Monday, June 28, 2010

Program Sukaneka Kg Lada DUN Tahan

Program Sukaneka Tahunan kali pertama di adakan di Kampung Lada pada 26-27 Jun 2010. Program ini dirasmikan oleh YB Dato' Wan Amizan bin Wan Razak ADUN Tahan.

Aturcara majlis pada 26 Jun 2010:
Pada petang jam 3.00 petang berkumpul di Masjid. Sembelih lembu oleh kaum lelaki. Persediaan memasak oleh kaum perempuan. Malamnya memasak bersama sehingga masak.

Aturcara majlis pada 27 Jun:
Seawal pagi jam 8.00, penduduk Kampung Lada berkumpul. Taklimat Pegawai/Hakim kejohanan. Acara melukis dan sukaneka bermula. Pukul 11.00 pagi acara selesai.
Jam 12.00 tengahari ucapan Pengerusi Majilis, diikuti ucapan Ketua Kampung Lada, dan yang dinanti ucapan ADUN Tahan YB Dato' Wan Amizan.
Jam 12.30 tengahari acara penyampaian hadiah kemudian jamuan makan tengahari.
Acara malamnya selepas solat maghrib, ceramah agama, tajuk "Santapan Rohani". Selepas solat Isyak majlis tamat.

WZWH berpendapat program sebegini amat baik bagi merapatkan hubungan dan perpaduan penduduk Kampung Lada. Perpaduan membuahkan muafakat. Senang Ketua Kampung dan Penghulu buat kerja memajukan kampung. Wakil rakyat pun senang hati melihat kampung-kampung di DUN Tahan aktif, aman, bekerjasama memudahkan wakil rakyat membawa peruntukan.

Sejak YB Dato' Wan Amizan menjadi wakil rakyat di DUN Tahan, rakyat DUN Tahan sangat ceria dan suka kepada carakerja YB Dato' Wan Amizan yang proaktif membawa peruntukan yang sehingga kini berjumlah RM260 juta bagi memajukan DUN Tahan.

DUN Tahan sangat bertuah mempunyai wakil rakyat yang memahami kehendak dan keperluan masyarakat, muda belia sangat kuat bekerja mencari peruntukan memajukan kawasannya. YB Tahan yang sangat pemurah kepada rakyat Tahan yang memerlukan pertolongan diwaktu kesusahan dan kepayahan.

Jika semua YB-YB BN di Jerantut bekerja laju macam Dato' Wan Amizan sudah pasti tentu sukar pembangkang mahu merampas parlimen Jerantut dan 3 DUN.

Perjumpaan Dengan Pemuda Besut

"Malam Ramah Mesra" perjumpaan Pemuda UMNO Besut bersama dengan YB Dato' Wan Amizan EXCO Pemuda UMNO Malaysia telah berlansung di Dewan Terbuka Pejabat Penyelaras UMNO Hulu Besut Terengganu pada 27 Jun 2010.

Ini ialah siri ke dua lawatan kerja YB Dato' Wan Amizan ke bahagian angkat pemuda UMNO Bahagian.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut, Mohd Mahdi bin Musa berbesar hati dengan kehadiran Wan Amizan. Pemuda UMNO Besut mempunyai 155 cawangan pemuda.

Ketika WZWH sampai ke bandar Besut, WZWH kagum dengan mercutanda masjid Besut yang senibinanya menyerupai masjid Cardova di Sepanyol. Bangunan keluli medan selera Besut juga menarik.

Besut mempunyai 1 parlimen dan 4 DUN:
  • parlimen YB Dato' Sri Abdullah Mat Zin BN
  • Adun Kuala Besut YB Dr Rahman Mokthar BN
  • Adun Kota Putera YB Hj Mohd Fehemi bin Yusuf BN
  • Adun Jertih YB Dato' Sri Hj Idris Jusuh BN

Parlimen Besut mempunyai pengundi seramai 60000. YB Dato' Sri Hj Idris Jusuh merupakan mantan Menteri Besar Terengganu 2004-2008. Beliau banyak memajukan Terengganu dan Besut.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut beberapa Ketua Pemuda UMNO Bahagian dari Kelantan. Program tidak rasmi secara santai begini amat berkesan dan cukup bermakna merapatkan hubungan silaturahim antara pemuda UMNO Pantai Timur.

Antara program-program pemuda UMNO Bahagian Besut yang kreatif dan menarik minat WZWH ialah:
  • Program Skrin Gergasi menonton perlawanan bolasepak piala dunia bersama ahli-ahli pemuda UMNO Bahagian. Berbagai pengisian program pemuda diatur.
  • Perjumpaan pemuda UMNO dengan seluruh guru-guru Besut yang berumur dibawah umur 40 tahun. Guru adalah tulang belakang UMNO sebelum ini. Guru berada di mana-mana di dalam masyarakat.

Saturday, June 26, 2010

Malam Kebudayaan Parlimen Jerantut

Malam kebudayaan dan kesenian parlimen Jerantut telah diadakan di Kuala Tahan Jerantut pada 25 Jun 2010 malam Jumaat lalu. Jemputan khas oleh Kumpulan Kebudayaan dan Kesenian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Orkestra DBKL mengiringi persembahan artis-artis DBKL telah menghiburkan penduduk di DUN Tahan. Persembahan tarian tradisional dan moden cukup memukau para penonton terutama para pelancung dari luar negeri.

Ketibaan YBM Tengku Dato' Sri Azlan ibni Sultan Abu Bakar diiringi YB Dato' Wan Amizan ADUN Tahan tepat pukul 9.00 malam.

Persembahan pembukaan membuka majlis. Diikuti ucapan aluan Pengerusi Majlis dan nyanyian lagu Negaraku.

YBM Ku Lan turut berkenan menyampai hamper untuk ibu tunggal. Seterusnya persembahan oleh Kumpulan Kebudayaan DBKL sehingga pukul 12 malam.

WZWH menilai persembahan muzik Orkestra DBKL bertaraf A. Persembahan yang jarang boleh dinikmati di kampung luar bandar. YBM Ku Lan menyatakan akan bawa orkestra yang sama membuat persembahan di bandar Jerantut.

Tapi WZWH tidak lama menikmati Malam Kebudayaan dan Kesenian parlimen Jerantut kerana bergegas balik ke Jerantut kerana esok hari persidangan mesyuarat perwakilan pergerakan pemuda UMNO Bahagian Jerantut.

WZWH percaya oleh kerana kita orang Melayu sudah melupakan kebudayaan dan kesenian seperti permainan dan tarian tradisional atau aktiviti-aktiviti yang selalu dilakukan oleh generasi lama maka jiwa orang Melayu kosong sebab itu ramai anak-anak muda melakukan kegiatan tidak sihat seperti merempit, dadah, gejala-gejala sosial negatif kerana tiada aktiviti yang boleh memberikan mereka kehalusan, kepuasan, fokus minda.

Thursday, June 24, 2010

Konsep Malaysia Negaraku

YAB PM DS Najib telah memperkenalkan konsep 1Malaysia. Sempena kehadiran PM ke Jerantut merasmikan mesyuarat agung UMNO bahagian Jerantut pada 3 Julai 2010 maka WZWH mewakili pergerakan Pemuda UMNO bahagian Jerantut ingin melontarkan satu konsep baru iaitu konsep Malaysia Negaraku bagi melengkapkan lagi falsafah 1Malaysia.

Konsep Malaysia Negaraku perlu diterap kepada setiap warganegara sejak mereka di bangku sekolah rendah lagi. Supaya tunas muda ini dapat menunjukkan perasaan bangga, prihatin, bertanggungjawab, dapat membuat keputusan dan pilihan yang bijak serta bersemangat patriotik.

Konsep Malaysia Negaraku boleh memberi pengetahuan dan kemahiran kepada murid tentang peranan dan tanggungjawab mereka dalam hubungannya dengan keluarga, masyarakat, alam sekitar, warisan budaya dan sejarah negara ke arah melahirkan warganegara yang bertanggungjawab, patriotik dan hidup dalam harmonis dan sejahtera.

WZWH mencadangkan beberapa tema:
  • Membina Semangat Patriotikku
  • Warisan Kita
  • Kita Rakyat Malaysia


Kemudian murid perlu tahu tamadun awal sehinggalah kepada pembentukan negara dan bangsa di Malaysia. Pembelajaran akan menceritakan peristiwa-peristiwa penting di samping menyatakan tokoh-tokoh terkenal dalam konteks Sejarah Malaysia dan sejarah negara luar yang berkaitan.

Ini membolehkan murid memperkukuhkan perasaan cinta akan negara dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia. Maka tema yang perlu:
  • Mencipta Tamadun
  • Cabaran Baru
  • Kejayaan Negara Kita
Malaysia banyak berbelanja berbilion-bilion ringgit untuk melahirkan pelajar dan murid yang lebih berorientasikan sains dan matematik. Ini bagus tetapi kita melahirkan warganegara muda yang tidak belajar sejarah secara konsep Malaysia Negaraku di sekolah rendah dan menengah, tidak tahu sejarah perkembangan negara, pengorbanan pemimpin-pemimpin negara dan tolak ansur orang Melayu yang banyak mengorbankan hak-haknya.


Itu satu sebab mengapa dalam PRU 12 dulu...kerajaan BN pimpinan UMNO hampir tumbang tidak dapat majoriti 2/3! Warganegara muda yang berumur 35 tahun ke bawah tiada ketahanan dan ilmu mudah diperdaya oleh janji-janji manis dan cerita-cerita UTOPIA pembangkang untuk merampas Putrajaya.

Tuesday, June 22, 2010

Penambahbaikan Kurikulum Sejarah Dan Latihan Teknikal @ Vokasional

Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya telah memilih WZWH sebagai panel penambahbaikan kurikulum Sejarah sekolah menengah. Dengan itu WZWH dijemput menghadiri mesyuarat dari 23-25 Jun 2010 di sebuah hotel terkemuka.

Agak mengejutkan latarbelakang WZWH ialah Accounting(Perakaunan), Sarjana WZWH ialah MBA lebih kepada bisnes dan ekonomi. Mungkin penglibatan WZWH dalam politik membuatkan terpilih menjadi panel.

