Tuesday, March 29, 2011

Sejarah Politik Sarawak Dulu...Kini....Dan PRN 10?


Untuk memahami Politik Sarawak perlu WZWH bawa pembaca tahu latarbelakang sejarah secara ringkas. Ini membolehkan kita meramalkan keputusan PRN Sarawak yang ke 10 nanti.

Sarawak merupakan sebahagian daripada wilayah Kesultanan Brunei. Sarawak yang kaya dengan sumber alam menyebabkan James Brooke berusaha untuk menguasai Sarawak.

Cita-cita James Brooke tercapai setelah beliau berjaya mengatasi kebangkitan rakyat tempatan terhadap pemerintahan wakil Kesultanan Brunei.

Keluarga Brooke telah memerintah Sarawak sebagai Raja Putih Sarawak dari tahun 1841 sehingga 1941. Terdapat lebih 27 etnik kaum di Sarawak. Ahli politik yang dapat mempengaruhi majoriti kaum ini menguasai politik Sarawak.

Memahami politik Sarawak adalah dengan mengenali Taib Mahmud KM Sarawak. 

Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud (lahir pada 21 Mei 1936 di Miri, Sarawak) adalah Ketua Menteri Sarawak keempat dan kini. Beliau juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Negeri.Taib adalah Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB), parti komponen Barisan Nasional. Beliau berketurunan Melanau.

Dengan memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak sejak 1981, beliau adalah Ketua Menteri / Menteri Besar paling lama berkhidmat di Malaysia.Taib juga merupakan ahli parlimen kedua terpanjang berkhidmat di Malaysia selepas Tengku Razaleigh Hamzah dengan menjadi ahli Parlimen Malaysia selama 38 tahun.

Taib dilahirkan dalam keluarga miskin pada tahun 1936. Taib mempunyai hubungan darah bangsawan dengan keluarga diraja di Brunei. Bapa saudara Taib, Abdul Rahman Ya'kub menyara kehidupan Taib sejak Taib masih seorang budak laki-laki. Taib memulakan persekolahannya di Sekolah Rendah St. Joseph di Miri dan seterusnya ke Sekolah Menengah St. Joseph di Kuching. Taib berazam untuk mengambil undang-undang selepas bapa saudaranya, Rahman Ya'kub memujuknya untuk belajar dalam bidang tersebut. Pada tahun 1958, keputusan cemerlang yang dicapai oleh Taib dalam peperiksaan Senior Cambridge membolehkan Taib layak mendapat biasiswa Shell untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Adelaide di Australia Selatan. Beliau berjaya mendapat ijazah pertama dalam bidang undang-undang pada tahun 1960. Taib Mahmud telah menulis dan menerbitkan beberapa buku Islam dan karya lain termasuk: "Nabi Muhammad dan Misinya, Islam dan Kegunaan Umat Manusia", "Kebebasan dalam pemikiran Islam", dan "Strategi yang sesuai untuk pembangunan negara semasa menghadapi kekurangan sumber".

Selepas Taib balik ke Sarawak, beliau bekerja dalam Crown Council dari 1962 sehingga 1963. Beliau mengambil bahagian dalam Majlis perundangan negeri Sarawak pada 22 July 1963. Beliau dilantik menjadi Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri dari tahun 1963 hingga 1966 dan Menteri Pembangunan dan Perhutanan pada 1967. Beliau bertindak sebagai ketua menteri beberapa kali. Beliau merupakan naib-pengerusi bagi Parti Berjasa Sarawak pada 1964. Beliau menghadiri satu Seminar Antarabangsa Havard pada tahun yang sama. Taib dilantik sebagai Penolong Menteri Persekutuan bagi Perdagangan dan Industri dari 1968 hingga 1970. Beliau mewakili Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA), salah satu parti komponen Perikatan Sarawak dalam pilihanraya Malaysia 1969. Semasa penerusan semula pilihanraya parlimen Sarawak pada 1970, Taib telah dipilih sebagai ahli parlimen Malaysia bagi kerusi Kota Samarahan. Beliau kemudiannya dilantik ke pelbagai portfolio termasuk Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (1970-1972) dan Menteri Sumber Semula Jadi (1972-1974). Pada tahun 1973, Taib menjadi timbalan presiden untuk PBB yang baru ditubuhkan sebelum menjadi parti presiden. Abdul Rahman Ya'kub adalah mentor politik untuk Taib Mahmud selama 20 tahun.

Selepas memenangi pilihanraya kecil Sebandi (sekarang Asajaya) pada tahun 1981, beliau telah dilantik sebagai Menteri Tanah dan Lombong Sarawak sebelum mengambil tempat bapa saudaranya,Abdul Rahman Ya'kub, sebagai Ketua Menteri Sarawak. Beliau mempertahankan kerusi Sebandi sehingga 1987 sebelum dipilih sebagai ADUN di kawasan Asajaya. Dalam pilihan raya Sarawak 2001, beliau tegas untuk bertanding di kawasan Balingian. Taib berkhidmat dalam pelbagai perbadanan awam dan sukarela serta mewakili kerajaan dalam pelbagai persidangan antarabangsa.

