Wednesday, June 16, 2010

Jerantut Ibu Negeri Baru?

WZWH mahu menyingkap kisah lama...walaupun Kuantan ialah ibu negeri Pahang Darul Makmur sejak 27 Ogos 1955 tapi ada sebab mengapa WZWH berbuat demikian.

Dulu...pada tahun 1901 timbul lagi sekali cadangan memindahkan ibu negeri Pahang dari Kuala Lipis. Residen British pada masa itu mencadangkan supaya ibu negeri dipindahkan ke Jerantut.

Potensi Jerantut untuk menjadi ibu negeri lebih baik, kerana kedudukannya agak ditengah-tengah negeri, disamping adanya hubungan melalui Sungai Pahang dan jalan kereta api. Cadangan ini tergendala semasa Edward Brewster menjadi Residen kerana baginya projek pembinaan jalan kereta api mestilah disempurnakan terlebih dahulu.

Banjir besar yang dikenali oleh orang-orang Pahang sebagai "Bah Keruh" menyerang Pahang pada 1926 menyebabkan seluruh bandar Kuala Lipis tengelam. Dato' Mahmud Mat mencatatkan dalam buku memoirnya Tinggal Kenangan bahawa banjir yang airnya keruh seperti air teh susu itu hampir mencecah loteng kebanyakan kedai di Lipis khasnya di kawasan tebing Sungai Jelai yang dikenali dengan nama Jelai Street itu. Banjir itu juga menyebabkan banyak bangunan kerajaan runtuh.

Cadangan yang sama juga pernah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Undangan Negeri dalam bulan Oktober 1948, tetapi sebagaimana biasa, tiada tindakan yang diambil. Keadaan slump dan inflasi yang berlaku pada 1929 hingga akhir 1945 merupakan faktor yang mendorong ketiadaan tindakan ini.

Apa yang hendak WZWH sampaikan ialah sebenarnya Jerantut ada potensi untuk dibangun dan dimajukan bandarnya dan seluruh daerahnya. Jika pada tahun 1901, Residen British boleh nampak bahawa Jerantut ada masa depan untuk dimajukan kerana kedudukan strategiknya di tengah-tengah geografi negeri Pahang. Disamping gunung, ganang, hutan, flora dan fauna, sungai dan lata.

Walaupun ramai orang politik baik di dalam dan luar Jerantut merasakan Jerantut tempat terpencil, tidak ada infrastruktur, membebankan dan banyak kesusahan. Sebenarnya WZWH memandang Jerantut sebagai "lombong emas" bagi peluang-peluang pembangunan dengan syarat kita kena kreatif dan inovatif memikir dan merancang projek-projek pembangunan di Jerantut. Tidak semestinya projek-projek pembangunan itu mesti disenaraikan dalam RMK 10.

Kita boleh mencipta projek-projek yang baru dan negara amat memerlukannya kerana sebab yang kritikal dan kita cadangkan kepada kerajaan. Dan kita tidak perlu peruntukan dari kerajaan kerana kita boleh membiayainya melalui inisiatif pelaburan swasta. Kita cuma mahu kelulusan dari kerajaan. Pembinaan projek-projek pembangunan boleh mengembangkan ekonomi dan pertumbuhan perkembangan Jerantut. Yang penting peluang pekerjaan untuk orang Jerantut.

Tidak ada yang payah dan susahnya untuk membangunkan dan memajukan Jerantut jika kita berfikir secara kreatif dan innovatif sebab Jerantut punya potensi sejak dulu.....Jerantut hanya perlu "tangan-tangan yang menyentuhnya menjadi emas".

1 comment:

WARIS PAHANG said...

Bagus tulisan ini, maklumat terbaru bagi saya.

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024