Wednesday, August 4, 2010

Perdana Menteri Terbaik Malaysia?

WZWH mengajak rakyat Malaysia berfikir di luar kotak. Rakyat Malaysia berhak mendapat perdana menteri yang terbaik dari kalangan 28 juta penduduknya. Kita tidak mahu orang yang hanya pandai beretorik dan berpidato. Kita mahu orang yang boleh dan mampu bekerja, dan orang yang tidak diragui integriti dan keikhlasannya. Fokusnya hanya pada apa yang terbaik untuk rakyat dan negara, bukan pada kelangsungan karier politiknya.


Manmohan Singh ialah Perdana Menteri India yang ke-14 yang kini telah masuk penggal kedua pemerintahannya. Di kalangan pemerhati politik, ramai yang terkejut ketika beliau dilantik kali pertama sebagai perdana menteri pada tahun 2004.

Tatkala Parti Kongres India memenangi pilihanraya umum pada tahun tersebut, calon popular bagi jawatan perdana menteri ialah Sonia Gandhi, balu kepada mantan Perdana Menteri Rajiv Gandhi. Namun, bila timbul pertikaian berkenaan latar-belakang agama dan asal-usulnya, Sonia memilih untuk mencalonkan Manmohan Singh sebagai perdana menteri manakala beliau sendiri kekal sebagai ketua parti kongres yang memerintah.

Tidak dinafikan perlantikan Manmohan Singh asalnya lebih kerana percaturan politik. Walau bagaimanapun, bilamana seorang intelektual dan teknokrat seperti beliau dilantik ke jawatan tertinggi dalam kerajaan, negara-negara lain di rantau ini wajar merenungi dan menelaah langkah ini.

Sekali imbas, melihat pada perwatakan dan ketrampilannya, tidak ada yang istimewa pada Manmohan Singh. Beliau tidak petah berpidato dan tampak kurang perkasa untuk bertahan dalam pertarungan kancah politik. Beliau juga beragama Sikh, bukan beragama Hindu seperti perdana menteri India yang lain sebelum ini.

Namun, di sebalik wajahnya yang tenang dan tubuhnya yang sederhana, ada kemampuan dan kebijaksanaan yang cukup mengagumkan. Latar belakang pendidikannya menunjukkan beliau memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama dalam bidang ekonomi daripada dua buah universiti, Universiti Punjab di India, dan Universiti Cambridge di United Kingdom. Beliau juga pernah menuntut di Universiti Oxford dan meperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang ekonomi daripada universit tersebut pada tahun 1962.

Tamat pengajian, beliau berkhidmat di agensi perdagangan dan pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan sebagai professor dalam bidang ekonomi di Universiti Delhi, India. Beliau kemudiannya berkhidmat dalam kerajaan antaranya sebagai governor bank pusat sebelum dilantik ke jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1991.

Ketika tampuk pemerintahan di India dikuasai parti BJP (Parti Rakyat India), sebuah parti nasionalis Hindu, antara tahun 1998 hingga 2004; karier politik Manmohan Singh nampak seakan sudah berakhir. Begitulah tanggapan ramai hinggalah perlantikan mengejutnya sebagai perdana menteri pada tahun 2004.

Latarbelakang jurusan ekonomi

Bagi WZWH, yang paling menarik tentang pelantikan Manmohan Singh bukanlah kelayakan akademik dan pengalaman kerjanya yang cemerlang. Bukan juga kerana beliau beragama Sikh dan dari golongan minoriti di India. Yang paling menarik ialah beliau dilantik perdana menteri walaupun beliau bukan ketua parti yang memerintah. Pada tahun 2004 hinggalah ke hari ini, Sonia Gandhi adalah Presiden Parti Kongres India, parti terbesar dalam kerajaan.

Nyata sekali Manmohan Singh dilantik bukan kerana kemahirannya berpolitik. Beliau dilantik kerana beliaulah yang paling layak dari kalangan ahli partinya untuk mentadbir kerajaan.

