Saturday, March 5, 2016

Anwar Ibrahim Dan Pembangkang Terperangkap Dengan Genius Mahathir




Kelantangan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam isu korupsi dan kronisme ketika di dalam Umno menyebabkan beliau disingkirkan dari kerajaan secara zalim oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dipenjarakan pada tahun 1999.

Bermula dari peristiwa ini membawa kepada munculnya gerakan reformasi pada 2 September 1998. Sehingga tertubuhnya PKR pada 4 April 1999.

Selepas penangkapan Anwar yang membawa kepada siri demonstrasi besar-besaran memperlihatkan amukkan rakyat sehingga berpecahnya Umno dan lahirnya PKR.

Tubuhnya parti ini adalah kesan daripada kezaliman yang dilakukan Dr Mahathir terhadap bekas timbalan beliau sendiri iaitu Anwar secara tidak langsung memberi kesan yang hebat dalam sejarah politik tanah air. 

Kewujudan parti ini lantas mengubah landskap politik di Malaysia sehingga pada tahun 2008, Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya hilang majoriti dua pertiga.

Pembangkang yang ketika itu terdiri daripada PKR, PAS dan DAP semakin mendapat sambutan oleh rakyat apabila pada tahun 2013 BN hilang pula undi popular kepada pembangkang yang diketuai Anwar.

Dua tahun selepas Pakatan Rakyat memperoleh kejayaan yang memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum ke-13, PKR “kehilangan” ketua umumnya, Anwar yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun.

Selang 2 hari selepas pemenjaraan Anwar, PAS pula kehilangan Mursyidul Amnya, Dato' Nik Abdul Nik Mat yang kembali ke rahmatullah. Nik Aziz dilihat sebagai tokoh penting yang menjadi penyatu antara PAS dengan PKR dan DAP selain Anwar.

Kehilangan kedua-dua pemimpin ini memberi kesan yang dahsyat kepada Pakatan Rakyat kerana peranan kedua-duanya merupakan penggerak kepada perpaduan bukan sahaja antara parti tetapi juga antara pemimpin dalam PAS, PKR dan DAP.

Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpalit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta isu derma RM2.6 bilion dan beberapa lagi skandal yang dibongkar pembangkang malah bekas perdana menteri sendiri iaitu Dr Mahathir juga turut serta menghentam kepimpinan Najib.

Dr Mahathir dilihat begitu fokus dalam misinya untuk menyingkirkan Najib apabila berterusan menggunakan isu yang sehingga kini gagal ditangani dengan baik oleh Umno lebih-lebih lagi mengenai derma peribadi RM2.6 bilion serta 1MDB.

Kelemahan kepimpinan Najib sepatutnya memberi kelebihan buat pembangkang untuk mengambil peluang ini. 

Malangnya pembangkang hari ini sudah berpecah dan tidak bersatu serta saling menyerang sesama sendiri.

Parti pembangkang dilihat gagal mencari kesepakatan bersama berbeza ketika Anwar mengetuai pembangkang di samping Nik Aziz yang turut bersama menjadi penggerak kepada perpaduan antara pemimpin dalam PAS, PKR dan DAP.

Pembangkang dilihat gagal mencari titik persamaan dan seolah-olah memilih Dr Mahathir sebagai talian hayat akhir pembangkang menuju Putrajaya.

Kita tidak lupa dengan nasib 3 timbalan ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Anwar yang dibunuh kariernya.

Anwar antara sosok yang dilihat paling berpengaruh, berani dan bingkas bangun untuk melawan Dr Mahathir berbanding timbalannya yang lain seperti Musa, Ghafar dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Keluarnya Dr Mahathir dari Umno selepas kecewa dengan pentadbiran kerajaan yang diketuai Najib mengulangi sejarah ketika Pak Lah menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir keluar Umno pada tahun 2008 kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno yang diterajui Pak Lah.

Kemudian Dr Mahathir sertai semula selepas pelantikan secara rasmi Najib sebagai perdana menteri ke-6.

Persoalan yang timbul, adakah Dr Mahathir buat untuk Malaysia atau demi kepentingan beliau sendiri?

Jika untuk kepentingan Dr Mahathir sendiri adalah lebih baik tidak ambil peduli. Sejarah kali ini berulang semasa beliau keluar dari Umno ketika Pak Lah menjadi perdana menteri.

Kita sedia maklum Dr Mahathir mendesak Najib untuk melepaskan jawatan dan bukannya Dr Mahathir menentang Umno berbeza dengan pembangkang yang mahukan perubahan secara total dan bukan hanya perubahan perdana menteri atau beberapa orang menteri yang ditukar ganti dan itu jelas matlamat pembangkang.

Pembangkang hari ini berjaya memenangi sokongan rakyat adalah hasil dari kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan.

Jangan khianati perjuangan rakyat yang menyokong wadah perjuangan kalian lebih-lebih lagi pejuang rakyat yang masih setia semenjak era reformasi yang terjadi daripada keangkuhan pemerintahan Dr Mahathir sendiri. 

Selepas sidang media #SelamatkanMalaysia jelas menunjukkan Dr Mahathir bukan menentang BN tetapi Najib.

Berbeza dengan pembangkang yang mahukan perubahan secara total serta transformasi terhadap demokrasi di Malaysia.

Terima kasih pada Datuk S Ambiga yang sempat membangkitkan kezaliman terhadap Anwar. Di mana tokoh politik PKR yang lain?

Perlu diingat, Najib menjadi perdana menteri atas percaturan Dr Mahathir. Kini beliau memulakan kempen menjatuhkan Najib.

Kita bersorak girang dengan serangan Dr Mahathir. Tetapi yang menjadi persoalan, adakah kejatuhan Najib sebagai perdana menteri melemahkan BN atau menguatkan BN selepas ketiadaan Najib?

Buat pembangkang, adalah lebih baik cari jalan menyatukan semula parti pembangkang berbanding menggadai prinsip perjuangan dengan memilih Dr Mahathir yang kalian sendiri akui sebagai bapa segala punca kebobrokan yang berlaku.

Jika langkah penyatuan pembangkang-Dr Mahathir ini untuk kepentingan rakyat, maka itu adalah yang terbaik.

Namun, jika penyatuan ini untuk kepentingan individu tertentu, maaf langkah yang tidak boleh diterima.

2 comments:

Anonymous said...

Memanglah dari dulu lagi Pembangkang hanya pandai berleter namun kerja bodoh macam telor.

Sampai kesaat ini hanya makan, berak tidor. Elaun dan gaji buta.

Anonymous said...

yang terperangkap yalah orang melayu

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024