Friday, June 10, 2016

Pengundi Parlimen Jerantut, Maran dan Kuala Krau Merayu MOF Pertimbangkan Naiktaraf Jalan Jerantut -Maran

JUMLAH pembetung  besar diletak berdekatan susur Jalan Persekutuan

Jumlah pembetung besar diletak berdekatan susur Jalan Persekutuan Lama dari Maran ke Jerantut mengancam keselamatan pemandu kenderaan berdekatan Simpang Jengka 8, Maran, Pahang.

Mula bicara, WZWH mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kementerian Kewangan MOF kerana tidak menghalang dan membantah malah sudi mempertimbangkan naiktaraf Jalan Persekutuan Jerantut-Benta dengan bajet permulaan RM650 juta. Ini berita gembira bagi pengundi parlimen Jerantut, Raub dan Kuala Lipis.

Ada sedikit kekhilafan, bila Kementerian MOF tidak mahu mempertimbangkan naiktaraf Jalan Persekutuan Jerantut- Maran seperti yang dinyatakan secara rasmi kepada WZWH.

WZWH merayu, bahkan pengundi parlimen Jerantut, Maran dan Kuala Krau merayu Kementerian MOF mempertimbangkan naiktaraf Jalan Persekutuan Jerantut-Maran yang sudah terbengkalai lebih 11 tahun dulu.

Kenapa Jalan Persekutuan Jerantut-Maran perlu dinaiktaraf?

Seramai 7,000 penduduk Gugusan Felda Kota Gelanggi, Felda Tekam Utara, Felda Sungai Tekam dan Ibu Tunggal terpanggil untuk mengetahui status projek jajaran baharu jalan raya antara Maran ke Jerantut khususnya laluan dari tempat tinggal mereka ke Simpang Jengka 8 dekat sini.

Hasrat penduduk berkenaan berasas kerana laluan dari persimpangan Felda Tekam Utara dan Ibu Tunggal ke Simpang Jengka 8 sejauh 10 kilometer masih belum dibina walaupun pihak berwajib sering berjanji untuk menyelesaikan projek itu yang terbengkalai sejak enam tahun lalu.

Menurut penduduk di Felda Kota Gelanggi, mereka difahamkan projek jajaran baharu itu gagal disiapkan berikutan masalah yang timbul dalam kalangan kontraktor yang dilantik sehingga berlanjutan dan menyukarkan penduduk.

Kegagalan projek itu boleh dibuktikan apabila masih terdapat banyak pembetung yang terbiar ditinggalkan oleh kontraktor sebelum ini termasuk 'beam' jambatan dan jajaran yang belum sempurna sudah dilitupi belukar.

Perkembangan projek itu masih ditakuk lama walaupun pihak berwajib memberi jaminan untuk meneruskan pembinaan jalan baharu untuk keselesaan orang ramai.

Dari setahun ke setahun, penduduk di sini menunggu dengan penuh sabar dan realitinya projek ini belum kesampaian sehingga ini sekali gus membantutkan peluang penduduk dalam sektor pertanian dan pelancongan.

Fenomena yang berlanjutan ini menyebabkan jalan lama kerap ditenggelami air akibat banjir  dan runtuhan tebing sungai setiap kali musim tengkujuh pada penghujung tahun.

Ramai pelancong dari Kuala Lumpur kerap berkunjung ke Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam untuk berekreasi melalui laluan dari Simpang Jengka 8 ke pusat berkenaan yang masib belum berubah sejak dahulu.

Seeloknya kerajaan mengutamakan projek ini memandangkan potensi sektor pelancongan dan pertanian di kawasan ini termasuk keselesaan bagi memasarkan hasil oleh petani di kampung tradisional dan Felda berdekatan laluan berkenaan.

Keadaan Jalan Persekutuan Lama dari Maran ke Jerantut yang sempit dan bengkok-bengkok juga mengundang pemanduan yang tidak selamat kerana terdapat banyak kenderaan berat termasuk lori balak.

WZWH merayu dan memohon Kementerian MOF agar dapat mempertimbang semula sehabis baik menaiktaraf Jalan Persekutuan Jerantut-Maran ini demi kepentingan, kemudahan dan keselesaan pengundi parlimen Jerantut, Maran dan Kuala Krau.

No comments:

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...