Sejak 1981, Keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah meningkat dari RM 6.5 ribu juta sehingga RM 19.7 ribu juta pada tahun 1995 dan bertambah sehingga anggaran berjumlah RM 29.9 billion pada tahun 1999. Pada tahun 1995, sebanyak 31.9% daripada penduduk Sarawak hidup dalam keadaan miskin dan 10% adalah golongan papa. Pada tahun 1997, bilangan kemiskinan turun sehingga 7.5% dan golongan papa telah turun sehingga 0.7%. Pada tahun 1980, hanya 31.8% daripada penduduk Sarawak mempunyai bekalan air tetapi pada tahun 1995, angka tersebut mencecah 85% daripada populasi Sarawak. Penduduk Sarawak secara umumnya lebih terdidik berbanding pada masa dahulu. Kadar celik huruf telah naik dari 30% semasa kemerdekaan sehingga 95% pada hari ini.

Melalui pelancongan dan pemuliharaan ekologi taman negara dan sistem gua, Sarawak telah menjadi tarikan pelancong pada peta dunia. Beliau juga membolehkan tapak-tapak warisan dunia di Sarawak ditempuhi melalui Lebuhraya Pan Borneo. Perindustrian juga berlaku dalam ekonomi Sarawak sejak kemerdekaan. Sektor industri, pembuatan, dan pelancongan diberikan perhatian khusus. Industri teknologi tinggi memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam negeri. Hasil daripada polisi pembangunan Taib Mahmud, KDNK Sarawak telah melebihi purata nasional pada tahun 1995. Demi keseimbangan pembangunan bandar dan luar bandar, Taib Mahmud juga menggalakkan perancangan bandar, perancangan sumber asli, perlandangan, dan pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan juga mementingkan pembangunan lestari. Sarawak adalah negeri pertama yang menjalankan e-kerajaan dengan sepenuhnya di Malaysia manakala Perpustakaan Negeri Sarawak merupakan e-perpustakaan yang pertama di Malaysia. Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang diperkenalkan oleh beliau dijangka akan mempelbagaikan ekonomi masa depan Sarawak.

Pada Julai 2010, Taib diberikan "pencapaian sepanjang hayat" oleh Kongres Asia HRD untuk memperingati sumbangan beliau kepada pembangunan modal insan di Sarawak terutamanya dengan penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Taib menyatakan bahawa kerajaan beliau mensasarkan 50% penembusan internet dalam Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Beliau juga membawa kestabilan politik kepada Sarawak dengan memimpin koalisi BN Sarawak mencapai majoriti yang besar pada setiap kali pilihanraya negeri. Di bawah kepimpinan beliau, kerjasama ikhlas dan pekongsian kuasa antara pemimpin politik diwujudkan.Beliau juga menghalang kemasukan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ke dalam Sarawak. Kemasukkan UMNO ke Sabah sejak 1991 telah menyebabkan percanggahan pendapat antara UMNO dengan ahli politik dan penduduk tempatan kerana mereka berpendapat bahawa hak dan kepentingan mereka terhakis.

Semasa menyambut ulang tahun ke-28 sebagai ketua menteri Sarawak pada 26 Mac 2009 di Dewan Suarah Bintulu, Taib membayangkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang paling kaya di Malaysia menjelang tahun 2030 ketika menyampaikan ucapan beliau. Pada masa depan, pekerja yang berkemahiran tinggi akan membantu dalam membangunkan Sarawak demi kebaikan pentadbiran ekonomi. Sarawak akan menjadi tempat yang akan memberi peluang kepada sesiapa yang ingin mencari kehidupan yang lebih baik.Gelombang kedua pembangunan akan dimulakan secepat mungkin.

Antara langkah-langkah yang dicadangkan termasuk penubuhan institusi pengajian tinggi yang lebih banyak bagi mempelbagaikan ekonomi Sarawak kelak. Ini juga akan memastikan generasi muda mampu untuk mengeksploitasi sumber alam yang berkurangan saban hari dengan lebih efisien. Beliau juga merujuk kepada keperluan sinergi, kerjasama, dan semangat berpasukan antara pemimpin dan persefahaman penduduk Sarawak untuk melicinkan perancangan dan perjalanan yang dilakar oleh kerajaan negeri untuk manfaat rakyat.

Pakatan Rakyat telah menghasut rakyat Sarawak dengan menimbulkan cerita-cerita kekayaan keluarga Taib Mahmud. Ini adalah "modus operandi" biasa pihak pembangkang. Dulu Mahathir, Pak Lah dan kini Najib juga dikaitkan dengan kekayaan keluarga.

Berkenaan dengan ramalan PRN Sarawak diramalkan BN dapat mengekalkan 2/3 majoriti DUN Sarawak. Pembangkang seperti PKR, DAP dan SNAP masih berebut kerusi. 71 kerusi DUN dipertandingkan. Taib Mahmud lebih berpengalaman tahu bagaimana mengurus politik Sarawak.

Taib Mahmud berjanji akan mengundurkan diri beri peluang kepada pemimpin yang lebih muda selepas selesai PRN Sarawak.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024