Monday, December 12, 2016

Farewell To The King From Amangkubhumi Malayadvipa

YDP TB




JAMUAN NEGARA SEMPENA TAMAT TEMPOH PEMERINTAHAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE-XIV

Ampun Tuanku,

Seawal-awal kata, dipersembahkan setinggi-tinggi junjungan kasih atas limpah perkenan Tuanku berdua mencemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahan selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-Empat Belas.

Maka, pada kemeriahan majlis yang damai lagi bergemilang ini, berjunjung segala takzimnya, patik bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat jelata ingin merakamkan sebesar-besar penghargaan dan lafaz penghormatan yang tiada terperinya kepada Tuanku berdua, lantaran sepanjang tempoh pemerintahan, telah menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Negara, Raja Berperlembagaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sesungguhnya patik sekalian bersyukur ke hadrat Allah SWT, justeru amanah yang diterjemah dan dilunaskan ini, telah berlangsung dengan sempurna, sehingga ia mendatangkan kemuliaan dan kepujian kepada Tuanku serta kepada negara Malaysia.

Ampun Tuanku,

Sememangnya, menyongsong lembaran tawarikh, Institusi Raja Ber-Perlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan ketertinggian Perlembagaan bertulis, adalah warisan bapa-bapa pengasas negara kepada kita generasi hari ini. Ia sebenarnya adalah pilihan yang amat tepat bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Dalam konteks ini, institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara adalah amat unik kepada Malaysia yang tiada seumpamanya di ceruk atau rantau lain di dunia ini, berasaskan kepada beberapa perkara:

Pertamanya, sekalipun institusi ini merupakan satu ciptaan Perlembagaan Persekutuan yang dengan secara terperinci telah dilakarkan segala peranan serta tanggungjawabnya, ia masih tetap berakar umbi kepada nilai-nilai sejarah, tradisi juga budaya bangsa dan tamadun Alam Melayu.

Kedua, misalannya, sekalipun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik seorang Perdana Menteri dan membubarkan Parlimen, ia tetap tertakluk kepada prinsip convention dan consultation yang sangat halus serta berhati-hati.

Ini membuktikan sekali gus mempamerkan betapa institusi Yang di-Pertuan Agong, dipermuliakan dengan sifatnya yang langkau siasah atau dalam kata lain letak duduknya itu, di atas mana-mana politik kepartian.

Bahkan, institusi Yang di-Pertuan Agong sangatlah terpelihara oleh Majlis Raja-Raja, kerana bukanlah dipilih oleh para pengundi, begitu juga tidak terbuka untuk ditandingi oleh mana-mana pihak.

Seterusnya, keempat, institusi ini tidak bersifat warisan, kerana ia dipilih secara berhemah dan bergilir daripada kalangan Sembilan Raja-Raja Melayu yang sedia bertakhta di negeri-negeri terbabit seluruh Malaysia.

Dan kelimanya, begitu indah sekali bahawa, institusi ini memayungi bukan sahaja orang-orang Melayu Islam dan Bumiputera malah, merangkumi secara inklusif lindungannya, ke atas hak serta kepentingan yang sah kaum-kaum serta agama lain, di serata negara ini.

Di atas segalanya, sumbangan terbesar institusi ini sebagai diperbuktikan sepanjang hampir enam dekad kewujudan ialah peranannya dalam mempastikan kestabilan politik negara.

Bahkan, kerukunan dan Keharmonian tersebutlah yang telah memungkinkan berlakunya transformasi Malaysia selama ini.

Lantaran itu, pada hemah Kerajaan, institusi ini perlu dipertahan oleh semua pihak sampai bila-bila, sebab ia adalah milik semua tanpa kecuali, kerana ada pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab cuba mencabar kewujudannya.

Ampun Tuanku,

Mengimbasi garis masa, ketika pertamanya dulu, Tuanku telah menaiki takhta sebagai Ketua Negara pada tanggal 21 September 1970 hingga 20 September 1975 sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-5, yang ketika itu Tuanku baru berusia 43 tahun.

Malah, semasa itu, meniti dari mulut ke mulut rakyat bahawa, Tuanku adalah seorang Raja yang sangat segak dan tampan orangnya.

