Sunday, March 22, 2015

Apa Pendirian DS Najib Perdana Menteri Terhadap Hudud PAS Di Parlimen?



DS Najib lebih mengutamakan membasmi kemiskinan, meningkatkan mutu pendidikan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, mencari FDI, hubungan harmoni dan masyarakat majmuk.

DS Najib adalah PM Malaysia yang berdepan dengan isu yang semakin mencabar. Isu Hudud kembali setelah pindaan Hudud di Kelantan kini mahu dibentang di parlimen pula.

DS Najib adalah Presiden UMNO dan BN. 28 juta rakyat Malaysia mahu pandangan pendirian beliau. Begitu juga ahli-ahli UMNO dan BN apa tah lagi Pakatan Rakyat terutama DAP dan PKR.

Begitu juga masyarakat antarabangsa dan dunia mahu tahu pandangan dan pendirian DS Najib pemimpin moderate Islam dunia.

PAS amat mengharap DS Najib mempengaruhi ahli parlimen BN menyokong usul Hudud PAS di parlimen.

Sebelum WZWH buat spekulasi apa pendirian DS Najib elok WZWH cerita dulu sejarah dan fakta.

Malaysia telah melalui beberapa fasa peralihan dan perkembangan sistem perundangan bermula zaman pra merdeka, zaman merdeka dan kini. Kedatangan undang-undang Islam yang diperkenalkan oleh para pendatang yang terdiri daripada mubaligh Islam telah menyebabkan Hukum Syarak mendapat tempat di hati Sultan, para pembesar Melayu dan rakyat jelata. 

Keistimewaan hukum Islam menyerlah apabila ia dimartabatkan sebagai undang-undang di negeri-negeri di Tanah Melayu ketika itu. Walau bagaimanapun, pengenalan sistem pentadbiran Islam yang dianggap tidak sistematik ketika itu telah menyebabkan kuasa-kuasa barat, terutamanya Inggeris memperkenalkan undang-undang mereka atas alasan terdapat lacuna sama ada dari aspek peruntukan undang-undang mahupun pentadbirannya. 

Kemudian zaman kemerdekaan, Tanah Melayu, kemudiannya menjadi Malaysia (1963) menerimapakai hampir keseluruhan Undang-undang Common Law dan Equity dalam sistem pentadbiran, termasuklah sistem undang-undangnya. Kepelbagaian evolusi perundangan yang telah dilalui menunjukkan Malaysia telah cukup matang untuk menilai, membuat pilihan malah membina undang-undang Common Law dan Equity tersendiri.

Pelaksanaan Hukum Hudud Di Malaysia: Cabaran Dari Segi Undang-undang

Terdapat beberapa buah negara-negara umat Islam yang telah atau pun pernah melaksanakan undang-undang hudud sama ada pelaksanaannya secara menyeluruh dalam sebuah negara seperti Arab Saudi, Pakistan, Sudan dan Iran atau pun pelaksanaannya hanya di beberapa buah negeri sahaja seperti negara Nigeria. Manakala kerajaan Brunei baru sahaja muncul sebagai negara pertama di Asia Timur yang melaksanakan hukum hudud.  

Berdasarkan negara-negara yang disebutkan di atas, Malaysia mempunyai kesamaan sistem pemerintahan yang diamalkan oleh negara Nigeria iaitu Pemerintahan Persekutuan yang memperuntukkan bidang kuasa Kerajaan Pusat dan bidang kuasa Kerajaan Negeri. Dalam Pemerintahan Persekutuan yang diamalkan di Malaysia, undang-undang tertinggi adalah Perlembagaan Persekutuan, di mana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan sebarang undang-undang yang tidak seiring dengannya adalah tidak sah. 

Oleh itu, walaupun hukum hudud diperuntukan dalam undang-undang Islam yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun sebarang undang-undang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah terhad sebatas peruntukan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tersebut mestilah konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang hudud yang tertakluk dalam Undang-undang Syariah adalah berada dibawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui Dewan Undangan Negeri. 

Dengan kata lain, undang-undang hudud yang ingin dilaksanakan di Malaysia bukannya di peringkat Kerajaan Persekutuan tetapi pelaksanaanya adalah hanya boleh dilakukan di peringkat kerajaan Negeri sahaja. Jika kesemua ahli-ahli Parlimen yang beragama Islam bergabung dan berjaya membentuk Kerajaan Pusat dengan majoriti ⅔ sekalipun, hudud tidak boleh diterapkan di peringkat Kerajaan Pusat (Dilaksanakan secara menyeluruh di kesemua negeri yang ada di Malaysia) kerana tiada peruntukan Undang-undang Syariah yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Kerajaan Pusat, ianya hanya diberikan kepada Kerajaan Negeri sahaja. 

Kuasa majoriti yang dimiliki di peringkat Kerajaan Pusat hanya boleh digunakan untuk meminda undang-undang yang bagi memberikan kuasa yang mencukupi kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan undang-undang Syariah termasuklah hukum hudud. 

Oleh yang demikian, hasrat Kerajaan Negeri Kelantan berdasarkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 untuk melaksanakan hukum hudud yang dilakukan melalui saluran demokrasi adalah dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan jika ianya hanya dilaksanakan di negeri Kelantan dan hanya terikat kepada orang Islam sahaja.

Namun, sebelum ianya dapat dilaksanakan terdapat pindaan yang perlu dilakukan di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang kini hanya berkuasa sebatas menjatuhkan hukuman dengan had tidak melebihi 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan atau 6 kali sebatan. 

Pindaan yang perlu dilakukan ialah dengan memperuntukkan kuasa yang lebih luas kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan hukuman hudud. Pindaan tersebut perlu dilakukan di Dewan Rakyat dengan sokongan ⅔ undi daripada penggubal undang-undang iaitu ahli-ahli Parlimen. 

Maka sebab itulah walaupun Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 1993 dan pindaan pada tahun 2015 namun hukum hudud tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan di Negeri Kelantan kerana kekangan peruntukan undang-undang yang sedia ada di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apa pendirian DS Najib Perdana Menteri terhadap Hudud PAS di Parlimen?

Musa Hitam TIDAK BERSETUJU sila klik sini.

Mahathir memang sudah lama TIDAK BERSETUJU.

Ku Li TIDAK BERSETUJU.

DS Najib akan berpendirian TIDAK BERSETUJU ini yang WZWH jangka!

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024