Monday, February 17, 2014

Sejarah Kesultanan Selangor


Sultan Selangor kesembilan bergelar Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selepas kemangkatan Yang Di-Pertuan Muda Johor-Riau pertama (I) iaitu Paduka Sri Sultan Alauddin Ri’ayat Shah Ibni Upu Tenderi Burong Daing Rilaga pada tahun 1728, ataupun lebih dikenali dengan gelaran Daeng Merewah. Maka Baginda Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dari Empayar Kerajaan Johor-Riau telah melantik Paduka Sri Raja Chelak Ibni Upu Tenderi Burong Daing Rilaga menjadi Yang Di-Pertuan Muda Johor-Riau kedua (II) bagi mengantikan kekandanya. Bagaimana lazimnya tanggungjawab dan peranan Yang Di-Pertuan Muda Johor-Riau adalah menjaga dan mengawal wilayah-wilayah dibawah naungan Empayar Kerajaan Johor-Riau.

Sekitar tahun 1730-an, seorang Bugis yang bernama Daeng Mateko telah berbaik dengan Raja Kecil dari Siak telah mengacau ketenteraman di Selangor; Ini membuatkan Paduka Sri Raja Chelak datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau bagi mengamankan kekacauan yang tercetus. Di dalam misi ini Daeng Mateko dapat dikalahkan dan kemudiannya lari ke Siak. Semenjak dari itu, Paduka Sri Raja Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor bagi memastikan keamanan di Selangor berterusan.

Ketika Paduka Sri Raja Chelak berada di Kuala Selangor, penduduk Kuala Selangor memohon kepada baginda supaya terus menetap di situ. Namun di tolak oleh baginda walau bagaimanapun, baginda telah menamakan salah seorang daripada puteranya, iaitu Raja Lumu bergelar Raja Kecil Jajahan Selangor Bergelar Yang Dipertuan (Raja Kecil), selepas itu baginda pun pulang ke Riau bersama-sama dengan rombongan anak buah baginda yang telah datang dari Riau. Tidak beberapa lama selepas meletakkan anakanda baginda sebagai Raja Kecil Jajahan Selangor di Kuala Selangor maka baginda pun mangkat pada tahun 1745.

Salasilah kesultanan Selangor mulai 1756


Sultan Selangor yang pertama (Raja Lumu) adalah dari keturunan bangsa Bugis, yang mengaku keturunan dari penguasa Luwu di bahagian selatan Sulawesi. Bangsawan dari keturunan ini terlibat dalam perselisihan Kesultanan Johor-Riau pada awal abad ke-18, akhirnya meletakkan sokongan penuh mereka kepada Sultan Abdul Jalil dari wangsa Bendahara terhadap penuntut yang mengaku waris dari keturunan Melaka-Johor, iaitu Raja Kecil. Untuk alasan ini, para penguasa Bendahara Johor-Riau menjalin hubungan erat dengan para bangsawan Bugis, memberikan mereka gelaran dan kawalan ke atas banyak daerah di dalam kerajaan, termasuk Selangor. Putera Daeng Chelak, Raja Lumu tiba di Selangor dan menubuhkan kerajaan baru di Kuala Selangor di tahun 1766. Ia dinobatkan oleh Sultan Perak sebagai Sultan Salehuddin Shah, dan menjadi Sultan pertama dari Selangor.

Kesultanan Selangor bermula seawal tahun 1756 apabila ia berada di bawah pemerintahan Raja Lumu yang menjadi Yang Dipertuan Besar Selangor dan bergelar Sultan Salehuddin Shah (1).

Biarpun berasal dari kalangan orang Bugis, kesultanan baginda diiktiraf oleh Sultan Perak pada pertengahan kurun ke-18 yang turut membawa kepada pembebasan negeri Selangor daripada kekuasaan kerajaan Johor.

Pemerintahan Sultan Salehuddin berterusan sehingga tahun 1778 apabila baginda mangkat lalu digantikan oleh putera baginda, Raja Ibrahim Marhum Saleh yang kemudian bergelar Sultan Ibrahim Shah (2).

Sepanjang pemerintahan Sultan Ibrahim Shah, Selangor menempuh pelbagai peristiwa antaranya, serangan tentera Belanda pada 13 Julai 1784 yang berjaya menawan kota Kuala Selangor.

Ini diikuti perjanjian kerjasama antara kerajaan baginda dengan kerajaan negeri Perak yang akhirnya membawa kepada perselisihan hutang piutang yang diselesaikan melalui campur tangan Robert Fullerton, Gabenor Inggeris di Pulau Pinang.

Selepas kemangkatan Sultan Ibrahim Shah pada 27 Oktober 1826, anakanda baginda, Raja Muda Selangor dilantik menjadi Sultan Selangor dan bergelar Sultan Muhammad Shah (3).

