebuk’ dikenali ‘lubang penerih’ di Kg. Ceruk Serai (cerok Tok Akub), Budu, berkedalaman mencecah ratusan kaki.

Pada era pemerintahan Bendahara Tun Ali sebelum perang Saudara Pahang 1857, dilaporkan dalam jurnal Singapore chronicles, bahawa Pahang adalah pengeluar emas terbanyak dengan kualiti terbaik.Kesemua emas itu datangnya dari Ulu Pahang.



SALASILAH TOK  SHAHROM@TEUKU ALI

Semasa menetap di Budu, anak Tok Shahrom yang ke-3 Khatib Rasu Abd Salam, ke-4 Khatib Mohd Amin, ke-5 Khatib Mohd Ariff dilahir dan dibesarkan di Kampung Permatang Lama.

Dari sini lahirlah susur-galur keluarga Maimunah, Khatib Rasu Abdul Salam(Tok Gajah), Khatib Muhamad Amin, Khatib Muhamad Ariff (Hj Meng).

Sila lihat rajah salasilah di bawah:



Blogger Sakmongkol AK47 @ YB Dato' Mohd Ariff Sabri bin Hj. Abdul Aziz ahli parlimen Raub adalah keturunan Khatib Mat Amin. Itu sebab Sakmongkol sering suka guna ayat...dikala nenek moyang saya bertombak berkeris berjuang...nenek moyang mereka bersenang lenang di Istana.



ASUHAN DAN DIDIKAN AWAL KELUARGA TOK SHAHROM@TEUKU ALI.

Bonda Rasu(Tok Gajah), seorang perawan Pahang berketurunan Arab, amat mengambil berat soal asuhan dan didikan Rasu dan adik-beradiknya sejak kecil lagi. Beliau secara sepenuh masa melayani dan menemani anak-anak dalam hal didikan al-Quran dan amalan-amalan mereka. Kedua ibu-bapa mengasuh akhlak dengan cara sentiasa berterus-terang dalam sesuatu hal yang ditanya dan melakukan sesuatu secara lurus dan ikhlas.

Segala tugasan di rumah diasuh keluarganya agar dibahagi dan diaturlaksanakan samarata. Kerja-kerja rumah digilirkan dengan semuanya merasa dalam menyempurna tugasan tanpa perbezaan. Menjaga masa dengan solat pada waktunya menjadi amalan sekeluarga. Semua mereka terdidik untuk menolong dan berbuat bakti terhadap orang yang berkehendak tanpa mengharap upah atau ganjaran.

Perhatikan juga bahawa didikan awal keluarga Tok Shahrom itu adalah dalam persekitaran kampung tanpa pengaruh luar. Fokus didikan awal mereka itu ialah al Quran, solat dan akhlak sesama ahli keluarga.



DIDIKAN MADRASAH RASU@TOK GAJAH

Apabila kanak-kanak lelaki mencecah umur 7 tahun, telah menjadi amalan budaya keluarga Tok Shahrom@Teuku Ali menghantar anak ke madrasah. Antara didikan penting bagi murid-murid ialah mengaji al-Quran dan fardu ain dengan bimbingan ayah Rasu sendiri. Mereka tinggal di madrasah mengaji dan melancar al-Quran dalam kelompok rakan sebaya. Bagi yang lebih mahir, mereka yang kurang lancar akan dibantu membaca hingga khatam al-Quran.

Tok Imam madrasah akan memeriksa bacaan setiap hari lepas waktu zohor dan maghrib. Rasu menunjukkan keupayaan yang lebih dalam pembelajaran al-Quran; bacaan, hafalan dan tulisan jawi berbanding yang lain. Namun, sifat tidak mudah berpuashati, mengelak dari takbur dan gah apabila menerima pujian adalah didikan penting keluarganya.



LATIHAN KEHIDUPAN KELUARGA TOK SHAHROM@TEUKU ALI

Apabila sampai tahap baligh, selain asuhan madrasah, anak-anak sebaya Khatib Rasu dibawa ke hutan. Mereka mula melalui denai-denai dan laluan-laluan sukar di hutan, mengenal pokok-pokok hutan serta buah-buah hutan yang boleh dimakan, mengesan dan menjejaki binatang yang boleh dimakan, mengguna hasilan hutan sebagai ubatan dan untuk dijual ke pekan sehari adalah antara latihan di zaman remaja Rasu dan rakan kelompoknya. Semuanya diasuh berdikari dan bekerjasama dalam kumpulan mereka.

