Friday, August 13, 2010

Institusi Wazir (Menteri) Di Zaman Kerajaan Abbasiyah

Kerajaan Abbasiyah memerintah selama lima abad (749-1258). Ia telah menggantikan kerajaan Bani Umaiyyah melalui satu revolusi. Kerajaan Abbasiyah boleh dibahagi kepada tiga peringkat:

  1. Peringkat kelahiran dan pengukuhan.
  2. Peringkat kegemilangan.
  3. Peringkat kemunduran dan kejatuhan.

Kerajaan Abbasiyah boleh bertahan lama kerana mengamalkan institusi Wazir (Menteri).

Perkembangan Institusi Wazir pada Zaman Kerajaan Abbasiyah

  1. Kalimah wazir (menteri) membawa erti pembantu yang menjalankan urusan pentadbiran atau kuasa eksekutif bagi sesebuah negara telah dikenali dalam hampir semua tamadun manusia. Di zaman Rasullah s.a.w dan Khalifah Ar – Rashidin, walaupun pemakaian istilah wazir ( menteri) tidak dikenali secara rasmi, namun Baginda Rasullah s.a.w dan khalifah al-Rasyidin bermesyuarat dan memberikan tugas-tugas tertentu bersifat pentadbiran kepada kalangan sahabat-sahabatnya.
  2. Penggunaan wazir (menteri) dalam sistem pentadbiran Islam hanya pada zaman Khalifah Abbasiyah. Bahkan pada zaman Abbasiyah sendiri, pemakaian sistem wazir telah bermula sebelum kejayaan pemberontakan Abbasiyah yang terawal iailah Abu Salamah al – Khallal, diikuti oleh Khalid bin Barmak dan lain – lain. Ada pendapat yang mengatakan bahawa pemakaian sistem wazir dalam pemerintahan Abbasiyah sebagai membuktikan pengaruh Parsi yang besar dalam kejadian itu. Ini disebabkan oleh kalangan bangsa Parsi yang telah menjadi pendorong terkuat dalam pemberontakan Abbasiyah dan pembinaan kerajaan dan pembangunannya.
  • Setelah pemberontakan Abbasiyah berjaya menamatkan kerajaan Islam pimpinan bani Umaiyyah dan berjaya mendirikan kerajaan, ciri pentadbirannya banyak dipengaruhi oleh sistem Parsi kerana bangsa itu menjadi pendokong terkuat kerajaan Abbasiyah sebagai tindak balas terhadap Umaiyyah yang mengutamakan orang-orang Arab dalam pemerintahannya.
  • Pemerintah Abbasiyah yang beribu kota di Baghdad mentauliahkan seorang yang baik, berpengalaman dan terlatih bagi menjalankan urusan pentadbiran atau diberi kuasa eksekutif bagi pihak khalifah. Wazir (menteri) yang diberikan kuasa ini bertanggungjawab bagi semua urusan negara.
  • Jawatan wazir atau menteri yang dilantik ini sama ada bertaraf Wazir Tafwidh atau Wazir Tanfiz. Apa yang dimaksudkan dengan wazir Tafwidh ialah seorang wazir yang diberikan kuasa yang tidak terbatas hingga ia bertanggungjawab dalam menentukan dasar dan melaksanakan pentadbiran. Wazir Tafwidh selalunya seorang sahaja. Manakala Wazir Tanfiz pula diberikan kuasa yang terbatas dalam aspek perlaksanaan dan dalam banyak hal ia dikehendaki merujuk kepada khalifah yang bertindak sebagai penggubal dasar pemerintahan negara. Bagi Wazir Tanfiz jumlah yang dibenarkan agak ramai seolah-olah bertaraf kementerian di bawah pimpinan khalifah. Dengan kedudukan wazir Tanfiz ini seolah-oleah mereka ini adalah pengantara antara rakyaat dengan khalifah.
  • Sebagai contoh yang dijelaskan oleh Al-Iman al-Mawar di dalam kitabnya Ahkam al Sultaniah bahawa Wazir Tafwidh berhak menjalankan tindakan berikut secara bebas tanpa merujuk kepada khalifah. Antaranya:

Menentukan urusan berkaitan peperangan dan mengendalikan kes-kes al Mazlim ( aduan ).

Hak-hak mentauliahkan dan melantik pegawai-pegawai tinggi dalam kerajaan.

Mengendalikan dan bertanggungjawab dalam kewangan negara.

Mengurus dan bertanggungjawab dalam urusan ketenteraan.

  • Dalam bidang seperti di atas kuasa bagi Wazir Tanfiz adalah terbatas dan dikehendaki merujuk kepada khalifah sebagai penentu dasar.
  • Berdasarkan kedudukan wzir Tafwidh yang mempunyai kuasa pentadbiran yang lebih luas telah menyebabkan syarat-syarat bagi melantik ke jawatan Wazir Tafwidh adalah seperti syarat-syarat perlantikan khalifah dan ia hendaklah beragama Islam. Manakala bagi Wazir Tanfiz pula boleh dilantik dikalangan bukan penganut Islam.
  • Di Andalus pula, corak dan sistem wazir (menteri) berbeza di mana pentadbiran Islam di Andalus dijalankan oleh Jemaah menteri. Contohnya bagi urusan kewangan seorang wazir yang dikenali sebagai wazir almal. Bagi pelaksanakan undang-undang dan pengadilan, ada seorang menteri. Bagi urusan luar, terdapat seorang wazir, bagi urusan ketenteraan dan hal ehwal keamanan dan pertahanan seorang wazir yang lain pula dilantik
  • Jemaah Menteri dalam pentadbiran kerajaan Islam di Sepanyol diketuai atau dipimpin oleh seorang yang menggunakan istilah Hajib. Jawatan Hajib di dalam Islam di Sepanyol seperti kedudukan Ketua Menteri atau Perdana Menteri dalam pentadbiran moden hari ini.
  • Hakikatnya jawatan hajib sebenarnya wujud juga dalam sistem pentadbiran di Baghdad atau dalam kerajaan Abbasiyyah. Apa yang membezakan antara keduanya ialah Hajib di Baghdad hanya sebagai pegawai protokol istana sahaja. Manakala dalam kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol ialah pengantara Khalifah dan Jemaah Menteri atau dapat disifatkan sebagai Ketua Menteri.

Kesimpulan :

  • Berasaskan penjelasan di atas nyata terdapat perbezaan antara sistem menteri dalam Kerajaan Abbasiyah dan Umaiyyah. Perjalanan pentadbiran di Sepanyol berjalan berdasarkan Jemaah Menteri. Manakala sistem pentadbiran kerajaan Abbasiyah pula kadang-kadang berjalan dalam bentuk sistem Wazir Tafwidh iaitu mengenal seorang menteri terkadang-kadang sebagai bertaraf Wazir Tanfiz yang berkemungkinan dijalankan oleh lebih dari seorang Ketua Menteri.
  • Demikian juga jemaah menteri dalam sistem pentadbiran di Sepanyol, ia merupakan pengantara antara Khalifah dan Jemaah Menteri yang dipimpin oleh Hajib yang bertindaak sebagai Ketua Jemaah Menteri. Sedangkan jawatan Hajib di baghdad merupakan pegawai protokol dalam Istana Khalifah sahaja yang sifatnya lebih rendah dan umum berbanding Hajib di Sepanyol.

No comments:

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024