Saturday, January 31, 2015

Empayar Melayu Purba Srivijaya Apa Pelajaran Kepada Pemimpin Melayu?




Empayar Melayu Srivijaya yang menguasai politik dan perdagangan selama 600 tahun dengan kehebatan Rajanya antara empat  raja terhebat dunia ketika itu, teknologi perkapalan dagang maritim yang besar dan tercanggih menguasai ekonomi dunia menuntut pemimpin Melayu belajar dari sejarah silam.

Srivijaya yang menguasai ekonomi dunia melalui laluan sibuk Selat Melaka menghubungkan pedagang dari Arab, Parsi, India, China dan Asia Tenggara membuatkan laluan sutera menjadi tidak penting hingga pedagang Eropah terpaksa bergantung kepada kepentingan ekonomi Srivijaya bagi rempah ratus dan emas dll menjadikan Srivijaya lebih kaya.

Siapa ini Empayar Melayu purba Srivijaya? Bagaimana Srivijaya menjadi hebat? Kenapa Srivijaya akhirnya dilupakan sehingga awal abad ke 20 baru dikenali oleh pemimpin Melayu moden? Apa yang pemimpin Melayu boleh belajar?

Srivijaya (juga disebut Sri Vijaya atau Sriwijaya ) ialah sebuah empayar maritim Melayu purba yang berpusat di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu yang banyak mempengaruhi Asia Tenggara. Bukti terawal kewujudannya adalah dari abad ke-7; apabila seorang sami Buddha dari China, I-Tsing, ada menulis tentang lawatannya selama 6 bulan ke Srivijaya pada tahun 671. 

Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 683 masihi yang ditemui di Palembang, Sumatera juga ada menyebut tentang Srivijaya. Kerajaan ini runtuh sepenuhnya pada abad ke-13 disebabkan pelbagai faktor, antaranya ialah kebangkitan kerajaan Jawa Majapahit. Dari abad ke-8 hingga abad ke-11, Srivijaya adalah pusat pengembangan agama Buddha yang utama di kepulauan Melayu. Dalam Bahasa Sanskrit, sri bermaksud "seri" atau "sinar" dan "vijaya" bermaksud "kejayaan" atau "kemenangan".

Selepas kejatuhan Srivijaya, ia dilupakan sepenuhnya dan ahli sejarah tidak pernah menganggap ada kerajaan bersatu yang besar pernah wujud di kepulauan Asia Tenggara. Kewujudannya pertama kali diakui secara rasmi pada tahun 1918, oleh ahli sejarah berbangsa Perancis Georges Coedès.

Kebesaran raja Srivijaya digambarkan melalui catatan Arab yang mensifafkannya sebagai Raja di Gunung dan Maharaja di Pulau. Raja di Gunung dan Maharaja menggambarkan kebesaran raja yang mempunyai kuasa sakit, berkuasa multak, dan bersifat ketuhanan. Raja Srivijaya memerintah secara multak dan dibantu oleh menteri yang menjadi perantaraan raja dengan rakyat.

Srivijaya dan Sumatera telah dikenali dengan nama-nama yang berbeza oleh berlainan bangsa. Orang Cina memanggilnya Sanfotsi atau San Fo Qi, dan terdapat juga kerajaan yang lebih tua iaitu Kantoli dalam catatan Cina pada abad ke-5 yang dianggap pendahulu Srivijaya. Ia dikenali sebagai Yavadesh dalam catatan Sanskrit dan Javadeh dalam catatan Pali. Orang Arab menggelarnya Zabag manakala orang Khmer memanggilnya Melayu.

Sejarah awal Srivijaya adalah kabur. Catatan China dari Sejarah Negeri Liang menyatakan kewujudan sebuah kerajaan kuno bernama Kantoli disyaki berpusat di kawasan antara Jambi dan Palembang, dan dipercayai merupakan pendahulu Srivijaya. Ahli sejarah China, Shenyao (414-512) dalam bukunya Sung Shunya (Sejarah Awal Sung) ada menyebut tentang satu utusan dari negeri "Ho-Lo-Tan" yang dihantar oleh Raja "Shih-li-pi-cho-yeh" pada tahun 434 masihi, satu nama yang sangat mirip dengan sebutan "Srivijaya". Sejarawan moden berbeza pendapat tentang kedudukan sebenar "Ho-Lo-Tan", namun kajian lanjut menunjukkan ia terletak di Semenanjung Tanah Melayu.

