Wednesday, August 25, 2010

Sejarah Awal Politik Hitler


Selepas Perang Dunia I berakhir, Hitler telah ditempatkan di Munich, ibu negeri Bavaria. Pada ketika itu Bavaria berada dalam keadaan revolusi. Kurt Eisner, pemimpin parti Sosialis Bebas Independent Socialist Party, telah mengisytiharkan Bavaria sebagai sebuah republik sosialis. Akibatnya pada Mei, 1919 Tentera Jerman telah memasuki Munich dan menumpaskan kerajaan sosialis tersebut. Hitler sendiri telah ditahan kerana disyaki sebagai seorang berfahaman sosialis. Namun beliau dibebaskan setelah bersetuju untuk membantu mereka mengenal pasti tentera yang menyokong kerajaan revolusi pimpinan Kurt Eisner. Beliau kemudiannya, diberi tugasan yang baru iaitu sebagai perisik gerakan revolusi di Munich.

Pada September 1919, beliau diarahkan untuk menghadiri mesyuarat German Worker's Party (GWP). Pihak tentera bimbang parti baru ini yang diterajui Anton Drexler, cenderung ke arah revolusi komunis. Sewaktu menghadiri mesyuarat ini beliau bersetuju dengan misi parti ini iaitu kearah nasionalisme Jerman dan anti-Semitisme. Walaupun beliau hadir sebagai seorang perisik, beliau tidak dapat menahan dirinya daripada memberi ucapan yang berkobar-kobar. Drexler amat tertarik dengan karisma Hitler sewaktu berpidato dan kemudiannya menjemput beliau menyertai parti ini.

Sewaktu Hitler menyertai parti GWP, keahliannya amatlah sedikit iaitu hanya seramai 46 orang. Namun beliau tidak berputus asa dan menggunakannya keahliannya sebagai medan latihan untuk memperbaiki kemahiran berpidatonya. Lama kelamaan beliau telah digilap menjadi bintang yang bersinar dan kebolehannya untuk berpidato telah menarik ramai orang untuk menyertai parti tersebut. Hitler kemudiannya terus berkecimpung dalam arena politik. Antara lain beliau telah membawa masuk beberapa kawan tenteranya termasuk Kaptan Ernst Roehm. Kemasukan Roehm amat bermakna kepada parti yang baru ini, kerana dia mempunyai akses kepada tabung tentera dan wang ini telah disalurkan kepada parti tersebut. Hitler kemudiannya diberi tugas menguruskan jentera propaganda parti pekerja ini dan beliau kemudiannya menukar nama Parti Pekerja German kepada Nationalist Socialist German Workers Party (NSDAP) ataupun parti Nazi.

Pada Februari 1920, parti NSDAP telah mencetak programnya yang pertama dipanggil "25 Points" (25 perkara). Antara lain, program ini telah menolak syarat-syarat Perjanjian Versailles dan menyeru rakyat Jerman untuk bersatu. Program ini telah memperkukuhkan ideologi nasionalisme, dengan memberi hak saksama kepada rakyat Jerman sahaja dan bukannya orang luar atau orang asing. Pada 24 Februari 1920, sebuah perjumpaan besar-besaran telah diadakan untuk mengumum program ini kepada rakyat jelata dan ia dihadiri oleh seramai 2,000 orang. Hitler sedar kejayaan parti Nazi adalah atas daya usahanya sendiri dan Drexler terpaksa meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Hitler.

Pada awal penubuhannya, gerakan parti ini terbatas di Munich iaitu ibunegeri Bavaria. Pada 1923, ekonomi Jerman telah dilanda krisis apabila pekerja di Ruhr telah mengadakan mogok. Mogok ini berlaku kerana tentera Perancis telah menduduki wilayah tersebut setelah kerajaan Jerman gagal membayar pampasan perang mereka kepada Perancis. Pada 13 Ogos Canselor Jerman yang baru,Gustav Stresemann bersetuju untuk kembali membayar wang pampasan kepada Perancis dan ini mencetuskan kemarahan rakyat Jerman. Hitler menganggap peristiwa ini sebagai suatu kesempatan untuk menumbangkan kerajaan Bavaria dan juga kerajaan demokratik Jerman. Walaupun begitu, revolusinya yang dikenali sebagai "Beer Hall Putsch" telah digagalkan. Pemberontakan selama dua hari ini telah ditumpaskan oleh pihak berkuasa Munich dan beberapa ahli Nazi telah terbunuh. Hitler dan para penasihatnya telah disabitkan dengan kesalahan dan dipenjarakan atas tuduhan khianat. Pada waktu ini karier politik Hitler telah berakhir selama beberapa tahun.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024