Nuffnang Ads

Pages

Tuesday, May 19, 2015

Titah Diraja Tuanku Sultan Pahang Berkenaan Hal Ehwal Pahang Terkini



Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN Pahang



Teks penuh Titah Diraja dilafaz oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang.



WZWH blogger setia pendokong Pahang Darul Makmur.

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Bismilla-hirrahma-nirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat dan inayahNya, dapat Beta melafazkan Titah DiRaja bagi pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang bersempena hadir bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13 pada pagi yang berbahagia ini.


Beta berasa gembira kerana setiap kali Dewan Undangan Negeri bersidang, ianya telah berjalan dengan licin dan lancar. Ini disebabkan oleh rasa tanggungjawab oleh semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan.


Beta juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat, Tuan Yang Dipertua Dewan, atas kecekapan mengendalikan persidangan Dewan.


Kepada Orang Tua Beta, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan, Beta mengucapkan tahniah kerana berjaya memberikan jawapan dan penjelasan kepada setiap persoalan yang dibangkitkan.


Beta juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada ketua-ketua jabatan yang membantu memberikan maklumat yang diperlukan dalam persidangan Dewan yang mulia ini.



PERSEMBAHAN TEKS TITAH DIRAJA... KDYTM Tengku Mahkota sedang berkenan menerima teks Titah DiRaja yang dipersembahkan ke sisi Baginda oleh Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob.



MENGUKUHKAN LAGI PELABURAN DOMESTIK DAN ASING


Beta amat yakin bahawa pemulihan ekonomi negara menunjukkan prestasi yang positif walaupun di beberapa buah negara menunjukkan prestasi sebaliknya.


Ekonomi Malaysia telah merekodkan pertumbuhan stabil 5.6 peratus pada suku pertama tahun 2015. Ianya merupakan satu petunjuk yang positif mengenai perkembangan prestasi ekonomi negara.


Beta berharap usaha-usaha pemulihan ini akan berterusan dan seterusnya mampu memacu perkembangan ekonomi negara dengan lebih baik di masa yang akan datang.


Beta menaruh harapan bahawa melalui pembentukan dasar dan strategi pengurusan ekonomi yang telah diperkenalkan, akan mampu menjadikan negara ini mencapai kestabilan ekonomi yang berterusan.


Menerusi program-program transformasi yang dilaksanakan oleh Kerajaan dan Model Ekonomi Baru, Beta percaya ianya akan mampu meningkatkan dan mengukuhkan lagi pelaburan domestik oleh pelabur tempatan dan juga pelabur asing.


Kerajaan Negeri Beta akan sentiasa memberikan sokongan atas usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan berharap ianya akan meningkatkan pembangunan ekonomi negara dan seterusnya negeri Beta.



MEMBALAS TABIK HORMAT... Sepertimana biasa, acara rasmi luar Dewan tetap diteruskan sebelum memasuki Dewan untuk meneruskan upacara perasmian. Kelihatan, KDYTM Tengku Mahkota sedang membalas tabik hormat dengan Dato' Sri DiRaja Adnan dan Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato' Ishak Mohamad (berjubah hitam) berdiri di sisi kanan dan kiri Baginda. 



PAHANG TERIMA RM9,770 JUTA DI BAWAH RMK-10


Beta sedia maklum bahawa, Rancangan Malaysia ke-10 berada pada tahun yang terakhir pelaksanaannya. Mulai tahun depan, Kerajaan mula melaksanakan projek-projek Rancangan Malaysia ke-11.


Beta percaya dan yakin bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Orang Tua Beta, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob melalui pendekatan rolling plan, iaitu perancangan perbelanjaan berdasarkan pembangunan setiap dua (2) tahun, akan dapat dilaksanakan dan mencapai matlamatnya. 


Di bawah rolling plan keempat (2014-2015) yang merupakan fasa terakhir RMK-10, negeri Pahang Darul Makmur telah diluluskan sebanyak 203 projek dengan jumlah peruntukan melebihi RM 2 bilion.


Secara keseluruhannya bagi RMK-10 ini, Negeri Pahang Darul Makmur mendapat peruntukan sebanyak RM 9.77 bilion.


Beta berharap pelaksanaan projek-projek yang telah dan akan dilaksanakan di bawah RMK-10 di negeri Beta akan berjalan dengan lancar dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.


Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana strategi pengukuhan ekonomi negeri di bawah RMK-10 telah mula menampakkan hasilnya. Beberapa projek untuk meningkatkan jaringan dan kemudahsampaian yang telahpun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sedang dalam pelaksanaan seperti;



MEMERIKSA BARISAN KEHORMAT... Dengan penuh segak dan bergaya, KDYTM Tengku Mahkota sedang memeriksa barisan kehormat. 



