Sunday, December 25, 2011

Pengaruh Seorang Isteri Pemimpin Boleh Mengubah Dialek Ulu Tembeling

Tuanku Sultan Brunei.

Sebelum 1904 dialek pertuturan Ulu Tembeling adalah bahasa biasa Pahang tetapi berlaku satu revolusi perubahan dialek bila pengaruh seorang isteri pemimpin boleh mengubah dialek Ulu Tembeling kepada bahasa Melayu Brunei.

Dalam catatan memoir Dato' Sir Mahmud bin Mat, "Tinggal Kenangan" mengenai kisah Hulu Tembeling 1920an.... 

Tuk Penghulu yang berbadan tegap sudah berumur orangnya. Dia bau-bau bacang dengan Almarhum Sultan Ahmad. Bicaranya lembut dan bersopan santun. Sungguhpun dia tidak tahu membaca dan menulis, dia pandai bercerita dan kelakar sungguh orangnya. Pada waktu petang dia sering menghiburkan kami dengan cerita-cerita pengalamannya semasa dia muda-muda dahulu ketika dia dihantar ke Brunei atas urusan Baginda Sultan. Di sana dia berkahwin dan menghabiskan masa bersuka-suka selama lebih enam bulan. Dia pernah menemani Sir Hugh Clifford dalam rangka lawatannya. Dengan pertolongan Sir Hugh Clifford, Tuk Penghulu telah menggantikan tempat ayahnya. Sir Hugh Clifford memberinya surat kuasa yang ditulis dengan tulisan jawi. Katanya surat ini ditulis oleh Sir Hugh Clifford sendiri. Dan tulisan jawinya sangat cantik. 

Dalam perbualan saya dengan Tuk Penghulu Kampung Bantal kali ini saya mendapati penduduk Hulu Tembeling menggunakan perkataan yang berbeza untuk beberapa benda yang biasa. Perkataan ini tidak difahami oleh orang Melayu di tempat lain. Kata Tuk Penghulu bahasa Hulu Tembeling ialah bahasa yang digunakan orang Kepulauan Laut Selatan Sulu Brunei. Hairan juga di hati saya bagaimana orang dari Kepulauan Laut Selatan Sulu Brunei dapat sampai ke Hulu Tembeling, tempat yang sukar dimasuki, malah beratus-ratus batu ke dalam kawasan pedalaman. 

Melalui sumber arkib London, arkib Brunei, arkib Pahang dan sumber lisan orang-orang tua Tembeling maka WZWH dapat mengetahui mengapa dialek Ulu Tembeling menyamai bahasa Melayu Brunei.

Tok Penghulu itu bernama Haji Encik Engku Wan Ahmad bin Engku Khatib @ Wan Endut (1866-1935). Atas jasa Engku Wan Ahmad berjaya dalam misi ke Brunei atas arahan British dan Sultan Pahang menangkap lanun-lanun maka Sultan Brunei telah menganugerahkan kepada Engku Wan Ahmad:

  • Seorang isteri bernama Daing Khadija binti Muhammad.
  • Warkah pemilikan tanah di Limbang Brunei.
  • Cek bank berjumlah $20,000.
  • 40 pengiring orang Brunei.
  • 2 gong tetawak Brunei (yang secara misteri boleh berbunyi seperti diketuk orang pada masa tertentu).
  • Bendera.

Engku Wan Ahmad telah membawa isterinya ke Ulu Tembeling bersama-sama 40 pengiring orang Brunei. Mereka ini mengunakan bahasa Melayu Brunei. Isteri Penghulu Engku Wan Ahmad ini telah mengajar penduduk Ulu Tembeling yang lain belajar berbahasa Melayu Brunei.

Ditambah pula berkembang biak keturunan 40 orang pengiring orang Brunei maka dialek Ulu Tembeling telah menjadi bahasa pertuturan seperti yang ada kekal ke hari ini.

Daing Khadija meninggal dunia pada tahun 1909 dikebumikan di makam Bukit Hangus, Kampung Bantal, Ulu Tembeling. Batu nesan di makam Daing Khadija telah dibawa khas dari Brunei semasa beliau hidup lagi mengikut suaminya ke Ulu Tembeling.

Begitulah pengaruh isteri pemimpin boleh mengubah dialek Ulu Tembeling.

Kerapkali rombongan Diraja dari Brunei datang ke Ulu Tembeling kerana mahu melawat makam Daing Khadija dan mencari warisnya.  Keluarga beliau di Brunei ada meninggalkan harta untuknya tetapi sayang tiada waris Daing Khadija dari Tembeling yang mahu menuntutnya.

Berkenaan tanah di Limbang yang telah dikurniakan oleh Sultan Brunei kepada Penghulu Engku Wan Ahmad bila ada waris mahu menuntut maka ini jawap Menteri Kehakiman Brunei secara bersurat:

Dulu Kerajaan Brunei telah menghebahkan kepada mana-mana waris supaya menuntut tanah Limbang itu dan jika masa yang diperuntukan itu telah luput maka tanah Limbang itu akan menjadi kepunyaan kerajaan Brunei.

WZWH berpendapat itu tidak adil kerana kerajaan Brunei hanya menghebahkan notis itu dalam negara Brunei sahaja maka tidak diketahui oleh Penghulu Engku Wan Ahmad yang berada di Ulu Tembeling sepanjang hidupnya. Apa bentuk komunikasi yang ada pada zaman itu.

Penghulu Engku Wan Ahmad seorang yang buta huruf tidak tahu menulis dan membaca. WZWH telah diberitahu cek bank yang dikurnia oleh Sultan Brunei sebanyak $20,000 hanya disimpan oleh beliau dalam peti kayunya hingga akhir hayat tidak pernah ditunaikan!

Walaubagaimanapun jika Tuanku Sultan Brunei mahupun kerabat Brunei, ahli sejarah dan budayawan Brunei mambaca blog WZWH ini maka inilah cerita seorang pemimpin dari Ulu Tembeling yang pernah berjasa kepada kerajaan Sultan Brunei dulu pada awal abad ke 20.

Pemimpin yang taat kepada Sultan Pahang dan persetujuan British sanggup memenuhi perintah dan tanggungjawab dalam 'mission to Brunei' bagi mengamankan Brunei dari lanun-lanun.

3 comments:

Anonymous said...

Salam Adinda WZWH...sy pernah dengar cerita ini dari cucunda Marhum Engku Panglima Perang Wan Ahmad. Pada pendapat sy Engku Panglima Perang ini adalah seorang mempunyai pekerti yg mulia dan tidak begitu memandang harta dunia, cucu cicit beliau pun npknya mengikut sifat terpuji beliau.

Anonymous said...

Tidak memandang harta, tapi merebut harta, mungkin itu saki bakinyer, gamoknyer.........

. said...

Cerita yang menarik untuk orang yang minat sejarah dan cerita-cerita lama.

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...