Monday, February 22, 2016

Ahli Majlis PBT Perlu Faham Peranan Dan Tanggungjawab



Setiap individu yang dilantik menjadi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat, dalam usaha mencapai matlamat mensejahterakan rakyat.

Setiap ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu memahami asas dan peranan PBT, untuk terus menjayakan dasar-dasar kerajaan dalam mensejahterakan rakyat.

Ahli Majlis PBT juga perlu bersama-sama masyarakat dengan mendengar dan mengutip isu-isu dan permasalahan masyarakat untuk tindakan selanjutnya.

Bagi memastikan matlamat tersebut, setiap ahli majlis PBT akan dibahagikan kepada beberapa zon untuk mereka menjalankan peranan sebagai ahli majlis, seterusnya berkongsi idea dan cadangan bagi sebarang penyelesaian sesuatu isu di kawasan zon bawah jagaan mereka.

Bagi merealisasikan matlamat itu juga, bengkel khusus perlu diadakan kepada ahli-ahli majlis PBT, untuk mereka memahami peranan mereka sebagai ahli majlis.

Setiap individu yang dilantik sebagai ahli majlis telah melepasi beberapa saringan dan tapisan, untuk melayakkan mereka sebagai ahli majlis yang bersih dan benar-benar mampu menjalankan tugas kepada masyarakat.

Sebagai pihak berkuasa tempatan, mempunyai pelbagai peranan dan fungsi untuk dilaksanakan iaitu sebagai pembekal perkhidmatan bandar, pihak berkuasa perancangan tempatan, pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi, pengutip hasil cukai taksiran dan juga penguasa perbandaran.

Sememangnya tidak dapat dinafikan pelbagai isu dan masalah yang terpaksa dihadapi dalam melaksanakan fungsi-fungsinya. Diharap dengan kerjasama semua ahli-ahli majlis dan warga PBT, dapatlah merealisasikan visi untuk menjadikan PBT mampan, sejahtera dan progresif menjelang 2016. 

Ahli majlis perlu berganding bahu dan bekerja rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain, termasuklah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin-pemimpin masyarakat, jawatankuasa penduduk dan sebagainya, bagi mendapatkan pandangan dan kerjasama dalam membentuk pentadbiran yang lebih bertanggungjawab dan mesra rakyat. 

Untuk mewujudkan persekitaran yang harmoni dan lestari, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang adalah menjadi faktor amat penting. Tugas dan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang tidak hanya kepada masalah gerai haram atau premis perniagaan tanpa lesen sahaja. Ianya adalah meliputi penguatkuasaan pelan pembangunan, isu alam sekitar dan hubungan sosial di kalangan penduduk. 

Setiap warga PBT perlu berusaha untuk meningkatkan tugas dan tanggungjawab masing-masing ke arah mutu penyampaian perkhidmatan yang lebih baik.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024