NAIK TARAF JALAN KUANTAN-SEGAMAT DI BAWAH ‘ROLLING PLAN’ BERIKUT


Projek Jalan Central Spine yang akan melalui daerah Lipis, Raub dan Bentong; naik taraf jalan dari Persimpangan Bunga Cengkeh ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Ttimur ke Sungai Lembing; naik taraf Jalan Persekutuan 3 dari Kuantan ke Pekan; membina jalan baru dari Cherok Paloh ke Tanjung Selangor, Pekan dan lain-lain lagi.


Beta berharap, beberapa jalan lain yang penting akan dapat dilaksanakan dalamrolling plan berikutnya seperti Jalan Kuantan-Segamat, Jalan Pekan-Nenasi-Endau Rompin serta beberapa jalan utama lain.


Beta juga berharap sektor pertanian akan terus dipertingkatkan bagi menzahirkan hasrat menjadikan pertanian sebagai perniagaan.


Beta berharap projek ladang bersepadu nanas Rompin dapat dilaksanakan dengan jayanya serta menembusi pasaran dunia. Projek ini juga diharapkan dapat melonjakkan nama negeri Pahang sebagai pengeluar utama nanas yang berkualiti di Malaysia.


Adalah dijangkakan projek ini bakal menjana hasil lebih RM18 juta apabila pembangunan sepenuhnya dapat dilaksanakan.


Beta difahamkan sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membuka sebanyak 18 buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). Menerusi projek TKPM ini, golongan usahawan tani akan diberikan khidmat tunjuk ajar, nasihat, sokongan peralatan serta bantuan pemasaran produk.



MESRA DENGAN WAKIL RAKYAT-WAKIL RAKYAT NEGERI... Kelihatan, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Abu Bakar Harun sedang menyembah-salam KDYTM Tengku Mahkota sambil Menteri Besar dan yang lain, memerhatikan.



LANGKAH LANJUT; PENUHI KEPERLUAN TENAGA KERJA


Beta merasa gembira kerana dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, usaha-usaha bagi memantapkan modal insan turut diberikan perhatian.


Menerusi pelaksanaan strategi pemantapan modal insan, lebih ramai graduan di dalam pelbagai bidang dapat dilahirkan di negeri Beta ini.


Seperti kita maklum, modal insan merupakan aspek terpenting dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Sesungguhnya Kerajaan telah berjaya melahirkan ramai pelajar di institusi pengajian tinggi awam atau swasta.


Oleh itu, fasa seterusnya adalah pemerkasaan modal insan yang menjurus kepada keperluan tenaga kerja dan keperluan pasaran.


Untuk tujuan itu pertamanya, bagi golongan pelajar yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan perlu memperbanyakkan program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua supaya mereka memperolehi lebih banyak ruang untuk mendapat pekerjaan.


Dalam aspek ini juga, program re-skilling perlulah dipergiatkan. Beta percaya, peruntukan yang secukupnya akan disediakan oleh Kerajaan bagi memperolehI peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan berkenaan.



MESRANYA... Mungkin sesuatu menarik yang diperkatakan Dato' Sri DiRaja Adnan, dengan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; hingga menyebabkan yang lain termasuk wakil rakyat Kerajaan dan bukan Kerajaan, tertawa-riang. 



SKIM LATIHAN KERJA DIPERLUASKAN


Manakala bilangan program latihan yang dikendalikan oleh institusi kemahiran juga akan ditambah mengikut keperluan pasaran kerja.


Kedua, kepada golongan graduan yang mengganggur pula, Kerajaan akan menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah keboleh pasaran, agar bersesuaian dengan keperluan industri.


Untuk tujuan tersebut, program-program seperti skim latihan kerja akan diperluaskan untuk menambah bilangan penerima faedah.


Ketiga, bagi menambah bilangan rakyat berkelulusan tinggi, agensi berkaitan seperti Yayasan Pahang, IKIP dan MARA perlulah memperluaskan program pendidikan lepasan ijazah bagi memenuhi keperluan pasaran terutamanya dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi.


Keempat, dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional, program peneraju profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera serta program-program seumpamanya, perlulah diperluaskan ke negeri Beta.


Ini akan membantu mereka memperoleh pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan bertauliah, terutamanya dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, perubatan, arkitek, jurutera dan lain-lainnya.


USAHA BERTERUSAN UNTUK KURANGKAN BILANGAN PENDUDUK MISKIN


Bagi merapatkan jurang sosial di negeri Beta, Beta berasa gembira kerana usaha-usaha yang berterusan sentiasa dilaksanakan untuk mengurangkan bilangan penduduk miskin di negeri Beta.