Setiap kali Mesyuarat Agong UMNO di PWTC, ramai perwakilan menyentuh Sejarah perlu dihayati oleh generasi muda supaya sayang, taat setia dan bersikap patriotik kepada negara.

Kalau tidak pengundi akan bersikap tidak rasional mudah terpengaruh dengan dakyah politikus yang sanggup memburukan negara Malaysia di luar negara.

Politikus yang sanggup merosakkan asas-asas kenegaraan yang dibina oleh Bapa-bapa negarawan yang mengikat rakyat Malaysia tanpa mengira kaum supaya hidup dalam perpaduan.

Politikus yang menjual negara kepada musuh. Politikus yang menjaja rahsia negara demi kuasa.

Kurikulum Sejarah sekolah menengah perlu diubah, ditambahbaik supaya generasi muda dari berbilang kaum saling hormat menhormati antara satu sama lain. Menghargai sumbangan setiap kaum dan hak-hak kaum-kaum lain yang diterpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

WZWH juga menyokong usaha PM Najib dan TPM Mahyuddin Yasin Menteri Pelajaran mahu meningkatkan usaha Latihan Teknikal dan Vokasional lebih hebat dipertingkatkan sebagai kunci kepada pembangunan sesebuah ekonomi-bahagian penting Model Ekonomi Baru (MEB) yang disebut dalam RMK 10 sebagai faktor utama menjurus ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Banyak penyelidikan menunjukkan mempunyai latihan kemahiran dan berpendidikan universiti boleh menambah potensi pendapatan dalam kareer pekerjaan sepanjang hayat seseorang. Ada juga orang yang berpendidikan sangat tinggi tetapi tidak efektif dan produktif seperti orang yang bersusah payah dari bawah.

Ada juga ahli politik yang tidak berpendidikan tinggi tetapi hasil kerjanya lebih efektif dan produktif dari hasil kerja ahli politik yang berpendidikan tinggi dari luar negara, yang pandai bercakap tinggi-tinggi cerita kehebatan negara luar tetapi GAGAL membawa peruntukan pembangunan ke kawasan sendiri. RAKYAT boleh menilai itu, RAKYAT boleh buat perbandingan dan RAKYAT juga tahu mengenal yang mana ahli politik KACA dan yang mana ahli politik INTAN!

Berdasarkan kepada premis asas kapasiti dan kebolehan keupayaan, ianya satu hujah yang baik untuk meningkatkan penekanan pendidikan teknikal dan vokasional. Kerana kita mahu menuju status negara berpendapatan tinggi, mereka yang kurang pemasaran skill dan pengetahuan akan ditinggalkan di belakang membuatkan situasi pendapatan tidak sama rata Malaysia bertambah buruk.

Hanya dengan menyediakan pendidikan teknikal dan vokasional adalah salah satu jalan untuk "level the playing field" di dalam pasaran pekerjaan.

Monday, June 21, 2010

Pelancaran Blog Rasmi DUN Tahan

Oleh kerana begitu banyak blog Jerantut membicara berbagai-bagai isu DUN Tahan maka WZWH ingin memaklumkan pelancaran secara rasmi Blog Dun Tahan.

Blog Rasmi Dun Tahan telah dilinkkan diblog list blog WZWH. Saudara dan saudari bolehlah melayari blog rasmi DUN Tahan yang dikendalikan sendiri oleh ADUN Tahan YB Dato' Wan Amizan bin Wan Razak. Alamat blog rasmi DUN Tahan ialah onetahan.blogspot.com

Saudara dan saudari bolehlah berhubung secara terus online dengan YB ADUN Tahan mengenai apa-apa isu yang saudara dan saudari muskilkan.

Sekian, terima kasih.

Sunday, June 20, 2010

RMK 10 (2011-2015)-Apa Faedah Kepada Jerantut?

RMK 10 bermula tahun depan dengan niat mencarta penjalanan ekonomi demi kebajikan rakyat Malaysia bagi 5 tahun akan datang.

Sasaran 3 kunci utama ialah:
  • Pertumbuhan ekonomi 6% setahun
  • Pengurangan defisit fiskal dari 5.3% kepada 3%
  • Pelaburan swasta tumbuh pada kadar 12.8% atau RM115 bilion setahun
Kunci kepada kejayaan ekonomi Malaysia untuk 5 tahun akan datang bergantung kepada pelaburan swasta disamping peningkatan eksport barangan dan servis.


Jika pelaburan swasta tidak menjelma, pertumbuhan ekonomi akan jatuh di bawah 6% setahun.

Apa faedah RMK (2011-2015) kepada Jerantut? Sebelum WZWH menjelaskan faedah RMK 10 kepada ekonomi dan sosial Jerantut, WZWH mahu menjelaskan beberapa aspek utama RMK 10 yang boleh memangkinkan pembangunan ekonomi dan sosial Jerantut seperti berikut:
  • Infrastruktur
  • Pembangunan sosio ekonomi
  • Pelaburan swasta
  • Memperbanyak peryertaan ekonomi bumiputera
  • Peningkatan peluang pekerjaan
  • Reform pasaran pekerja memenuhi Model Ekonomi Baru

Berikut beberapa senarai infrastruktur yang terdapat di dalam senarai RMK 10 dan yang dicadang dan akan dipertimbangkan secara "fast track" bagi kepentingan negara:

  • Jalan Hulu Tembeling RM460 juta merangkumi 3 fasa
  • Jalan Kampung Mat Daling ke Kampung Pasir Raja Terengganu RM450 juta
  • Jalan Sungai Lembing ke Kuala Tembeling RM200 juta
  • Jalan Jerantut Benta RM150 juta
  • Jalan Maran Jerantut RM100 juta
  • Flyover bandar Jerantut RM50 juta


Beberapa cadangan projek "fast track" bagi kepentingan negara:
  • Projek Loji Janakuasa Nuklear anggaran RM3 bilion

Juga projek pembesaran kampung, jalan-jalan termasuk jambatan-jambatan di Jerantut yang boleh dianggarkan berjumlah lebih RM250 juta.

Bagaimana RMK 10 ini boleh dimenafaatkan demi kebaikan Jerantut? Pertamanya perlu kita mencari pelaburan swasta yang berminat dengan pulangan dari segi jangka panjang selain dari peruntukan kerajaan Pusat.

Diharap syarikat-syarikat tempatan, kontraktor-kontraktor tempatan diberi peluang penyertaan ekonomi di dalam projek-projek di atas sekurang-kurangnya mereka merasa juga pengagihan ekonomi.

Apa yang kontraktor bumiputera Jerantut perlu buat ialah menyokong kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut sekarang di dalam merealisasi dan mempercepatkan projek-projek yang WZWH sebutkan tadi.

WZWH sudah cakap Jerantut ialah "lombong Emas". Kita perlu bersatu menyokong bagi mendapatkan faedah ekonomi RMK 10 untuk Jerantut.

Falsafah 1Malaysia

1Malaysia rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan adalah slogan PM Najib bila mengambil alih kepimpinan dari Tun Pak Lah pada selepas 1 April 2009.

Kritik mengatakan slogan ini hanya retorik Najib. DAP anggap Najib "copy" dari Malaysian Malaysia. Melayu haluan kanan mahu pun kiri memandang sinis konsep 1Malaysia ini. Perkasa umpamanya tidak berapa setuju. Ada pemimpin-pemimpin UMNO tidak menyokong.

WZWH mahu mengajak semua rakyat Malaysia berfikir sejenak tentang realiti politik negara ini. Sekarang bukan masa kita menyalahkan British atas kesalahan lampau menjemput pendatang Cina dan India datang ke Tanah Melayu. Juga tidak guna kita mengutuk raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu yang juga bertanggungjawab membawa kaum Cina dan India datang bekerja di lombong bijih timah, emas dan bidang pertanian.

Mereka sudah ada di negara Melayu ini. Sudah lahir di bumi bertuah ini. Mereka membentuk lebih 35% daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 28 juta orang. Kita semua adalah "Malaysian". Semua kaum jangan ambil peduli polemik ras yang boleh menghancurkan negara.

WZWH mahu semua orang tidak kira apa parti atau NGO berfikir seolah-olah kita adalah Perdana Menteri Malaysia! Sebagai PM Malaysia sudah tentu kita mahu Malaysia yang penduduknya berbilang kaum hidup aman, damai dan menjaga perpaduan negara. Apa yang Tun Razak buat dasar seperti Rancangan Malaysia (sudah yang ke-10) dan DEB, "final product"nya ialah PERPADUAN yang menjamin kemakmuran negara.

Maka WZWH mahu menerangkan apa itu falsafah 1Malaysia. Supaya kita semua rakyat Malaysia memahami apa pemimpin kita PM Najib mahu dari kita semua didalam menterjemahkan konsep 1Malaysia untuk kita aplikasikan dalam kehidupan kita.

1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

1Malaysia adalah pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi Malaysia.

Dalam erti kata lain 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 tercapai.

Pengertian ini berdasarkan hujah untuk mencapai status negara maju, syarat yang paling utama ialah perpaduan-rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi negara-negara lain kerana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan digantikan dengan satu identiti nasional yang sama.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, dimana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain agar kita saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

Prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak dipinggirkan. Keadilan mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu dengan dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Bila perpaduan dicapai maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Konsep 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama seperti berikut :
  • Aspek Pertama-Penerapan Teras-Teras Perpaduan
  • Aspek Kedua-Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi

Teras-teras perpaduan ialah:
  • Penerimaan-sikap toleransi
  • Prinsip-prinsip Kenegaraan yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
  • Keadilan sosial-tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan
Ketiga-tiga Teras Perpaduan didokongi oleh nilai-nilai murni termasuk:
  • Hormat-menghormati
  • Rendah hati (Tawadhuk)
  • Kesederhanaan
  • Berbudi-bahasa
Dalam melaksanakan aspek kedua gagasan 1Malaysia, nilai-nilai berikut perlu diberi penekanan:
  • Budaya Berprestasi Tinggi
  • Budaya Ketepatan
  • Budaya Ilmu
  • Integriti
  • Ketabahan
  • Kesetiaan
  • Kebijaksanaan
  • Budaya Inovasi
1Malaysia-Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan diyakini akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia.

