Thursday, May 8, 2014

Hari ini Selepas 40 tahun WZWH Mengenang Almarhum Sultan Abu Bakar



Sempena 40 tahun pemerintahan KDYMM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, selepas kemangkatan Paduka Ayahanda pada hari ini, 40 tahun lepas. Tuanku Sultan menyiram air ke makam Paduka Ayahanda.


Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah (1907-1974) memerintah negeri Pahang selama 42 tahun. Ini gambar sekitar tahun 1932 ketika Baginda berumur 28 tahun.

Anak-anak Pahang yang bawah berumur 50 tahun mungkin tidak mengenali legasi Almarhum Sultan Abu Bakar seorang Sultan berjiwa rakyat dikasihi rakyat Pahang.

WZWH berumur 6 tahun ketika Almarhum mangkat pada tahun 1974 memerintah negeri Pahang selama 42 tahun. Tapi WZWH masih mempunyai memori untuk mengenang Almarhum Sultan Abu Bakar.

Arwah datuk Wan Mohd Hashim yang rapat dengan Almarhum selalu menceritakan kepada WZWH tentang Almarhum Sultan Abu Bakar.



Gambar di atas ialah pemandangan Kampung Bantal di Ulu Tembeling. Kampung ini merupakan "city centre" pusat kepada lima kampung yang besar di Ulu Tembeling iaitu Kampung Gusai, Kampung Mat Daling, Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi.

Kampung Bantal merupakan pusat pentadbiran Ulu Tembeling. Perhatikan ada sebuah bangunan macam kotak di atas bukit. Ini ialah sebenarnya Istana Sri Tembeling. Tentu anda tentu tertanya-tanya kenapa di tempat pedalaman ini ada bangunan yang dipanggil istana? Rakyat Pahang hanya tahu istana hanya ada di Pekan bandar Diraja dan Kuantan ibu negeri Pahang.

WZWH hanya mahu menyatakan bahawa Istana Sri Tembeling itu hanya testimoni dan simbolik bahawa ada sejarah Pahang dan Keluarga Diraja Pahang di Ulu Tembeling. Walaupun struktur bangunan Istana Sri Tembeling tidak seberapa kosnya dan tidak mewah namun itu cukup bermakna mengingatkan nilai politik tradisional dan warisan.

Sememangnya Istana Sri Tembeling yang dibina pada awal tahun 1970an atas titah Almarhum Sultan Abu Bakar adalah simple dan ringkas namun pengertiannya besar dan sungguh bermakna kepada penduduk Ulu Tembeling dan Jerantut. Istana Sri Tembeling masih digunakan oleh Sultan Pahang dan Kerabat Diraja hingga kini.

WZWH masih ingat ketika WZWH masih kecil pada awal tahun 1970an di Istana Sri Tembeling inilah tempat berbagai-bagai majlis diadakan. Dekat dengan Istana Sri Tembeling ini ada pentas istana di tepi empangan kecil. Masih terbayang-bayang wajah Almarhum Sultan Abu Bakar seorang Sultan yang sangat dikasihi oleh rakyat Pahang dekat dengan rakyat pedalaman baginda.

Tuanku Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah sejak 40 tahun dulu sering beradu di Istana Sri Tembeling ketika Tuanku melawat Ulu Tembeling. Tapi bila Tuanku menggunakan helikopter tidak menggunakan bot lagi sebagai pengangkutan ke Ulu Tembeling maka Istana Sri Tembeling menjadi sepi.




Ini foto 'loving couple' Tuanku Sultan Pahang dan Sultanah melawat rakyat Ulu Tembeling dulu-dulu...dengan mengunakan perahu panjang berkajang berenjin motor sangkut mudik Sungai Tembeling.

Kini Tuanku Sultan suka naik helikopter bila berangkat ke Ulu Tembeling. Masa sudah berubah, teknologi memberi lebih kemudahan...

83 tahun dulu Almarhum Sultan Abu Bakar mengunakan perahu yang lebih besar siap ada tempat memasak bila mahu melawat rakyat sepanjang Sungai Pahang dan Sungai Tembeling.

Ketika itu tiada teknologi enjin motor sangkut, air Sungai Pahang dan Sungai Tembeling masih dalam lagi.

