Nuffnang Ads

Pages

Tuesday, November 18, 2014

Sejarah Masjid Lama Pulau Tawar Dan Keturunan Orang Pulau Tawar



Ia adalah masjid lama Pulau Tawar tetapi sudah dijadikan sebuah madrasah.

Ada satu komen dari pembaca blog WZWH sedemikian...


Cultural Heritage said...
Assalamualaikum Dato'..

Saya mewakili Prof Madya Dr Faridah Noor dari Pusat Dialog Dan Peradaban UM sedang menjalankan kajian mengenai digital Mapping on Cultural heritage in Malay Archipelago.

jikalau Dato' tidak keberatan,boleh saya dapatkan contact number untuk berhubung megenai Masjid Pulau tawar ini. ini adalah kerana masjid ini tersenarai dalam masjid terawal di Tanah Melayu.

Terima Kasih Dato'


WZWH adalah seorang blogger politik Pahang. Tapi banyak juga menulis posting tentang sejarah, dan folklore dan mitos serta hikayat-hikayat negeri Pahang yang punya peminat pembacanya.

Salah satu posting WZWH mengenai Pulau Tawar telah mencecah 50,876 view sila klik sini.

Masjid lama Pulau Tawar sudah berusia lebih 200 tahun.

WZWH ingin bercerita tentang kisah sejarah masjid lama Pulau Tawar. Masjid lama Pulau Tawar menjadi tumpuan seluruh penduduk Malaysia pada tahun 1969 bila tokoh nasionalisme pahlawan lagenda Mat Kilau muncul memperkenalkan dirinya.

Kewujudan masjid lama di situ berkaitan sejarah kepahlawanan Melayu Tok Gajah, Mat Kilau, dan pengikutnya kerana di situlah tercetusnya kebangkitan semangat nasionalisme menentang penjajah Inggeris di Pahang.

Namun begitu masjid lama itu lebih sinonim berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu serta syiar Islam bermula dari kurun ke-18 hingga awal tahun 1970-an.

Perkembangan institusi pengajian pondok di Pulau Tawar berhubung rapat dengan masjid lama itu. Di situlah markas tempat berkumpulnya tokoh ulama terkenal yang berasal dari Sumatera seperti Allahyarham-Allahyarham Imam Malim, Imam Ahmad, Imam Haji Abd Rahim, Imam Daud dan Imam Yahya.

Masjid lama itu berperanan menyebarkan dakwah Islamiah. Malahan banyak pelajar dari seluruh Pahang, Kelantan dan Terengganu datang belajar di situ pada kurun ke-18.

Menurut keterangan orang-orang tua, tapak asal pembinaan masjid lama itu dilakukan oleh Imam Perang Rasu (Tok Gajah), Mat Kilau serta orang-orang Melayu Pulau Tawar pada awal tahun 1880-an.

Masjid lama itu kemudiannya dibangunkan dengan wajah baru pada tahun 1923 tetap mengekalkan perspektif seni bina tradisional yang menggunakan kayu dan pelupuh dari hutan tempatan.

Dalam buku Sejarah Pahang ada menceritakan pembesar British, Hugh Clifford, pernah mendarat di tebing berdekatan masjid itu untuk mengadakan perundingan dengan Mat Kilau dan Tok Gajah serta penduduk Pulau Tawar supaya jangan mencampuri urusan pentadbiran Inggeris di Pahang.

Setelah mengalami kerosakan teruk diancam banjir besar tahun berikutnya, masjid lama itu mengalami sekali lagi perubahan dengan binaan simen di bahagian bawah serta lantainya supaya kelihatan lebih teguh.

Walaupun berhadapan dengan arus putaran masa, kubah dan mimbar masjid berkenaan masih lagi dalam bentuk binaan asal iaitu mempunyai ciri-ciri pengaruh seni bina Minangkabau.

Yang lebih unik, sehingga ke hari ini, sebatang tongkat yang dibuat daripada kayu teras berusia hampir sama dengan pembinaan masjid asal masih tersimpan rapi dan digunakan oleh khatib sewaktu membaca khutbah.

Sebuah beduk kayu yang juga berusia hampir dua abad hilang dari masjid berkenaan dipercayai dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Makam pusara Pahlawan Mat Kilau berdekatan dengan masjid lama Pulau Tawar.

WZWH mendapati melalui sejarah Pulau Tawar, orang-orang tua dulu ada menceritakan di Pulau Tawar dulu ada istana tempat Sultan Bersemayam. Tapak istana lama Pulau Tawar sekarang ialah kawasan dibina Sekolah Menengah Pulau Tawar.

Perpindahan kuasa yang berlaku di Pekan iaitu daripada tangan raja Melayu (corak pemerintahan tradisional) kepada Inggeris sememangnya menimbulkan ketegangan. Menyedari kemungkinan berlakunya kemelut politik ini, terutama gejala kuasa pemerintahan baginda diatasi oleh Inggeris, Sultan Ahmad melantik putera sulung baginda Tengku Mahmud sebagai Tengku Mahkota di samping memberikannya kuasa sebagai wakil Sultan di Pekan, sementara baginda sendiri berundur kira-kira 200 batu ke ulu Sungai Pahang di suatu kawasan yang bernama Pulau Tawar dan membina istana di sana. 

Baginda dikatakan bersemayam di Pulau Tawar selama 3½ tahun (Disember 1889 hingga Mei 1893) dan meninggalkan bandar Pekan, ibu negeri Pahang, di bawah jagaan Tengku Mahmud.

Daerah Pulau Tawar pada masa itu di bawah pegangan Orang Kaya Maharaja Indera Setia Gajah Pahang atau Tok Gajah Rasu bin Syahrum.