Selain daripada faktor kelayakan dan pengalaman, beliau juga tidak terpalit dengan sebarang kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa; agak menakjubkan bagi seorang yang pernah menjawat jawatan governor bank pusat dan menteri kewangan. Anak-anak beliaupun tidak ada yang terlibat dalam politik dan tidak juga terlibat dalam sebarang urusan melibatkan syarikat-syarikat milik kerajaan. Ketiga-tiga anak perempuannya telah dewasa dan sudah berjaya dalam bidang karier pilihan mereka.

Maka, orang yang mengetuai kerajaan Republik India hari ini adalah orang yang dikenali jujur, telus dan tekun bekerja. Beliau juga arif akan segala isu yang melibatkan ekonomi dan pentadbiran. Tidak seperti ketua-ketua kerajaan lain yang bergantung harap pada segerombolan perunding cara dan penasihat.

Juga, oleh kerana beliau tidak dibebani tanggungjawab menjaga hal-ehwal parti, sepenuh tenaga dan tumpuan dapat disalur pada urusan pentadbiran kerajaan. Segala masalah yang melibatkan perebutan kuasa dan kedudukan dalam parti dan percanggahan antara fraksi-fraksi yang ada, semuanya ditanggung Sonia Gandhi selaku presiden parti.

Ada pilihan Najib dan Anwar sahaja?

Sejak 2004, ekonomi India telah berkembang dengan pesat, dan ancaman konflik antara kaum dan agama secara amnya kini sudah terkawal. Model pemerintahan yang diamalkan nampaknya membuahkan hasil yang memberangsangkan. Jadi, mengapa di Malaysia tidak diamalkan?

Mengapa perdana menteri Malaysia dan presiden Umno mesti orang yang sama? Di kalangan lebih tiga juta ahli-ahli Umno yang ada, tidakkah ada orang yang lebih layak dari segi kelayakan dan pengalaman untuk menjawat jawatan perdana menteri selain daripada perdana menteri yang sedia ada?

Tidakkah ada orang yang imejnya lebih bersih, bebas daripada segala syak wasangka, dan yang lebih dihormati dan berwibawa yang boleh menerajui kepemimpinan negara?

Begitu juga andainya Pakatan Rakyat memerintah kerajaan pusat suatu hari nanti. Mengapa hanya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu sahaja yang dicanang sebagai calon perdana menteri? Tidakkah ada orang lain dari PKR, PAS dan DAP yang lebih berkelayakkan?

Bukankah di kalangan ahli-ahli parti-parti pembangkang ini ada ramai golongan terpelajar, intelektual dan professional? Mengapa tidak antara mereka ini diangkat sebagai perdana menteri? Mengapa tidak ketua umum, presiden dan setiausaha agung disandarkan tanggungjawab sepenuhnya menjaga hal-ehwal parti masing-masing tanpa perlu memegang sebarang jawatan eksekutif dalam kerajaan?

Dalam mengharungi segala liku kemelut ekonomi dunia dan cabaran sosio-politik negara, rakyat Malaysia berhak mendapat perdana menteri yang terbaik dari kalangan 28 juta penduduknya. Kita tidak mahu orang yang hanya pandai beretorik dan berpidato. Kita mahu orang yang boleh dan mampu bekerja, dan orang yang tidak diragui integriti dan keikhlasannya. Fokusnya hanya pada apa yang terbaik untuk rakyat dan negara, bukan pada kelangsungan karier politiknya.

Manmohan Singh bukanlah manusia yang sempurna. Namun kemampuannya jarang dipersoal dan keikhlasannya tidak diragui. Orang seperti inilah yang perlu dicari dan diberi tanggungjawab memimpin kerajaan Malaysia.

1 comment:

Anonymous said...

Whoa! This blog looks exactly like my old one!
It's on a entirely different topic but it has pretty much the same layout and design. Excellent choice of colors!

my site dylanjosephcaamano.com

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...