Friday, August 11, 2017

ECRL Satu Produk Najibnomics Untuk Kesejahteraan Rakyat Dan Malaysia




Alhamdulillah, dengan rasminya pecah tanah Projek ECRL hari ini, menandakan satu lagi detik bersejarah untuk negara, sebuah projek pengangkutan awam darat yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di Pantai Timur.

Sebelum ini, pengangkutan awam darat tidak diberikan fokus yang sewajarnya. Oleh itu, saya terpanggil untuk menjadikannya agenda utama kerajaan dan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara, bagi menjamin kesejahteraan rakyat, bukan sahaja di bandar tetapi juga meliputi kawasan pinggir bandar.

Sejak Merdeka lagi, kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia hanya dihubungkan melalui jalan darat dan lebuhraya, selain landasan kecil keretapi yang sememangnya tidak mencukupi.

Saban tahun, kesesakan teruk akan berlaku terutamanya di waktu perayaan, di mana tempoh perjalanan menggunakan lebuhraya dan jalan darat dari Pantai Barat ke Pantai Timur dan sebaliknya mengambil masa 3 kali lebih lama berbanding biasa.

Pada masa sama, ketiadaan mod pengangkutan yang efisien turut mengurangkan jumlah barangan yang boleh dibawa masuk dan keluar, seterusnya mengekang pertumbuhan dan aktiviti ekonomi bagi kawasan Pantai Timur.

Inilah antara sebab utama Kerajaan membuat keputusan untuk membina ECRL, projek InfraRakyat berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang akan menghubungkan Lembah Klang dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Pembinaan landasan sepanjang 688 km ini juga sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur negara yang efisien, selain menghubungkan bandar dan menambahbaik pengangkutan awam di kawasan luar bandar di Pantai Timur.

Suka saya nyatakan bahawa projek ini menjadi kenyataan hari ini adalah hasil rundingan G2G antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China yang menyaksikan pelantikan syarikat milik kerajaan China yakni China Communications Constructions Company (CCCC) untuk membangunkan projek bernilai RM55 bilion ini, manakala Malaysia Rail Link Sdn Bhd adalah syarikat tujuan khas di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan ditugaskan sebagai pemilik projek.

Terima kasih kepada Kerajaan China yang telah bekerjasama dengan erat dengan kita bagi menjayakan projek mega ini, terutamanya kepada Presiden Xi Jinping yang turut menghantar utusan peribadi beliau TYT Wang Yong di majlis pecah tanah hari ini.

Bagi projek ECRL ini juga, Malaysia menerima terma pembayaran menarik di mana 85 peratus projek ini akan dibiayai soft loan 3.25 peratus daripada China Exim Bank, dan baki 15 peratus dibiayai program sukuk diuruskan oleh bank-bank pelaburan tempatan.

Sejak awal perancangan projek ECRL ini lagi, Kerajaan telah meletakkan kepentingan rakyat Malaysia sebagai keutamaan, di mana sekurang-kurangnya 30 peratus daripada projek ini akan melibatkan penyertaan kontraktor tempatan yang layak.

Oleh itu, saya menyeru kepada kontraktor tempatan yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan, ambillah peluang yang tersedia dan sertailah projek bersejarah ini.

Selain itu, kolaborasi Malaysia dan China dalam projek ini juga telah menghasilkan program Latihan Industri ECRL yang bertujuan memberikan para pelajar Malaysia kemahiran yang mencukupi bagi turut serta dalam pembinaan ECRL.

Program ini telah dilancarkan pada 14 Jun 2017 dan mensasarkan penyertaan 3,600 pelajar Malaysia, di mana mereka yang berjaya melengkapkan latihan akan secara automatik ditawarkan pekerjaan.

Sesungguhnya seperti MRT, ECRL ini adalah satu lagi “game-changer” dan “mindset-changer” bagi rakyat Malaysia, di mana ia akan memendekkan masa perjalanan dari dan ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Waktu perjalanan keretapi dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak ke Kota Bharu dijangka mengambil masa kurang daripada 4 jam, berbanding 7 jam melalui jalan darat dan 12 jam pada musim perayaan.