Dari memoir Dato' Sir Mahmud bin Mat, "Tinggal Kenangan" ada menceritakan sewaktu bertugas di Kuala Lipis sebagai ADO menggunakan perahu galah mengambil masa 5-6 hari dari Kuala Lipis ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling pada tahun 1924!

Sehingga 1940an penduduk Ulu Tembeling masih bergalah perahu atau rakit hilir mudik Sungai Tembeling bagi keperluan ekonomi mereka.

Bayangkan kesukaran dan kesusahan menempuh air deras dan terpaksa menempuh berpuluh-puluh jeram. Itulah kehidupan dan perjuangan orang Ulu Tembeling.



Tengku Mahkota Pahang berangkat bersiram di Sungai Tembeling diiringi YB Dato' Wan Amizan ADUN Tahan di Istana Sri Tembeling.

KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah sering juga melawat Ulu Tembeling dan beradu di Istana Sri Tembeling sejak dari zaman muda hinggalah sekarang. Pada tahun 2009, Tengku Mahkota beradu 3 hari 2 malam di Istana Sri Tembeling. WZWH berasa kagum dengan semangat cinta kepada kampung pedalaman dan kesungguhan Tengku Mahkota mendekati rakyat Ulu Tembeling.

Tengku Mahkota mempunyai banyak idea bagimana mahu mengindahkan kampung-kampung Ulu Tembeling. Tengku Mahkota mahu kekalkan dan "preserve" struktur Istana Sri Tembeling kerana istana ini adalah dari ilham dan titah nenda Almarhum Sultan Abu Bakar.

Istana Sri Tembeling mengingatkan WZWH kepada tradisi politik tradisional Pahang. Walaupun dari mana anda belajar tidak kira dari UK, Amerika, Australia, Timur Tengah dll bila terpandang Istana Sri Tembeling maka semangat tradisional asal usul adat resam budaya Pahang termasuk sistem politiknya meresap dalam jiwa kerana itulah jati diri anak warisan Pahang.




Lawatan Almarhum Sultan Abu Bakar ke sekolah Kg Bantal Ulu Tembeling pada tahun 1960an. Perhatikan keadaan sekolah yang sangat dhaif. Almarhum mahu sekolah Ulu Tembeling dibina dengan lebih baik.

Almarhum mahu semua anak-anak Ulu Tembeling mendapat pelajaran yang setaraf dengan di bandar. Cita-cita Almarhum mahu anak-anak Ulu Tembeling belajar hingga ke universiti menjadi orang yang berguna kepada Pahang dan negara.

Almarhum Sultan Abu Bakar telah mengusulkan dalam Mesyuarat Durbar pada tahun 1937 kepada kerajaan British supaya menghantar anak-anak muda Melayu belajar ke luar negara supaya bila tamat belajar boleh berkhidmat kepada negara.




Gambar lama Kg Bantal Ulu Tembeling pada awal tahun 1960an. Perhatikan banyak perahu bot dan ramai orang di padang. Ini ialah ketika lawatan Almarhum Sultan Abu Bakar.




Pesta menuba ikan di Sungai Tembeling bersama Almarhum Sultan Abu Bakar. Dulu orang tua-tua menuba ikan guna akar-akar kayu hutan secara natural bukan bom! Ini gambar di Sungai Tembeling pada tahun 1960an.

4 comments:

Che Gu Ngah said...

Salam Saudara WZWH.
Izinkan saya memberi sedikit pendapat berhubung gambar pertama Almarhum Sultan Abu Bakar yg telah disiarkan itu. Menurut WZWH gambar itu diambil sekitar tahun 1932 ketika baginda berusia 28 tahun. Pada pendapat saya gambar ini diambil pada tahun 1960an kerana dalam gambari itu jelas Almarhum memakai selepang dan kalung Darjah Seri Utama Mahkota Negara (DMN). Darjah ini hanya dizahirkan selepas negara kita merdeka, atas idea Almarhum Tunku Abd Rahman dan biasanya dikurniakan kepada Raja-raja, Ketua Negara asing dan orang2 yg amat ternama. Terima kasih.

Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Gambar itu telah didigitalkan dan dicolour sumber Arkib Negara diambil tahun 1932.

Anonymous said...

orang tembeling boleh percaya ke
' rapat '

Anonymous said...

https://en.wikipedia.org/wiki/Order_of_the_Crown_of_the_Realm

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...