Sunday, April 13, 2014

Guna Media Sosial Terangkan Cukai GST



Kerajaan perlu memperhebatkan lagi penerangan tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada orang ramai terutama golongan muda negara melalui media sosial.

Masih ada golongan muda menganggap penguatkuasaan GST tidak memberi faedah kepada kerajaan secara keseluruhan.

Oleh itu blog WZWH cuba menerangkan cukai GST kepada pengundi parlimen Jerantut dan pembaca tetap blog WZWH.

Dilema rakyat Malaysia pada ketika ini mengenai sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST banyak dipengaruhi oleh kekurangan maklumat atau maklumat salah yang disalurkan untuk pemahaman mereka. 

Kebanyakan maklumat mengenai GST yang ada pada ketika ini pula terlalu bersifat teknikal serta sukar difahami oleh golongan rakyat terbanyak terutamanya masyarakat di luar bandar. 

Apabila GST semakin menjadi topik perbahasan harian rakyat, maka risiko jurang salah faham menjadi semakin membesar.

Secara umumnya pemahaman rakyat Malaysia mengenai cukai dan peranannya kepada negara masih lagi di tahap yang rendah. 

Kebanyakan masyarakat masih tidak menyedari bahawa pada masa sekarang mereka telah pun dikenakan cukai kepenggunaan di dalam perbelanjaan mereka iaitu dalam bentuk Cukai Jualan (5%, 10% atau kadar spesifik) dan Cukai Perkhidmatan (6% atau kadar spesifik). 

Elemen kedua-dua cukai ini telah pun diserap ke dalam harga jualan setiap barangan kecuali Cukai Perkhidmatan yang dikenakan di peringkat pengguna akhir seperti di kedai-kedai makanan, kawasan pakir kereta berdaftar dan yuran perkhidmatan professional. 

Apabila GST dilaksanakan pada kadar enam peratus pada 1 April 2015, kedua-dua Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan akan dimansuhkan serentak. 


Rasional pelaksanaan GST

Tujuan utama GST diperkenalkan di Malaysia adalah untuk menangani kelemahan yang terdapat di dalam sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada. 

Antaranya seperti ketirisan hasil kerajaan akibat daripada aktiviti penyeludupan, pemindahan harga serta manipulasi sumber yang sering berlaku di peringkat peniaga. 

Dengan erti kata lain, pada masa kini, terdapat peniaga yang memulangkan cukai kepada kerajaan kurang daripada jumlah yang mereka pungut dari pelanggan mereka. 

Kelemahan-kelemahan ini sukar di atasi oleh pihak berkuasa kerana terdapat ruang-ruang (loopholes) pada sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang mudah dimanfaatkan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. 

Masyarakat pengguna juga harus mengetahui bahawa GST tidak berperanan sebagai kos di dalam proses pengeluaran di mana-mana peringkat peniaga. 

Ini sama sekali berbeza dengan mana layanan perakaunan yang diberikan kepada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan pada ketika ini, di mana kedua-dua cukai lapuk ini merupakan kos yang mempengaruhi penetapan harga barang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga. 

Dengan pelaksanaan GST dan pemansuhan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan, peniaga tiada lagi alasan cukai sebagai beban yang menekan mereka untuk menaikkan harga. 

Jika sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan tetap dilaksanakan oleh kerajaan, maka pengguna akan terus menjadi mangsa dan terperangkap di dalam situasi cukai bertindih yang wujud di dalam harga barang dan perkhidmatan di pasaran.

Kebanyakan ahli-ahli ekonomi tidak menafikan bahawa GST boleh menyebabkan kadar inflasi negara akan meningkat secara one-off atau sekali sahaja pada masa awal pelaksanaannya. 

Jangkaan ini berdasarkan pengalaman negara-negara terdahulu yang melaksanakan GST (juga dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di kebanyakan negara lain) di mana berlakunya reaksi kejutan pasaran apabila peniaga akan menaikkan harga dan pengguna pula panik dengan perubahan harga. 

Walau bagaimanapun, kekeliruan dalam pasaran semasa tempoh awal pelaksanaan GST adalah bersifat sekali sahaja. 

Pasaran dijangka kembali selesa serta stabil apabila pengguna dan peniaga mula memahami mekanisme sebenar GST, manakala kerajaan pula melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengimbangi pasaran dengan sempurna.

Pihak-pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan GST perlu menerima hakikat bahawa GST adalah satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan. 

Kebanyakan ahli ekonomi bersependapat bahawa GST adalah kaedah penyelesaian sumber yang paling berkesan dan berdaya tahan terhadap situasi turun naik ekonomi global. 

Ekonomi pula digerakkan sendiri oleh masyarakat pengguna melalui permintaan dan masyarakat peniaga melalui penawaran. 

Dengan adanya GST, saluran serta kaedah komunikasi antara pengguna, peniaga dan kerajaan akan terdorong untuk menjadi lebih efektif, telus, efisyen dan mesra.

Dalam pada itu, pelaksanaan GST juga amat penting kepada kerajaan dalam usaha untuk memacu Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020. 

Untuk tujuan itu, Malaysia perlu berada dalam landasan ekonomi yang mampan dan berdaya saing di peringkat domestik dan global. 

GST adalah salah satu instrumen ekonomi yang akan merangsang sektor swasta untuk tumbuh aktif serta menggalakkan nilai perdagangan dan pelaburan langsung asing di samping mambawa aliran positif kepada pasaran modal insan. 

