Thursday, June 17, 2010

Hulu Tembeling 1920an

Ini cerita WZWH petik dari memoir Dato' Sir Mahmud bin Mat, "Tinggal Kenangan" mengenai kisah Hulu Tembeling 1920an....

Dato' Sir Mahmud bin Mat adalah Menteri Besar Pahang pertama dan juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang pertama. Cerita ini ketika beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Lipis sekitar tahun 1924-1926.

"Tidak lama selepas bertugas di Kuala Lipis, saya pun pergi ke Hulu Tembeling buat pertama kali. Pada pukul 7.00 pagi kami pun bertolak dari Kuala Lipis menghiliri Sungai Jelai ke Kuala Tembeling dan ke suatu tempat bernama Pasir Atas. Sungai Tembeling cantik. Tebingnya tinggi, airnya jernih. Sungainya penuh dengan ikan.

Kami tiba di Pasir Atas lewat petang itu. Kami pun berkemah dan bermalam di situ. Setelah bersarapan pada awal pagi keesokan harinya, kami meneruskan perjalanan menongkah arus ke hulu sungai. Kami sampai di tempat persinggahan seterusnya tidak jauh dari jeram pertama pada pukul 5.00 petang. Disitulah kami berkemah untuk malam keduanya. Kawasan itu hutan belantara.

Kami mengambil masa 2 hari lagi untuk melalui jeram-jeram dikawasan ini. Pada hari ketiga dan keempat kami tidak belayar sepanjang hari kerana kami terpaksa berkemah di tempat persinggahan yang di kenal pasti pada waktu malam untuk mengelakkan apa-apa kesulitan dan bahaya binatang buas seperti gajah dan harimau.

Sejurus selepas tengahari kami tiba di tempat tujuan kami, Kampung Bantal. Kampung Bantal ialah tempat kediaman penghulu Hulu Tembeling, dari tempat ini tidak jauh dari Kuala Sepia.

Kampung inilah kampung yang terbesar di mukim Hulu Tembeling. Terdapat kira-kira 24 buah rumah sahaja dalam kampung ini. Kawasan lain di mukim ini tidaklah ramai penduduknya. Kehidupan penduduknya sangat miskin. Keadaan hidup mereka kuno. Tidak ada sekolah di mana-mana pun di kawasan itu. Tidak ada seorang pun penduduk Cina di situ. Di Kuala Sepia terdapat 25 ekar tanah datar yang diusahakan oleh penduduk untuk penanaman padi huma.

Tuk Penghulu yang berbadan tegap sudah berumur orangnya. Dia bau-bau bacang dengan Almarhum Sultan Ahmad. Bicaranya lembut dan bersopan santun. Sungguhpun dia tidak tahu membaca dan menulis, dia pandai bercerita dan kelakar sungguh orangnya. Pada waktu petang dia sering menghiburkan kami dengan cerita-cerita pengalamannya semasa dia muda-muda dahulu ketika dia dihantar ke Brunei atas urusan Baginda Sultan. Di sana dia berkahwin dan menghabiskan masa bersuka-suka selama lebih enam bulan. Dia pernah menemani Sir Hugh Clifford dalam rangka lawatannya. Dengan pertolongan Sir Hugh Clifford, Tuk Penghulu telah menggantikan tempat ayahnya. Sir Hugh Clifford memberinya surat kuasa yang ditulis dengan tulisan jawi. Katanya surat ini ditulis oleh Sir Hugh Clifford sendiri. Dan tulisan jawinya sangat cantik.

Semasa orang kampung datang untuk membayar cukai tanah, mereka membawa bersama-sama barang-barang seperti ayam itik, telur, buluh yang berhias sebagai tongkat untuk dijual. Tukang masak saya yang berbangsa Cina membeli kira-kira 24 ekor ayam dan beberapa butir telur. Dia juga mengupah seorang daripada mereka untuk membuat serkap ayam.

Semasa lawatan saya seterusnya ke Kampung Bantal, saya memerhatikan seorang lelaki membawa seekor kerbau yang cukup umur untuk dijual. Tidak seorang pun antara kami yang berminat untuk membelinya walaupun diberi harga istimewa. Sekumpulan penduduk kampung datang untuk membayar cukai mereka, tetapi yang peliknya tidak seorang pun yang mara ke depan untuk membuat pembayaran. Mereka terus berbual sesama sendiri dalam dua kumpulan di bawah pokok-pokok rendang. Setelah dua setengah jam berlalu barulah mereka bergegas untuk membayar cukai mereka. Tidak lama selepas peristiwa itu barulah saya mengetahui bahawa kerbau tadi telah dijual kepada Tuk Penghulu dengan harga $30 (jauh lebih murah daripada harga pasaran) dan hasil jualan tersebut dibahagi-bahagikan antara mereka untuk membayar cukai.

Tuk Penghulu ini memang terkenal sebagai pemilik kerbau yang banyak-lebih daripada 100 ekor. Dia mengupah orang untuk memerah susu kerbau betina dan susu tadi dijadikan minyak sapi. Saya pun membeli setin minyak sapi daripada penghulu dengan harga $14 lalu membawanya ke Kuala Lipis.

Dalam perbualan saya dengan Tuk Penghulu Kampung Bantal kali ini saya mendapati penduduk Hulu Tembeling menggunakan perkataan yang berbeza untuk beberapa benda yang biasa. Perkataan ini tidak difahami oleh orang Melayu di tempat lain. Kata Tuk Penghulu bahasa Hulu Tembeling ialah bahasa yang digunakan orang Kepulauan Laut Selatan Sulu Brunei. Hairan juga di hati saya bagaimana orang dari Kepulauan Laut Selatan Sulu Brunei dapat sampai ke Hulu Tembeling, tempat yang sukar dimasuki, malah beratus-ratus batu ke dalam kawasan pedalaman.

Pada waktu petang, kami menjala di jeram. Semasa saya menebar jala buat kali terakhir, saya terasa jala disentak kuat. Kerana saya tidak ingin kehilangan ikan yang besar lagi, saya mengarahkan salah seorang awak terjun ke dalam sungai menarik hujung jala. Dia pun terjun dan beberapa saat timbul semula, darah meleleh di dahi kirinya. Ikan yang di dalam jala yang meronta-ronta hendak melepaskan diri telah terlanggar dahinya dan melukakannya. Saya berjaya menarik hujung jala lalu melihat tangkapan saya. Saya mendapat ikan jelawat yang besar tetapi tidaklah dari jenis yang baik. Sungguh pun begitu ada jugalah makanan kami untuk perjalanan seterusnya".

No comments:

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...