Thursday, October 14, 2010

Kenapa Pak Sako Menulis Novel Putera Gunung Tahan?

WZWH mendapati ada beberapa faktor penting yang mempengaruhi Pak Sako (Arwah Ishak Haji Muhammad) mencipta novel Putera Gunung Tahan (1937) :
  1. Menulis novel satira berunsurkan politik
  2. Pengaruh kehidupannya sendiri
  3. Kesedaran semangat kebangsaan
  4. Kebimbangan pengaruh asing menguasai kehidupan bangsa
  5. Menanam semangat patriotik di kalangan orang Melayu
Pak Sako menggunakan bentuk satira yang merupakan sindiran sebab banyak dipengaruhi oleh mitos-mitos tempatan yang pernah didengarinya dari orang-orang tua.

Beliau telah menggunakan lambang keteguhan Gunung Tahan dan sengaja memberi judul novel yang pertama itu Putera Gunung Tahan. Gunung menjadi lambang kekuatan bangsa Melayu.

Orang Melayu lebih faham secara sindiran kerana dalam kehidupan seharian mereka selalu menggunakan sindiran dan kias ibarat. Cara ini memberi kesan yang mendalam.

Novel ini menarik minat orang Melayu memahami sindiran di samping menanam semangat benci kepada penjajah dan membangkitkan semangat nasionalisme dan patriotisme.

Pak Sako telah memerhatikan bermacam-macam gelagat penjajah British, pegawai-pegawai yang setia dan pro British, juga tindak tanduk golongan feudal yang merugikan bangsa Melayu pada masa itu dan di masa akan datang.

Pak Sako merasa amat sedih dan terharu dengan kemunduran rakyat Melayu baik dari segi ekonomi, sosial, pendidikan mahupun politik. Beliau melihat pada zaman itu kedai pajak begitu banyak sekali di Pantai Timur.

Tidak ada lagi harta Melayu yang tersimpan di rumah, semuanya sudah dipajakkan. Beliau melihat orang-orang Melayu menuju kepapaan. Ini menurut Pak Sako akibat dari sistem penjajah yang menindas rakyat, tidak mengajar rakyat untuk hidup berdikari.

Kepapaan orang Melayu amat menjolok mata. Beliau melihat dari dekat derita sengsara manusia Melayu. Kebanyakan mereka hidup dalam kesempitan dan begitu menyedihkan. Dengan menulis novel Putera Gunung Tahan, Pak Sako dapat "memukul" penjajah dengan cara menyindir dan bukannya dengan cara terang-terangan.

Sejak tahun 1928, Pak Sako sedar orang Melayu ketiadaan pemimpin-pemimpin untuk memberi semangat kepada jiwa yang pasif dan beku. Bangsa Inggeris mempunyai " King Authur and The Knights of The Round Table". Inggeris mempunyai hero-hero seperti Richard The Lion Heart, William The Conqueror.

Sastera Inggeris punyai Charles Dickens, Tennyson, Lord Byron dan William Shakespeare. Inggeris punyai dongeng-dongeng yang berunsur kepahlawanan dan kebangsaan seperti cerita-cerita "King Canute", "The Viking", " The Trojan Horse" dan dongeng-dongeng Greek Tua seperti " The Golden Fleece", "Thesues" dan cerita Julius Ceaser.

Pak Sako menyedari bahawa orang Melayu juga boleh menonjolkan cerita-cerita kepahlawanan bangsa Melayu. Negeri Pahang mempunyai pahlawan-pahlawan seperti Dato' Bahaman, Tuk Gajah, Mat Kilau. Terengganu pula Abdul Rahman Limbung dan Kelantan dengan Tuk Janggutnya.

Pak Sako bimbang kepada pengaruh-pengaruh asing yang mula menguasai kehidupan bangsanya. Kesedaran bahawa penjajah di samping merampas kekayaan negerinya, mengabaikan kesejahteraan hidup rakyat demi untuk memelihara kepentingan golongan atasan dan birokrat.

Penjajah juga membiarkan ramai rakyat ramai hidup menderita, sebaliknya menjaga hati golongan-golongan atasan untuk kepentingan mengekalkan kepentingan penjajahannya.

Penjajah membiarkan rakyat ramai tanpa memberi pelajaran, sebaliknya mereka menggalakkan golongan atasan belajar dan kemudian menjadi pegawai pentadbir yang taat dan pro British.

Penjajah telah mengajar golongan pentadbir supaya hidup cara barat sehingga menyebabkan mereka lalai dan tidak mahu menolong rakyat bawahan. Akibat dari itu berlaku penyelewengan yang amat ketara berlakunya rasuah dengan berleluasa.

Maka golongan atasan yang sudah senang telah menjadi bertambah senang dan golongan bawahan yang miskin menjadi bertambah miskin. Maka timbullah ilham untuk mencipta novel Putera Gunung Tahan.

Adakah novel Putera Gunung Tahan (1937) masih relevan dengan keadaan isu politik semasa kini. WZWH berpendapat novel ini masih relevan kerana orang Melayu telah dijajah dalam bentuk baru.

Pemimpin-pemimpin Melayu semuanya sanggup "compromise" demi memujuk lain-lain bangsa yang dulu berketurunan pendatang tetapi sekarang tidak lagi kerana setia dan warganegara.

Tidakkah isu-isu yang dikupas oleh Pak Sako masih lagi relevan dengan 1001 permasalahan orang Melayu? Dan siapakah Putera Gunung Tahan yang Pak Sako berharapkan untuk menjadi pemimpin membela orang Melayu dan rakyat di Malaysia ini?

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024