Kemudiannya, takdir menetapkan bahawa, Tuanku mencipta sejarah dengan dilantik sekali lagi, menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14, sesudah lebih 4 dekad berlalu, berkuatkuasa pada tarikh 13 Disember 2011 pada usia 84 tahun, dan ditabal dengan penuh istiadat pada 11 April 2012.

Selanjutnya pula, untuk pengetahuan sekalian, Malaysia merupakan antara 43 negara di dunia, yang mana ‘constitutional monarchy’ atau sistem monarkinya terus diiktiraf.

Apatah lagi, dalam perjalanan sejarah kontempori, kita mensyukuri bahawa Tuanku adalah Raja ke-dua paling lama sedang bertakhta di dunia yakni selama 58 tahun selepas Ratu Elizabeth II yang sehingga kini mencecah tempoh 64 tahun.

Sebelumnya itu, rekod dipegang oleh Raja Bhumibol Thailand, yang telah mangkat pada usia pemerintahannya yang ke-70 tahun.

Atas segalanya, kita berasa bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan seorang Raja yang sangat berpengalaman dan telah menyaksikan perjalanan Malaysia dalam pelbagai kapasiti diri Baginda, terutamanya sebagai seorang anak Raja, Raja Muda, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan tentunya dua kali di singgahsana sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-5 dan Ke-14.

Ampun Tuanku,

Menyingkap sudut ini juga, bagi diri patik secara peribadi dan di atas kapasiti rasmi sebagai seorang pemimpin, tiada kalimah yang dapat menyatakan rasa bertuah dan berbangga kerana Tuanku telah menaungi dua era pemerintahan, yakni di zaman bapa patik Allahyarham Tun Abdul Razak serta kini dalam tempoh kepimpinan patik pula menjadi Perdana Menteri.

Hakikat ini, akan pastinya menjadi nostalgia indah bak kata gurindam lama, tiada sepertinya nan kelmarin, sebagai sering diulang-ulang oleh Tuanku kepada patik bahawa, this extra ordinary circumstances, between my late father and Tuanku, and now between myself and His Majesty, as Tuanku says, he does not think that such a situation will happen again yakni telah tersurat dan tertulis bahawa Baginda Tuanku bertakhta di kala bapa saya dan saya menjadi Perdana Menteri.

Sesungguhnya, patik amat terharu atas kata-kata Tuanku ini. Indeed, on behalf of myself, my family, the government and all Malaysians,…we will miss you a lot Tuanku!, as the Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


Ampun Tuanku,

Patik ingin menyebut kepada sekalian hadirin dan hadirat, sekurang-kurangnya dua perkara yang akan patik kendong dalam ingatan dan kenang sampai ke akhir hayat dalam tempoh patik mengkhidmati Tuanku sebagai Mamanda Perdana Menteri.

Satunya, di sebalik keadaan kesihatan Tuanku yang tidak begitu mengizinkan, pada hemah patik, Tuanku seorang tokoh Raja yang sangat tinggi semangat dan pekertinya,…dengan izin, very determined King and has performed diligently as a constitutional monarch over the past 5 years.

Seperkara lagi yang sewajarnya menjadi contoh ikutan ramai ialah, Tuanku has never been late for 8 am official morning meeting, between me as the Prime Minister and Him as the Yang di-Pertuan Agong on a Wednesday before the Cabinet.

Inilah sifat-sifat terpuji dan sangat mulia kepada seorang Raja yang amat disanjung tinggi.

Lantas,… marilah kita memberi tepukan yang semeriahnya kepada Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Ampun Tuanku,

Selain itu, patik dan rakyat berasa bangga di atas keprihatinan Tuanku sebagai seorang Raja yang berjiwa rakyat dalam memayungi pelbagai kerja amal dan kebajikan di Malaysia.

Terbukti, sifat dan kasih sayang terhadap masyarakat ramai, jelas dipamerkan oleh Tuanku apabila berangkat ke majlis-majlis rasmi mahupun temasya serta amat menyentuh sanubari rakyat jelata tanpa mengira kaum.