Menerusi projek-projek yang dilaksanakan seperti Agropolitan Gahai di Lipis dan Agropolitan Runchang di Pekan serta lain-lain program latihan kemahiran dan kerjaya, akan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat negeri Beta.


Bagi membantu meringankan kos hidup rakyat, Beta berharap semoga pelaksanaan konsep Kedai Rakyat 1Malaysia dapat diperbanyakkan lagi di negeri Beta supaya rakyat yang berpendapatan rendah di negeri ini, dapat membeli barang-barang keperluan harian mereka dengan harga yang murah dan seterusnya membantu meringankan kos hidup. 


Kerajaan Negeri Beta akan meneruskan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli negeri ini.


Beta difahamkan, Yang Amat Berhormat Orang Tua Beta, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob akan mengadakan bengkel khusus bagi membincangkan isu dan masalah yang dihadapi oleh Orang Asli di negeri Pahang.


Hasil dari bengkel berkenaan, Kerajaan Negeri beta akan menyiapkan satu blue print dan diserahkan kepada Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah (KKLW) untuk bersama-sama Kerajaan Negeri mengatasi serta menyelesaikan isu-isu berbangkit.


TUMPUAN UTAMA BANTU ORANG ASLI – BEKALAN AIR BERSIH, ASAS EKONOMI


Dua tumpuan isu utama ialah bekalan air bersih dan asas ekonomi di setiap kampung Orang Asli di negeri ini.


Beta merasa gembira kerana Kerajaan Negeri Beta sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.


Bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat, beberapa buah hospital sedang dalam pembinaan. Sebagai contoh, projek pembinaan hospital baru di daerah Rompin dengan siling berjumlah RM52.5 juta telah dapat disiapkan.


Manakala hospital baru Bera dengan siling peruntukan berjumlah RM80.7 juta sedang dalam pembinaan.


Selain itu pembinaan Pejabat Kesihatan Negeri pahang dan pembinaan klinik-klinik kesihatan di seluruh negeri Beta turut dilaksanakan. Beta dimaklumkan bahawa usaha-usaha meningkatkan kesihatan penduduk luar bandar dan penempatan Orang Asli turut dilaksanakan melalui perkhidmatan klinik-klinik dan pasukan bergerak.


Beta ingin melahirkan rasa sedih Beta di atas kejadian banjir di negeri ini pada Disember 2014 yang lepas. Terdapat lebih 60,000 orang rakyat Beta dipindahkan ke pusat pemindahan yang disediakan dan mengalami kerugian kerosakan harta benda serta perniagaan.


PENINGKATAN KES DENGGI YANG MEMBIMBANGKAN


Kerajaan Negeri Pahang telah bertungkus-lumus membantu mangsa banjir terutamanya yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara. Beta difahamkan, bantuan kepada mangsa banjir masih terus dijalankan pada ketika ini.


Beta berpuas hati dengan segala bentuk bantuan yang dihulurkan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, swasta dan individu dalam membantu mereka yang terjejas.


Beta juga merasa kesal kerana penyakit denggi masih lagi merupakan masalah utama penyakit berjangkit di negeri Pahang Darul Makmur. Beta difahamkan terdapat peningkatan kes yang didaftarkan dan ini amat membimbangkan Beta.


Jumlah kes keseluruhan pada tahun 2014 ialah sebanyak 2,170 kes dengan enam (6) kematian. Bagi tahun 2015 pula, sehingga minggu ke-19 Beta difahamkan, terdapat sebanyak 989 kes dengan mencatatkan empat (4) kematian berbanding 430 kes dengan tiada kematian pada minggu yang sama pada tahun lepas. 


Ini bermakna terdapat peningkatan kes sebanyak 130 peratus.


Beta difahamkan, masalah kebersihan di kawasan kediaman dan kawasan sekitar adalah punca berlakunya peningkatan kes demam denggi dan kejadian wabak. Masih banyak tempat pembiakan nyamuk aedes dijumpai di dalam dan di luar rumah.


BANGGA DENGAN PENCAPAIAN PR1MA NEGERI


Jabatan Kesihatan telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan melakukan semburan kabus, menjalankan pemeriksaan mencari tempat pembiakan nyamuk di rumah kediaman dan persekitaran.


Aktiviti gotong-royong kebersihan juga telah diadakan dengan kerjasama agensi dan masyarakat setempat. Tindakan yang dijalankan setakat ini belum mencukupi sekiranya masalah kebersihan dan wujudnya tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes tidak dapat diatasi.


Orangramai perlu menjaga kawasan kediaman masing-masing dan tidak membuang sampah di merata-rata yang boleh menjadi punca tempat pembiakan nyamuk aedes.