Berdasarkan Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 605 saka (683 masihi), kerajaan Srivijaya didirikan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang memimpin satu armada dengan 20,000 bala tentera dari Minanga Tamwan ke Matayap dan menaklukinya. Beberapa batu bersurat lain yang ditemui diKota Kapur di Pulau Bangka (686 masihi), Karang Birahi di Jambi Hulu (686 masihi) dan Palas Pasemah di selatan Lampung, menceritakan peristiwa yang sama. Dari keterangan batu-batu bersurat ini, dapat disimpulkan yang Jayanasa mendirikan Kerajaan Srivijaya setelah mengalahkan musuh-musuhnya di Jambi, Palembang, Selatan Lampung dan Pulau Bangka. Asal usul Raja Jayanasa dan kedudukan sebenar Minanga Tamwan masih diperdebatkan ahli sejarah, ada yang berpendapat armada yang dipimpin Jayanasa ini berasal dari luar Sumatera, berkemungkinan besar dari Semenanjung Tanah Melayu.

Srivijaya meluaskan lagi empayarnya dengan menakluk bahagian barat Pulau Jawa pada penghujung abad ke-7. Batu Bersurat Kota Kapur yang bertarikh 608 saka (686 masihi) menceritakan tentang sumpahan Maharaja Srivijaya ke atas sebuah kerajaan di Pulau Jawa sebelum Srivijaya menyerang kerajaan tersebut. Masa peristiwa ini berlaku adalah bertepatan dengan masa kejatuhan kerajaan Tarumanagara dan kerajaan Kalingga (Ho-Ling dalam catatan China) di Jawa Barat. Ada juga rekod menyatakan sebuah keluarga diraja beragama Buddha yang mempunyai hubungan dengan Srivijaya, mendominasi bahagian tengah pulau Jawa ketika itu, berkemungkinan besar dari kerabat Sailendra. Kejayaan Srivijaya menguasai Pulau Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu membolehkannya mengawal laluan perdagangan utama di Selat Melaka, Laut China Selatan, Selat Sunda dan Selat Karimata.

Pada awal abad ke-8, pelabuhan-pelabuhan Champa di timur Indochina mula bangkit menjadi pesaing kepada kuasa perdagangan Srivijaya. Untuk menghapuskan ancaman ini, Maharaja Srivijaya, Sri Dharmasetu melancarkan beberapa serangan ke atas bandar-bandar pesisir Indonchina. Bandar Indrapura yang terletak di tebing Sungai Mekong pernah suatu ketika dikuasai oleh Srivijaya pada abad ke-8. Dominasi Srivijaya di pesisir Indochina berakhir apabila RajaJayavarman II menubuhkan Empayar Khmer pada abad yang sama. Sri Dharmasetu digantikan oleh Samaratungga yang menjadi Maharaja Srivijaya dari tahun 792 hingga 835 masihi. Tidak seperti Sri Dharmasetu yang mengamalkan dasar perluasan kuasa, Samaratungga lebih memilih untuk menguatkan kedudukan Srivijaya di Jawa. Candi Borobudur di Jawa tengah dibina dan disiapkan pada tahun 825 masihi, ketika pemerintahan Samaratungga.

Sekitar tahun 1993, Pierre-Yves Manguin melakukan penyelidikan dan berpendapat bahwa pusat Srivijaya terletak di Sungai Musi di antara Bukit Siguntang dan Sabokingking (di provinsi Sumatera Selatan sekarang). Namun sebelumnya Soekmono berpendapat bahwa pusat Srivijaya terletak di kawasan hiliran Batang Hari, antara Muara Sabak hingga ke Muara Tembesi (di provinsi Jambi sekarang), dengan catatan Mo-lo-yu (I-Tsing) tidak di kawasan tersebut, jika Mo-lo-yu berada di kawasan tersebut, beliau cenderung kepada pendapat Moens, yang sebelumnya juga telah berpendapat bahawa pusat pemerintahan Srivijaya berada di kawasan Candi Muara Takus (provinsi Riau sekarang), berdasarkan anggaran petunjuk arah perjalanan dalam catatan I-Tsing. Ahli sejarah Thai berpendapat, daerah Chaiya di wilayah Surat Thani juga pernah menjadi pusat pemerintahan Srivijaya, berdasarkan penemuan banyak rumah-rumah ibadat dengan gaya seni bina unik yang berasal dari zaman Srivijaya. Namun yang pasti pada masa penaklukan Rajendra Chola I, berdasarkan Inskripsi Tanjore, ibu kota Srivijaya adalah di Kadaram (Kedah sekarang)

Pada tahun 100 Hijrah (718 masihi) Maharaja Srivijaya yang bernama Sri Indravarman mengutus sepucuk surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan memohon baginda menghantar seorang Ulama bagi menerangkan tentang agamaIslam. Surat tersebut berbunyi:

