Thursday, June 10, 2010

Kem Anak Soleh Di DUN Tahan

Program Kem Anak Soleh telah diadakan di Masjid Kuala Teh di DUN Tahan pada 7 Jun 2010 dari pagi sampai malam. Program ini anjuran pelajar sijil tinggi agama Malaysia dengan kerjasama JKKK Kuala Teh.

WZWH kagum dengan sekumpulan pelajar agama belasan tahun yang berani mengambil inisiatif mengadakan program Kem Anak Soleh. Pada mulanya WZWH ingat program seumpama ini dianjurkan oleh jabatan kerajaan seperti Jabatan Agama Islam, PPD, Belia atau Belia Islam seperti ABIM, JIM tapi rupanya budak-budak sahaja!

Mari kita lihat apa kandungan program ini. Antara tentatif program ialah Futhur dan Pendaftaran, Khidmat Diri, Kem Bistari Solat, LDK dan amali, Solat Zohor dan Tazkiah Nafsi, Surat Wasiat, Solat Asar dan Bacaan Al Ma'thurat, Limpahan Peluh, Asya' dan Khidmat Diri, Solat Maghrib dan Kuliah Maghrib, Solat Isya', Malam Saqofah Islamiah, Night Drink, Himpunan Al Mulk.

Cabutan bertuah hamper buat semua ibu bapa yang datang menambahkan lagi kemeriahan program ini. WZWH cukup terhibur dengan persembahan lagu-lagu nasyid berbahasa Melayu dan Arab dari pelajar sekolah menengah agama Al Basriah Kuala Tembeling.

Objektif program Kem Anak Soleh ialah:
  1. memberi pendekatan yang jelas kepada para pelajar mengenai akhlak sebagai pelajar muslim yang sebenar.
  2. memupuk kesempurnaan sahsiah berlandaskan syariat Islam.
  3. mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim dikalangan pelajar.
  4. untuk memperbaiki dan memperkemaskan cara bacaan dalam solat.
  5. membentuk saf kepimpinan remaja yang mempunyai daya kepimpinan dan kefahaman yang jelas tentang Islam dan beramal dengannya.
  6. menambah penghayatan dan menimbulkan rasa tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan kolektif.
  7. memudahkan generasi seterusnya mengerakkan agama Islam supaya dapat membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islamiah dalam diri, peka dan sensitif terhadap perkara yang tidak Islamik.
Kadi Temerloh menyampaikan ceramah agama bertajuk Ciri-ciri Anak Soleh dan Ciri-ciri Anak Tidak Soleh. Anak yang soleh mengikut cakap ibu bapa dan memahami objektif program Kem Anak Soleh. Anak yang tidak soleh durhaka kepada kedua ibu bapa dengan terlibat dengan gejala sosial seperti dadah, minum arak, berjudi, merempit membahayakan nyawa sendiri dan nyawa orang lain, pergaulan bebas, buang anak, tidak mahu bekerja, suka melepak.

YB Dato' Wan Amizan bin Wan Razak ADUN Tahan dalam ucapan penutupnya menyatakan rasa bangganya dengan usaha kreatif sekumpulan anak muda Kampung Kuala Teh menganjurkan program Kem Anak Soleh mendidik adik-adik supaya menjadi generasi masa depan yang berguna dan berbakti kepada masyarakat. YB Dato Wan Amizan mahu menerapkan nilai-nilai Islam yang baik dalam program Kem Anak Soleh ke semua kampung dalam DUN Tahan. Beliau berjanji akan membantu mana-mana anak muda di kampung yang ingin menganjurkan program sedemikian dari segi peruntukan kewangan.

WZWH percaya anak-anak muda yang soleh bukan sahaja patuh kepada kedua ibu bapa tapi juga taat kepada pemimpin-pemimpin baik peringkat kampung, daerah, negeri dan negara. Anak yang soleh taat kepada Amirulmukminin.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024