Thursday, December 15, 2016

Najib Sebagai Pemimpin Dalam Budaya Melayu : Mahapatih Hamengkubhumi

Image may contain: indoor

Kata orang tua tua:  

Pemimpin yang baik.
Ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan.
(Makna: Pemimpin yang menjadi penaung dan pelindung kepada anak buahnya)

Pemimpin yang bijak.
Bayang-bayang sepanjang tubuh, selimut sepanjang badan.
(Makna: Pemimpin yang bijaksana dalam memberi perintah, sesuai yang diperintahkan)

Pemimpin yang prihatin.
Rantau jauh diulangi, rantau dekat di kendana.
(Makna: Pemimpin yang selalu menjaga anak buahnya jauh dan sekat)

Pemimpin yang adil.
Matahari itu, gunung dan lembah sama diterangi.
(Makna: Pemimpin yang adil menjalankan hukuman yang sama rata)

Pemimpin yang diikuti.
Tuah yang disembah, junjung yang dipanjat.
(Makna: Pemimpin yang diikuti perintahnya)

Pemimpin yang mulia.
Dianjung seperti payung, diambak seperti kasur.
(Makna: Pemimpin yang sangat dimuliakan oleh pengikutnya)

Pemimpin yang diharap.
Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegak.
(Makna: Pemimpin yang akan membantu dan menjaga anak buahnya jika ada kesusahan yang menimpa anak buahnya)

Halus dan teliti nenek moyang kita menjelmakan pengalaman dan persekitaran mereka dalam patah kata yang indah bagi menggambarkan makna yang tersirat secara tepat, namun, penuh tertib dan bersopan untuk menyampaikan nasihat dan teguran tanpa menimbulkan rasa kecil hati dan menyinggung perasaan orang lain.

Petua memilih pemimpin ini tidak dilupakan oleh Melayu UMNO. Sebab Melayu UMNO itu Melayu yang tidak tamak harta, tidak mabuk dunia. Melayu yang tidak mengejar pangkat, lupa akhirat. Melayu UMNO ialah Melayu yang tidak kemaruk puji, tidak lupa diri.

Kita lihat apa yang berlaku di persidangan UMNO? Ianya pesta puji memuji dan menegur pemimpin secara berhemah. Najib ialah pemimpin yang ditakdirkan oleh Allah. Kita mesti bersetia kepada nya. Tuduhan Najib rasuah semua dusta. Semua itu ciptaan pembangkang. Ciptaan kuasa asing yang dengki pada Najib. 

Dr Mahathir pengkhianat bangsa teriak Melayu UMNO. Najib pada suatu ketika menyelamatkan Mahathir. Mahathir berhutang budi pada Najib. Kerana Najib, Mahathir masih kekal menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Tapi kali ini, Dr Mahathir pengkhianat bangsa. Dia sanggup cium mulut dengan Lim Kit Siang teriak Shahrizat yang difitnah oleh Rafizi melesapkan RM250 juta peruntukan untuk industry lembu daging.

Apa lagi yang kalian Melayu mau? BR1M ada, bantuan JKM ada, Baitul mal ada, e-kasih ada. Rumah PPRT ada. Apa lagi yang kamu mahukan? Bukan itu semua UMNO yang sediakan? Setiap butir nasi yang kita makan itu adalah hasil perjuangan UMNO.

Jika tidak ada UMNO orang Melayu akan merempat tidak terbela.

Orang UMNO kata mereka pembela bangsa Melayu dan segala kepentingan orang Melayu. Dalam menawarkan pemimpin kepada bangsa Melayu, UMNO nampaknya sangat mengerti pedoman dan fatwa memilih pemimpin.

Lanjutan dari sokongan padu, keberadaan Najib sebagai pemimpin menghasilkan negara yang mahu menuju negara top 20 menjelang 2050. Bagaimana ini terjadi? Ianya berpunca, pada bahagian terbesarnya, kerana Najib itu mempunyai visi pemimpin yang memandang ke depan.

Akhlak pemimpin bila diberi kepercayaan dia tidak belot, bila diberi kuasa dia tidak menzalimi dan bila diberi kebebasan dia tidak menekan rakyat. 

Seorang pemimpin ialah yang kita beri kepercayaan. Najib membalas kepercayaan yang kita beri untuk menjayakan negara ini.

Seorang pemimpin ialah yang kita beri kuasa. Najib menfaatkan kuasa tersebut dengan menggunakan jawatan PM untuk mentadbir negara. 

Sebagai kesimpulannya, seperti yang ramai sedia tahu, semasa Najib mula mengambil alih tampuk pimpinan Kerajaan, pada tahun 2009, telah diperkenalkan Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Selanjutnya, digagaskan pula Dasar Transformasi Nasional atau DTN menjelang 2010 bagi menjulang Malaysia memasuki gelanggang negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Bertolak dari situ, antara hasil yang mampu diperbanggakan, meskipun kita menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, Alhamdulillah,… pada suku ketiga tahun 2016,… Malaysia tetap berjaya mencatat perkembangan KDNK sebanyak 4.3 peratus dan kita yakin InsyaAllah, sasaran 4 hingga 4.5 peratus pada tahun 2017 pula akan mudah-mudahan tercapai.

Berkait hal ini lagi, rakyat berasa bertuah kerana negara ini telah merentasi kejayaan demi kejayaan yang telah diabsahkan oleh pelbagai agensi dan penarafan antarabangsa yang diiktiraf serta berwibawa.

Kendati pun begitu, Najib tidak akan bersifat complacent malah akan sentiasa meneruskan usaha demi usaha bagi mencipta hari muka yang lebih ampuh untuk Malaysia.

Selanjutnya, pabila berbicara tentang soal orang muda sebagai zuriat harapan hari muka,… di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional, Najib telah mencetuskan satu gerakan Transformasi Nasional atau TN50 bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence.

Selain itu, Najib juga cita-citakan, menjelang tahun 2050, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang tergolong dalam kalangan kumpulan top 20 nations di persada dunia. Insya-Allah.

Inilah gerakan bagi melahirkan generasi masyarakat masa depan terbaik. Visi Najib dan pimpinan Kerajaan adalah untuk menggerakkan satu movement agar lahirnya kelak generasi masa hadapan Malaysia, yang menyeru ke arah kebaikan dan menolak kemungkaran, iaitu satu generasi yang digelar dan disebut dalam Al-Quran sebagai Khayra Ummah.

Dalam budaya Melayu, Najib boleh disifatkan sebagai pemimpin Mahapatih Hamengkhubumi.

Najib itu Perdana Menteri.

Najib itu Presiden UMNO.

Najib itu juga Orang Kaya Indera Shahbandar.

Najib itu juga Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone.


Indeed, Najib itu adalah Mahapatih Hamengkubhumi.

Melayu UMNO tidak lupa akan ketelitian dan kecermatan bangsa Melayu memilih pemimpin.  

Bagaimana tidak UMNO itu mau memperjuangkan bangsa Melayu?

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024