Thursday, February 27, 2014

Siapa Bunuh Harimau Jadian Yang Telah Mengorbankan 31 Mangsa Di Lembah Tembeling?




Hugh Clifford telah menulis tentang harimau jadian @ weretiger yang telah membunuh 31 mangsa di Lembah Tembeling pada tahun 1862 dalam sebuah buku bertajuk "In Court and Kampong" yang dicetak pada 1897. 

Cerita weretiger dari Malaya yang dipopularkan oleh Hugh Clifford ini membuatkan orang Eropah kagum kerana werewolf (serigala jadian) adalah kepercayaan mistik mereka. Sudah tentu bila bertemu face off antara werewolf dengan weretiger pasti weretiger akan menang kerana kekuatan yang lebih.

Dalam posting WZWH yang lepas sila klik sini, WZWH mengisahkan kejadian benar di mana harimau jadian telah membunuh 8 orang sekeluarga di dalam rumah pada waktu malam yang ngeri di Kg Ranggul Tembeling.

Hugh Clifford dan WZWH tidak menceritakan apa yang berlaku kepada harimau jadian itu yang telah lari ke hutan. Orang kampung sudah menjangka harimau jadian itu adalah orang asli iatu seorang Sakai.

Siapa yang bunuh harimau jadian yang telah mengorbankan 31 mangsa di Lembah Tembeling?

Kejadian ini sungguh menakutkan penduduk Lembah Tembeling dan perbuatan ini sungguh mencabar kewibawaan Engku Khatib Pemerintah Tembeling orang yang bertanggungjawab mengislamkan orang Ulu Tembeling dengan syariat yang sempurna sila klik sini.

Engku Khatib ( Wan Endut) bin Tun Abdullah bin Tun Da ( Tun Pedah Yusuf ) ibni Bendahara Tun Abdul Majid Raja Bendahara Pahang (1720-1802).

Engku Khatib lagi marah bila Wan Esah anak perempuan kesayangan mati dibaham harimau tersebut.

Berita harimau jadian yang telah membunuh 31 mangsa ini juga telah sampai kepada menantu anak sedara Engku Khatib iaitu Wan Ismail bin Tun Salleh.

Wan Ismail ialah tokoh  ditugaskan oleh Engku Khatib dan Orang Kaya Maharaja Perba Jelai pergi ke Dungun mengambil Wan Ahmad (Sultan Pahang petama) untuk dibawa ke Pahang untuk diangkat menjadi Raja Bendahara Pahang sila klik sini.

Wan Ismail bin Tun Saleh bin Tun Khamis bin Tun Muhammad....adalah dari seorang pembesar dari keturunan Sultan Zainal Abidin 1 Terengganu membawa diri ke Pahang kerana diburu ekoran konflik politik yang berlaku di Terengganu akibat perebutan kawasan.

Wan Ismail dan pengikutnya berkampung di Janing sebuah kampung besar di ulu Sungai Tembeling paling ulu. Dikatakan ramai penempatan pada masa itu. 

Pada masa itu dikatakan ada cerita kisah seorang raja Sakai (orang liar) yang bermata merah dan pengikutnya suka tinggal di pokok dan kerja sakai ini suka menyerang orang Melayu yang berhubung antara Terengganu dan Pahang.

Raja Sakai ini gagah dan suka mengamalkan kanibal makan daging orang Melayu. Ramai orang Melayu terutama pedagang dibunuh. Maka cerita ini sampai ke Wan Ismail.

Wan Ismail seorang yang berbadan tinggi mencabar Raja Sakai ini bertarung. Maka berlakulah pertempuran yang hebat antara Raja Sakai bermata merah lagi kanibal dengan Wan Ismail. Akhirnya kalah dan tewas Raja Sakai. 

Semua pengikut Raja Sakai berbaiah dengan Wan Ismail akan tunduk taat setia dengan Wan Ismail dan keturunannya. Maka semua Sakai-Sakai Ulu Tembeling tunduk kepada Wan Ismail dan keturunannya hingga kini.