Tidak sampai setahun konsep 1Malaysia diperkenalkan oleh PM Najib kepada rakyat Malaysia, baru-baru ini didalam senarai persaingan dunia (World Competitiveness Nations), Malaysia telah berjaya menduduki senarai ke-9 dunia. Ini adalah hasilnya konsep 1Malaysia yang jika rakyat Malaysia terus mengamalkannya, perpaduan rakyat Malaysia yang bersatu padu akan menjadikan negara stabil, aman, kukuh dan makmur.

Saturday, June 19, 2010

Sejarah UMNO Pahang

Asalnya UMNO Pahang ialah Persatuan Melayu Pahang (PMP), ditubuhkan di Kuala Lipis pada Mac 1938 lebih 70 tahun dulu...

Lahir PMP atas rasa gelisah orang Melayu ekoran isu kemasukan orang Cina dan India walaupun dikawal secara kuota mulai 1930 namun kemasukan ketara berlaku.

Ini diresahkan lagi dengan penguasaan masyarakat tersebut dalam bidang perniagaan dan pekerjaan. Tokoh mereka- Tan Cheng Lock membuat permintaan dan tuntutan agar Malaya memulakan langkah ke arah kerajaan sendiri menerusi pilihanraya untuk memilih Majlis Perundangan.

Orang Melayu merasakan permintaan tersebut bermakna orang Cina juga ada hak politik yang sama seperti orang Melayu sedangkan bagi mereka urusan politik adalah urusan raja.

Orang Melayu juga tidak senang dengan tuntutan Tan Cheng Lock yang mahukan jawatan dalam MCS(Malaysian Civil Service) dibuka kepada semua, tidak terhad untuk disandang oleh orang Inggeris dan Melayu sahaja.

Tambah membimbangkan Tan Cheng Lock menghujah betapa anak orang Cina harus kekal belajar di sekolah aliran Cina. Mereka tidak perlu belajar di sekolah aliran Melayu kerana bahasa Melayu itu sendiri menurut tokoh tersebut boleh dipelajari di luar sekolah.

Tokoh Dato' Hussein Mohd Taib, Pegawai Daerah Bentong menyuarakan tentang perlunya orang Melayu mempunyai sebuah badan untuk bersuara dan bertindak, demi membela masa depan orang Melayu.

Hasil inisiatif Dato' Hussein-yang juga ayahanda kepada Tun Abdul Razak atau Nenda kepada Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib, tertubuhnya PMP dimana Tengku Muhamad ibni Sultan Ahmad yang juga Setiausaha kepada KDYMM Sultan Pahang sebagai Yang Dipertua dan Dato' Hussein selaku Naib Yang Dipertua.

Pada Ogos 1939 dan Disember 1940, PMP turut menghadiri kongres pertama dan kedua Kesatuan Melayu Semenanjung di Kuala Lumpur dan Singapura. Kongres ketiga dicadangkan pada 1941 di Ipoh tetapi tidak kesampaian bila Jepun menyerang Tanah Melayu.

Pada awal pemerintahan Jepun, PMP diharamkan tetapi tiga tahun kemudian PMP diberi izin dihidupkan semula. Lalu PMP dilancarkan semula pada 29 Mei 1944 di Pekan oleh KDYMM Sultan Abu Bakar.

Baginda dilantik Yang Dipertua, Tengku Besar Sulaiman Naib Yang Dipertua, Tengku Muhamad ibni Sultan Ahmad sebagai Setiausaha. Yang lainnya ialah 12 ahli serta enam Yang Dipertua daerah Pekan, Kuantan, Temerloh, Lipis, Raub dan Bentong dan enam lagi dipilih menduduki AJK.

Kerajaan Inggeris memperkenalkan gagasan Malayan Union untuk menghapuskan kuasa Sultan dan mahu menjadikan semua orang warganegara asalkan lahir di Tanah Melayu-"jos suli".

Pada 1 hingga 4 Mac 1946 berlansunglah Kongres Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman, di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk menentang Malayan Union. Antara 10 hingga 12 Mei 1946, usaha penyatuan disambung pula ke Istana Besar Johor yang secara rasminya lahirlah UMNO pada 11 Mei 1946.

Di Pahang yang pertama menubuhkan UMNO Bahagian ialah Pahang Barat(Bentong, Raub, Kuala Lipis dan Jerantut) hasil mesyuarat pada 22 April 1950 di Sekolah Agama Al-Dinniah, Dong, Raub. Ketuanya ialah Sulung Ali.

Kemudian Bahagian Pahang Selatan(Temerloh) pada akhir April 1950. Diikuti Bahagian Pahang Timur(Pekan dan Kuantan) pada Mei 1950.

UMNO Bahagian Jerantut berpecah dengan UMNO Pahang Barat dengan membentuk Bahagian sendiri pada tahun 1974. Ketua Bahagian UMNO Jerantut yang pertama ialah Dato' Shariff Ahmad.

Demikianlah sejarah UMNO Pahang yang diasaskan oleh pejuang Melayu Pahang, intelektual Pahang, Raja dan Orang Besar-besar Pahang. UMNOlah parti yang memaju dan memakmurkan Pahang ini.

ADUN Pulau Tawar Perlu Bangkit Dan Ceria Semula


YB Dato' Dr. Ahmad Shukri bin Ismail, ADUN Pulau Tawar. Dulu beliau merupakan pemimpin UMNO yang aktif dan ceria.


Pada PRU 2008, DUN Pulau Tawar menyumbang majoriti lebih 3100 undi kepada parlimen Jerantut. Pengundi DUN Pulau Tawar berjumlah 18,000. Dun Pulau Tawar mempunyai 18000 orang pengundi. Kalau tidak kerana pengundi-pengundi yang majoritinya terdiri daripada peneroka Felda sudah tentu sukar untuk BN mempertahankan kerusi parlimen di Jerantut.

WZWH ingin memberi satu laporan 'feedback' dari suara akar umbi di DUN Pulau Tawar. Diharap mendapat tindakan dan susulan dari ADUN Pulau Tawar.

Selepas kemenangan selesa DUN Pulau Tawar dalam PRU lepas, kini pergerakan DUN Pulau Tawar menjadi statik dan lesu. Momentumnya semakin lesu dan ini amat membimbangkan UMNO dan BN. Jangan disangka air yang tenang tiada buaya!

Setelah ADUNnya tidak menjadi EXCO lagi dan tewas dalam pemilihan Ketua Bahagian UMNO Jerantut beliau seolah-olah tidak bersemangat lagi menjalankan tugas-tugasnya. Walaupun wakil rakyat itu merasakan beliau berada di zaman penghujungnya namun perkhidmatan kepada rakyat hendaklah diteruskan.

Hasil dari perbincangan WZWH dengan beberapa Ketua Cawangan UMNO dan Ketua Pemuda UMNO cawangan di DUN Pulau Tawar, WZWH mendapati:
  • Sukar untuk berjumpa dengan YB ADUN Pulau Tawar. Pejabat Perkhidmatan ADUN sunyi.
  • Minta peruntukan payah jadi banyak program terbantut di cawangan-cawangan.
  • Ketua Cawangan Sungai Tekam dan Gelanggi satu meletak jawatan. Kenapa?
  • Penubuhan ranting parti PKR di Gelanggi 2 dan beberapa ranting PKR di DUN Pulau Tawar. Mengapa jadi begini?
  • Banyak borang biasiswa Yayasan Pahang dari DUN Pulau Tawar ditandatangani oleh ADUN lain.
  • Kalau dulu ada orang kuat ADUN seperti En. Nordin Wahid, En. Nordin Yit, Abang Jantan dan En Zainor yang boleh orang DUN Pulau Tawar terpa atau berjumpa tetapi sekarang tiada lagi.
  • Selama 3 penggal menjadi ADUN Pulau Tawar apakah sumbanganya yang boleh dinampak oleh pengundi di DUN Pulau Tawar?
  • Terdapat 5000 pengundi baru yang terdiri dari golongan muda dalam PRU 13 nanti. Apa jaminan majoriti 3100 di DUN Pulau Tawar dan parlimen Jerantut dapat dipertahan?
Jika dibiarkan DUN Pulau Tawar begini maka ianya akan memberi kesan kepada UMNO dan BN dalam PRU 13 nanti. Ini akan menyusahkan orang yang akan mengantikan beliau.  Diharap ADUN Pulau Tawar dapat menerima laporan 'feedback' dari akar umbi dan diambil tindakan.

Friday, June 18, 2010

Perjumpaan Dengan Pemuda UMNO Bahagian Tapah

Malam tadi satu majlis perjumpaan dengan Pemuda UMNO Bahagian Tapah bersama EXCO Pemuda UMNO Malaysia, YB Dato' Wan Amizan bin Wan Razak berlansung di bangunan UMNO Bahagian Tapah. YB Dato' Wan Amizan dalam siri lawatan ke bahagian angkat Pemuda UMNO Bahagian sebanyak 15 bahagian di seluruh Malaysia.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah diketuai oleh Cikgu Khairuddin bin Mohd Jali. Majlis bermula dengan sesi pengenalan AJK Pemuda UMNO bahagian dan juga wakil Ketua Pemuda UMNO cawangan. Pemuda UMNO Bahagian Tapah mempunyai 29 cawangan.

Tapah adalah sebuah pekan kecil dikelilingi oleh berapa kampung tradisional. Terdapat beberapa kampung Orang Asli. Hanya terdapat 2 atau 3 kilang sahaja. Peluang pekerjaan sungguh terhad menyebabkan ramai golongan muda berhijrah ke luar mencari pekerjaan.

YB Dato' Wan Amizan merupakan Pengerusi Biro Sekretariat Luar Bandar selaku Bapa angkat Pemuda UMNO Bahagian Tapah perlu memotivasi dan menguatkan semangat Pemuda UMNO Bahagian Tapah bekerja kuat memastikan kemenangan BN.

Tapah mempunyai 1 parlimen dan 2 dun iaitu Air Kuning dan Cenderiang. Parlimen MIC, DUN Air Kuning UMNO dan DUN Cenderiang MCA. Pengundi parlimen berjumlah 38,000. Lebih kurang sama dengan jumlah pengundi yang keluar mengundi di parlimen Jerantut.