Menurut sejarah, pemerintahan baginda dianggap lemah ekoran ketidakupayaan baginda untuk menguasai raja-raja dan para pembesar di daerah-daerah lain di Selangor.

Oleh itu, berlaku perpecahan daerah di Selangor iaitu Bernam, Kuala Selangor, Kelang, Langat dan Lukut.

Sungguhpun begitu sepanjang 31 tahun memerintah, baginda telah menampakkan beberapa perubahan dengan pembukaan lombong bijih timah di Ampang diikuti dengan pembinaan kedai-kedai bagi keperluan rakyat terutamanya para pelombong.

Kemangkatan baginda secara mengejut pada penghujung tahun 1857 menyebabkan timbul perbalahan di kalangan kerabat di raja dan para pembesar Selangor dalam soal memilih Sultan yang baru.

Keputusan akhirnya dicapai dua tahun kemudian untuk melantik Raja Abdul Samad Raja Abdullah sebagai Sultan Selangor dan bergelar Sultan Abdul Samad (4), biarpun baginda hanyalah anak saudara kepada almarhum Sultan Muhammad Shah.

Sejak permulaan pemerintahan baginda, lombong bijih timah di Ampang mula mengeluarkan hasil untuk diperdagangkan ke negeri-negeri Selat serta berjaya menarik kemasukan lebih ramai pelombong Cina.

Pada tahun 1868, Sultan Abdul Samad melantik menantunya, Tengku Dhiauddin ibni Almarhum Sultan Zainal Rashid (Tengku Kudin) selaku Wakil Yamtuan Selangor dan menyerahkan Langat sebagai hak milik menantunya itu.

Selepas memerintah Selangor selama 39 tahun, Sultan Abdul Samad akhirnya mangkat ketika berusia 93 tahun pada 6 Februari 1898 lalu dimakamkan di Jugra dan disebut `Marhum Jugra’.

Almarhum digantikan oleh cucundanya, Raja Muda Sulaiman ibni Almarhum Raja Muda Musa pada 17 Februari 1898 dan bergelar Sultan Alauddin Sulaiman Shah (5).

Semasa pemerintahan baginda, Selangor mula mengalami perubahan besar apabila lebih banyak jalan raya dan landasan kereta api dibina begitu juga meningkatnya pembinaan rumah dan kedai terutama di Kuala Lumpur dan Kelang.

Kebijaksanaan baginda memerintah telah mendorong rakyat mengadakan sambutan keramaian Jubli Emas di Kelang sempena genap 40 tahun pemerintahan baginda.

Namun begitu, beberapa bulan kemudian, pada 30 Mac 1938, baginda pun mangkat dan dimakamkan di Kelang dengan gelaran `Marhum Atiqullah’.

1938 – 1960 Pemerintahan Selangor diambil alih oleh anakanda almarhum Sultan Alauddin Tengku Alam Shah yang ditabalkan pada 4 April 1938 dan diberi gelaran Sultan Hisamuddin Alam Shah (6).

Kerajaan baginda bagaimanapun tidak kekal lama apabila dipaksa turun takhta pada tahun 1942 oleh tentera Jepun yang sebelum itu menyerang dan mengalahkan negeri-negeri Melayu.

Jepun yang merasakan kekanda Tengku Alam Shah, Tengku Musauddin lebih layak menjadi pemerintah Selangor telah melantik baginda sebagai Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah (7) dan Tengku Alam Shah diminta memberi kerjasama membantu kekandanya dalam soal pemerintahan.

Penguasaan Malaya yang berubah ekoran kemasukan semula tentera Britain lebih tiga tahun kemudian turut mengubah struktur pemerintahan kerajaan Selangor kembali kepada pimpinan Sultan Hisamuddin Alam Shah.Berikutan perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Sultan Hisamuddin Alam Shah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Negara Persekutuan Tanah Melayu, sementara jawatan Yang di-Pertuan Agong yang pertama disandang oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni almarhum Tuanku Muhammad.

Berikutan kemangkatan baginda Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960, Sultan Hisamuddin Alam Shah pula dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kedua.

Lima bulan kemudian, baginda pula mangkat pada 1 September 1960 setelah gering selama 27 hari lalu pemerintahan Selangor diterajui oleh putera sulung baginda Raja Abdul Aziz sebagai Sultan Selangor yang bergelar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (8).Kesultanan Selangor di bawah pemerintahan Sultan Salahuddin banyak meninggalkan perubahan yang membanggakan rakyat lantas baginda tetap kekal dalam kenangan selepas kemangkatan baginda di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, pada pukul 11.57pagi 22 November 2001.

Anakanda Almarhum, Tengku Idris Shah pada 22 November 2001 dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kesembilan bergelar Sultan Sharafuddin Idris Shah (9).

No comments:

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...