Thursday, August 17, 2017

PRIMA Satu Lagi Produk Najibnomics Untuk Rumah Mampu Milik Terbaik Dunia

Image result for projek perumahan prima


Perumahan merupakan salah satu agenda pembangunan terpenting dan adalah hasrat Kerajaan bahawa setiap rakyat negara ini berpeluang memiliki rumah sendiri. Melalui agenda ini, PR1MA diamanatkan membina perumahan mampu milik berkonsepkan gaya hidup moden di seluruh negara, terutamanya untuk mereka yang pendapatannya berada pada paras pertengahan (M40).

Mandat PR1MA bukan sahaja tertumpu kepada pembinaan kediaman untuk golongan berpendapatan sederhana sahaja. Mungkin ramai yang tidak tahu tetapi PR1MA merupakan salah satu pemangkin yang mampu mencetus kemajuan sosio ekonomi negara melalui pemerkasaan agenda bumiputera dari segi pemilikan hartanah, kenaikan nilai tanah rizab Melayu dan “multiplier effect” atau impak berganda dengan membuka lebih banyak peluang perniagaan lagi.

Mengikut statistik yang direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, dalam tahun 2016, hanya 44% transaksi pemilikan rumah kediaman melibatkan Bumiputera dengan nilai hampir RM 21 bilion. PR1MA menganggarkan dari 500,000 unit yang dimandatkan, lebih kurang 68% kediaman PR1MA atau 340,000 unit yang bernilai secara purata RM85 bilion, akan dimiliki oleh rakyat Bumiputera.

Pendekatan yang diambil oleh PR1MA untuk menggalakan pemilikan rumah terutamanya di kalangan golongan berpendapatan pertengahan dan dari golongan Bumiputera, tertumpu bukan sahaja dari segi harga jualan malah juga segi pembiayaan. Sesungguhnya ini adalah antara komitmen Kerajaan untuk menggalakkan pemilikan hartanah dan merealisasikan impian rakyat-rakyat Malaysia yang ingin memiliki kediaman sendiri.

Dengan adanya pembangunan kediaman PR1MA di seluruh negara, nilai pembangunan tanah rizab Melayu juga ditingkatkan. Setakat ini, 61 projek PR1MA yang merangkumi 53,062 unit sedang dibangunkan di atas tanah rizab Melayu dengan nilai tanah sebanyak RM1.2 bilion dan nilai pembangunan sebanyak RM13 bilion.

Terdapat banyak tanah rizab Melayu yang terletak di kawasan strategik. Apa yang lebih membanggakan, pembangunan PR1MA bukan sahaja akan dapat meningkatkan nilai tanah tersebut, ianya juga harus dilihat dan dinilai dari segi kesan limpahan kepada ekonomi komuniti-komuniti sekeliling pembangunan PR1MA.

Sukacita saya berkongsi di sini bahawa setakat ini, daripada sejumlah 267,902 unit kediaman yang telah diluluskan oleh Anggota Perbadanan PR1MA, sebanyak 139,393 unit kediaman PR1MA kini dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Ini tidak termasuk rumah mampu milik di bawah naungan agensi-agensi lain yang juga dalam pelbagai peringkat pembinaan. Antaranya setakat bulan April, 43,699 unit kediaman di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), 42,288 unit kediaman di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan 28,195 unit di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) .

Projek PR1MA juga perlu dilihat dari segi big picture, iaitu limpahan ekonomi yang dijana melalui pembangunan projek-projek PR1MA yang mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value) sebanyak RM125 bilion.

Apa yang penting juga, PR1MA telah memberi impak berganda atau “multiplier effect” dalam membuka peluang perniagaan kepada peniaga Bumiputera melalui rantaian perbekalan dan pembangunan vendor.

Setakat ini, PR1MA telah memberikan kontrak-kontrak bernilai lebih daripada RM15 bilion kepada 574 firma Bumiputera dari seluruh negara untuk pelbagai jenis kerja pembinaan dan perundingan. Daripada 89 projek bernilai sejumlah RM22.4 bilion yang telah ditandatangani, sebanyak 55 projek atau 62% telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera berlandaskan merit. Ini jelas menunjukkan komitmen PR1MA terhadap agenda Bumiputera dengan menyediakan peluang sama rata kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

Alhamdulillah, saya juga telah berpeluang berkunjung ke tapak-tapak projek PR1MA di seluruh negara sebelum ini. Terus terang saya katakan, saya berpuas hati dengan mutu kerja kediaman PR1MA yang dibina. Tentu sekali ini membuktikan bahawa syarikat-syarikat bumiputera mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kemampuan untuk mengambil bahagian dalam projek pembangunan negara jika diberi peluang.