YB Dato' Wan Amizan mencadangkan beberapa program pemuda diatur di Tapah seperti pentas pemuda, sukan pemuda. Kegiatan ini dilaksanakan sendiri oleh Pemuda UMNO Bahagian Tapah dibantu oleh YB Dato' Wan Amizan.

YB Dato' Wan Amizan menegaskan kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia yang diterajui oleh YB Saudara Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan YB Dato' Razali sebagai Naib Ketua Pemuda bergerak dalam 1Pemuda.

Satu sesi dailog diadakan diantara Pemuda UMNO Bahagian Tapah dengan YB Dato' Wan Amizan. Kemudian penyerahan baju perwakilan pemuda disampaikan oleh YB Dato' Wan Amizan kepada kesemua 29 cawangan Pemuda UMNO Tapah. Majlis turut dihadiri oleh YB Dato' Haji Shamsuddin bin Haji Abu Hasan ADUN Air Kuning merangkap Ketua Bahagian UMNO Tapah.

Yang penting Pemuda UMNO mesti berperanan memastikan kemenangan BN Perak membantu kepimpinan YAB Dato' Zambry bin Abdul Kadir Menteri Besar Perak.

Thursday, June 17, 2010

Hulu Tembeling 1920an

Ini cerita WZWH petik dari memoir Dato' Sir Mahmud bin Mat, "Tinggal Kenangan" mengenai kisah Hulu Tembeling 1920an....

Dato' Sir Mahmud bin Mat adalah Menteri Besar Pahang pertama dan juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang pertama. Cerita ini ketika beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Lipis sekitar tahun 1924-1926.

"Tidak lama selepas bertugas di Kuala Lipis, saya pun pergi ke Hulu Tembeling buat pertama kali. Pada pukul 7.00 pagi kami pun bertolak dari Kuala Lipis menghiliri Sungai Jelai ke Kuala Tembeling dan ke suatu tempat bernama Pasir Atas. Sungai Tembeling cantik. Tebingnya tinggi, airnya jernih. Sungainya penuh dengan ikan.

Kami tiba di Pasir Atas lewat petang itu. Kami pun berkemah dan bermalam di situ. Setelah bersarapan pada awal pagi keesokan harinya, kami meneruskan perjalanan menongkah arus ke hulu sungai. Kami sampai di tempat persinggahan seterusnya tidak jauh dari jeram pertama pada pukul 5.00 petang. Disitulah kami berkemah untuk malam keduanya. Kawasan itu hutan belantara.

Kami mengambil masa 2 hari lagi untuk melalui jeram-jeram dikawasan ini. Pada hari ketiga dan keempat kami tidak belayar sepanjang hari kerana kami terpaksa berkemah di tempat persinggahan yang di kenal pasti pada waktu malam untuk mengelakkan apa-apa kesulitan dan bahaya binatang buas seperti gajah dan harimau.

Sejurus selepas tengahari kami tiba di tempat tujuan kami, Kampung Bantal. Kampung Bantal ialah tempat kediaman penghulu Hulu Tembeling, dari tempat ini tidak jauh dari Kuala Sepia.

Kampung inilah kampung yang terbesar di mukim Hulu Tembeling. Terdapat kira-kira 24 buah rumah sahaja dalam kampung ini. Kawasan lain di mukim ini tidaklah ramai penduduknya. Kehidupan penduduknya sangat miskin. Keadaan hidup mereka kuno. Tidak ada sekolah di mana-mana pun di kawasan itu. Tidak ada seorang pun penduduk Cina di situ. Di Kuala Sepia terdapat 25 ekar tanah datar yang diusahakan oleh penduduk untuk penanaman padi huma.

Tuk Penghulu yang berbadan tegap sudah berumur orangnya. Dia bau-bau bacang dengan Almarhum Sultan Ahmad. Bicaranya lembut dan bersopan santun. Sungguhpun dia tidak tahu membaca dan menulis, dia pandai bercerita dan kelakar sungguh orangnya. Pada waktu petang dia sering menghiburkan kami dengan cerita-cerita pengalamannya semasa dia muda-muda dahulu ketika dia dihantar ke Brunei atas urusan Baginda Sultan. Di sana dia berkahwin dan menghabiskan masa bersuka-suka selama lebih enam bulan. Dia pernah menemani Sir Hugh Clifford dalam rangka lawatannya. Dengan pertolongan Sir Hugh Clifford, Tuk Penghulu telah menggantikan tempat ayahnya. Sir Hugh Clifford memberinya surat kuasa yang ditulis dengan tulisan jawi. Katanya surat ini ditulis oleh Sir Hugh Clifford sendiri. Dan tulisan jawinya sangat cantik.

Semasa orang kampung datang untuk membayar cukai tanah, mereka membawa bersama-sama barang-barang seperti ayam itik, telur, buluh yang berhias sebagai tongkat untuk dijual. Tukang masak saya yang berbangsa Cina membeli kira-kira 24 ekor ayam dan beberapa butir telur. Dia juga mengupah seorang daripada mereka untuk membuat serkap ayam.

Semasa lawatan saya seterusnya ke Kampung Bantal, saya memerhatikan seorang lelaki membawa seekor kerbau yang cukup umur untuk dijual. Tidak seorang pun antara kami yang berminat untuk membelinya walaupun diberi harga istimewa. Sekumpulan penduduk kampung datang untuk membayar cukai mereka, tetapi yang peliknya tidak seorang pun yang mara ke depan untuk membuat pembayaran. Mereka terus berbual sesama sendiri dalam dua kumpulan di bawah pokok-pokok rendang. Setelah dua setengah jam berlalu barulah mereka bergegas untuk membayar cukai mereka. Tidak lama selepas peristiwa itu barulah saya mengetahui bahawa kerbau tadi telah dijual kepada Tuk Penghulu dengan harga $30 (jauh lebih murah daripada harga pasaran) dan hasil jualan tersebut dibahagi-bahagikan antara mereka untuk membayar cukai.

Tuk Penghulu ini memang terkenal sebagai pemilik kerbau yang banyak-lebih daripada 100 ekor. Dia mengupah orang untuk memerah susu kerbau betina dan susu tadi dijadikan minyak sapi. Saya pun membeli setin minyak sapi daripada penghulu dengan harga $14 lalu membawanya ke Kuala Lipis.

Dalam perbualan saya dengan Tuk Penghulu Kampung Bantal kali ini saya mendapati penduduk Hulu Tembeling menggunakan perkataan yang berbeza untuk beberapa benda yang biasa. Perkataan ini tidak difahami oleh orang Melayu di tempat lain. Kata Tuk Penghulu bahasa Hulu Tembeling ialah bahasa yang digunakan orang Kepulauan Laut Selatan Sulu Brunei. Hairan juga di hati saya bagaimana orang dari Kepulauan Laut Selatan Sulu Brunei dapat sampai ke Hulu Tembeling, tempat yang sukar dimasuki, malah beratus-ratus batu ke dalam kawasan pedalaman.

Pada waktu petang, kami menjala di jeram. Semasa saya menebar jala buat kali terakhir, saya terasa jala disentak kuat. Kerana saya tidak ingin kehilangan ikan yang besar lagi, saya mengarahkan salah seorang awak terjun ke dalam sungai menarik hujung jala. Dia pun terjun dan beberapa saat timbul semula, darah meleleh di dahi kirinya. Ikan yang di dalam jala yang meronta-ronta hendak melepaskan diri telah terlanggar dahinya dan melukakannya. Saya berjaya menarik hujung jala lalu melihat tangkapan saya. Saya mendapat ikan jelawat yang besar tetapi tidaklah dari jenis yang baik. Sungguh pun begitu ada jugalah makanan kami untuk perjalanan seterusnya".

Wednesday, June 16, 2010

Jerantut Ibu Negeri Baru?

WZWH mahu menyingkap kisah lama...walaupun Kuantan ialah ibu negeri Pahang Darul Makmur sejak 27 Ogos 1955 tapi ada sebab mengapa WZWH berbuat demikian.

Dulu...pada tahun 1901 timbul lagi sekali cadangan memindahkan ibu negeri Pahang dari Kuala Lipis. Residen British pada masa itu mencadangkan supaya ibu negeri dipindahkan ke Jerantut.

Potensi Jerantut untuk menjadi ibu negeri lebih baik, kerana kedudukannya agak ditengah-tengah negeri, disamping adanya hubungan melalui Sungai Pahang dan jalan kereta api. Cadangan ini tergendala semasa Edward Brewster menjadi Residen kerana baginya projek pembinaan jalan kereta api mestilah disempurnakan terlebih dahulu.

Banjir besar yang dikenali oleh orang-orang Pahang sebagai "Bah Keruh" menyerang Pahang pada 1926 menyebabkan seluruh bandar Kuala Lipis tengelam. Dato' Mahmud Mat mencatatkan dalam buku memoirnya Tinggal Kenangan bahawa banjir yang airnya keruh seperti air teh susu itu hampir mencecah loteng kebanyakan kedai di Lipis khasnya di kawasan tebing Sungai Jelai yang dikenali dengan nama Jelai Street itu. Banjir itu juga menyebabkan banyak bangunan kerajaan runtuh.

Cadangan yang sama juga pernah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Undangan Negeri dalam bulan Oktober 1948, tetapi sebagaimana biasa, tiada tindakan yang diambil. Keadaan slump dan inflasi yang berlaku pada 1929 hingga akhir 1945 merupakan faktor yang mendorong ketiadaan tindakan ini.

Apa yang hendak WZWH sampaikan ialah sebenarnya Jerantut ada potensi untuk dibangun dan dimajukan bandarnya dan seluruh daerahnya. Jika pada tahun 1901, Residen British boleh nampak bahawa Jerantut ada masa depan untuk dimajukan kerana kedudukan strategiknya di tengah-tengah geografi negeri Pahang. Disamping gunung, ganang, hutan, flora dan fauna, sungai dan lata.

Walaupun ramai orang politik baik di dalam dan luar Jerantut merasakan Jerantut tempat terpencil, tidak ada infrastruktur, membebankan dan banyak kesusahan. Sebenarnya WZWH memandang Jerantut sebagai "lombong emas" bagi peluang-peluang pembangunan dengan syarat kita kena kreatif dan inovatif memikir dan merancang projek-projek pembangunan di Jerantut. Tidak semestinya projek-projek pembangunan itu mesti disenaraikan dalam RMK 10.