Di samping itu, tidak ketinggalan tentunya ramai sedia maklum akan hobi Tuanku di bidang fotografi serta riadah kegemaran Tuanku sejak dahulu iaitu sukan golf. Sebagaimana semua maklum, sukan golf turut disukai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Sehubungan itu, dalam kesempatan ini juga, patik bagi pihak Kerajaan dan rakyat terbanyak, ingin turut menjunjung bahara-bahara kasih yang tiada ternilai kepada Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, yang di sepanjang tempoh pemerintahan, berada di sisi dan mendampingi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan tugas-tugas rasmi negara.


Ampun Tuanku,

Sebagai kesimpulannya, seperti yang ramai sedia tahu, semasa patik mula mengambil alih tampuk pimpinan Kerajaan, pada tahun 2009, telah diperkenalkan Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Selanjutnya, digagaskan pula Dasar Transformasi Nasional atau DTN menjelang 2010 bagi menjulang Malaysia memasuki gelanggang negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Bertolak dari situ, antara hasil yang mampu diperbanggakan, meskipun kita menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, Alhamdulillah,… pada suku ketiga tahun 2016,… Malaysia tetap berjaya mencatat perkembangan KDNK sebanyak 4.3 peratus dan kita yakin InsyaAllah, sasaran 4 hingga 4.5 peratus pada tahun 2017 pula akan mudah-mudahan tercapai.

Berkait hal ini lagi, patik bagi pihak kerajaan dan rakyat berasa bertuah kerana negara ini dalam tempoh naungan Tuanku, telah merentasi kejayaan demi kejayaan yang telah diabsahkan oleh pelbagai agensi dan penarafan antarabangsa yang diiktiraf serta berwibawa.

Kendati pun begitu, Kerajaan Tuanku ini tidak akan bersifat complacent malah akan sentiasa meneruskan usaha demi usaha bagi mencipta hari muka yang lebih ampuh untuk Malaysia.

Selanjutnya, pabila berbicara tentang soal orang muda sebagai zuriat harapan hari muka,… di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional, patik telah mencetuskan satu gerakan Transformasi Nasional atau TN50 bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence.

Selain itu, patik juga cita-citakan, menjelang tahun 2050, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang tergolong dalam kalangan kumpulan top 20 nations di persada dunia. Insya-Allah.

Inilah gerakan bagi melahirkan generasi masyarakat masa depan terbaik. Visi patik dan pimpinan Kerajaan adalah untuk menggerakkan satu movement agar lahirnya kelak generasi masa hadapan Malaysia, yang menyeru ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran, iaitu satu generasi yang digelar dan disebut dalam Al-Quran sebagai Khayra Ummah.

Atas simbolik perpaduan ummah dan kemanusiaan pula, antaranya pada 4 Disember 2016 lalu, patik sebagai Ketua Kerajaan dan Presiden UMNO telah sama-sama berganding dengan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menghadiri Perhimpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya, mewakili 31 juta rakyat Malaysia, bagi menzahirkan keprihatinan kepada saudara-saudara seakidah dan menuntut junta Myanmar menghentikan kezaliman yang sedang dilakukan.

Ampun Tuanku,

Mengakhiri khulasah ucapan, budi baik Tuanku berdua yang harum mewangi akan kekal terpahat sampai bila-bila pun jua. Patik sekalian mendoakan ke hadrat Allah Hu Ta’ala, semoga Tuanku kekal dipelihara Yang Maha Berkuasa, dalam keadaan sihat dan a’fiat, dengan segala selamat dan sejahteranya, sempena keberangkatan balik Tuanku berdua ke Negeri Kedah Darul Aman.

Kata orang, hendak daun diberi daun, dalam daun ada bidara, hendak pantun diberi pantun, dalam pantun ada bicara:

Burung Nuri Terbang Ke Lembah,

Hinggap Megah Di Tengah Kota,

1Malaysia Merafak Sembah,

Daulat Tuanku Payung Mahkota.

Ampun Tuanku Seri Paduka,

Sembah Takzim Menjunjung Tinggi,

Semoga Karar Di atas Takhta,

Doa Patik Setulus Hati.

No comments:

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...