Saya dimaklumkan bahawa ramai kontraktor dan firma perundingan telah mengatakan, tanpa program PR1MA dan tanpa bantuan Kerajaan, tidak mungkin mereka terlibat dalam projek pembangunan yang berskala besar. Alhamdulillah, PR1MA telah membuka peluang untuk syarikat-syarikat Bumiputera bersaing dalam industri pembinaan, demi membuat anjakan besar di dalam keupayaan mereka. Saya sendiri juga telah memastikan bahawa peluang diberi kepada kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana di setiap negeri, supaya manfaat yang dicetus oleh projek PR1MA boleh dirasai di setiap pelosok negeri.

Oleh itu, hari ini saya berasa amat gembira kerana dapat berjumpa sendiri dengan lebih daripada 1,500 rakan Bumiputera PR1MA, merangkumi pelbagai sektor, termasuk pihak pemaju, syarikat guaman, pihak bank, sehinggalah kontraktor-kontraktor yang pemotong rumput, pemasang rangka pintu, perkhidmatan keselamatan dan sebagainya. Ingatlah bahawa sumbangan dan kerja keras anda amat penting dalam mencapai agenda pembangunan negara.

Friday, August 11, 2017

ECRL Satu Produk Najibnomics Untuk Kesejahteraan Rakyat Dan Malaysia




Alhamdulillah, dengan rasminya pecah tanah Projek ECRL hari ini, menandakan satu lagi detik bersejarah untuk negara, sebuah projek pengangkutan awam darat yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di Pantai Timur.

Sebelum ini, pengangkutan awam darat tidak diberikan fokus yang sewajarnya. Oleh itu, saya terpanggil untuk menjadikannya agenda utama kerajaan dan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara, bagi menjamin kesejahteraan rakyat, bukan sahaja di bandar tetapi juga meliputi kawasan pinggir bandar.

Sejak Merdeka lagi, kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia hanya dihubungkan melalui jalan darat dan lebuhraya, selain landasan kecil keretapi yang sememangnya tidak mencukupi.

Saban tahun, kesesakan teruk akan berlaku terutamanya di waktu perayaan, di mana tempoh perjalanan menggunakan lebuhraya dan jalan darat dari Pantai Barat ke Pantai Timur dan sebaliknya mengambil masa 3 kali lebih lama berbanding biasa.

Pada masa sama, ketiadaan mod pengangkutan yang efisien turut mengurangkan jumlah barangan yang boleh dibawa masuk dan keluar, seterusnya mengekang pertumbuhan dan aktiviti ekonomi bagi kawasan Pantai Timur.

Inilah antara sebab utama Kerajaan membuat keputusan untuk membina ECRL, projek InfraRakyat berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang akan menghubungkan Lembah Klang dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Pembinaan landasan sepanjang 688 km ini juga sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur negara yang efisien, selain menghubungkan bandar dan menambahbaik pengangkutan awam di kawasan luar bandar di Pantai Timur.

Suka saya nyatakan bahawa projek ini menjadi kenyataan hari ini adalah hasil rundingan G2G antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China yang menyaksikan pelantikan syarikat milik kerajaan China yakni China Communications Constructions Company (CCCC) untuk membangunkan projek bernilai RM55 bilion ini, manakala Malaysia Rail Link Sdn Bhd adalah syarikat tujuan khas di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan ditugaskan sebagai pemilik projek.

Terima kasih kepada Kerajaan China yang telah bekerjasama dengan erat dengan kita bagi menjayakan projek mega ini, terutamanya kepada Presiden Xi Jinping yang turut menghantar utusan peribadi beliau TYT Wang Yong di majlis pecah tanah hari ini.

Bagi projek ECRL ini juga, Malaysia menerima terma pembayaran menarik di mana 85 peratus projek ini akan dibiayai soft loan 3.25 peratus daripada China Exim Bank, dan baki 15 peratus dibiayai program sukuk diuruskan oleh bank-bank pelaburan tempatan.