Kita boleh mencipta projek-projek yang baru dan negara amat memerlukannya kerana sebab yang kritikal dan kita cadangkan kepada kerajaan. Dan kita tidak perlu peruntukan dari kerajaan kerana kita boleh membiayainya melalui inisiatif pelaburan swasta. Kita cuma mahu kelulusan dari kerajaan. Pembinaan projek-projek pembangunan boleh mengembangkan ekonomi dan pertumbuhan perkembangan Jerantut. Yang penting peluang pekerjaan untuk orang Jerantut.

Tidak ada yang payah dan susahnya untuk membangunkan dan memajukan Jerantut jika kita berfikir secara kreatif dan innovatif sebab Jerantut punya potensi sejak dulu.....Jerantut hanya perlu "tangan-tangan yang menyentuhnya menjadi emas".

Majlis Ramah Mesra MB Pahang Bersama Rakan-rakan Media Baru

Malam tadi berlansung Majlis Ramah Mesra YAB Dato' Sri Hj Adnan bin Hj Yaakob, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang bersama rakan-rakan media baru di Dewan Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Pahang.

Majlis bermula dengan Jamuan Makan Malam pada pukul 8.30 malam. Selepas itu YB Dato' Hj Mohd Sharkar bin Hj Shamsudin, Pengerusi Biro ICT dan Media Baru UMNO Negeri Pahang memulakan ucapan aluan. Dato' Sharkar menyatakan media baru kini sebahagian daripada kehidupan membentuk jaringan sosial membentuk medium kempen baru. Oleh itu semua rakan-rakan media baru perlu berganding bahu memberikan penjelasan kepada rakan bukan politik.

Ucapan dan amanat YAB MB Pahang menjelaskan senario realiti politik terkini dalam negeri dan negara. Melayu terutamanya ahli UMNO perlu bersatu. Program Juara Rakyat yang inklusif seperti membantu orang susah, gotong royong dan sasaran kepada bukan Melayu amat digalakkan.

MB menjelaskan bahawa kini media baru menjadi pilihan, media lama seperti suratkhabar harian semakin kurang jualannya. Dengan menggunakan media baru bagaimana mahu menjawab isu-isu yang dibawa oleh pembangkang. Kena ada sistem dan strategi.

Rakan-rakan media perlu buat penyelidikan, cari alasan kukuh dan jawab dengan pantas. Blogger pro kerajaan mesti berpengetahuan, jangan antagonistic (berlawanan) guna "reverse psychology"

UMNO negeri akan membentangkan kertaskerja bagaimana cara mahu menang pilihanraya. Objektif kertaskerja itu ialah:
  • Menang PRU
  • Kekal kuasa
  • Pikat orang UMNO, atas pagar dan sekat pembangkang.
Program melawat bekas AJK UMNO Bahagian, bekas YB, veteran UMNO, orang atas pagar, orang pencen. Perjumpaan dengan "Mat Rempit" juga diadakan. Maklum balas yang diterima kini seramai 1400 "Mat Rempit" telah bersetuju untuk menyertai program. Satu sistem pelaporan dan penilaian digunakan untuk melihat keberhasilan program.'

Kemudian YAB MB Pahang melancarkan Pelancaran Sistem SMS UMNO Pahang. Dikuti acara sesi dialog rakan-rakan media baru bersama YAB Dato' Sri Pengerusi.

YAB MB Pahang Dato' Sri Adnan bin Yaakob adalah pemimpin yang memahami perkembangan media baru di dalam mempengaruhi persepsi rakyat memilih kerajaan dalam PRU 12 dan 13 akan datang. Dato' Sri Adnan mengambil inisiatif langkah proaktif mengembalikan sokongan rakyat kembali menyokong kerajaan dan cuba mengekang kebangkitan pembangkang di Pahang. WZWH amat menyokong usaha YAB Dato' Sri Adnan bin Yaakob MB Pahang menguatkan UMNO dan BN di Pahang.

Sunday, June 13, 2010

Rally 1Malaysia

Pelancaran Rally 1Malaysia, 1Misi 1Hati 1Pemuda 1Malaysia telah diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil di hadapan 15,000 belia oleh YAB PM Dato' Seri Najib pada 12 Jun 2010.

Rally 1Malaysia atau Jelajah 1Malaysia adalah hasil idea YB Khairy Jamaluddin(KJ) Ketua Pemuda UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Pemuda BN.

Program ini bertemakan "1Misi, 1Hati, 1Pemuda, 1Malaysia"

Objektif program ini ialah:
  • mengembeling seluruh sokongan badan bukan kerajaan (NGO) generasi muda dari pelbagai bangsa dan agama
  • mendokong dan menyokong Gagasan 1Malaysia
  • menerap dan menyemarakkan semangat 1Malaysia merentasi seluruh lapisan rakyat
  • melancarkan Bas Jelajah 1 Malaysia (JOM)

Bas "Jelajah 1Malaysia"
  • Bas akan melawati kawasan-kawasan Parlimen
  • Program bertemakan 1Malaysia akan dirancang sempena lawatan bas tersebut dimana ianya berkisar kepada kebajikan rakyat dan menyentuh kumpulan sasaran, OKU, warga emas, anak yatim dan sebagainya
  • Penyertaan aktiviti tersebut akan merangkumi PEMUDA BN, NGO serta golongan muda setempat.
KJ dalam ucapan aluan selaku Pengerusi Pemuda BN memuji kesungguhan usaha gigih YAB PM Najib memimpin Malaysia. Dasar-dasar PM seperti 1Malaysia, NKRA, KPI, GTP, MEB, RMK 10 yang banyak membantu golongan muda dari segi penyediaan pekerjaan. PM Najib mahu membantu orang muda. KJ menyatakan golongan muda menyokong penuh kepimpinan PM.

WZWH nampak KJ sudah mula menunjukkan ketokohan dan kepimpinannya sebagai Ketua Pemuda BN. Sememangnya BN perlu buat banyak program bersama NGO generasi muda dari pelbagai bangsa dan agama. Barulah golongan muda kenal BN, mesra BN dan dengan program-program yang akan membantu generasi muda maka pada PRU nanti orang muda menyokong BN. WZWH menyokong penuh usaha KJ.

PM Najib dalam ucaputama merasakan sungguh bersemangat melihat kehadiran belia seramai 15,000 orang. PM Najib menaruh kepercayaan penuh kepada KJ menggerakkan generasi muda. PM teringat semasa beliau memegang jawatan Ketua Pemuda BN dulu.

PM Najib memberi jaminan bahawa kerajaan BN akan memberi sokongan, komitmen, bantuan kepada golongan muda berperanan membangun dan memajukan negara. Yang utama belia Malaysia perlu bersaing dengan dunia.

Dengan bangganya PM Najib menyatakan bahawa Malaysia terletak dalam kedudukan ke 9 dunia dari segi persaingan mengalahkan Jepun, negara Eropah, satu-satunya negara OIC, NAM, yang mendapat senarai TOP TEN persaingan dunia.

Sambil mencabar Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim," Kita telah buktikan bahawa Malaysia boleh berjaya...mengorak langkah...apa yang Ketua Pembangkang buat...kita tahu apa dia buat!"

PM Najib juga menyelar kekejaman dan kezaliman Israel yang telah membunuh 9 orang aktivis keamanan. PM akan bawa usul mencela Israel di PBB dengan menggunakan pengaruhnya keatas negara OIC.

Sungguh bersemangat PM Najib berucap. Selepas itu pelancaran Bas "Jelajah 1Malaysia". WZWH percaya jika program Rally 1Malaysia ini dibuat betul-betul....sokongan orang muda akan kembali menyokong BN. Itu harapan WZWH.

Thursday, June 10, 2010

Di mana Parlimen P81 Jerantut BN 2008 Lemah?

Sejarah pilihanraya Jerantut menunjukkan pada tahun 2004, BN mendapat 21,349 undi (61%), PAS mendapat 12,892 undi (37%). Maka pada pilihanraya 2008, BN mendapat 19,543 undi (51%), PAS mendapat 17,597 undi (46%).

Keputusan peratus menunjukkan BN jatuh 10% undi manakala PAS naik 9%. Iaitu penurunan majoriti BN tahun 2004 dari 8457 kepada 1946 pada tahun 2008 sebanyak 6511. Di mana BN hilang undi sebanyak 6511 undi ini?

WZWH mahu memecahkan undi yang hilang ini kepada 3 DUN. Pertama kita lihat apa yang BN lemah di DUN Damak di tempat mengundi: negatif majoriti = -
SK Tebing Tinggi -96
Balairaya Tebing Tinggi -127
SK Temin -195
SK Jerantut -113
SKJC Sungai Jan -201
Tadika Perpaduan PAKR Bandar Baru -105
SMK Padang Saujana -272
SK Bandar Jerantut -443
Balairaya Lata Kasah -41
SK Kampung Baru -19
SK Damak -130
SJKC Batu Balai -167
SMK Jerantut -346
Di SM Agama Ulu Cheka walaupun BN menang tapi majoriti kecil iaitu 59 undi sahaja dari 857 undi. Sepatutnya BN boleh menang besar kerana majoriti pengundi adalah Melayu!

Terdapat 19 AJK UMNO Bahagian Jerantut dari DUN Damak pada tahun 2008 tetapi tidak boleh dapat membantu BN di peti undi masing-masing. Juga parti komponen BN seperti MCA dan MIC tidak berfungsi.

Kita lihat di DUN Tahan di tempat mengundi: negatif majoriti = -
Di Kuala Tembeling ada masalah iaitu BN hanya menang majoriti 31 undi dari 655 undi. Sepatutnya BN boleh menang besar kerana majoriti pengundi adalah Melayu!
SMK LKTP Padang Piol -101. Pelik, harga sawit tinggi tapi peneroka Padang Piol tak gembira juga!
SK Pulau Mansok -59
SK Pedah -77
SK Tanah Rom -44

Manakala di DUN Pulau Tawar pula di tempat pengundi: negatif majoriti = -
SM Agama Pulau Tawar -87 dari 785 pengundi 100% Melayu!

Perlu diingat terdapat 26 tempat pengundi lagi di 3 DUN yang majoriti BN dapat kurang dari 50 undi sahaja! Maka kepada bakal calon Parlimen BN P81 Jerantut pada PRU 13 nanti inilah senario trend pengundi yang begitu menakutkan sekali.

