Posting ini mengenai sebuah pekan yang makmur suatu masa dulu merupakan pelabuhan sungai dan hinterland port paling sibuk dalam Pahang sebelum jalinan jalan raya ada hanya jalinan kereta api menghubung Kuala Lipis-Kg Sepial (Kuala Tembeling)-Jerantut. Pasir Tambang (Kuala Tembeling) adalah tempat bersejarah bila Dinasti Kesultanan Pahang moden dilancarkan secara rasmi pada 1862.
Kini di arus pemodenan Pekan Kuala Tembeling sudah mati kerana kekuatan ekonomi yang semakin hilang. Nostalgia Pekan Kuala Tembeling yang maju dan makmur menjadi kenangan. Tambah pula ini pekan kecil tempat WZWH membesar untuk zaman kanak-kanak dan remaja.
Menghilir di Sungai Tembeling
Singgah sebentar di Pasir Tambang
Kuala Tembeling pertemuan dua sungai (Sungai Tembeling dan Sungai Jelai)
Membentuk Sungai Pahang
Tempat jauh lagi dikenang
Inikan pula kampung halaman
Nostalgia Pekan Kuala Tembeling yang sudah mati perlu 'mukjizat pemimpin' untuk bangkit.
Status terkini, foto-foto dan naratif ihsan CEO PahangKu.
Pekan Kuala Tembeling: Dulunya pusat ekonomi bagi penduduk pesisir Sungai Jelai dan Sungai Tembeling hingga ke Ulu Tembeling. Juga pintu masuk pelancong ke Taman Negara ketika jalan raya masih belum ujud menghubungkannya dengan Jerantut dan Kuala Lipis. Kini semakin sepi dan mati .....
Pandangan Sungai Tembeling dan Sungai Jelai ....dari satu-satunya kedai minum yang masih tinggal.... Pasir Tambang dengan sejarahnya yang semakin dilupakan...
Deretan bangunan yang sudah tiada lagi berpenghuni ...
... kosong dan sepi ....
... yang menunggu masa untuk menyembah bumi ...
... kosong... sepi... dan mati ..
Wajah-wajah sahabat lama masih saling mengenali dan mesra menyambut kehadiranku
... aku dan kenangan yang tersimpan didalam sanubari ....
Bagaimana mahu membangkitkan Pekan lama Kuala Tembeling yang sudah mati ini?
Siapa mahu kembalikan kegemilangan dan kemakmuran Pekan Kuala Tembeling?
WZWH harap beberapa perancangan yang telah, sedang, dan akan dilaksanakan boleh membantu menghidupkan Pekan Kuala Tembeling secara ringkas:
Projek Bandaraya Hutan Hujan Tropika SAS yang mempunyai 7 komponen pembangunan antaranya komponen pembangunan Pekan Kuala Tembeling.
Memajukan semula bandar Kuala Tembeling menjadi pintu masuk pengangkutan air dari Kuala Tembeling ke Kuala Tahan atau ke Safari Park di Tembeling Tengah.
Bandaraya Hutan Hujan Tropika melibatkan pembangunan semula dari Kuala Tembeling menyusuri Sg. Tembeling yang kaya dengan keindahan alam semula jadi serta sejarah seterusnya ke Kuala Tahan sehingga ke Kg. Mat Daling. Di Kuala Tahan disediakan kemudahan-kemudahan kelas pertama bertaraf dunia sebagai Pintu Masuk Taman Negara.
Sebanyak 9.5 juta pelancong berkunjung ke Negeri Pahang tetapi hanya 120 ribu sahaja yang melawat Taman Negara menggunakan bot panjang atau pengangkutan darat.
Tujuan utama cadangan ini adalah bagi menarik lebih ramai pelancong ke Taman Negara dengan menambah pelbagai aktiviti yang menarik serta menaiktaraf kemudahan Infrastruktur ke Taman Negara serta membina pintu masuk yang baru (Gate Way) Ke Bandaraya Hutan Hujan Tropika.
Kuala Tembeling yang dahulunya merupakan salah satu in-land port yang sibuk di Semenanjung Malaysia kini tidak bermaya. Cadangan menjadikan Kuala Tembeling sebagai Pintu Masuk ke Bandaraya Hutan Hujan Tropika serta menaiktaraf Stesen Keretapi Kg. Sepial dapat memberi nafas baru kepada Kuala Tembeling dan seluruh kawasan sekitarnya.
Bandar Green City yang menggunakan Teknologi Hijau sepenuhnya menjanjikan kehidupan yang eksklusif kepada pengunjung secara keseluruhannya. Kompleks bangunan kerajaan, kompleks perniagaan, hotel dan resort bertaraf dunia, golf course dll disediakan.
