Sunday, June 20, 2010

Falsafah 1Malaysia

1Malaysia rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan adalah slogan PM Najib bila mengambil alih kepimpinan dari Tun Pak Lah pada selepas 1 April 2009.

Kritik mengatakan slogan ini hanya retorik Najib. DAP anggap Najib "copy" dari Malaysian Malaysia. Melayu haluan kanan mahu pun kiri memandang sinis konsep 1Malaysia ini. Perkasa umpamanya tidak berapa setuju. Ada pemimpin-pemimpin UMNO tidak menyokong.

WZWH mahu mengajak semua rakyat Malaysia berfikir sejenak tentang realiti politik negara ini. Sekarang bukan masa kita menyalahkan British atas kesalahan lampau menjemput pendatang Cina dan India datang ke Tanah Melayu. Juga tidak guna kita mengutuk raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu yang juga bertanggungjawab membawa kaum Cina dan India datang bekerja di lombong bijih timah, emas dan bidang pertanian.

Mereka sudah ada di negara Melayu ini. Sudah lahir di bumi bertuah ini. Mereka membentuk lebih 35% daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 28 juta orang. Kita semua adalah "Malaysian". Semua kaum jangan ambil peduli polemik ras yang boleh menghancurkan negara.

WZWH mahu semua orang tidak kira apa parti atau NGO berfikir seolah-olah kita adalah Perdana Menteri Malaysia! Sebagai PM Malaysia sudah tentu kita mahu Malaysia yang penduduknya berbilang kaum hidup aman, damai dan menjaga perpaduan negara. Apa yang Tun Razak buat dasar seperti Rancangan Malaysia (sudah yang ke-10) dan DEB, "final product"nya ialah PERPADUAN yang menjamin kemakmuran negara.

Maka WZWH mahu menerangkan apa itu falsafah 1Malaysia. Supaya kita semua rakyat Malaysia memahami apa pemimpin kita PM Najib mahu dari kita semua didalam menterjemahkan konsep 1Malaysia untuk kita aplikasikan dalam kehidupan kita.

1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

1Malaysia adalah pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi Malaysia.

Dalam erti kata lain 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 tercapai.

Pengertian ini berdasarkan hujah untuk mencapai status negara maju, syarat yang paling utama ialah perpaduan-rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi negara-negara lain kerana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan digantikan dengan satu identiti nasional yang sama.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, dimana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain agar kita saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

Prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak dipinggirkan. Keadilan mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu dengan dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Bila perpaduan dicapai maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Konsep 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama seperti berikut :
  • Aspek Pertama-Penerapan Teras-Teras Perpaduan
  • Aspek Kedua-Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi

Teras-teras perpaduan ialah:
  • Penerimaan-sikap toleransi
  • Prinsip-prinsip Kenegaraan yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
  • Keadilan sosial-tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan
Ketiga-tiga Teras Perpaduan didokongi oleh nilai-nilai murni termasuk:
  • Hormat-menghormati
  • Rendah hati (Tawadhuk)
  • Kesederhanaan
  • Berbudi-bahasa
Dalam melaksanakan aspek kedua gagasan 1Malaysia, nilai-nilai berikut perlu diberi penekanan:
  • Budaya Berprestasi Tinggi
  • Budaya Ketepatan
  • Budaya Ilmu
  • Integriti
  • Ketabahan
  • Kesetiaan
  • Kebijaksanaan
  • Budaya Inovasi
1Malaysia-Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan diyakini akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia.

Tidak sampai setahun konsep 1Malaysia diperkenalkan oleh PM Najib kepada rakyat Malaysia, baru-baru ini didalam senarai persaingan dunia (World Competitiveness Nations), Malaysia telah berjaya menduduki senarai ke-9 dunia. Ini adalah hasilnya konsep 1Malaysia yang jika rakyat Malaysia terus mengamalkannya, perpaduan rakyat Malaysia yang bersatu padu akan menjadikan negara stabil, aman, kukuh dan makmur.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024