Baginda suka memburu seladang dikawasan Tanjung Balik Angin berhampiran Tebing Tinggi dan Burau tak jauh dari Pedah, direkodkan pada 1889 baginda berjaya memburu lebih dari 60 ekor seladang dan salah seekor telah dihadiahkan kepada Governor British waktu itu.

Governor telah menghadiahkan seladang itu kepada Zoological Gardens London. Selain daripada keturunan Tok Gajah,Tok Kaya Indera Setia Raja Jusoh bin Tukang ada juga keluarga bangsawan yang bermastautin di Pulau Tawar mengikut dari salasilah keturunan ,mereka berasal dari Pagar Ruyung Minangkabau atau Siak di Sumatera.

Ini salasilahnya:

Tawang bin Long bin Tun Ahmad bin Tun Sinar Sulaiman bin Tun Sinar Hassan bin Tun Sinar Deraman bin Tun Sinar Putih ca(1450-1550) bin Tok Raja Debalang(hulubalang) Jengka (adakah mereka dari keturunan Orang Besar Berlapan Pahang iaitu Tok Raja Dewa Hulubalang Tanjung Belawan?) Tun Sinar Abdul Jalil bin Tun Sinar Matahari (berhijrah ke Kampung Kedondong Jerantut) bin Sultan Syed Mansor Shah Mahkota Alam bin Syed Abdul Aziz bin Syed Abu Bakar bin Syed Muhammad bin Syed Abu Bakar dari Bani Tamim Hadramaut Yemen.

Keluarga Perdana Menteri yang ke-enam juga asalnya dari Pulau Tawar.. Mohd Najib bin Abdul Razak bin Husin bin Mohd Taib bin Jahidin.. Jahidin sepupu Tok Muda Abas of Pulau Tawar.

Jelas keturunan Orang Pulau Tawar berasal dari Sumatera.

Pulau Tawar perlukan pemimpin muda yang dinamik, berpandangan jauh ke depan dan ada perasaan sayang kepada kampung halaman dan rakyatnya.

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah WZWH,

Memang orang Pahang sentiasa bangga kerana rakyat Pahang keturunan pejuang. Antara perang utama yg dilalui rakyat Pahang dari dahulu sampai sekarang ialah :

i). Perang menghalau penjajah Siam yang bertapak di bumi Pahang, hingga menjadikan Pahang satu2 negeri di Pantai Timur dari Patani, Kelantan dan Terengganu yang tidak menjadi jajahan Siam. Had kuasa Siam di laut kemudian ditolak hingga ke Tanjung Geliga, Kemaman yg kini menjadi sempadan antara Pahang dan Terengganu.

ii). Perang saudara antara Wan Mutahir dan Wan Ahmad ( kemudian Sultan Ahmad I ) dalam perang untuk merebut kuasa pemerintahan. Rakyat Pahang terbahagi kepada dua (2) kelompok di mana kelompok di Hulu Pahang ( Jelai, Tembeling dan Pulau Tawar ) menyokong Wan Ahmad, manakala kelompok di Hilir Pahang ( Pekan, Tioman ) menyokong Wan Mutahir. Sebanyak 3 siri perang yang dideritai oleh rakyat Pahang yang turut menggunakan askar upahan dari Johor, Minangkabau, Jawa, Rawa, Kampar dll hingga akhirnya kemenangan memihak kepada Wan Ahmad ( Sultan Ahmad I ) dan Wan Mutahatir mangkat dalam pelarian di Johor.

iii). Sebaik sahaja tamat 3 siri perang saudara timbul pula perang rakyat Pahang menentang British. Kelompok rakyat Pahang di Hulu Pahang spt di Pulau Tawar, Semantan, Tembeling dan Jelai menentang keras kemasukan British. Antara pertempuran hebat ialah di Kampung Budu dimana 200 askar upahan Sikh mati dibunuh tentera Mat Kilau dan pertempuran di sepanjang Sungai Tembeling spt Jeram Ampai, dimana kubur2 org Inggeris masih ada di sepanjang Sg. Tembeling hingga kini. Penghulu Husin ( moyang WZWH ) dikatakan antara penyokong2 kuat Mat Kilau. Sekali lagi rakyat Pahang menjadi pelarian hingga ke Kelantan dan Terengganu.

iv). Pengikut Dato Bahaman dan Mat Kilau yang tewas melancarkan gerakan politik sayap kiri hinnga kemuncaknya kepada pembentukan Rejimen ke 10 PKM di Temerloh. Sekali lagi rakyat Pahang berjuang melawan kapitalis barat walaupun dengan menyertai sayap kiri spt API, PKMM dan PKM. Ataranya Ibrahim HJ yaakob yg lari ke Indonesia manakala lain2 lari ke Selatan Thai kerana menjadi buruan penjajah.

Diharap selepas ini WZWH dpt menulis mitos2 dan hikayat sejarah negeri Pahang kerana blog WZWH mmpyi ramai peminat. Tahniah sekali lagi.

tahu sejarah pahang said...

penghulu husin,nama sebenarnya ialah wan husin bin imam perang engku khatib(datuk kepada moyang wzwh) dipecat oleh british kerana membantu mat kilau! nasib baiklah sultan pahang memberinya pencen kerabat!untuk pengetahuan pembaca wan husin mengorbankan harta dan tenaganya membantu mat kilau kerana mat kilau adalah anak sedara dua pupu wan husin.kena sebelah teh mahda dan imam perang khatib bahrain!teh mahda dan imam perang khatib bahrain adalah cucu kepada tun noriah.tun noriah adalah nenek sedara kepada wan husin.