Saturday, August 14, 2010

IMF Mahu Najib Tegas Dengan MEB

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa Malaysia mengambil tindakan “tegas” terhadap pembaharuan yang hendak diperkenalkan menerusi Model Ekonomi Baru (MEB) sambil menjelaskan dasar baru itu sebagai meyakinkan.

IMF yang berpejabat di Washington memberitahu semalam bahawa agensi itu ingin melihat pelaksanaan MEB yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Mac lalu.

Dalam satu laporan dikeluarkan selepas sesi perundingan tahunan antara lembaga eksekutif IMF dan kerajaan Malaysia, dana antarabangsa itu mengiktiraf “wawasan bercita-cita tinggi” pentadbiran Najib untuk mencapai transformasi ekonomi dalam jangka panjang.

Butiran program pembaharuan yang bertujuan untuk memperbaharui elemen-elemen polisi yang memihak kepada Bumiputera dalam usaha meningkatkan daya saing ekonomi, termasuk rangka tempoh pelaksanan model itu belum diumumkan lagi.

Pengarah-pengarah lembaga IMF “bersetuju bahawa agenda pembaharuan struktural yang komprehensif”, yang menjadi nadi dalam MEB, mahukan pertumbuhan cepat dan inklusif, kata laporan tersebut.

“Pengarah-pengarah ingin melihat usaha-usaha yang tegas dan momentum berkekalan dalam melaksanakan agenda ini,” kata laporan itu yang dipetik oleh agensi berita AFP.

Selain itu, pengarah-pengarah lembaga IMF juga menggesa agar strategi komunikasi yang efektif diadakan untuk mendapatkan sokongan menyeluruh rakyat.

Pentadbiran Najib sejak kebelakangan ini mengadakan siri perbincangan berbentuk makmal dan hari terbuka bagi mendapatkan pandangan rakyat berhubung langkah-langkah diambil, yang akan diperturunkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Rancangan Malaysia Ke-10 juga diumumkan Mac lalu bersama sebahagian kandungan MEB.

Difahamkan sebahagian MEB akan diumumkan ketika pembentangan Bajet 2011, yang akan dibawa ke Parlimen Oktober ini.

“Proses liberalisasi susulan produk dan pasaran buruh akan membantu menggalakkan pelaburan swasta dan meningkatkan manfaat daripada pembaharuan,” kata laporan itu.

Menurut Najib, MEB dirangka sedemikian rupa untuk mempertingkatkan pertumbuhan, melahirkan pasukan tenaga kerja yang berkualiti tinggi dan menarik pelaburan asing yang sangat diperlukan oleh Malaysia.

IMF juga berkata prospek pertumbuhan dalam waktu terdekat adalah menggalakkan.

Ekonomi dijangka berkembang 6.7 peratus pada tahun ini tetapi dijangka menurun ke paras 5.3 peratus pada 2011, kata laporan IMF itu.

Kakitangan IMF menambah bahawa ringgit kelihatan akan “lemah berbandng paras keseimbangan dalam terma efektif yang sebenar.”

Lembaga eksekutif IMF, menurut laporan itu, bersetuju dengan pandangan pihak berkuasa Malaysia bahawa ringgit yang kukuh akan meningkatkan permintaan demostik dalam jangka panjang dan menggalakkan peralihan ke arah industri bernilai tinggi.

No comments:

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...