Thursday, March 22, 2018

Majlis Pelancaran JENTERA PRU 14 4-0 BARISAN NASIONAL JERANTUT

Image may contain: 2 people, including Pahang Daily, people smiling, text


SEMUA AHLI-AHLI UMNO DAN KOMPONEN BN JERANTUT DIJEMPUT HADIR.



Tarikh: 23 Mac 2017 Jumaat

Masa: 7:45 Malam

Tempat:Dewan Utama, Majlis Daerah Jerantut

Monday, March 12, 2018

Kota Gelanggi Mahkota Alam





Ada dua pintu gerbang yang seperti foto di atas untuk memasuki Kota Gelangggi @ Kota Batu Hitam.


Setelah berapa lamanya dijalan, datanglah kepada negeri Ganggayu.Shahadan dahulu kalanya negeri itu negeri besar, kotanya daripada batu hitam, datang sekarang lagi ada kotanya itu di hulu Sungai Johor. Ada pun asal namanya Klang Kio, iaitu bahasa Siam,ertinya perbendaharaan permata; oleh kita tiada tahu menyebut dia, jadi Ganggayu. Adapun nama rajanya Raja Chulan; adalah akan baginda itu raja besar, segala raja-raja di bawah angin dalam hukumnya.(W.G.Shellabear:1975:10)


Selama lebih 1,200 tahun Kota Gelanggi menjadi lagenda kota purba yang kaya dengan harta karun timbunan emas dan permata menjadi rebutan ramai Raja-Raja sejak dari zaman berzaman.


Kota Gelanggi dikatakan salah satu 'city state' merupakan antara bandar pentadbiran Empayar Srivijaya sejak tahun 775.


Kota Gelanggi dikatakan terletak di selatan Semenanjung Tanah Melayu dibawah Kerajaan Ligor satu Kingdom Melayu Siam di Segenting Kra. Pada masa itu Siam belum lagi didatangi oleh bangsa Thai dari Selatan China.


Srivijaya mengelarkan Kingdom Ligor ini sebagai Sri Dharmaraja.


Pada akhir abad ke 12, Ligor ini bebas dari Srivijaya menjadi kerajaan Tambralinga.


Tambralinga meningkat kekuasaan dari abad ke 13 hingga awal abad ke 14. Pada masa ini Tambralinga telah menguasai seluruh Semenanjung Tanah Melayu.


Pada akhir abad ke 14, Tambralinga menjadi sebahagian dari Siam (Thai).


Tambralinga setelah lama memberontak dari Siam akhirnya menjadi negara Siam sepenuhnya pada penghujung abad ke 19.


Klang Kio atau Kota Gelanggi ini juga orang Melayu panggil Gelanggui, Ganggayu, dan Linggui.


Rekod Jepun menyatakan Putera Mahkota Jepun, Putera Takaoka, Shinnyo Hosshinno (780-856) mati di Kota Gelanggi kerana diserang oleh harimau dalam perjalanan ke India. Orang Jepun merujuk Kota Gelanggi sebagai Lo-Yue.


Pada tahun 1025, Raja Rajendra Cola dari Selatan India telah menyerang Kerajaan Gangga Negara (Beruas, Perak). Raja Rajendra Cola ini dalam Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang digelar Raja Suran kemudian menyerang Kota Gelanggi mengalahkan Raja Chulan.


Sejarah Melayu mengisahkan...

Setelah Raja Gangga Syah Johan melihat Raja Suran itu datang, maka Raja Gangga Syah Johan pun berdiri memegang panahnya; maka segera dipanahnya, kena gumba gajah Raja Suran, gajah itu jatuh terjerumus. Maka Raja Suran pun melompat serta menghunus pedangnya, diparangkan kepada Raja Gangga Syah Johan, maka kenalah leherya, putus kepalanya, terpelanting ke tanah. Maka Raja Gangga Syah Johan pun matilah. Setelah rakyat Gangga Negara melihat rajanya mati itu, maka sekaliannya pun lari; maka ada seorang saudara raja itu perempuan, Puteri Dara Segangga namanya; terlalu baik parasnya, maka diambil bagindalah akan isteri. Setelah negeri Gangga Negara sudah alah, maka Raja Suran pun berjalanlah dari sana.



Hatta berapa lamanya berjalan itu datanglah ke negeri Langgiu; dahulu negeri itu negeri besar, kotanya daripada batu hitam, sekarang lagi ada kota itu di hulu Sungai Johor. Adapun nama asal Langgiu itu dengan bahasa Siam ertinya Perbendaharaan Permata, maka adalah nama rajanya Chulan; akan baginda itu raja besar, segala raja-raja yang di bawah angin dalam hukumannya. Demi Raja Chulan mendengar Raja Suran datang itu, maka Raja Chulan pun menghimpunkan segala rakyat; dan segala raja-raja yang takluk kepada baginda, semuanya berkampunglah. Maka Raja Chulan pun berperanglah akan Raja Suran; maka rupa segala rakyat itu seperti lautan, rupa gajah dan kuda pun demikian juga, seperti pulau rupanya, dan tunggul panji-panji seperti hutan, dan segala senjata pun berlapis-lapis. Sekira-kira empat gorah bumi jauhnya berjalan, setelah datanglah pada suatu sungai, maka kelihatanlah rakyat Raja Suran seperti hutan rupanya.