Persoalan pertama pengundi yang keluar mengundi pada PRU 2008 berjumlah 38000. Terdapat pengundi berdaftar berjumlah 48000. Mana pergi lagi 10000 pengundi?

Persoalan kedua ahli UMNO Jerantut berjumlah 22000. Kalau setiap ahli UMNO keluar mengundi BN pada PRU 13, tiada sebab PAS boleh menang. Kenapa ahli UMNO tidak setia kepada parti? Apa masalahnya?

WZWH fikir...kalau Dato' Shariff Ahmad dari segi konflik dalaman UMNO Jerantut, Orang UMNO tidak mahu...sebab beliau bukan anak jati Jerantut...
Dato' Wan Bakar anak tempatan, Orang UMNO tidak mahu...
Tuan Haji Kamaruzaman Baria separuh Jerantut, Orang UMNO tidak mahu...
YBM Tengku Azlan anak Raja, anak Sultan, Orang UMNO tidak mahu...
Siapa yang Orang UMNO Jerantut mahu?
Adakah Orang UMNO Jerantut mahu orang "Sakai" menjadi calon BN P81 Jerantut!!!
Kenapa kita Orang UMNO Jerantut mahu PAS yang calonnya kita tahu siapa dia?

Kita Orang UMNO Jerantut ketepikan politik kepuakan, politik kumpulan masing-masing. Percayalah tidak ada kumpulan UMNO yang betul-betul kuat tidak kira dari Ulu Cheka, Jalan Benta, Bandar, Jerantut Hilir, Pulau Tawar, Felda-felda, Tembeling, Kelantan Pahang.

Kita perlu bergabung kekuatan bagi memenangkan calon BN pada PRU 13 nanti tidak kira siapa yang YAB PM, MB suka...kita sokong, kita akur, kita pangkah x BN dalam kertas undi. Yang penting BN menang.

Kita sebenarnya Orang UMNO Jerantut sangat kuat bila kita bersatu. Percayalah, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang haq. Kitalah, UMNO satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.

Kita perlu menjadikan "formula Pekan" sebagai panduan untuk Parlimen BN Jerantut bangkit semula dalam PRU 13 nanti. Pada PRU 1999, YAB PM Najib mendapat 13,148 undi (50.25%), PAS mendapat 12,907 undi (49.33%). Majoriti BN Pekan hanya 241 undi sahaja lebih teruk dari BN Jerantut majoriti 1946 undi!

Kemudian YAB PM Najib bangkit...mendapat kemenangan majoriti 22,922 undi dalam PRU 2004 dan menang majoriti 26,464 undi dalam PRU 2008. Maka kita Orang UMNO Jerantut perlu pelajari kaedah-kaedah YAB PM Dato'Seri Najib memenangi PRU dengan majoriti lebih besar.

Kem Anak Soleh Di DUN Tahan

Program Kem Anak Soleh telah diadakan di Masjid Kuala Teh di DUN Tahan pada 7 Jun 2010 dari pagi sampai malam. Program ini anjuran pelajar sijil tinggi agama Malaysia dengan kerjasama JKKK Kuala Teh.

WZWH kagum dengan sekumpulan pelajar agama belasan tahun yang berani mengambil inisiatif mengadakan program Kem Anak Soleh. Pada mulanya WZWH ingat program seumpama ini dianjurkan oleh jabatan kerajaan seperti Jabatan Agama Islam, PPD, Belia atau Belia Islam seperti ABIM, JIM tapi rupanya budak-budak sahaja!

Mari kita lihat apa kandungan program ini. Antara tentatif program ialah Futhur dan Pendaftaran, Khidmat Diri, Kem Bistari Solat, LDK dan amali, Solat Zohor dan Tazkiah Nafsi, Surat Wasiat, Solat Asar dan Bacaan Al Ma'thurat, Limpahan Peluh, Asya' dan Khidmat Diri, Solat Maghrib dan Kuliah Maghrib, Solat Isya', Malam Saqofah Islamiah, Night Drink, Himpunan Al Mulk.

Cabutan bertuah hamper buat semua ibu bapa yang datang menambahkan lagi kemeriahan program ini. WZWH cukup terhibur dengan persembahan lagu-lagu nasyid berbahasa Melayu dan Arab dari pelajar sekolah menengah agama Al Basriah Kuala Tembeling.

Objektif program Kem Anak Soleh ialah:
  1. memberi pendekatan yang jelas kepada para pelajar mengenai akhlak sebagai pelajar muslim yang sebenar.
  2. memupuk kesempurnaan sahsiah berlandaskan syariat Islam.
  3. mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim dikalangan pelajar.
  4. untuk memperbaiki dan memperkemaskan cara bacaan dalam solat.
  5. membentuk saf kepimpinan remaja yang mempunyai daya kepimpinan dan kefahaman yang jelas tentang Islam dan beramal dengannya.
  6. menambah penghayatan dan menimbulkan rasa tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan kolektif.
  7. memudahkan generasi seterusnya mengerakkan agama Islam supaya dapat membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islamiah dalam diri, peka dan sensitif terhadap perkara yang tidak Islamik.
Kadi Temerloh menyampaikan ceramah agama bertajuk Ciri-ciri Anak Soleh dan Ciri-ciri Anak Tidak Soleh. Anak yang soleh mengikut cakap ibu bapa dan memahami objektif program Kem Anak Soleh. Anak yang tidak soleh durhaka kepada kedua ibu bapa dengan terlibat dengan gejala sosial seperti dadah, minum arak, berjudi, merempit membahayakan nyawa sendiri dan nyawa orang lain, pergaulan bebas, buang anak, tidak mahu bekerja, suka melepak.

YB Dato' Wan Amizan bin Wan Razak ADUN Tahan dalam ucapan penutupnya menyatakan rasa bangganya dengan usaha kreatif sekumpulan anak muda Kampung Kuala Teh menganjurkan program Kem Anak Soleh mendidik adik-adik supaya menjadi generasi masa depan yang berguna dan berbakti kepada masyarakat. YB Dato Wan Amizan mahu menerapkan nilai-nilai Islam yang baik dalam program Kem Anak Soleh ke semua kampung dalam DUN Tahan. Beliau berjanji akan membantu mana-mana anak muda di kampung yang ingin menganjurkan program sedemikian dari segi peruntukan kewangan.

WZWH percaya anak-anak muda yang soleh bukan sahaja patuh kepada kedua ibu bapa tapi juga taat kepada pemimpin-pemimpin baik peringkat kampung, daerah, negeri dan negara. Anak yang soleh taat kepada Amirulmukminin.

Wednesday, June 9, 2010

Universiti FELDA Di Jerantut?

Di Jerantut sudah ada perkembangan institusi pengajian tinggi yang boleh membantu dan memudahkan anak-anak muda Jerantut mendapat peluang pendidikan tinggi bertaraf kolej.

Jika anda pergi ke Jerantut dari Temerloh, di sebelah kanan di Temin, ada sebuah kompleks institusi pengajian tinggi iaitu Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) yang sedang dalam pembinaan.

Sebelum anda sampai ke masjid Jerantut, ada 2 blok bangunan baru yang dibeli oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk dijadi Kolej Komuniti yang akan dibuka tidak lama lagi.

Kadang-kadang WZWH terfikir di Jerantut ada banyak pusat penyelidikan seperti Pusat Penyelidikan Biotek Haiwan di Tebing Tinggi, Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar di Perlok, Pusat Penyelidikan Tun Razak (Pertanian) di Sungai Tekam.

Kenapa tidak kita sinergikan semua pusat penyelidikan ini dan bina satu kolej Pertanian Jerantut menafaatkan ilmu-ilmu dari Pusat Penyelidikan ini untuk melatih golongan muda Jerantut dan pihak kerajaan dan swasta boleh bekerjasama menjayakan projek-projek pertanian melibatkan penyertaan golongan muda Jerantut.

WZWH merasakan ini satu idea yang baik bagi keperluan pendidikan dan ekonomi Jerantut. WZWH merasa teruja bila Pihak FELDA bercadang mahu menubuhkan sebuah universiti FELDA. Cadangan ini akan dibawa ke pertimbangan YAB PM Dato' Seri Najib.

Kita semua tahu hasrat PM mahu FELDA menjadi gedung makanan negara. Jika perancangan ini menjadi kenyataan, Malaysia tidaklah perlu mengimport lebih makanan lagi yang mana ini boleh menghalang pengeluaran wang ke luar negara.

WZWH percaya YAB PM Dato' Seri Najib akan bersetuju dan menyokong penubuhan universiti FELDA. Maka WZWH mahu menyatakan kepada PM dan Pihak FELDA bahawa Jerantut bersedia menawar tempat kawasan tanah seluas 1000 ekar bagi pembinaan Universiti FELDA. Di Tembeling Tengah, ada kawasan yang boleh diperuntukan bagi pembinaan Universiti FELDA. Sudah pasti YAB MB Pahang Dato' Seri Adnan Yaakob menyokong penuh usaha baik ini kerana MB Pahang cukup berminat bidang pendidikan sebab itu Yayasan Pahang banyak membantu pelajar-pelajar Pahang mendapat peluang pendidikan di universiti pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Kita orang Jerantut mesti menyokong penuh penubuhan Universiti FELDA bagi kebaikan pendidikan, ekonomi dan sosial Jerantut.

Monday, June 7, 2010

Menteri Pertahankan Loji Janakuasa Nuklear

Dato' Peter Chin, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, mempertahankan pembinaan loji janakuasa nuklear di Malaysia menyatakan ianya adalah keperluan bagi jaminan tenaga masa depan. WZWH amat menyokong dan memahami kenyataan menteri ini.

Dato' Peter Chin memberitahu di Dewan Rakyat bahawa negara tidak lagi boleh bergantung kepada arang batu dan gas asli sebagai sumber utama tenaga. " Bagi jaminan tenaga di Semenanjung Malaysia, kita tidak boleh lagi bergantung kepada gas asli dan arang batu untuk memenuhi keperluan tenaga selepas tahun 2020".