Bila tiba musimnya, anak-anak Tok Shahrom membantu ibunda mereka menguruskan kerja-kerja penanaman padi dan menjaga kerbau untuk menenggala paya. Sementara menanti padi masak mereka pergi melombong emas bersama Tok Shahrom dan memanjat pokok kabung untuk mengutip nira dan dijadikan gula kabung. Disamping itu kerja-kerja seperti menebang, menarah, menakik pokok hutan untuk dijadikan tiang dan galang rumah serta perahu kolek, dibuat bersama rakan-rakan orang Asli. Perhubungan baik Tok Shahrom dengan orang Asli sekitar kaki Gunung Benom ini banyak membantu mereka dalam kerja-kerja mengesan kawasan enapan bijih emas selain memudahkan kerja memasang perangkap dan menjerat untuk mendapatkan binatang buruan. Walaupun mereka memancing di sungai dan paya, namun aktiviti memburu binatang yang mencabar lebih digemari. Keakraban mereka dengan suku kaum Asli terjalin mesra sejak zaman remaja Rasu bagaikan aur dengan tebing.

Sejak kecilnya, Rasu dibawa menghilir Sungai Lipis dari Budu untuk ke pekan sehari Penjom dan ke pekan Kuala Lipis oleh Tok Shahrom bersama ibunya. Bahan-bahan makanan seperti ikan pekasam dan salai, jeruk kepayang dan buah perah, tempoyak, gula kabung, buah-buahan dan madu tualang hutan dijual di pekan sehari Penjom. Manakala bahan keperluan seperti garam, minyak kerosene, tembakau Jawa, kain dibeli dari kedai Cina keturunan Khek di Penjom.

Apabila ke pekan Kuala Lipis, Tok Shahrom membawa Khatib Rasu ke kedai-kedai emas untuk menjual emas mentah kepada tukang emas Cina Khek yang berasal dari Kelantan. Damar dan kayu chendana dijual kepada pembeli-pembeli yang akan membawanya menghilir ke Kuala Pahang untuk dipasarkan ke Singapura. Di pekan Lipis Khatib Rasu didedah kepada dunia perniagaan dan mula mengenali pemuka-pemuka Jelai dan Lipis. Ayahnya memang rapat dengan Tok Raja serta anak-anaknya Wan Embong, Wan Muhamad dan Tok Kaya Wan Daud, Penjom bagi urusan membayar cukai emas mentah sebelum dijual kepada Cina tukang atau peraih emas Lipis.



RAKAN SEPERJUANGAN TOK GAJAH DAN ILMU PERSILATAN

Se-awal zaman madrasahnya di Budu, Khatib Rasu dan rakan-rakan sebayanya mendapat bimbingan ayahandanya, Tok Shahrom dalam hal pencak silat Minangkabau. Apabila mencapai umur remaja, beliau terus diasuh bermain senjata seperti selundang, lembing, siwar/sewar, tumbuk lada, pedang dengan berentap secara berdepan dengan musuh dan secara jauh. Antara rakan kelompok sebaya Rasu ialah Yaman b. Sutan Mas, Jembang b. Hussein, Fakeh Garang, Mahmat Kelubi(@Hitam), Ahmad Burok Shaikh Khodim, Yusof, Samat dan lain-lain.

Imam Rasu dan adiknya Amin dan Arif sering berulang-alik ke pekan Lipis dan Penjom menjual hasilan hutan dan emas mentah kepada peraih Cina. Sebahagian emas mentah ditempa tukang emas di Lipis untuk dijadikan gelang tangan dan kaki, rantai dan kerongsang ibu dan keluarganya. Semasa ke Lipis ini juga, Imam Rasu berkawan rapat dengan Wan Daud dan Wan Embong anak Tok Raja Wan Idris. Mereka sering berkongsi pendapat malah berbincang tentang perang Paderi dan perjuangan Iman Bonjol yang menentang Belanda di Sumatera. Adakalanya mereka berlatih silat 'sending Minangkabau' di bangsal silat di Lipis atau ke Kota Raja, Bukit Betong.

Semasa bermastautin di Pulau Tawar, Khatib Rasu yang dikenali sebagai Imam Perang Rasu oleh Bendahara Wan Ahmad, ada mengundang Pendekar Mat Aris dan Pendekar Sutan Juan dari tanah Minangkabau, Sumatera untuk melatih anak-anak dan keluarganya ilmu pencak silat secara tertutup. Pendekar Sutan Kari dan Bintang Terus adalah antara pendekar–pendekar yang melatih Pendekar Endol bin Imam Nong, Pendekar Ahmad bin Tok Muda Abdullah di Pulau Tawar, sebelum kemasukan British.

Mat Kilau, antara anaknya yang belajar ilmu pencak silat dari Dato’ Bahaman dan bapanya Tok Gajah. Beliau juga belajar ilmu kebal, ilmu halimunan dan berjalan atas air. Namun akibat peperangan dengan British meletus, ilmu berjalan atas air tidak sempat disempurnakan.