Maka kata Siam, "pangkali" ertinya "sungai", maka dinamai orang sungai itu Sungai Pangkali. Maka bertemulah rakyat Siam dengan rakyat Keling, lalu berperanglah, tiada sangka bunyinya lagi; segala yang bergajah berjuangkan gajahnya, dan yang berkuda bergigitkan kudanya, dan yang berpanah berpanahanlah dianya, dan yang berlembing bertikamkan lembingnya, dan yang berpedang bertetakan pedangnya. Maka rupa segala senjata seperti hujan yang terlalu lebat, tidaklah lagi tarupak awan di langit, oleh kebanyakan kilat senjata itu; gegak gempitalah bunyi tempik sorak orang berperang itu, maka berbangkitlah lebu duli ke udara, kelam-kabut, siang menjadi malam seperti gerhana matahari. Maka segala rakyat antara kedua belah pihak itu pun jadi campur-baurlah, tiada berkenalan lagi waktu berperang itu. Mana yang mengamuk diamuk orang pula, ada yang menikam ditikam orang pula. Maka kedua pihak itu pun banyaklah mati dan lukanya, darah pun banyaklah tumpah mengalir ke bumi seperti air sebak. Maka lebu duli itu pun hilanglah, maka kelihatanlah orang berperang itu, beramuk-amukan terlalu ramai; sama-sama tiada mahu undur lagi. Maka Raja Chulan pun menampilkan gajahnya menempuh ke dalam rakyat Raja Suran yang tiada terpermanai banyaknya itu, barang dimana ditempuhnya bangkai bertimbun-timbun; maka segala rakyat Keling pun banyaklah matinya, lalu undur. Setelah dilihat oleh Raja Suran, maka baginda pun tampillah mengusir Raja Chulan itu. Maka adapun kenaikan Raja Suran, gajah tunggal lagi meta, delapan hasta tingginya; tetapi gajah Raja Chulan itu terlalu berani. Maka bertemulah kedua gajah itu, lalu berjuang, maka bunyi kedua gading gajah itu seperti bunyi petir yang tiada berputusan. Maka kedua gajah itu pun tiada beralahan; maka berdiri Raja Chulan di atas gajahnya menimang-nimang lembingnya, lalu ditikamkannya kepada Raja Suran, maka kenalah kebaluhan gajah itu, sejengkal menjunjung ke sebelah. Maka Raja Suran pun segera memanah Raja Chulan, kena dadanya terus ke belakang; maka jatuhlah ia dari atas gajahnya ke tanah, lalu mati.



Maka segala rakyat Raja Chulan melihat rajanya mati itu, maka sekaliannya pun pecah belahlah, lalu lari cerai-berai; maka diikuti oleh segala rakyat Keling mana yang dapat habislah dibunuhnya. Maka segala rakyat keling pun· masuklah ke dalam kota Langgiu itu, lalu merampas, tiada terkira banyaknya beroleh rampasan itu. Maka ada seorang anak Raja Chulan itu perempuan, Tuan Puteri Onang Kiu namanya; terlalu baik parasnya. Maka dipersembahkan orang kepada Raja Suran, maka oleh baginda diambillah akan isteri.


Dimana sebenarnya lokasi Kota Gelanggi ini?

Ramai ahli sejarah sejak dari zaman kolonial Inggeris hingga sekarang berselisih pendapat berkenaan di mana lokasi sebenar Kota Gelanggi ini.

Mereka percaya lokasi Kota Gelanggi ini terletak samada di Hulu Sungai Johor dan Kota Gelanggi dalam gua-gua di Jerantut.

Sewaktu Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang, Negeri Pahang berada dibawah kekuasaan Johor. Hulu Sungai Johor memberi berbagai tafsiran.

Almarhum Tun Abdul Razak semasa merasmikan PPPTR Tun Razak pada tahun 1971 ada mengambarkan kepada pemberita bahawa di Kota Gelanggi Jerantut dulu di zaman purba ada mempunyai Kerajaan yang besar dan bertamadun.


Seorang pemerintah besar seperti Sultan Ahmad pertama Pahang sendiri amat tertarik dengan legenda gua Kota Gelanggi yang kononnya tempat tinggal seorang puteri, hinggakan beliau pernah menghantar orang-orangnya mencari puteri itu pada tahun 1872.


Tok Gajah dan beratus-ratus pengikut telah dititah oleh Sultan Ahmad meninjau dan memeriksa Kota Gelanggi.