Sejak awal perancangan projek ECRL ini lagi, Kerajaan telah meletakkan kepentingan rakyat Malaysia sebagai keutamaan, di mana sekurang-kurangnya 30 peratus daripada projek ini akan melibatkan penyertaan kontraktor tempatan yang layak.

Oleh itu, saya menyeru kepada kontraktor tempatan yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan, ambillah peluang yang tersedia dan sertailah projek bersejarah ini.

Selain itu, kolaborasi Malaysia dan China dalam projek ini juga telah menghasilkan program Latihan Industri ECRL yang bertujuan memberikan para pelajar Malaysia kemahiran yang mencukupi bagi turut serta dalam pembinaan ECRL.

Program ini telah dilancarkan pada 14 Jun 2017 dan mensasarkan penyertaan 3,600 pelajar Malaysia, di mana mereka yang berjaya melengkapkan latihan akan secara automatik ditawarkan pekerjaan.

Sesungguhnya seperti MRT, ECRL ini adalah satu lagi “game-changer” dan “mindset-changer” bagi rakyat Malaysia, di mana ia akan memendekkan masa perjalanan dari dan ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Waktu perjalanan keretapi dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak ke Kota Bharu dijangka mengambil masa kurang daripada 4 jam, berbanding 7 jam melalui jalan darat dan 12 jam pada musim perayaan.

Oleh yang demikian, ECRL akan menyediakan alternatif yang lebih pantas, selesa serta mengurangkan jurang dan menjadi pemangkin kepada kesaksamaan ekonomi antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

ECRL bakal merangsang pelaburan, meningkatkan aktiviti ekonomi, mewujudkan banyak pekerjaan, memudahkan pendidikan berkualiti, dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri-negeri sepanjang laluannya iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Sebagai projek keretapi terpanjang Malaysia, ECRL juga akan menggalakkan pembangunan kawasan perindustrian dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang memupuk daerah kediaman padat dan pusat komersial sepanjang stesen keretapi berkualiti.

Bandar-bandar seperti Bentong, Mentakab, Maran, Kuantan, Cherating, Chukai, Dungun, Kuala Terengganu, Tok Bali dan Kota Bharu yang telah ditetapkan sebagai stesen ECRL bakal menerima manfaat daripada pembangunan ini.

Salah satu komponen penting ECRL adalah ia menjadi pelengkap kepada integrasi pelbagai mod pengangkutan dan menyediakan kesalinghubungan atau connectivity kepada pengguna dan barangan dari dan ke negeri-negeri Pantai Timur yang mempunyai 4.4 juta penduduk.

ECRL juga akan membawa banyak manfaat kepada pengangkutan muatan kerana ia menghubungan kawasan ekonomi dan industri utama dalam ECER seperti Malaysia-China Industrial Park, Gambang Halal Park, Kertih Biopolymer Park, dan Tok Bali Integrated Fisheries Park ke Pelabuhan Kuantan dan Port Klang.

Dianggarkan menjelang 2030, seramai 5.4 juta pengguna dan 53 juta tan kargo akan menggunakan perkhidmatan ECRL setiap tahun sebagai mod pengangkutan utama antara Pantai Barat dan Pantai Timur.

Kerajaan turut meramalkan bahawa KDNK bagi 3 negeri di Pantai Timur ini akan meningkat sebanyak 1.5 peratus dengan terlaksananya projek ini.

Ini bermakna, ECRL akan meningkatkan tahap pendapatan dan taraf hidup penduduk Pantai Timur, dengan penduduk luar dan separa luar bandar dijangka menjadi penerima manfaat utama daripadanya.

Terlalu banyak manfaat yang akan dibawa oleh ECRL, kepada rakyat, negara, di peringkat tempatan, Asia Tenggara, malah di peringkat global.

Tetapi malangnya, masih ada dalam kalangan pembangkang yang cuba untuk menjejaskan projek ini.

Walaupun begitu, saya memberi jaminan kepada rakyat di Pantai Timur bahawa Kerajaan Barisan Nasional mempunyai rekod prestasi cemerlang dan akan menepati janji, seperti yang telah kita lakukan dengan siapnya MRT baru-baru ini.

Dengan sokongan berterusan kepada kerajaan, Insya-Allah, saya yakin dan percaya kita akan menyaksikan sempurnanya ECRL pada tahun 2024 seperti yang dijanjikan.

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024