Tuesday, July 4, 2017

Prestasi DS Najib Memimpin Malaysia Yang Rakyat dan Pemimpin Pembangkang Mahu Tahu

Image result for najib performance


Dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, sedar tak sedar kita kini berada di pertengahan tahun 2017. Alhamdulillah, meskipun kita berdepan banyak cabaran, daripada ketidaktentuan pasaran antarabangsa, kejatuhan harga minyak, sehinggalah kepada tindakan mensabotaj ekonomi dan memburuk-burukkan negara oleh pihak pembangkang, kita tetap berupaya mencapai banyak kejayaan yang boleh kita banggakan.

Dalam catatan blog saya kali ini, suka saya kongsikan beberapa daripada pencapaian tersebut, meliputi pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan asing, pembangunan, kualiti hidup, pendidikan dan banyak lagi.

Bertitik-tolak daripada berita bahawa ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.2 peratus pada 2016, pertumbuhan memberangsangkan tatkala dunia berdepan ketidaktentuan, kita melangkah masuk ke tahun baharu dengan meneruskan kecemerlangan dalam bidang ekonomi.

Banyak pengiktirafan antarabangsa telah kita terima, bukti dasar yang kita laksanakan untuk terus mengukuhkan ekonomi negara adalah langkah yang tepat dan membuahkan hasil.

Agensi antarabangsa PricewaterHouseCoopers telah meletakkan Malaysia pada tangga ke-25 kuasa besar ekonomi dunia dengan KDNK sebanyak USD 1.5 trilion menjelang 2030.

Bank Dunia turut mengiktiraf ekonomi Malaysia dengan memberi semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi bagi tahun 2017 yakni 4.9 peratus. Malah, unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2018 dan 2019 turut diberi semakan semula lebih tinggi iaitu 4.9 peratus dan 5.0 peratus, peningkatan sebanyak 0.4 peratus dan 0.5 peratus masing-masing.

Baru-baru ini juga, laporan Bloomberg meletakkan Ringgit Malaysia sebagai mata wang utama Asia paling stabil pada suku ini. Memetik tajuk utama laporan Bloomberg itu, “The Ringgit Is Easily Asia’s Strongest Currency.”

Secara keseluruhannya, prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2017 kekal stabil dan kukuh, ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus, dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM17 bilion, Alhamdulillah.

Menyebut tentang FDI, tahun 2017 juga menyaksikan banyak pelaburan langsung asing masuk ke negara kita, bukti keyakinan para pelabur terhadap keteguhan ekonomi Malaysia.

Jika pada tahun 2016, kita telah berjaya membawa masuk banyak pelaburan asing daripada China hasil lawatan saya ke sana dengan pertukaran Memorandum Persefahaman perniagaan bernilai RM144 bilion, tahun 2017 menyaksikan lebih banyak pelaburan asing kita terima, bukan sahaja daripada China, tetapi juga Arab Saudi, India serta banyak lagi.

Hasil lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia buat julung-julung kalinya, kita telah menerima pelaburan berjumlah RM31.08 bilion melalui ARAMCO dalam Projek RAPID Pengerang di Johor.

Malah, selain daripada FDI, Baginda Raja Salman turut berkenan meningkatkan jumlah biasiswa pelajar Malaysia di Arab Saudi sebanyak 3 kali ganda, dan juga menambah kuota haji Malaysia daripada 27,900 kepada 30,200, Alhamdulillah.

Selain itu, lawatan saya ke India telah membawa kepada 31 pertukaran MoU perniagaan bernilai RM158.4 bilion, dan juga pelaburan melalui LOI berjumlah RM 1.6 bilion dan kerjasama syarikat Malaysia dan India membabitkan pembangunan berjumlah RM141.4 bilion.

Tetapi malangnya, walaupun ekonomi Malaysia menerima pengiktirafan badan penarafan antarabangsa, keyakinan pelabur luar, ada “pakar ekonomi” pembangkang yang masih beria-ia memburukkan ekonomi negara hanya untuk kepentingan politik peribadi.

Dahulu sewaktu saya bawa balik pelaburan daripada China, ramai daripada pihak pembangkang menyatakan bahawa saya menjual kedaulatan negara kepada China, tetapi hairannya apabila pelaburan asing masuk daripada Arab Saudi, India, dan banyak negara lain, tidak pula mereka katakan saya jual kedaulatan kepada negara-negara tersebut.