KHATIB RASU@TOK GAJAH MATANG DI USIA MUDA.

Rasu berdepan dengan masyarakat pada usia yang muda, sekitar 17-18 tahun.
Zaman remajanya dipenuhi dengan usaha mendalami agama di Pulau Tawar, Berhala Gantang dan Bangau di Kuala Semantan, Chenor dan di Pekan. Beliau mula menjadi Imam masjid dan memberikan kutbah Jumaat di Budu dan madrasah sekitarnya. Beliau juga mengajar al-Quran, aqidah dan fiqh dan sirah Nabi di madrasah sekitar Budu, Dong, Kemahang, Jerangsong dan Tanjung Besar.

Beliau sering menghilir ke Kuala Pahang di Pekan menemui datuk dan keluarga keturunan Arab sebelah bondanya, Tuan Shaikh Ali. Di sebelah bapanya, Imam Rasu menziarahi keluarga Tengku Tan Joleng Tujuan Saka Mas, Tok Dagang, Tok Gendut dan Tok Jenal di Temau, Dong, Raub.

Walaupun bukan dari kalangan ulamak, Tok Gajah menpelajari ilmu suluk dengan agamawan Rawa di Temau dan Imam Malim Yunus, seorang Imam Mandailing yang tinggi keramahnya di Pulau Tawar. Beliau mengamal zikir dan yang paling ketara dikalangan keluarganya ialah zikir ‘Ya-Latif’.

Beliau diajar agar sentiasa berwaspada dan bersikap terbuka terhadap apa-apa berita yang sering diterima tanpa bersangka buruk.



ISTERI-ISTERI TOK GAJAH.

Pada usia yang muda, Khatib Rasu@Tok Gajah berkhawin dengan beberapa orang perawan. Dengan isteri pertamanya bernama Cik Siti dari Kuala Kenong, beliau mendapat 7 orang zuriat yang salah seorangnya ialah Awang Baiduri.

Dengan isteri ke-2, Jebah binti Ibrahim dari Batu Naga, Budu, beliau menperoleh 10 orang anak.

Selepas perang Saudara Pahang, beliau berkhawin dengan Teh Mahde dari Kg.Berau, dianugerahi pula dengan 3 orang anak iaitu Mat Kilau, Teh Ibrahim dan Yang Chik.

Teh Mahde adalah adik kepada Imam Perang Khatib Bahrain bin Tok Kaut. Imam Perang Khatib Bahrain  berasal dari Tembeling dan sekampung dengan Penghulu Raja Tembeling.

Dengan isterinya ke-4, Bedah orang Pulau Tawar, seorang putera bernama Awang Nong diperolehi. Namun, selepas Bedah melahirkan Awang Nong dia meninggal dunia dan Awang Nong telah dipelihara oleh Teh Mahde sebagai anak sendiri.

Manakala perkhawinan beliau seterusnya dengan Cik Mah, gundik kurniaan Sultan Selangor; Cik Pekan dari Kuala Pahang ; Cik Khatijah dari Pasir Nering,Terengganu, Tok Gajah tidak memperoleh zuriat.



KISAH MU'ALIM YUNUS DAN PULAU TAWAR.

Penghijrahan Teuku Ali@ Tok Shahrom ke Semenanjung Tanah Melayu sekitar tahun 1820-an adalah berpunca dari perebutan tahta dengan adik bongsunya yang berpegang kuat kepada adat Perpatih. Sokongan dan bantuan pihak Belanda terhadap pendokong ‘kaum Adat’ menambahkan kekalutan dalam perebutan tahta kerajaaan Bilah-Panai. Demi mengelakkan pertumpahan darah dan menyelamatkan aqidah dari kezaliman Belanda terhadap pengikut-pengikutnya yang menyokong Imam Bonjol(1772-1864) dalam perang Paderi(1803-1838), beliau dan adiknya Teuku Mahmud bersama 40 orang pengikut mengambil keputusan berhijrah ke Tanah Melayu.

Mereka memasuki Semenanjung Tanah Melayu melalui Perak di kawasan Bidor di mana Teuku Mahmud berkhawin dan bermastautin dengan amannya di sana. Teuku Ali meneruskan penghijrahan bersama orang kanannya, Mu'alim Yunus dan sebahagian pengikut lainnya melalui Ulu Slim, Perak merentas banjaran Titiwangsa ke Ulu Lipis dan menetap di Temau, Pahang.

