Yang menjatuhkan pemimpin bukan manusia dan jin...
Yang boleh menjatuhkan pemimpin ialah Allah...
Yang boleh mengangkat pemimpin pun Allah...
Adab adalah penentu kepada jatuh bangun seseorang pemimpin, bangsa dan sesebuah negara kerana ia memperingati bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor kuasa, kekayaan mahupun keturunan, tetapi oleh kriteria yang terkandung di dalam Al-Quran daripada segi pengetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni.
Pada masa sekarang elemen kurang beradab hingga mencetuskan berlakunya kelakuan tidak beradat semakin sehari semakin ketara dan lebih memalukan ia dilakukan oleh orang dewasa yang berjawatan besar, penting, berpendidikan tinggi dan professional.
Kelakuan itu bukan berlaku di tepi jalan atau di pasar tetapi turut berlaku di tempat yang sepatutnya mencerminkan setinggi tertib dan sehalus budi.
Bagaimanakah rupa bentuk negara bangsa yang akan terbina nanti jika elemen adab dan adat sudah tidak lagi ada di kalangan warganya.
Adakah lengkap ukuran sebuah negara maju, sebuah negara kaya, jika warganya mundur dengan adab dan miskin dengan adat.
Adab dikaitkan dengan pendidikan manusia yang luhur yang mana apabila kuasa dan sumber diuruskan oleh individu yang tidak memahami idea induk, maka akan berlakulah penyalahgunaan kuasa, pembaziran sumber dan diikuti suasana kekeliruan intelek serta moral.
Salah urus sumber mengakibatkan berlakunya kemiskinan yang berpanjangan dan kemusnahan institusi-institusi penting.
Adab merangkumi elemen kemanusiaan, kebajikan, kasih sayang serta sifat menghormati ibu bapa, menghormati orang tua, menghormati kanak-kanak, menghormati jiran tetangga dan menghormati pemimpin .
Dalam kebatasan pemikiran, pengetahuan serta pengalaman, adalah penting bagi negara, masyarakat dan individu untuk memberikan perhatian utama kepada elemen adab dan adat dalam program membangunkan modal insan supaya rakyat dapat dibangunkan secara seimbang agar negara tidak berjalan tempang.
Raja-raja Melayu telah terpahat di tinta sejarah sebagai raja yang berdaulat dan kerajaan berpaksikan raja itu telah membina tamadun negara bangsa, melaksanakan sistem pemerintahan yang membawa kemakmuran yang dapat dinikmati oleh rakyat pribumi begitu juga dagang dan senteri yang telah memilih berhijrah ke bumi ini serta bersedia untuk berada di bawah naungan pemerintahan dan adat resam pemerintahan raja-raja Melayu.
Raja-raja Melayu itu amatlah besar peranannya dalam menentukan rupa bentuk warga juga dalam menetapkan identiti negara bangsa, berperanan sangat berpengaruh dalam menyebar dan menerapkan ajaran Islam khususnya di kalangan warga berketurunan Melayu.
Raja-raja Melayu telah memperkenalkan sistem pemerintahan yang berlandaskan adab dan tertib yang berjaya membina satu budaya yang halus dan satu tamadun yang tinggi.
Barisan kepimpinan kerajaan negeri perlu berjanji akan tetap memelihara suasana aman dan tenteram serta kondusif bagi meneruskan agenda pembangunan rakyat dan negeri.
Barisan kepimpinan negeri perlu menyeru pihak lawan supaya tidak keterlaluan menimbulkan sengketa yang kelak membawa padah kepada kesejahteraan hidup rakyat.
Politik permusuhan dan kebencian yang tidak berkesudahan dan tidak membawa sebarang kebaikan perlulah dikendurkan.
Suasana harmoni dan kondusif di negeri dan kepentingan rakyat tidak harus dibiarkan menjadi korban persengketaan politik bagi memenuhi cita-cita sempit pihak tertentu.
No comments:
Post a Comment