Dalam tahun 1882, Sultan Ahmad telah berangkat melawat ke merata tempat dalam negeri Pahang. Dalam lawatan inilah Sultan Ahmad telah melawat sebuah gua yang ajaib lagi masyhur bernama Kota Gelanggi, yang terletak tidak berapa jauh dari Pulau Tawar, Jerantut.


Tapi tidak ada harta karun, emas dan perbendaharaan permata dijumpai.


Kota Gelanggi Mahkota Alam bakal membangun seiring dengan pembangunan moden, lebih menarik dengan perancangan pembangunan infrastruktur pelancungan dengan produk-produk parawisata yang bakal menarik para pengunjung seperti mana ribuan tahun dulu untuk mengembalikan kegemilanganya.

Tuesday, March 6, 2018

Empat Puteri Terhebat Pahang Sepanjang Millennia





Sejarah Pahang memperlihatkan bagaimana wanita menjadi lambang pengenalan Pahang. Barangkali Pahang dilihat sebagai lambang kewanitaan yang selalu menjadi idaman dan perhatian orang luar. Imej kewanitaan yang melahirkan keghairahan pihak yang lebih kuat menggunakan apa saja helah dan cara bagi mencapai apa yang diidamkan...


Pernahkah anda mendengar nama-nama wanita klasik berpengaruh ini seperti Puteri Onang Kio, Puteri Wanang Seri, Tun Teja Ratna Benggala dan Puteri Kamaliah? 


Puteri Onang Kio adalah puteri Raja Chulan Pemerintah Siam kerajaan Kota Gelanggi dibawah Kerajaan Ligor Tambralingga yang juga di panggil Klang Kio (Gelanggui) atau Ganggayu ertinya perbendaharaan permata. Kota Gelanggi terletak di Jerantut. Semasa Kota Gelanggi dilanggar oleh Raja Suran (Raja Rajendra Chola 1 dari selatan India) pada tahun 1025, Raja Chola terpegun dengan kecantikan Puteri Onang Kio lalu diperisterikannya.





Semasa Pahang di bawah pemerintahan Siam yang berpusat di Ligor, Gabenor Siam bernama Maharaja Dewa Sura pada tahun 1454 telah diserang oleh Sultan Mansur Shah iaitu Sultan Melaka dan Puteri Wanang Seri anakanda Maharaja Dewa Sura telah dibawa ke Melaka dan diperisterikan oleh Sultan Mansur Shah.


Hasil perkahwinan itu lahir dua putera, yang sulung dinamakan Raja Ahmad dan yang bongsu dinamakan Raja Muhammad. 


Tragedi sepakraga-destar terbunuhnya Tun Besar anakanda Bendahara Tun Perak membuatkan Raja Muhammad terbuang ke Pahang menjadi Sultan pertama. Raja Ahmad akhir menjadi Sultan Pahang ke dua.






Tun Teja Ratna Benggala puteri Bendahara Seri Amar Bangsa Diraja Pahang yang kecantikannya diperkatakan oleh pedagang-pedagang yang berdagang di Pahang telah dicolek dan diguna-guna oleh Hang tuah pada tahun 1490 untuk memuas kehendak Sultan Mahmud iaitu Sultan terakhir Melaka walaupun ketika itu Tun Teja Ratna Benggala adalah tunangan Sultan Ahmad Shah iaitu Sultan Pahang.





Sewaktu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam iaitu Sultan Acheh menakluki Pahang pada tahun 1617. Baginda telah membawa pulang 10,000 orang Pahang ke Acheh termasuk seorang puteri Pahang yang bernama Puteri Kamaliah. Tertarik dengan kecantikan dan kebijaksanaan Puteri Kamaliah maka Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah memperisterikannya.


Puteri Kamaliah sangat mashor dan cerdas menasihat suaminya dalam pemerintahan. Rakyat Acheh memanggilnya Putroe Phang. Seperti kata pepatah Acheh:


Adat bak Poe Teumeureuhom
Hukom bak Syiah Kuala
Qanun bak Putroe Phang
Reusam bak Laksamana


Ertinya:


Adat pada Marhum Mahkota Alam
Hukum pada Syiah Kuala
Kanun pada Puteri Pahang
Resam pada Laksamana


Puteri Kamaliah selalu rindu pada negerinya Pahang. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah membina sebuah taman yang ada model banjaran gunung dipanggil Gunongan dan Putroe Phang suka dengan taman itu bermain-main dengan dayang-dayangnya memanjat Gunongan. Kalau anda pergi melawat Acheh, anda akan melihat taman itu masih ada dan dijaga rakyat Acheh. Taman itu dinamakan Taman Putroe Phang dan Gunongan.


Demikianlah kehebatan 4 orang puteri Pahang dari zaman berzaman. Mereka wanita jelita menawan, cantik paras rupawan, cerdik, pandai, bijaksana bikin hati Raja dan Sultan cair hati lalu sanggup menghunus senjata menakluki negara.

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024