"Kekurangan kedua-dua sumber bahan tersebut dan harga pasaran semasa yang meningkat melambung tinggi dan kebergantungan tinggi kepada kedua-dua bahan tersebut akan meningkatkan kos elektrik dan mengakibatkan rakyat membayar tarif elektrik yang tinggi",
Dato' Peter Chin menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Beliau juga mengesahkan kos cadangan pembinaan loji janakuasa nuklear berkapasiti 1000MW antara RM6.4 bilion hingga RM12.8 billion. Walaupun kos permulaan logi janakuasa nuklear tinggi tetapi kos operasinya lebih rendah jika dibandingkan dengan arangbatu, minyak petrol, dan gas. Dari segi jangka panjang, kos loji janakuasa lebih menjimatkan, paling mesra alam dan selamat.

Dari segi kewangan, ianya tidak "viable"-tidak berdaya maju jika kerajaan terlalu bergantung sepenuhnya kepada tenaga alternatif.

"Saya faham perlunya kepada tenaga diperbaharui tetapi saya ingin mengingatkan kepada umum walaupun angin dan solar itu percuma, kita terpaksa membayar kos yang tinggi jika kita mahu tenaga. Kita boleh ada generator kuasa angin dan solar tapi kita perlu melabur banyak".

"Saya percaya kita perlu kepada pelbagaian tenaga daripada hidro, tenaga diperbaharui, nuklear, arang batu dan gas asli".

Dalam soalan tambahan, Lim Guan Eng menyoal bagaimana perancangan kerajaan untuk memastikan aspek keselamatan logi janakuasa nuklear memandangkan rekod tidak baik Malaysia memastikan keselamatan bangunan seperti kes bumbung stadium runtuh.

Peter Chin menjawab bahawa loji tenaga nuklear tidak menjadi ancaman kepada alam sekitar dan kerajaan akan mengadakan "road show" untuk memberi penerangan dan pengetahuan supaya rakyat dan umum faham tentang keselamatan logi tenaga nuklear.

"Kita berharap rakyat boleh menerima logi janakuasa nuklear melalui program dan maklumat. Kita berharap boleh mempengaruhi persepsi rakyat melalui program-program yang akan kita laksanakan"

WZWH telah mengambil inisiatif untuk menerangkan kepada rakyat Jerantut bahawa logi janakuasa nuklear itu adalah selamat, tidak merbahaya kepada alam sekitar jika aspek keselamatannya diambil kira.

Jerantut adalah penyokong awal cadangan pembinaan logi janakuasa nuklear. WZWH akan menggerakkan UMNO Bahagian Jerantut supaya menyokong dasar nuklear negara yang baik untuk negara dan rakyat demi masa depan.

Thursday, June 3, 2010

Kenapa Jerantut Perlu Sokong Loji Janakuasa Nuklear Lembah Tembeling?

Pada 3hb Julai 2010, sebulan dari sekarang Mesyuarat UMNO Bahagian Jerantut akan bersidang dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Najib PM. Kehadiran PM amat ditunggu ahli-ahli UMNO dan rakyat Jerantut. Kali terakhir Dato' Seri Najib melawat Jerantut pada tahun 1997.

Kita Jerantut mengharapkan lawatan YAB PM memberi makna. Kita belum minta apa-apa pada PM yang boleh memajukan Jerantut dengan impak ekonomi dan sosial yang berskala besar kerana kita tidak pernah minta pun...

Oleh kerana WZWH seorang pemikir dan pengamal politik Jerantut yang ingin melihat Jerantut maju dan rakyatnya hidup makmur dan sejahtera maka satu usul perlu dibawa untuk dipertimbangkan oleh PM.

Usul yang ingin dibawa oleh WZWH bukanlah usul baru, ianya ialah idea lama Tun Razak atas nasihat pakar nuklear dan tenaga Rusia pada tahun 1960an bahawa Malaysia perlu mengorak langkah ke depan dalam menghadapi permintaan bekalan tenaga elektrik yang makin meningkat demi mencapai negara industri dan berdepan dengan krisis tenaga yang bakal meruncing masa depan.

Sebab itu Agensi Nuklear Malaysia atau dipanggil MINT, CRANE, PUSPATI, UTN ditubuhkan pada 19 September 1972 di Bangi, Selangor. Malaysia sebenarnya sudah ada loji janakuasa nuklear tapi hanya reaktor yang bersaiz kecil boleh menghasilkan tenaga elektrik 1MW bagi tujuan penyelidikan.

Oleh itu menjadi tanggungjawab WZWH untuk menerangkan kepada ahli-ahli UMNO dan rakyat Jerantut semua supaya faham kenapa usul logi janakuasa nuklear perlu dibina di Lembah Tembeling. Apakah kebaikan dan faedah yang Jerantut boleh dapat dari projek ini.

WZWH tidak ada kepentingan apa-apa. WZWH hanya ada idea yang ingin dilontarkan supaya PM Najib menimbangkan usul ini untuk faedah Jerantut dan negara.

Malaysia adalah sebuah negara industri ingin mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 maka pembinaan loji janakuasa nuklear perlu bagi menjana punca baru tenaga bagi menyokong perkembangan pesat industrialisasi negara untuk bersaing dengan lebih kompetitif dengan negara-negara maju.

Bila penghasilan tenaga berubah dari hidrokarbon seperti minyak, gas, dan arang batu yang kurang bersih kepada tenaga nuklear yang lebih bersih, mesra alam, efisien dan kos efektif maka sumber tenaga nuklear perlu dipertimbangkan pada masa depan bila negara akan menghadapi krisis tenaga menjelang 2019 menurut jangkaan Petronas.

Menurut Laporan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengenal pasti Pahang terutamanya Lembah Tembeling amat sesuai dijadikan tapak cadangan loji janakuasa nuklear kerana lokasi kawasan terpencil dan dekat dengan sumber air mengikut peraturan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air , Datuk Seri Peter Chin telah mengumumkan cadangan membina logi janakuasa nuklear telah diluluskan dan loji akan beroperasi dari tahun 2021 dengan cadangan untuk menggunakannya sebagai sumber tenaga alternatif menjelang 2025.

Empangan Hidro Bakun dengan keupayaan kapasiti 2400MW dibina untuk memenuhi permintaan tenaga yang makin meningkat dari kedua-dua Semenanjung dan Malaysia Timur. Perancangan untuk membekalkan tenaga dari Bakun ke Semenanjung melalui kabel dasar laut dibatalkan kerana Kerajaan Sarawak membuat keputusan mahu mengguna tenaga Bakun sepenuhnya bagi industri melebur aluminium dan keperluan tenaga bagi Sarawak dan Sabah. Lagi pun projek menyalurkan tenaga elektrik melalui kabel dasar laut sepanjang 1400 km itu belum dilaksana di dunia. Kosnya yang besar melebihi RM2 bilion boleh diguna membina berapa empangan hidroelektrik lagi.

Terputus bekalan tenaga dari Bakun, Semenanjung Malaysia akan menghadapi cabaran krisis tenaga akan datang. Malaysia terlalu bergantung kepada sumber tenaga yang dihasilkan dari gas dan arangbatu. Dengan kekurangan bekalan gas yang makin meyusut dan kenaikkan harga arang batu, kerajaan menjangka rizab margin 40% bagi Semenanjung akan jatuh kepada 0% pada tahun 2017 jika pengeluar IPP tidak disambung kontrak. Buat masa ini penggunaan elektrik di Malaysia ialah 14000MW sementara kapasiti maksimun negara ialah 23,000MW.

Kita lihat, di Jepun terdapat 55 buah loji janakuasa nuklear yang boleh menyalurkan 49,467MW kepada keperluan domestiknya. Kejayaan Jepun dan China telah mempengaruhi negara-negara dirantau Asia memiliki sumber nuklear seperti China (40 loji), Korea Selatan (18 loji), Taiwan (8 loji) dan Korea Utara (6 loji)

Baru-baru ini kerajaan Turki telah menandatangani perjanjian bernilai US20 bilion (RM80 bilion) dengan Rusia untuk membina 4 buah reaktor nuklear. Disamping itu negara-negara rantau Asean telah mengumumkan hasrat mereka untuk membina logi janakuasa nuklear. Thailand umum pada tahun 2021, Vietnam umum pada tahun 2018 dan Indonesia telah umum pada tahun 2016.

Kita boleh lihat perlumbaan pembinaan logi janakuasa nuklear di rantau Asean telah bermula. jika kita ketinggalan, kita tidak dapat menguasai teknologi nuklear seperti negara Islam Pakistan dan mungkin Iran. China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Korea Utara dan India telah menguasai. Sekarang Thailand, Vietnam, Indonesia sudah mengorak langkah..., Malaysia pun mesti bergerak sekarang!

Maka WZWH mencadangkan kepada kerajaan supaya membina loji janakuasa nuklear di Lembah Tembeling, Jerantut Pahang.

Jika kerajaan dibawah kepimpinan YAB PM Dato' Seri Najib bin Tun Razak ingin melaksanakan projek logi janakuasa nuklear keupayaan kapasiti 1000MW untuk menjana punca baru tenaga elektrik bagi menyokong perkembangan pesat industrialisasi negara untuk bersaing dengan lebih kompetitif, kos pembinaannya dianggar RM9 bilion. Projek ini memberi peluang pekerjaan kepada 4000 pekerja profesional, separa profesional, mahir, dan buruh.

Soalnya lebih murah untuk negara buat sekarang daripada menangguhkannya ke suatu masa depan . Projek pembinaan logi janakuasa nuklear memberi pulangan kepada negara dari segi jangka panjang dan sememangnya memberi impak besar kepada ekonomi Jerantut.

Kita mohon YAB PM Dato' Seri Najib membina dengan segera projek logi janakuasa nuklear di Lembah Tembeling yang bakal dikenal pasti tapak cadangan pada tahun tahun 2012 dan pembinaan logi janakuasa nuklear bermula pada tahun 2015.

Kita orang Jerantut, jangan risau kerana kita akan guna teknologi nuklear generasi ke tiga yang lebih selamat, mesra alam dan tahan lama. Kebimbangan orang ramai ialah jika berlaku kebocoran radioaktif nuklear,terdedah kepada pancaran gamma dan loji nuklear meletup. Kita akan pastikan kes Chernobyl tidak akan berulang. Itu kesilapan "human error" bila berlaku perubahan kerajaan di Rusia-Kesatuan Soviet Union dulu.