Hakikatnya, meskipun pihak pembangkang tidak habis-habis menyebarkan fitnah dan khabar angin keburukan negara dan keadaan ekonomi Malaysia, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus mengusahakan yang terbaik buat semua rakyat Malaysia, dan dalam hal ini bermakna kita akan terus mengalu-alukan pelaburan asing selagi mana ia memberi tambah nilai kepada ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat.

Permulaan tahun 2017 juga menyaksikan kita mengorak langkah memulakan diskusi dan perbincangan mengenai hala tuju masa depan negara untuk generasi akan datang melalui Transformasi Nasional 2050 atau TN50.

Setakat 6 bulan pertama tahun ini sahaja, begitu banyak forum, siri jelajah, perbincangan, perkongsian idea dan pendapat melalui media sosial telah kita adakan di seluruh negara. Malah, baru sahaja minggu lalu saya kongsikan Aspirasi TN50 berkenaan Keagamaan dan Kerohanian yang telah ramai kongsikan bersama saya melalui e-mel.

Insya-Allah, ini baru permulaan, akan ada lebih banyak perbincangan bagi kita mencorak masa depan yang diingini oleh mereka yang akan mewarisi negara ini daripada kita.

Bila berbicara mengenai masa depan negara, tentu sekali kita perlu mengambil kira aspek pembangunan. Tetapi pembangunan negara bukanlah bermakna sekadar mendirikan bangunan tinggi dan megah, tetapi perlulah memastikan bahawa ia memberi impak dan kesan mendalam kepada rakyat teramai.

Dari situ, terhasillah InfraRakyat, yakni projek-projek bertunjangkan kepentingan rakyat, infrastruktur untuk rakyat.

Antara projek-projek utama InfraRakyat yang telah, sedang dan akan terus kita laksanakan adalah Lebuhraya Pan Borneo, HSR Kuala Lumpur-Singapura, Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur, dan sudah tentu, MRT.

Fasa pertama MRT Laluan SBK telah pun mula beroperasi sejak tahun lalu, dan Insya-Allah, fasa kedua laluan sama, yang akan menghubungkan lebih ramai penduduk di sekitar laluannya, akan saya rasmikan bulan ini nanti.

Dalam bidang pendidikan pula, kita kini berbangga Malaysia adalah lokasi di mana terletaknya 5 universiti dalam kalangan 300 terbaik dunia, yakni Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Saya turut telah melancarkan Jelajah Pendidikan Bumiputera, di mana kita bertindak keluar mencari para pelajar Bumputera yang ingin belajar tetapi kurang berkemampuan bagi memastikan mereka memperolehi peluang sama rata untuk mengubah kehidupan mereka dan keluarga.

Manakala, dari segi kualiti kehidupan rakyat, sepanjang 6 bulan pertama tahun 2017, banyak inisiatif yang telah kita laksanakan seperti program Jom Bantu Rakyat, di mana kita membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan membekalkan kelengkapan, membaik pulih rumah mereka malah ada juga yang kita bina rumah baharu untuk mereka!

Sebut tentang rumah, 6 bulan pertama tahun ini juga saya telah melancarkan banyak projek perumahan bagi merealisasikan impian rakyat memiliki rumah sendiri yang selesa, seperti PR1MA, PPA1M, Residensi Kerinchi, 1Razak Mansion, Rumah Mesra Rakyat, RUMAWIP, PPR dan sebagainya.

Banyak lagi yang telah kita kecapi, antara lain pewujudan DFTZ bersama Jack Ma, sebuah Zon Perdagangan Bebas Digital pertama seumpamanya di luar China yang akan menjadikan kita hab ekonomi digital satu hari nanti, dan juga Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang akan menjaga dan memberi perlindungan kepada anak-anak kita sebagai permata dan pewaris masa depan negara.

Alhamdulillah, kesemua pencapaian ini hanya mampu kita kecapi hasil usaha gigih dan tanpa lelah ramai dalam kalangan kita, daripada pucuk pimpinan sehinggalah ke akar umbi dan rakyat kesemuanya.

Kita akan terus berusaha dengan lebih tekun lagi untuk meneruskan momentum kejayaan dan pencapaian ini, bukan sahaja untuk baki 6 bulan tahun 2017 tetapi juga bagi tahun-tahun mendatang, Insya-Allah.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024