Ada pun diceriterakan kepada WZWH oleh si polan bin si polan yang rapat dengan istana berkenaan hikayat dua orang penoreh getah berbangsa Cina dari Bentong mengadap Raja meminta kekayaan yang berbeza.
Oleh kerana ceritera hikayat ini berlatarbelakangkan tahun 1960an maka sukalah WZWH menulis posting secara prosa klasik.
Tersebut kisah dua orang penoreh getah Cina dari Bentong yang hidup susah. Mereka memikirkan nasib mereka bagaimana mahu mengubah kehidupan menjadi kaya. Puas sudah mereka sembahyang di Tokong berdoa kepada dewa-dewa mahu kaya.
Berkatalah seorang penoreh getah Cina itu kepada sahabatnya,"gua fikir kalau mahu kaya kita semua mesti minta tolong sama Raja".
Jawab sahabatnya ,"lu mahu apa bikin mahu jumpa Raja?".
"Gua mahu minta balak 5000 ekar ini kawasan Bentong ada banyak kayu baik punya". Kemudian menambah,"kalau lu mahu ikut gua itu apa orang Melayu cakap-mengadap, lebih baik lu pun minta apa lu mahu sama Raja. Ini Raja manyak ong...ada laulat (daulat)".
Sahabat beliau termenung memikirkan apa mahu minta kepada Raja sambil melihat Gunung Genting yang sayup mata memandang....
Lalu berkata,"gua tak tahu apa mahu minta....nanti gua fikir!
Maka berusahalah kedua orang penoreh getah Cina dari Bentong macamana mahu mengadap Raja.
Dengan bantuan sipolan orang dalam istana dan waris kerabat juga maka mengadaplah dua orang penoreh getah Cina.
"Apa dua orang Cina ini mahu wahai sipolan" titah Raja.
"Ampun Tuanku, patik bawa dua orang Cina. Seorang mahu kawasan balak 5000 ekar manakala seorang lagi hanya mahu puncak Gunung Genting, Tuanku"
Maka Raja pun berkenan bersetuju mengurnia dan minta MB luluskan.
Ada pun setelah selesai mengadap, penoreh getah Cina yang meminta balak 5000 ekar itu berkata kepada sahabatnya,"lu gila manyak bodoh minta sama Raja itu puncak Gunung Genting, apa hat lu mahu bikin?
Sahabatnya tidak menjawab hanya tersenyum...
Si penoreh getah Cina yang meminta balak 5000 ekar itu segera menjual balak-balak hutan dara dan menjadi orang terkaya di Bentong.
Selepas berapa purnama mahu pun tahun sahabatnya itu membina beberapa bangunan di atas puncak Gunung Genting dan berjaya pula mendapat lesen kasino dari Menteri Kewangan yang berbangsa Cina dan sokongan dari Perdana Menteri yang minat budaya berjudi dari main mahjong sampai lumba kuda.
Hal kasino ini mungkin memberi kelainan kepada Perdana Menteri ditambah dengan visi sahabat penoreh getah berpandangan jauh.
Si penoreh getah Cina yang menjual balak itu tadi membeli pula motokar baru buat berulang alik naik dan turun Gunung Genting bermain judi di Kasino Gunung Genting.
Ada pun oleh kerana sangat kesukaan dan banyak wang terlalulah asyik si penoreh getah Cina penjual balak ini berjudi hingga habis segala wang kekayaannya hingga menjadi papa!
Akhirnya si penoreh getah yang kaya kerana jual balak ini sudah menjadi sangat miskin lalu suka mundar mandir berjalan kaki dan kuat termenung.
Sehinggalah pada suatu hari sahabat penoreh getah Cina ini yang minta puncak Gunung Genting memanggil beliau.
Maka datanglah si penoreh Cina yang jatuh papa ini berjumpa dengan sahabatnya yang semakin kaya dan berjaya.
Dilihatnya ada banyak timbunan wang didepannya. "Ini duit apa wahai sahabatku?"
Maka dijawab oleh penoreh getah Cina yang kaya kerana memajukan Gunung Genting kepadanya,"ini lah semua wang kekayaan yang lu bikin habis main judi di tempat gua!"
"Sikalang gua mahu tanya lu siapa yang yang gila? Gua atau lu?"
Menanggislah si penoreh Cina penjual balak yang sudah papa tapi mendapat kembali kekayaannya diberi semula oleh sahabatnya si penoreh getah Cina dari Bentong yang sangat kaya kerana memajukan Gunung Genting.
Demikianlah ceritera hikayat dua orang penoreh getah Cina Bentong mengadap Raja meminta kekayaan yang berbeza.
3 comments:
Aku pun nak pergi mengadap tuanku jugalah...nak mintak jadi anak angkat dia...best
Semua ahli politik Pahang mengadap Tuanku minta sambung nyawa politik he he he...
1) sambung tanding sepenggal lagi
2) sambung jadi EXCO lagi
3) sambung jadi MB lagi....
Yang kaya orang cina dan orang politik...KERABAT???masih ditakuk tu..keistimewaan mereka juga dapat..
Post a Comment