Alkisah di negeri Inderapura tersebut kisah seorang pemilik seekor rusa dari luar negara, mungkin dari Afrika, sangat mahal harganya RM40,000.
Pemilik rusa itu membeli rusa buat diletak di dusun beliau yang luas. Ada pun banyak juga binatang lain yang sespesis Afrika ada dibela.
Rusa Afrika ini sangat cantik dan sihat. Suatu hari rusa ini terlepas dari kandang dan berkeliaran ke hutan. Sangat sukalah rusa Afrika ini meninjau hutan Gambang mana tahu dapat dia berjumpa rusa tempatan. Kalau suka sama suka boleh memadu cinta.
Sementelahan hormon seks labido rusa Afrika ini semakin meningkat tidak tertahan oleh dia. Sepatutnya pemilik dia membeli seekor rusa sekaumnya buat pasangan.
Di hutan Gambang itu ada perkampungan Orang Asli. Kadang-kadang memindah antara Gambang dan Sungai Lembing. Berjumpalah Tok Batin dengan rusa Afrika itu. Sangat sukalah keluarga Batin kerana mendapat rezeki daging rusa exotik.
Akan si pemilik rusa Afrika tadi telah menghebah kepada orang ramai sekitar bahawasanya barangsiapa yang mendapat rusanya akan diberi saguhati sebanyak RM1000.
Maka hebohlah iklan dan tawaran itu ke seluruh bandar Gambang. Bila diberitahu kepada Tok Batin maka sangat gembira Tok Batin kerana rusa Afrika itu ada di tangannya.
Berjumpalah Tok Batin itu kepada pemilik rusa Afrika itu. Malangnya pemilik rusa Afrika itu hanya memberi Tok Batin hanya sebanyak RM200 bukan RM1000. Sangat kecewalah Tok Batin itu bersama keluarga beliau.
Selang beberapa minggu, terlepas lagi rusa Afrika itu ke hutan Gambang. Dengan takdir Allah SWT terjumpa lagi Tok Batin dengan rusa Afrika yang malang itu.
Oleh kerana sakit hati dan tidak tepat janji maka Tok Batin memanggil semua keluarga baik yang di Gambang dan Sungai Lembing untuk memanggang rusa Afrika itu dibuat kenduri.
Si pemilik rusa Afrika itu sudah terlambat kerana RM1000 beliau telah rugi RM40,000.
Demikianlah cerita janji pemilik rusa Afrika dan Orang Asli Gambang adanya.
Janji Ditepati....
No comments:
Post a Comment