Thursday, July 23, 2020

Bolehkah Raja Raja Melayu Survive?














Sejak 200 tahun dulu hampir 80 sistem monarki yang ada dalam dunia ini runtuh.

Penyebab utama keruntuhan sistem monarki tersebut ialah revolusi yang tercetus dari kemarahan rakyat yang dihasut oleh pihak tertentu dan peperangan. 

Indonesia sebagai contoh, tarikh 3 Mac 1946 berlaku Revolusi Sosial bagaimana Institusi Raja Raja Melayu yang telah terbina beratus tahun runtuh satu persatu akibat kemarahan rakyat yang termakan hasutan pihak-pihak tertentu.

Selain didalangi oleh pihak-pihak tertentu, sudah pasti gerakan menghasut rakyat dilakukan secara hati-hati dan terancang serta memakan masa yang agak panjang.

Di Malaysia sendiri, gerakan menghasut rakyat untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian terhadap Raja Raja Melayu sudah lama bermula, cuma semasa pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan, gerakan ini kita dapati dilakukan secara terang-terangan tanpa berselindung.

Ini adalah kerana ianya didokong oleh sebahagian pemimpin Pakatan Harapan sendiri yang cuba melakukan beberapa perubahan dalam Perlembagaan Malaysia sebagai langkah awal untuk menghapuskan sistem monarki di Malaysia.

Contohnya cubaan meratifikasi ICERD dan Statut Rom yang jelas merupakan langkah awal untuk menghapuskan sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia untuk membentuk sebuah negara Republik Malaysia.

Apa tujuan di sebalik agenda puak pelampau burukkan institusi Raja?

Gerakan memburukkan Institusi Raja Raja Melayu merupakan agenda jangka panjang yang sentiasa diulang-ulang supaya lambat laun puak pelampau ini kemudiannya berjaya mempengaruhi orang ramai agar tidak suka kepada sebarang bentuk tradisi beraja. 

Jika majoriti rakyat menyokong agenda mereka, maka kesannya amatlah buruk.

Mengapa mereka terlalu benci kepada Institusi Raja Raja Melayu?

Majlis Raja Raja Melayu merupakan benteng kukuh dari sudut perlembagaan dalam mempertahan banyak perkara dari segi perundangan.

Sekalipun puak pelampau ini menguasai lebih 2/3 parlimen, namun ada beberapa perkara pokok yang tidak boleh dipinda (dengan tujuan buruk) atau dimansuhkan jika tidak mendapat persetujuan Majlis Raja Raja Melayu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 159 memperuntukkan bahawa terdapat beberapa perkara yang jika mahu dipinda (atau dimansuh) mesti mendapat Bacaan Kali Kedua dan Ketiga yang disokong tidak kurang 2/3 ahli dan MESTI mendapat PERSETUJUAN MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU

Antaranya :

> Perizaban kuota (pendidikan, perjawatan awam dan permit/lesen ekonomi) selaras dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah Sarawak termaktub di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

> Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan

- Bahagian III iaitu berkenaan pemerolehan dan penamatan kewarganegaraan, Perkara 14 (1) dan Perkara 25 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan 

- Kedaulatan, bidang kuasa hak, kedaulatan dan lain-lain yang dinikmati oleh raja-raja negeri, Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan 

Benar, perlembagaan memberi jaminan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. 

Namun, ada batas sekatan yang dikenakan. 

Perkara 10 (4) memperuntukkan ‘sekatan’ melalui undang-undang, melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif. 

Untuk meminda Perkara 10(4) ini juga mesti mendapat persetujuan Majlis Raja Raja Melayu.

Mengikut Perkara 63 (2) dan Perkara 72 (2), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri tidak boleh dikenakan tindakan mahkamah berkenaan APA JUA yang mereka katakan dan undi di dalam dewan.

Namun, ia tidak terpakai kepada mereka yang dipertuduh atas kesalahan undang-undang di bawah Perkara 10(4) dan Akta Hasutan [rujuk Perkara 63(4) dan 72(4)].

Untuk meminda batasan kekebalan Ahli Parlimen atau ADUN seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 63 (2) dan Perkara 72 (2) serta Akta Hasutan 1948 memerlukan persetujuan Majlis Raja Raja Melayu. 

Peranan Institusi Raja Raja Melayu yang terdiri dari YDPA dan Majlis Raja-Raja amat besar dan penting dalam menjaga kestabilan politik negara.

Sejarah politik Malaysia sendiri telah menyaksikan bagaimana SPB YDP Agong telah menyelesaikan kemelut jawatan Perdana Menteri.

Kembali kepada agenda puak pelampau tadi, mereka bercita-cita mahu menegakkan cara pemerintahan Malaysia mengikut tangan mereka, namun disekat oleh Institusi Raja Raja Melayu. 

Mereka mahu kebebasan sepenuhnya menurut kerangka demokrasi cara mereka, iaitu tanpa diimbangi kuasa raja, tanpa unsur tradisi kepribumian dan Islam khususnya.

Sekiranya runtuh Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia, maka akan hilanglah identiti bangsa yang bernaung di bawah payung Raja Raja Melayu, iaitu bangsa Melayu yang menjadi pribumi di bumi ini.

Di keseluruhan kepulauan Tanah Melayu cuma Malaysia dan Brunei yang masih mempertahankan Institusi Raja Raja Melayu dan identiti bangsa Melayu sebagai bangsa pribumi.

Indonesia, Singapura, Vietnam, Kemboja, Myanmar telah melihat keruntuhan Institusi Raja Raja Melayu mereka dan sekali gus lenyapnya identiti bangsa yang menjadi pribumi di negara tersebut.

Mahukah kita ianya berlaku di tanah air kita?

Pertahankan Institusi Raja Raja Melayu di Malaysia!!!

1 comment:

Anonymous said...

Siapa sebenarnya Raja berdaulat kita? King Charles? Mendiang Queen Elizabeth? Jika Raja berdaulat kita adalah para sultan-sultan, mengapa perlu kita kibar bendera separuh tiang bila Queen Elizabeth meninggal?

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024