Monday, May 29, 2017

Sejarah Tragedi Pemikiran Politik Melayu

Image result for kaum muda


Bangsa Melayu yang maritim ke laut menjadi peneroka dunia adalah mencipta tamadun tertinggi akhirnya bila bangsa Melayu ini menetap di darat bukit agraria terus jatuh merosot tamadun hingga kini semakin hilang jati diri.

Bila bangsa Melayu hilang keyakinan maka senang ditipu helah dan dijajah. Pemikiran tidak bebas dan kreatif. Berlakulah tragedi pemikiran politik Melayu.

Pemikiran politik Melayu yang menguasai Empayar Srivijaya, Majapahit dan Kesultanan Melaka itu hanya tinggal kenangan dan bagai mimpi untuk mencapai kembali kegemilangan itu.

Bila Bangsa Melayu diperlekeh maruah oleh Portugis, Belanda, Inggeris maka tragedi pemikiran politik Melayu berleluasa.

Ulamak pun tidur...Ulamak yang merasai cukup apa yang ada dan kuat tawakalnya tetapi kurang usaha ke arah memperbaiki mutu kehidupan seharian. Mereka kuat berzikir dan beribadah di atas tikar sembahyang sehingga sering terlelap di situ. 

Mereka berjaya melahirkan daei dan pendakwah yang beradab dan berakhlak mulia. Mereka tidak berminat politik dan tidak menceburkan diri dalam politik semasa itu. Mereka sangat dihormati oleh masyarakat. 

Kebanyakan mereka mengamalkan cara hidup zuhud. Dunia seperti musuh dan terasing. Murid diajar supaya meletakkan urusan dunia di bawah tapak kaki. Murid diajar supaya berpegang teguh kepada ajaran agama, beramal ibadah dan berdakwah. 

Kehebatan mereka ialah air liur mereka masin. Maksud disini ialah istilah kekeramatan para ulamak ketika itu. Doa mereka makbul. Sumpah mereka mengena. Teguran mereka berbisa dan digeruni.


Golongan manusia Melayu yang mula-mula membawa idea politik bukanlah Persatuan-Persatuan Melayu dan bukan ulamak Melayu. Tetapi adalah golongan terpelajar agama dari Timur Tengah dan mereka tidak mengaku diri mereka sebagai ulamak. 

Mereka dikenali sebagai Kaum Muda. Ulamak tradisional dan pengikutnya sangat dihormati masyarakat, popular dan tersohor sebagai Kaum Tua. Kaum Tua berterusan berbalah dengan Kaum Muda yang membawa pelbagai pembaharuan. 

Kaum Muda bertungkus lumus berdakwah supaya anggota masyarakat bangun dari tidur. Jangan terus lena seperti tuan-tuan guru mereka yang hanya sibuk dengan hukum-hakam agama. 

Lebih menyedihkan apabila Kaum Tua asyik berhujah mengenai hukum hakam dengan bersandarkan rujukan guru dan guru kepada guru mereka. Mereka tidak sedar bahawa dunia memerlukan tenaga yang agresif kerana dunia Islam di Timur Tengah sudah ditawan si kafir dan si munafik. 

Musuh kafir berusaha mengkafirkan dan menyesatkan umat Islam secara halus seperti gunting dalam lipatan. Hal ini tidak disedari oleh Kaum Tua.


Dakwah dan ideology yang dikenali sebagai politik moden kerana berjuang menuntut kemerdekaan bernegara ini masih sangat kabur di kalangan Kaum Tua. Malah mereka menjadi batu penghalang pula dengan mengeluarkan fatwa sesat kepada Kaum Muda sehingga masyarakat Melayu bercelaru fikiran. 

Yang menyahut ideology Kaum Muda ialah pemuda-pemuda berpendidikan Melayu, guru-guru Melayu, guru-guru sekolah agama kerajaan dan pemuda-pemuda Melayu yang tidak tinggi pelajaran. 

Manakala pemuda-pemuda Melayu berpendidikan Inggeris hanyut dengan pengaruh Inggeris. Mereka hayal dengan penghormatan yang sengaja dicipta penjajah meskipun hanya bekerja sebagai budak pejabat yang tahu sedikit berbahasa Inggeris. 

Golongan yang berpendidikan tinggi pula hidup terasing daripada kebudayaan Melayu sendiri kerana berbangga dengan status sosial mereka. Mereka tidak sedar mereka diperalat oleh penjajah dalam pentadbiran bagi memudahkan penjajah membawa keluar hasil bumi tanah air mereka sendiri.


Apabila dunia dalam era memerdekakan negara jajahan setelah tamat Perang Dunia II, penjajah Inggeris segera mencari proksi mereka di Tanah Melayu. 

Ekonomi diberikan kepada bangsa Cina dan pentadbiran kepada bangsa Melayu. Mereka sedar mereka akan diusir oleh pejuang kebangsaan tulin lantas mereka memilih UMNO dan menekan orang Melayu supaya bersatu dalam UMNO sahaja. 

Tujuan tersirat mereka agar mudah bangsa Melayu ini dicucuk hidung. Bila orang Melayu bersatu melalui UMNO mereka tidak melupakan golongan Kaum Tua yang dianggap begitu keramat dalam masyarakat. 

Kebanyakan pemuda Melayu tidak berpendidikan tinggi dalam bidang agama mahupun pendidikan Melayu. Sehubungan itu mereka mengangkat golongan ulamak terlibat dalam parti. 

Kaum ulamak ini merasa diri mereka tersepit kerana tidak berpengetahuan dalam pentadbiran. Kehendak mereka supaya pelajaran agama dan syariat Islam diutamakan tidak dipersetujui oleh kumpulan Melayu berpendidikan Inggeris yang membawa akibat keluarnya golongan ulamak dari UMNO pada tahun 1951 dan menubuhkan PAS pada tahun berikutnya.


Sehubungan itu, dapatlah kita gambaran ringkas apabila PAS mengangkat ulamak untuk mentadbir negara moden tanpa sedar bahawa ada peringatan dan petunjuk dalam agama agar jangan melantik pemimpin yang bukan ahli kerana akan merosakkan komuniti atau sesebuah negara itu sendiri. 

UMNO tetap bangkit, bangun membina negara walau dicerca dan diperlekeh. Oleh itu bagaimana pula cita-cita negara dengan syariat Islam yang diidam-idamkan?

Kini tragedi pemikiran politik Melayu bila orang Melayu sanggup berpecah belah membuat lebih banyak acuan politik yang akhirnya melemahkan kekuatan orang Melayu itu sendiri.

Sanggup bersekongkol kalau bukan Inggeris sekarang kepada musuh-musuh orang Melayu secara tersurat dan tersirat serta gunting dalam lipatan.


Kalau ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.

Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah.

Itu pengaruh penjajah.

Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.

Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya.

Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?

Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.

Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh.

Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.

Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.

Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan.

Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.

Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu.

Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British.

Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi – daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.

Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.

Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita.

Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.

Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.

Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an.

Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.

Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun PAS, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan.

Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

No comments:

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...