Oleh yang demikian, ECRL akan menyediakan alternatif yang lebih pantas, selesa serta mengurangkan jurang dan menjadi pemangkin kepada kesaksamaan ekonomi antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

ECRL bakal merangsang pelaburan, meningkatkan aktiviti ekonomi, mewujudkan banyak pekerjaan, memudahkan pendidikan berkualiti, dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri-negeri sepanjang laluannya iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Sebagai projek keretapi terpanjang Malaysia, ECRL juga akan menggalakkan pembangunan kawasan perindustrian dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang memupuk daerah kediaman padat dan pusat komersial sepanjang stesen keretapi berkualiti.

Bandar-bandar seperti Bentong, Mentakab, Maran, Kuantan, Cherating, Chukai, Dungun, Kuala Terengganu, Tok Bali dan Kota Bharu yang telah ditetapkan sebagai stesen ECRL bakal menerima manfaat daripada pembangunan ini.

Salah satu komponen penting ECRL adalah ia menjadi pelengkap kepada integrasi pelbagai mod pengangkutan dan menyediakan kesalinghubungan atau connectivity kepada pengguna dan barangan dari dan ke negeri-negeri Pantai Timur yang mempunyai 4.4 juta penduduk.

ECRL juga akan membawa banyak manfaat kepada pengangkutan muatan kerana ia menghubungan kawasan ekonomi dan industri utama dalam ECER seperti Malaysia-China Industrial Park, Gambang Halal Park, Kertih Biopolymer Park, dan Tok Bali Integrated Fisheries Park ke Pelabuhan Kuantan dan Port Klang.

Dianggarkan menjelang 2030, seramai 5.4 juta pengguna dan 53 juta tan kargo akan menggunakan perkhidmatan ECRL setiap tahun sebagai mod pengangkutan utama antara Pantai Barat dan Pantai Timur.

Kerajaan turut meramalkan bahawa KDNK bagi 3 negeri di Pantai Timur ini akan meningkat sebanyak 1.5 peratus dengan terlaksananya projek ini.

Ini bermakna, ECRL akan meningkatkan tahap pendapatan dan taraf hidup penduduk Pantai Timur, dengan penduduk luar dan separa luar bandar dijangka menjadi penerima manfaat utama daripadanya.

Terlalu banyak manfaat yang akan dibawa oleh ECRL, kepada rakyat, negara, di peringkat tempatan, Asia Tenggara, malah di peringkat global.

Tetapi malangnya, masih ada dalam kalangan pembangkang yang cuba untuk menjejaskan projek ini.

Walaupun begitu, saya memberi jaminan kepada rakyat di Pantai Timur bahawa Kerajaan Barisan Nasional mempunyai rekod prestasi cemerlang dan akan menepati janji, seperti yang telah kita lakukan dengan siapnya MRT baru-baru ini.

Dengan sokongan berterusan kepada kerajaan, Insya-Allah, saya yakin dan percaya kita akan menyaksikan sempurnanya ECRL pada tahun 2024 seperti yang dijanjikan.

1 comment:

Unknown said...

TAHNIAH LER PAH-HANG dapat bangunkan negara Cina.
Sempena pecah tanah ECRL ni, negeri Pahang akan
ditukar nama, untuk kesesuaian semasa dan kebanggan
bangsa Pahang ke anak cucu.
Nama-nama baru, antaranya....
Negeri Poh-Hang
Kwan-Tan
Pek.Kan
Ter- Meh-Loh
Ko-la-Lompin
Mah-Lan
Jer-lan-tut
Lau-Ub
Kar-Lak
Beng-Tong
Meng-Teng-Kap
Kar-Meh-Long-Lailan
Jen-der-lak
Ter-Ling
Eng-dau
Ler-Peh.

Daerah yang tak setuju ubah nama cuma JANDA BAIK.

WZWH .....sudah tular dalam wassp seantero Malaysia
sebab amat bangga dengan kejayaan Pah-hang menarik
pelaboran Cina.
Bila pulak nak jadi pusat MILITIRY CINA....????

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024