Safari Park terletak bersebelahan dengan Taman Negara akan menjadi tarikan kedua terbesar dan terpenting di Bandaraya Hutan Hujan Tropika. Haiwan-haiwan dalam Safari Park dilepaskan dalam habitat semula jadi. Pengunjung-pengunjung tidak perlu risau kerana aspek-aspek keselamatan amat dititik berat.
Selain dari Taman Negara dan Safari Park, Taman Tema Ulu Air yang terletak di hulu Sg. Pahang (Pertembungan Sg. Jelai dengan Sg. Tembeling) di Kuala Tembeling turut dibangunkan bagi pengunjung-pengunjung yang gemarkan aktiviti air.
Malaysia merupakan negara yang kaya dengan industri gaharu. Sebanyak 6% daripada pengeksport gaharu adalah Malaysia. Namun sehingga kini belum wujud cadangan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hub Gaharu mengantikan Singapura. Syarikat Konsortium Tembeling Sdn. Bhd. mengorak langkah bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) untuk menjadikan Hulu Tembeling sebagai Hub Gaharu pertama di Malaysia.
Caviar dan Sanctuary Park mengunakan teknologi tinggi dari negara luar untuk menghasilkan telur ikan serta pembiakan baka ikan bermutu tinggi. Permindahan teknologi ini bukan sahaja menguntungkan syarikat, malah memberi ilmu kepada penduduk setempat. Syarikat juga berpeluang membiak semula baka-baka spesis ikan asal seperti Kelah, Jelawat, Patin Muncung dan sebagainya.
Solar Park dibina di atas tanah seluas 150 ekar. Janakuasa elektrik berasaskan tenaga suria ini mampu menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 30 MW. Tenaga ini akan disalurkan kepada Bandar Green City dan selebihnya kepada Tenaga Nasional Berhad.
Pengurusan Sumber dan Pemasaran Bandaraya Hutan Hujan Tropika membantu pihak PERHILITAN untuk mengurus serta menyelenggara Taman Negara, Resort-resort di Taman Negara akan dinaiktaraf sesuai dengan status Taman Negara di mata dunia dan penambahbaikan pusat-pusat aktiviti baru dalam kawasan Taman Negara.
Pihak syarikat juga berhasrat untuk membina Lapangan Terbang baru bagi memudahkan pelancong-pelancong ke Taman Negara.
Dengan pelaburan sebanyak RM 12 Billion dalam masa 5 tahun hingga 10 tahun, cadangan ini dijangka dapat memberi 20,000 peluang pekerjaan serta perniagaan kepada penduduk setempat dan kawasan sekitarnya. Cadangan ini juga akan menjadi mercu tanda kepada Negeri Pahang dan Negara Malaysia.
Sebagai Pemaju Utama Konsortium Tembeling Sdn. Bhd. melihat masa depan sebagai asas kepada cadangan ini. Hasrat kami ingin menjadikan Jerantut sebagai Bandar Pelancongan Utama di Negeri Pahang.
Ladang Sawit Tabung Haji seluas 30,000 ekar dijangka menarik lebih 6000 pekerja yang boleh diisi oleh penduduk Kuala Tembeling.
Jambatan Gemunchur Mela yang sudah siap boleh menghubungkan ke Ladang Sawit Tabung Haji ini melalui Projek Jalan Luar Bandar Gemunchur-Batu Balak-Jong Berlaboh-Labu-Merting.
Kemungkinan sebuah jambatan baru bagi menghubungkan Kuala Tembeling dengan Tanjung Jelai akan dibina bagi perhubungan yang lebih mudah dan cepat.
Cadangan Projek Perumahan baru PRIMA di atas tanah milik GLC Pahang seluas lebih 200 ekar diharap boleh menyelesaikan isu perumahan tempatan Kuala Tembeling.
Projek menaiktaraf Jalan Jerantut-Kuala Tembeling-Mela-Kuala Lipis akan memudah dan selesa infrastruktur pengangkutan.
WZWH amat berharap usaha-usaha ini jika tidak boleh dijayakan 100% ianya boleh membantu menghidupkan kembali Pekan Kuala Tembeling kembali makmur dan ceria.
2 comments:
Mohon pembetulan: Jong Berlaboh BUKAN Jong Merlabuh sepertimana yang ditulis...
Giler ong ni.. mane punya fakta ambik ni.. 30000 ekar guna 6000 pekerja.. kalo xde ilmu toksoh dok buat la artikel gini.. nampok sangat ke bodonya.ptt malaysia ni jd lambakan pekerja asing.. sepatut 30000 ekar guna 1011 org pekerja je.. bkn smpi 6000 org..
Post a Comment