Semasa di Temau, Teuku Ali menukar namanya kepada Tok Shahrom dan mendirikan rumahtangga dengan seorang perawan Pahang bernama Siti Hajar binti Shaikh Ali. Manakala, sebahagian lain pengikutnya meneruskan perjalanan bersama Mu'alim Yunus hingga ke sebuah pulau bertanah tinggi dan tiada berpenghuni di Sungai Pahang dikenali sebagai Pulau Tawar.





PERANG SAUDARA PAHANG MELETUS (1857-63)

Keamanan dan kedamaian semasa pemerintahan Bendahara Ali (1803-1857) tidak bertahan lama. Keadaan berubah menjadi kacau-bilau akibat perebutan kuasa sesudah pemergiannya. Wan Mutahir dan adiknya Wan Ahmad masuk ke kancah perang saudara dan mengheret penduduk-penduduk pendalaman Pahang.

Pada usia sekitar 17 tahun, Imam Rasu@Tok Gajah dipercayai suku Rawa dan Mandailing untuk mengepalai mereka dalam mempertahankan keamanan di pendalaman Pahang. Bersama bapanya Teuku Ali,dikenali juga dengan Sutan Basirun; Imam Rasu dikenali Imam Perang Sutan Garang memasuki perang Saudara Pahang dengan menyebelahi Wan Mutahir pada awal peperangan.

Imam Rasu bin Shahrum atau juga dikenali sebagai Tok Gajah, Khatib Rasu dan Imam Perang Rasu ialah Orang Besar Raja Pahang dengan gelarannya ialah Orang Kaya Indera Gajah Pahang. Beliau juga merupakan penasihat utama Sultan Ahmad Muazzam Shah, Sultan Pahang dalam segala hal yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar. Beliau merupakan Orang Kaya Raja yang berkuasa dari kawasan Batu Redap sampai ke Kuala Piul, kawasan dari Tanjung Sakti sampai ke Kangsa, kawasan dari Pedah hingga ke Tanjung Lindung dan juga Lembahan Sungai Budu di Lipis. Kedudukan beliau setaraf dengan Orang Besar Empat di Pahang.

Beliau juga merupakan ketua pasukan pemberontak dalam penentangan terhadap penjajah British dan Sultan. bersama Datuk Bahaman dan pejuang-pejuang sezamannya yang dipimpin pada tahun 1893/1895. Tok Gajah sanggup menghadapi askar-askar British yang lengkap bersenjata ketika bertindak menghalau penjajah British yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Tok Gajah adalah ayah kepada Mat Kilau, pahlawan Melayu Pahang.

Bersama-sama dengan Datuk Bahaman, Datuk Lela dan Mat Kilau, Tok Gajah merupakan salah seorang pahlawan yang terlibat dalam mematahkan pemberontakan Pahang antara tahun 1891 hingga tahun 1895. 

Pada tahun 1892, pihak British mengeluarkan perintah tangkap ke atas Tok Gajah lalu memaksa beliau menyelamatkan diri ke Ulu Kelantan dan kemudian ke Hulu Terengganu sebelum meninggal dunia pada tahun 1901. Kubur Tok Gajah terletak di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

SUMBER: Linehan A History Of Pahang, Hikayat Pahang, Waris Tok Gajah, FB Sehati Tok Gajah, dll.

6 comments:

Anonymous said...

Orang cakap 100 tahun dah habis.Orang cakap la.

Mang said...

A very interesting article. Sebagai anak kelahiran Pahang tanggal 1960 di Pulau Tawar, Jerantut ingin terus rasanye menyinkap perjalanan serta kesinabungan Tok Gajah yg di bawa oleh Mat Kilau seterusnya bagi melengkapkan sejarah serta salah silah Pahlawan Melayu Pahang. Di harap penulisan saudara dapat di teruskan .

Unknown said...

Kita mesti belajar dr sejarah lampau walaupun dah beribu tahun habis...sejarah berulang dengan kondisi zaman yg berbeza...xperlu dengar apa.orang kata kalau kita mahu jd orang yg mengikut tauladan

Anonymous said...

terima kasih...Dato' Wan Z

alongsyasya said...

Jalan Ulu Slim ke Ulu Lipis .10batu je.ada.Zaman ini Zaman IR 4.0 . In sya Allah JKR Raub Pahang + JKR Muallim Perak. Bina laluan bersejarah kita. Semoga Allah mudahkan.Nak jalan kaki nak jogging boleh je .Dekat.Saya seronok jalan kaki. Berkelah.

alongsyasya said...

Hiway PLUS. PINTU gerbang ke PahangBaratPlus
Exit Slim River via Ulu Slim ke Lata Lembik.
10 batu. Terus Ke Pekan Batu Malim ke Sega.
Jumpa Central Spine Road.

AL Fatehah.
(Aku Hamba Allah.Aku Umat Nabi.)
LailahailaAllah .Muhammad Rasul Allah.

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...