Untuk mengurangkan kejadian kes dan kemungkinan berlakunya lagi kes kematian akibat demam denggi, tindakan yang lebih drastik dan lebih agresif perlu dilaksanakan segera. Ini memerlukan kerjasama dan penglibatan kesemua golongan masyarakat termasuk penglibatan daripada agensi-agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan. 


Bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat, Beta sangat berbangga dan mengucapkan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah mewujudkan program PR1MA Negeri Pahang.


Beta difahamkan sehingga kini, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan sebanyak 65 buah projek PR1MA yang merangkumi sebanyak 27,000 unit rumah. Beta difahamkan, dua (2) projek akan disiapkan di hujung bulan Jun 2015 iaitu di Gambang dan Bera.


PERLOMBONGAN MESTI ASASKAN AMALAN LESTARI


Dalam keadaan harga rumah yang semakin melonjak tinggi, adalah diharapkan projek ini akan membolehkan rakyat negeri Pahang yang berpendapatan kurang daripada RM10,000 sebulan, serta yang telah bermastautin di negeri Pahang melebihi lima (5) tahun, memiliki rumah kediaman yang selesa.


Beta berharap dalam melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RMK-10 dan RMK-11; disamping keutamaannya menjurus kepada pemberian manafaat kepada rakyat, nilai faedah terbaik, peningkatan positif kepada ekonomi negeri, ianya juga hendaklah turut mengambilkira kepentingan pemeliharaan alam sekitar.


Beta juga berharap kegiatan perlombongan mestilah berasaskan kepada amalan perlombongan secara lestari (sustainable mining practices). Pencemaran udara dan sungai tidak seharusnya berlaku kerana ianya menyusahkan rakyat. 


Beta difahamkan, pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) telah menjalankan operasi bersepadu sejak sebulan yang lalu.


Hasil daripada operasi ini, Beta dimaklumkan, sebanyak 65 buah lori telah ditahan dengan nilai kompaun berjumlah RM785,700. Operasi ini telah dapat mengurangkan pencemaran dan kekotoran yang berlaku.


Beta menyeru supaya pihak pelombong perlu lebih bertanggungjawab membersihkan kenderaan masing-masing sebelum menggunakan jalan awam kerana lori yang membawa muatan bahan perlombongan yang kotor, akan menjejaskan kebersihan jalanraya, kenderaan pengguna jalanraya dan keselesaan orangramai.


PENDIDIKAN ISLAM TERUS JADI FOKUS KERAJAAN


Beta juga ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan yang terdiri daripada pasukan Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan badan-badan beruniform yang lain, yang telahpun membuktikan taat setia kepada Beta serta Kerajaan Beta khususnya dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata.


Terdapat peningkatan dalam usaha menyelesaikan kes jenayah oleh pihak polis. Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak polis. 


Pendidikan Islam akan terus menjadi fokus utama di negeri Beta ini. Beta berharap, Jabatan Agama Islam Pahang dan Jabatan Pelajaran Pahang dapat meningkatkan kerjasama dalam pengurusan pembangunan sekolah-sekolah agama rakyat di negeri ini.


Beta difahamkan pada tahun 2015, Jabatan Pelajaran Pahang menerusi Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, telah menyalurkan peruntukan bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.


Beta berharap peruntukan begini akan dapat diteruskan dan diperluaskan lagi kepada sekolah-sekolah menengah agama Kerajaan Negeri.


Beta juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 juta setahun melalui Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bagi membayar elaun guru-guru KAFA seramai 2,490 orang.


KERAJAAN NEGERI PERUNTUKKAN RM2.6 JUTA BAGI ELAUN GURU QURAN


Disamping itu, Beta juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta bagi membayar elaun 350 orang guru al-Quran dan asrama. Beta berharap usaha-usaha murni ini dapat diteruskan pada tahun ini.


Di hari yang berbahagia ini, Beta mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Orang Tua Beta, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak atas segala bantuan dan sokongan diberikan kepada Kerajaan Negeri Beta dalam usaha membangunkan negeri dan membantu rakyat negeri Pahang Darul Makmur.


Beta melafazkan ucapan terima kasih kepada Orang Tua Beta, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan dan semua kakitangan awam yang terlibat dalam urusan mentadbir Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur untuk faedah rakyat sekalian.


Semoga Allah Subhanahu wata’ala sentiasa memberi petunjuk, taufik dan hidayah dalam apa jua yang kita lakukan untuk negeri ini.


‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’. – Ihsan Khabar Pahang.

1 comment:

Anonymous said...

tiada apa2 perancangan pun utk Temerloh.. ehmmmmm.......