Wan Ismail bersama pengikutnya akhirnya menetap di Pulau Besar Ulu Tembeling. Beliau telah berkahwin dengan Wan Leper binti Wan Long bin Tun Abdullah bin Tun Da ibni Bendahara Tun Abdul Majid. Keluarga Tun Da ramai menetap di Lembah Tembeling.

Berbalik kepada harimau jadian yang berasal dari orang Sakai. Wan Ismail berasa sangat marah kerana mengikut baiah semua pengikut Raja Sakai akan tunduk taat setia kepada Wan Ismail dan keturunannya tapi ternyata harimau jadian telah derhaka dan melakukan banyak dosa kerana telah mengorbankan orang kampung dan telah membunuh sedara mara Wan Ismail.

Harimau jadian itu sebenarnya dapat di bunuh di Kampung Bantal. Wan Ismail telah merancang menangkap harimau tersebut bersama orang kampung.

Orang kampung duduk tidak tenteram sebab menjelang malam mereka terpaksa menutup setiap lubang lantai dengan perca kain untuk mengelakkan harimau jadian mengintai dari bawah rumah.

Pada suatu malam Wan Ismail menambat kambing pada tiang sangkar perangkap harimau. Kepala kambing tersebut dihembus Wan Ismail dengan jampi serapahnya.

Keesokkan harinya orang kampung berduyun-duyun mahu melihat perangkap sangkar tersebut.

Mereka mendapati seorang lelaki keturunan Sakai duduk bertinggung. Matanya liar melihat sekeliling!

Orang kampung hendak merejam Sakai tersebut dengan lembing tetapi di halang Wan Ismail.

"Dia tak kan mati dengan rejaman lembing!" Wan Ismail mengarahkan orang kampung mengusung perangkap sangkar tersebut ke tebing sungai.

Sesampainya ke tebing sungai Wan Ismail memberikan paruh burung kelengkeng kepada Sakai tersebut.

"Gunalah paruh burung ini untuk melepaskan diri kamu, kalau bernasib baik lepas lah kamu. kalau gagal matilah kamu". Serentak dengan itu perangkap sangkar itu dihumbanlah orang kampung ke sungai Tembeling!!!

Gelembung udara membuak-buak timbul di permukaan air sebegitu lama. Lama sungguh Sakai tersebut bernafas dalam air sampailah senyap dan sepi.

Akhrnya matilah harimau jadian Sakai tersebut!

Sejak itu orang kampung di Lembah Tembeling tidak merasa risau dan bimbang lagi menyorok dan menyembunyikan diri di dalam rumah sendiri bila malam menjelang kerana takut menjadi mangsa harimau jadian.

Seratus tahun lepas itu timbul pula cerita harimau-harimau yang betul mengganas membunuh kerbau ternakan dan orang kampung. Di tahun 1960an dan 1970an kembali lagi kebimbangan itu.

Tapi kali ini cicit Wan Ismail iaitu Ketua Kampung @ Tok Empat Kg Chenih bernama Wan Ahmad bin Wan Hassan bin Wan Chik bin Wan Ismail telah menembak berpuluh-puluh ekor harimau belang yang mengacau dan menganggu ketenteraman kampung dengan menggunakan selaras senapang patah.

Tok Empat Wan Ahmad adalah datuk WZWH sebelah ayah. Semasa WZWH masih kecil pada awal tahun 1970an di Kg Bantal selalu WZWH melihat banyak harimau yang sudah mati ditembak oleh datuk dipapah dan digalas oleh orang kampung di bawah pokok besar dekat tebing sungai Tembeling untuk ditanam.


3 comments:

Anonymous said...

Patut la pupus.
Sepatutnya dipindahkan.
Tapi nak buat macam mana, sekolah tak ajar.

Unknown said...

Mana ada pupus..ko pegi zoo tengok..

Anonymous said...

zaman itu mana ada zoo ?

tahun 60an dan awal 70an belum ada WWF atau jabatan hidupan liar , belum ada kemudahan dan agensi berkaitan sebagaimana sekarang !

zaman itu harimau memang banyak baham orang kampung , zaman itu hanya ada dua pilihan iaitu membunuh atau mati dibunuh harimau ..

nak pilih yg mana ? nak tangkap serah pada siapa ?

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...