Untuk rekod, Kerajaan menjangkakan bahawa sasaran pendapatan perkapita rakyat Malaysia sebanyak AS$15,000 akan dapat dicapai sebelum 2020.


Inisiatif GST

Secara konsepnya, pelaksanaan GST dilihat sebagai memperluaskan skop asas cukai kepada rakyat. Menyedari hakikat itu, kerajaan telah membuat persediaan yang menyeluruh untuk mengimbangi kedudukan sosio-ekonomi masyarakat.

Antaranya, kerajaan telah mewujudkan tiga kategori Kadar GST mengikut tahap keperluan sesuatu barang atau perkhidmatan kepada rakyat. 

Barang-barang keperluan asas yang belum diproses seperti produk pertanian, bekalan ternakan dan bahan asas masakan termasuklah susu bayi, telah diletakkan pada kategori Kadar Sifar GST. 

Manakala barang atau perkhidmatan awam pula seperti harta tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan serta caj lebuhraya akan dikecualikan GST. 

Bagi barang dan perkhidmatan lain yang dikategorikan sebagai bukan keperluan asas, akan diletakkan di bawah kategori Kadar Standard.

Di dalam pembentangan Bajet 2014 yang lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan telah membuat pengumuman bahawa kerajaan bakal memberikan insentif-insentif khas kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana bagi menghadapi kesan rasionalisasi subsisdi dan pelaksanaan GST kelak. 

Antaranya ialah bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 kepada penerima isi rumah Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M serta penstrukturan dan pengurangan kadar satu hingga tiga peratus bagi cukai pendapatan individu. 

Kepada para peniaga pula, kerajaan telah mengalokasikan geran latihan GST dan perisian perakaunan masing-masing sebanyak RM100 juta dan RM150 juta, di samping potongan cukai tambahan untuk perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST serta pengurangan kadar Cukai Pendapatan Syarikat bagi tahun taksiran 2016. 

Kerajaan dijangka akan terus memberikan insentif-insentif tambahan secara berperingkat kepada rakyat di samping melanjutkan insentif-insentif sedia ada selepas pelaksanaan GST.

12 comments:

LKTP1436 said...

GST adalah satu sistem mengutip cukai secara lebih menyeluruh dari rakyat dng tujuan menambah hasil pendapatan negara, TETAPI
kerajaan yg memegang dana negara perlulah mengawal perbelanjan dng berhemah dan tdk membazir sepertimana yg di lakukan skrg.
Jika tdk, pengorbanan rakyat yg di bebankan dng GST menjadi sia2 sahaja.

Anonymous said...

Tahniah, GST patut dimulakan 3 tahun dulu lagi, cukai bagus untuk pendapatan negara.

Usin malaun said...

Bagus ke tak bagus tak tahu lg aku takut bagus utk pemimpin tp untuk rakyat sengsara.Kalau ikut sistem mungkin bagus tp cara pelaksanaan dan pencapaiannya dan keberhasilan entah kemana.Bukan apa aku tengok sekarang ni sistem pemerintahan BN amat teruk dan penuh dengan kurapsi.Kos Sara hidup Tinggi dan harga barangan mahal tp harga getah dengan kelapa sawit rendah.Nak suruh berjimat tp yang membazir kerajaan.

Anonymous said...

Cukai GST memang bagus untuk rakyat.Lagi tinggi kadar cukai GST lagi bagus. Mesia ketinggalan berbanding negara2 maju dlm issue GSTni. Tanpa GST mesia tak maju kehadapan. Rakyat yg menentang GST tak patriotik, tak bangga ngan Mesia. Lagi pulak ngan GST kerajaan boleh buat hospital, balai polis, sekolah, jambatan, balai bomba, jalan raya, keretapi, masjid dan lain2 lagi. Jangan lah tentang GST, ia baik punya.

Anonymous said...

GST sangat bagus untuk negara...sebab itu la makcik dan pakcik tak sabar untuk bayar cukai GST ni. Kami sokong GST.

Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Anon 7:56 mempunyai pemikiran advanced berpandangan jauh dan ke depan memikir kepentingan negara.

Anonymous said...

Saya Anon 7:56. Sabenarnya sayalah diantara makluk dimesia ni yg paling mangkuk.

Anonymous said...

Pembangkang tak study pun apa itu gst. Dia tau nak bangkang je. Apa cara semua nak bangkang. Dengki sangat dah lama nak memerintah tak kesampaian. Perjuangan berlandaskan dengki takkan ke mana.

Anonymous said...

Pembangkang semua mahu bangkang...sebab tu la Highway kat Kelantan sampai hari ni tak siap-siap...

usin malaun said...

kalau tiada pembangkang kalau yb suruh mkn tahi egkau org nak mkn tahi.Sebab pembangkang tak kuat tu yang jalan mcm muka dompok berlubang sana sini.kos sara hidup tinggi tapi harga getah dan kelapa sawit turun.Air sungai keruh disebabkan perlombongan bijih dan boleh memudaratkan rakyat jika diminum dan disahkan sendiri oleh Jabatan Alam Sekitar tapi tiada tindakan apa2.suruh rakyat berjimat tp org atasan membazir dengan perkara tidak berfaedah.pekara baik org tak bangkang tp kalau memudaratkan rakyat wajib kita bangkang.

Anonymous said...

manusia jenis usin ni mana ada nampak kebaikkan yg dibuat kerajaan sbb hati dah jadi hitam hasil tarbiah puak pr.biasanya allah panjangkan usia manusia jenis ni

usin malaun said...

masalanya yang buruk lebih banyak dari yang baik

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...