Hidangan jelawat masak wap santapan kesukaan Sultan Mansor Shah Melaka terutama setelah beristerikan Puteri Hang Li Po dari Benua China.
Ada pun Raja-Raja Melayu sangat suka makan ikan ini. Hanya keluarga Diraja yang boleh santap ikan ini yang di panggil ikan sultan.
Susah benar mendapatkan ikan ini hingga para pembesar pun tidak boleh merasa nikmat aroma dan daging ikan ini apa lagi rakyat jelata.
Maka sebelum wafatnya Hang Nadim dicampak ke laut dari Pulau malang Singapura yang dilanggar todak itu ada berkata,
" Berbudidayalah kepada ikan sultan itu, bela di kolam dan paya, anak-anak sungai yang berlubuk dan banyak pokok hutan nescaya membiak ia lalu boleh rakyat jelata makan".
Bila sudah banyak ikan itu hingga rakyat jelata boleh makan jangan dipanggil ikan itu ikan sultan nanti rakyat jelata semua suka berangan mahu jadi Sultan"
Mahu panggil apa nama baru ikan itu? Sahut anak Mat Lela gila.
"Berikan nama ikan selawat, setelah makan berselawatlah kamu kepada junjungan nabi rasul itu lebih berkat"
Maka berlarilah anak Mat Lela Gila keliling Teluk Belanga sambil "berteriak Ikan...ikan...ikan...tercunggap-cunggap terlupa nama baru ikan itu.
Akhir tersasul tersebut ikan jelawat...ikan jelawat....ikan jelawat.
Sejak itu orang Melayu membela ikan jelawat itu di kolam, di paya , dipadang bergenang air, di anak-anak sungai hingga sungai-sungai besar membiak-biak pula ke seluruh Alam Melayu.
Dari Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Borneo. Ada juga yang sampai ke Siam, Kemboja, Vietnam dan Laos tapi ikan jelawatnya berekor merah. Barangkali Raja-Raja Budhha itu suka warna kemerahan.
Tidak seperti ikan jelawat putih berekor putih negeri-negeri Melayu yang lebih sedap, enak, manis, beraroma.
Diriwayatkan Tun Seri Lanang ada terbaca catatan cerdik pandai zaman Melaka yang tinggal cebisan, barangkali semasa di kejar soldadu Feringgi itu tergesa-gesa lari.
" Ada pun Puteri Hang Li Po itu terlalu gemar santap ikan wap jelawat. Lalu bertanya kepada Sultan Mansor Shah...
Ampun Tuanku , dalam banyak negeri jajahan Tuanku....ikan jelawat mana paling terbaik sedap mutunya?
Patik terlalu teruja ingin mengetahui...patik mengidam sebenarnya....barangkali yang dalam perut ini mahu"
Sedih dan hiba pula rasa Sultan Mansor Shah kesian kepada permintaan isteri tercinta.
"Baiklah Kanda akan titah Bendahara Tun Perak mendapatkan hajat Adinda.."
Maka Bendahara Tun Perak memberitahu seluruh Alam Melayu..satu pertandingan masak ikan jelawat di seluruh Empayar Melaka.
Kerah semua baik yang di Sumatera-Acheh, Perlak, Jambi, Inderagiri, Rokan, Riau, Minangkabau, Palembang hantar ikan jelawat terbaik..
"Lemak...lemak...lemak...kelemak' teriak orang Sumatera.
"Lemek...lemek...lemek...kelemek" loghat orang sana.
Sampai ke hari ini orang Sumatera panggil ikan jelawat itu nama ikan kelemek.
Kerah juga kepada orang Borneo terutama Kalimantan. Orang Dayak mahu jadi
nombor satu-Johan. Kita bangsa Dayak yang gagah berani mahu jadi johan pemenang.
"menjuhan...menjuhan...menjuhan" laung dan teriak gegak gempita orang Kalimantan.
Sampai ke hari ini orang Borneo-Kalimantan panggil ikan jelawat itu nama ikan menjuhan.
Maka berkumpulah semua ikan-ikan jelawat serata Empayar Melaka di Kota Melaka yang sangat masyhur itu.
Ada pun titah Sultan Melaka dan berita Bendahara Tun Perak sampai ke Negeri Pahang. Lalu Pemerintah Pahang menitah orang Pekan mudik ke hulu Pahang.
" Kamu carilah Orang Tembeling dan Orang Jelai suruh mereka putuskan ikan jelawat mana mahu dihantar sebagai calon...ikan Sungai Tembeling atau ikan Sungai Jelai.
Oleh kerana Maharaja Perba Jelai sibuk melombong emas di hulu Pahang mencadangkan..
Bagi lah ke orang Tembeling memilih ikan jelawat terbaik Sungai Tembeling.
Pilih lah antara 2 masakan jelawat masak rong atau jelawat masak gulai masam tempoyak.
Maka bersetujulah semua rakyat Pahang lalu orang Tembeling memilih jelawat masak gulai masam tempoyak kerana buah perah di Tembeling terutama dekat Kuala Tahan habis pupus pokok perah dicabut Sang Kelembai.
Sang Kelembai mengamuk sebab anaknya mati mabuk makan buah perah. Maka di biarkanlah Orang Tembeling akan Sang Kelembai melepaskan perasaannya.
Tibalah hari yang ditunggu-tunggu bertanding masak jelawat.
Perak oleh kerana bijaksana mahu memasak menu ikan wap jelawat kerana Puteri Hang Li Po suka amat masak ikan wap.
Johor oleh kerana negeri itu tidak ramai orang Melayu, lebih ramai lagi orang Sakai maka sangat malu orang Sakai mahu bertanding kerana mereka suka makan ikan bakar jelawat aje.
Orang Sumatera pula dari Acheh, Minangkabau, Jambi, Siak, Inderagiri, Rokan, Riau dan Palembang masak macam-macam:
Masak jelawat taucu,
Masak jelawat goreng,
Masak jelawat asam manis,
Masak jelawat asam pedas,
Masak jelawat masak kicap.
Malang bagi Orang Borneo-Kalimantan, Orang Dayak tidak kesampaian hajat mereka kerana ditakdirkan Allah swt kapal dipukul ribut. Tidaklah Orang Dayak menyertai pertandingan masak jelawat Melaka itu adanya.
Akhir sekali sampailah giliran wakil dari negeri Pahang yang masak gulai masam tempoyak.
Maka merasalah Puteri Hang Li Po setiap semua masakan jelawat jajahan Melaka.
Perak sangat yakin beroleh kemenangan kerana sudah tentu Puteri Hang Li Po akan memilih masak wap jelawat.
Puteri Hang Li Po tidak pernah makan masak jelawat gulai masam tempoyak lalu Baginda merasa sangat sedap hingga meleleh air mata.
Akhirnya keputusan menjadi johanlah masakan dari Pahang itu.
Demikianlah ceritera Hikayat Jelawat Sungai Tembeling yang diperturunkan dari mulut ke mulut hingga ke anak cucu.
2 comments:
Sebenarnya orang Sungai Tembeling bukan masak Gulai Masam Tempoyak ikan Jelawat.
Ikan Jelawat Sg. Tembeling sudah lama pupus akibat aktiviti skuba mencari harta karun. Sebagai ganti mereka masak Gulai Masam Tempoyak ikan Patin Bunga.
Hehehehehe hehehehe....den tergolak sakan dah ni....puteri hang lipo kono tipu ikan patin bungaaaa.....Hehehehehe
Post a Comment