Kita akan guna kepakaran teknologi tercanggih Perancis, Rusia dan pelajari amalan teknologi China, Jepun dan Korea Selatan serta gabungan teknologi. Perpindahan teknologi boleh membantu kepakaran nuklear tempatan terutama pekerja profesional Bumiputera.

Kita akan pastikan aspek keselamatan dan persekitaran daripada impak projek diutamakan. Juga kaedah pembuangan sisa bahan radioaktif tinggi mengikut sistem dan peraturan-peraturan piawai antarabangsa.

WZWH telah menjelaskan dengan panjang lebar mengapa rakyat Jerantut perlu menyokong usul pembinaan logi janakuasa nuklear di Lembah Tembeling. WZWH harap orang Jerantut faham betapa negara perlu kepada tenaga dari sumber baru yang lebih bersih, selamat dan jimat kos dari segi jangka panjang dan kesan impak besar kepada ekonomi Jerantut.

YAB PM Najib menunggu respon dari anda semua rakyat Jerantut...

Wednesday, June 2, 2010

Wanita Lambang Pengenalan Jerantut dan Pahang

Sejarah Pahang memperlihatkan bagaimana wanita menjadi lambang pengenalan Pahang. Barangkali Pahang dilihat sebagai lambang kewanitaan yang selalu menjadi idaman dan perhatian orang luar. Imej kewanitaan yang melahirkan keghairahan pihak yang lebih kuat menggunakan apa saja helah dan cara bagi mencapai apa yang diidamkan...

WZWH bicara sejarah pemerintahan Empayar Pahang yang berhubungkait dengan pengaruh wanita-wanita terhebat yang mencetuskan konflik dan peperangan. Ianya adalah "politik cinta" yang melarat kepada politik menguasai sang pemerintah.

Pernahkah anda mendengar nama-nama wanita klasik berpengaruh ini seperti Puteri Onang Kio, Puteri Wanang Seri, Tun Teja Ratna Benggala dan Puteri Kamaliah? Maka WZWH pun bercerita...

Puteri Onang Kio adalah puteri Raja Chulan Pemerintah Siam kerajaan Kota Gelanggi yang juga di panggil Klang Kio atau Ganggayu ertinya perbendaharaan permata. Kota Gelanggi terletak di Jerantut. Semasa Kota Gelanggi dilanggar oleh Raja Suran (Raja Rajendra Chola 1 dari selatan India) pada tahun 1025, Raja Chola terpegun dengan kecantikan Puteri Onang Kio lalu diperisterikannya.

Semasa Pahang di bawah pemerintahan Siam yang berpusat di Tembeling (Ligor), Gabenor Siam bernama Maharaja Dewa Sura pada tahun 1454 telah diserang oleh Sultan Mansur Shah iaitu Sultan Melaka dan Puteri Wanang Seri anakanda Maharaja Dewa Sura telah dibawa ke Melaka dan diperisterikan oleh Sultan Mansur Shah.

Tun Teja Ratna Benggala puteri Bendahara Seri Amar Bangsa Diraja Pahang yang kecantikannya diperkatakan oleh pedagang-pedagang yang berdagang di Pahang telah dicolek dan diguna-guna oleh Hang tuah pada tahun 1490 untuk memuas kehendak Sultan Mahmud iaitu Sultan terakhir Melaka walaupun ketika itu Tun Teja Ratna Benggala adalah tunangan Sultan Abdul Ghaffur Shah iaitu Sultan Pahang.

Sewaktu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam iaitu Sultan Acheh menakluki Pahang pada tahun 1600. Baginda telah membawa pulang 10,000 orang Pahang ke Acheh termasuk seorang puteri Pahang yang bernama Puteri Kamaliah. Tertarik dengan kecantikan dan kebijaksanaan Puteri Kamaliah maka Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah memperisterikannya.

Puteri Kamaliah sangat mashor dan cerdas menasihat suaminya dalam pemerintahan. Rakyat Acheh memanggilnya Putroe Phang. Seperti kata pepatah Acheh:


Adat bak Poe Teumeureuhom
Hukom bak Syiah Kuala
Qanun bak Putroe Phang
Reusam bak Laksamana

Ertinya:

Adat pada Marhum Mahkota Alam
Hukum pada Syiah Kuala
Kanun pada Puteri Pahang
Resam pada Laksamana


Puteri Kamaliah selalu rindu pada negerinya Pahang. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah membina sebuah taman yang ada model banjaran gunung dipanggil Gunongan dan Putroe Phang suka dengan taman itu bermain-main dengan dayang-dayangnya memanjat Gunongan. Kalau anda pergi melawat Acheh, anda akan melihat taman itu masih ada dan dijaga rakyat Acheh. Taman itu dinamakan Taman Putroe Phang dan Gunongan.

Demikianlah kehebatan 4 orang puteri Pahang dari zaman berzaman. Mereka wanita jelita menawan, cantik paras rupawan, cerdik, pandai, bijaksana bikin hati Raja dan Sultan cair hati lalu sanggup menghunus senjata menakluki negara.

Tuesday, June 1, 2010

Jalan Ulu Tembeling- Mitos Atau Realiti

Sudah lebih 50 tahun, penduduk Ulu Tembeling memperkatakannya. Sudah ramai orang yang mengharapkannya sudah pergi tidak sempat melihat jalan ini. Yang tinggal anak cucu yang menunggu dan menanti...

Pertama,pada tahun 1976, satu peluang telah terhidang bila Syarikat Koperasi Ulu Tembeling telah ditubuhkan untuk menjayakan bukan saja projek jalan Ulu Tembeling tapi penempatan baru ala Felda dengan ladang-ladang,sekolah,dewan, masjid,bangunan kedai dan sebagainya dengan ASPA tapi oleh kerana penduduk Ulu Tembeling tidak bersatu, ada pemimpin-pemimpin yang anti pembangunan dan konservatif mengagalkan impian itu...

Kedua,sekali lagi Tuanku Sultan Ahmad Shah menanya orang Ulu Tembeling di depan jurutera-jurutera Rusia dan pihak yang berkenaan mahukah projek Empangan Hidroelektrik Tembeling dilaksanakan? Sekali lagi pemimpin konservatif mempengaruhi penduduk menentangnya. Jika penduduk Ulu Tembeling bersetuju maka perancangan Tun Razak mahu memajukan Ulu Tembeling, Pahang dan kepentingan negara akan terlaksana tapi tinggal impian...

Ketiga,peluang diberi Mahathir pada tahun 1982 untuk membangunkan Ulu Tembeling dengan menghidupkan semula projek Tun Razak, malang UMNO Bahagian Jerantut menentangnya... sudah tiada impian lagi...

Keempat, peluang keemasan bila Ahli Parlimen Dato' Wan Abu Bakar sebagai Timbalan Menteri Kewangan telah berjaya menyalurkan peruntukan membina jalan Ulu Tembeling sebanyak RM100 juta pada tahun 1990 ke Pahang tapi MB Pahang pula pandai-pandai mengalihkannya ke Tanjung Lumpur buat jambatan "atas nama keutamaan". Impian pecah berkecai...

Jika ditanya Perbendaharaan, atas kertas sebenarnya jalan Ulu Tembeling sudah ada! Buat apa hendak peruntukan buat jalan lagi. Ahli Parlimen selepas itu pening untuk menyelesaikannya.

Kelima, seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, bukan wakil rakyat sebelum Mac 2008 telah memikirkan bagaimana cara untuk "create" peruntukan khas hendak buat jalan Ulu Tembeling. Ianya bermula bila WZWH "menyalak" di persidangan mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Jerantut pada tahun 2006. "..kita Pemuda UMNO Jerantut perlu menyelesaikannya jika semua pihak gagal!"

"Allignment" jalan yang baru perlu direkabentuk tidak guna "allignment" lama.Itu cara hendak dapat peruntukan baru kalau tidak ianya akan bertindih dan mudahlah pihak Perbendaharaan menolaknya. Maka pertemuan Wan Amizan dengan YAB PM Pak Lah telah meluluskan projek Jalan Ulu Tembeling pada dasarnya maka kita patut berterimakasih dengan Pak Lah. Surat itu diberi kepada Wan Amizan maka dijajanya surat itu kepada penduduk Ulu Tembeling semasa PRU 12 lalu.

Kos hendak buat projek jalan Ulu Tembeling berjumlah RM460 juta dari Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling. Dipecahkankan kepada beberapa pakej. Pakej pertama dari Kampung Tuit ke Kampung Pagi berjumlah RM120 juta (telah dimuktamadkan oleh MOF), pakej kedua dari Kampung Pagi ke Kampung Kuala Sat, dan pakej ketiga dari Kampung Kuala Sat ke Kampung Mat Daling.

Mengikut RMK 10 projek jalan dari Kampung Mat Daling ke Kampung Pasir Raja( Terengganu) akan dilaksanakan dengan kosnya melebihi RM400 juta sepanjang 55 km. Tapi WZWH tidak mahu bincang hal ini nanti orang Ulu Tembeling cakap," wok, omm jangan pungkor!" Ye lah jalan belum sampai ke kampung Mat Daling macamana orang Ulu Tembeling hendak percaya.

Pakej pertama jalan Ulu Tembeling dari Kampung Tuit ke Kampung Pagi telah secara rasmi bermula pada 1 April 2010. Kontrak diberi kepada sebuah syarikat pembinaan kelas A Jerantut. Pelaksanaan projek mengambil masa 28 bulan iaitu sebelum PRU 13 jika berlaku pada pertengahan 2012 atau 2013 dijangka siaplah jalan itu.

YB Dato' Wan Amizan berjanji jika jalan Ulu Tembeling tidak dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya sampai ke Kampung Pagi, beliau tidak akan bertanding lagi dalam PRU 13 nanti kerana beliau tidak sanggup lagi "beri janji dan harapan palsu" kepada penduduk Ulu Tembeling dan tiada siapa ahli UMNO mahu bertanding di DUN Tahan kerana sudah tentu rakyat akan bangkit menolak UMNO yang menipu mereka selama ini.

Persoalannya adakah projek jalan Ulu Tembeling ini MITOS atau REALITI ? Ianya adalah realiti sebenarnya.

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...