Wednesday, December 22, 2010

Kekuatan BN Menghadapi PRU 13


DS Najib dijangka akan mengangkat sumpah sekali lagi di hadapan DYMM Yang Dipertuan Agong selepas PRU 13.

Berdasarkan PRU 12, jumlah yang layak menjadi pemilih ialah 15 juta. Jumlah pemilih berdaftar ialah 10.9 juta (72.8%). Jumlah pemilih keluar mengundi ialah 8.1 juta (54.4%).

Jumlah undi untuk BN ialah 4,081,115 (27%) -140 kerusi.

Jumlah undi untuk PR ialah 3,786,732 (25%) - 82 kerusi.

Rumusan boleh dibuat daripada data di atas:
  • Kerajaan BN kini adalah pilihan 27.2% pengundi;
  • Pakatan Rakyat pula menjadi pilihan 25.3% pengundi;
  • Sejumlah 2.8 juta pemilih yang berdaftar tidak keluar mengundi; dan
  • Lebih kurang 4 juta warga yang layak mendaftar sebagai pemilih belum lagi berbuat demikian. 
Senario PRU 13 akan berubah bila DS Najib mengetuai BN dengan membawa perubahan dan pembaharuan pengurusan urus tadbir negara yang lebih baik dan rakyat bertambah yakin dengan kepimpinannya.

Realitinya ialah hasil PRU13 hanya akan ditentukan oleh 9 juta pemilih daripada 12 juta yang dijangka memiliki status pemilih berdaftar menjelang Januari 2011. Kiraan ini adalah berdasarkan purata nasional 75% yang biasa keluar undi dalam sesuatu pilihan raya.

Perbezaan pemilih yang akan keluar mengundi di PRU 13 akan datang berbanding PRU12 yang lepas adalah lebih kurang 900,000 orang.

Parti-parti politik bersungguh-sungguh cuba mempengaruhi pemilih baru dan atas pagar. Dalam scenario ini terdapat enam pola perkembangan semasa yang akan mempengaruhi keputusan muktamad PRU13.

i. Peningkatan ketara dalam bilangan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela). Mengikut kenyataan Menteri Dalam Negeri jumlah anggota Rela telah meningkat daripada 556,286 orang pada bulan April 2009 kepada 2,042,215 orang pada bulan Oktober 2010. Ini bermakna keanggotaan Rela telah bertambah hampir empat kali ganda hanya dalam tempoh 18 bulan! Timbalan Menteri Dalam Negeri pula telah mengumumkan bahawa Rela mensasarkan keanggotaan 2.6 juta sebelum akhir tahun 2010.

Disamping itu, kerajaan juga mengumumkan sasaran Rela untuk melaksanakan program ‘1Platun, 1Kampung, 1Taman’. Sekiranya anggota Rela dibahagikan secara purata kepada 222 kawasan pilihan raya Parlimen, ini bermakna setiap kawasan akan mempunyai hampir 10,000 pengundi anggota Rela. Perkembangan ini memberi kesan kepada ‘equation’ pilihan raya oleh kerana undi sebahagian besar anggota Rela kepada parti kerajaan boleh dianggap sebagai ‘simpanan tetap’. 

Tidak mungkin anggota Rela yang berperanan sebagai “mata dan telinga kerajaan” dan menjalankan tugas “geraksaraf khasnya dari segi mengawasi pihak-pihak yang dianggap sebagai musuh dalam selimut” akan memihak kepada parti pembangkang.

ii. Keputusan kerajaan pada April 13, 2009 untuk menubuhkan batalion Askar Wataniah di setiap kawasan Parlimen, kononnya untuk memantapkan sistem pertahanan negara.6 Setiap platun terdiri daripada 300 orang ahli dan kerajaan mahukan supaya ada sejumlah 600,000 anggota Askar Wataniah secara keselurahannya. Mereka-mereka ini juga boleh dianggap sebagai pengundi simpanan tetap BN.

iii. Pengumuman pihak SPR bahawa hak undi pos akan dihulurkan kepada suami/isteri pasangan anggota tentera dan polis. Berdasarkan rungutan mengenai proses undi pos yang untuk sekian lama tidak telus, pengecualian yang diperkatakan ini barangkali akan juga mempengaruhi keputusan PRU13.

iv. Sudah tentu 90% daripada kakitangan kerajaan yang berjumlah 1.2 juta akan menyokong kerajaan kerana  kerajaan bayangan PR terutamanya DAP mahu "downsizing civil service" yang 77% terdiri daripada kaum Melayu.

v. 75% daripada 222 kerusi parlimen terletak di luar bandar. Harga getah dan kelapa sawit yang semakin meningkat telah menaikkan ekonomi luar bandar dan di kawasan Felda dan Felcra. Orang kampung dan peneroka sudah tentu mempertahankan kerajaan yang ada.

vi. Majoriti orang Melayu dan Bumiputera sudah tidak percaya kepada DS Anwar Ibrahim yang merupakan Perdana Menteri Bayangan kerajaan PR. Orang Melayu tidak mahu nasib mereka diperjudikan oleh DS Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, jelas bahawa golongan terbesar yang tidak akan mempengaruhi hasil PRU13 ialah mereka yang tidak berdaftar sebagai pemilih walaupun layak – seramai lebih kurang 4.3 juta warga.

Akan tetapi, satu perkembangan positif adalah sebilangan besar rakyat telah mula sedar bahawa kuasa sebenar adalah di tangan mereka.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024