“ Daripada Raja kepada sekalian Raja yang merupakan keturunan dari seribu Raja-Raja, yang permaisurinya juga merupakan cucu kepada seribu Raja-Raja, yang taman haiwannya mengandungi seribu gajah, yang di dalam wilayahnya terdapat dua sungai yang mengairi pohon jadam, rempah wangi, buah pala dan limau nipis yang aromanya tersebar sejauh 12 batu. Ke hadapan Raja Arab yang tidak menyembah tuhan-tuhan yang lain selain Allah. Aku telah mengirim padamu satu hadiah yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan. Aku mohon agar kamu menghantar padaku seseorang yang boleh mengajarku tentang Islam dan menerangkan padaku undang-undangnya. "

Peristiwa ini menjadi bukti yang istana Srivijaya telah menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan dengan dunia Islam-Arab. Bagaimanapun ia tidak bermaksud yang Maharaja Srivijaya telah memeluk Islam, tetapi mungkin untuk menunjukkan hasrat Sri Indravarman yang ingin mendalami undang-undang dan budaya rakan dagang Srivijaya dan tamadun-tamadun di sekitarnya seperti China, India dan Timur Tengah.

Srivijaya menjalin hubungan yang erat dengan Kerajaan Pala di Benggala. Inskripsi Nalanda yang bertarikh 860 masihi ada mencatatkan yang Maharaja Balaputradewa menghadiahkan sebuah kuil Buddha kepada Universiti Nalanda. Hubungan dengan kerajaan Chola di selatan India juga pada mulanya sangat baik. Sekitar tahun 1005 masihi, Maharaja Sri Chulamanivarman yang dirujuk dalam inskripsi-inskripsi India sebagai "Raja Kataha dan Srivijaya" telah mengarahkan pembinaan sebuah kuil Buddha di Nagapattinam, selatan India yang dinamakan bersempena namanya iaitu Chulamanivarmavihara. Rajaraja Chola I menghadiahkan harta yang banyak dari sebuah kampung kepada kuil ini.

Sri Chulamanivarman juga meneruskan tradisi menjalin hubungan yang erat dengan negeri China seperti yang diamalkan pendahulu-pendahulunya, dengan menghantar beberapa utusan ke sana. Pada tahun 1003 masihi, Raja Se-li-chu-la-wu-ni-fu-ma-tian-hwa (Sri Chulamanivarman) menghantar dua utusan menghadap Maharaja China bagi menyampaikan ufti; mereka menceritakan yang negara mereka ada membina sebuah kuil Buddha bagi mendoakan kesejahteraan Maharaja dan mereka memohon perkenan Maharaja China untuk memberikan nama dan loceng untuk kuil tersebut. Satu titah perintah telah dikeluarkan dengan kuil itu mendapat nama Cheng tien wan shou yang bermaksud "kurniaan 10,000 tahun dari Syurga" (dipercayai Candi Bungsu, salah satu bahagian dari candi yang terletak di Muara Takus) dan sebuah loceng ditempa untuk dihadiahkan kepada utusan tersebut. Beberapa utusan kemudiannya dihantar lagi ke negeri China pada tahun 1004, 1008, 1016, 1017 dan 1018.

Hubungan yang erat Srivijaya dengan dua kuasa besar di Asia pada masa itu, Chola di India dan Dinasti Song di China telah membolehkan putera Sri Chulamanivarman yang menggantikannya, Maharaja Sri Mara Vijayatunggavarmanmembalas dendam perbuatan Raja Dharmawangsa dari Kerajaan Medang di Jawa Tengah yang menyerang Srivijaya pada tahun 990 masihi. Pada tahun 1006 masihi, bala tentera Srivijaya menyerang Kerajaan Medang dan menghancurkan Istana Watugaluh di Pulau Jawa. Dharmawangsa dan para pembesarnya kemudiannya dibunuh, membawa kepada berakhirnya Kerajaan Medang.

Hubungan baik Srivijaya dengan Kerajaan Chola bagaimanapun tidak kekal lama apabila Rajendra Chola I menaiki takhta pada tahun 1012 dan melancarkan perang ke atas Srivijaya pada tahun 1025 masihi.[38] Rajendra Chola I menakluk hampir kesemua kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Serangan besar-besaran kerajaan Chola ini bagaimanapun tidak membawa kepada kelangsungan politik Chola ke atas wilayah-wilayah yang diserang kerana pada tahun 1028 masihi, Maharaja Sri Sangrama Vijayatunggavarman yang ditawan di Kadaram telah digantikan oleh seorang Maharaja baru yang kemudiannya menghantar satu utusan ke negeri China. Dalam Sejarah Sung, Maharaja ini dikenali dengan nama Shih-Li-Tieh-Hua atau "Sri Deva" (berkemungkinan satu nama yang tidak lengkap).

Kerajaan Srivijaya banyak dipengaruhi oleh agama-agama besar dari India, pada mulanya oleh agama Hindu kemudian diikuti pula oleh agama Buddha. Berdasarkan catatan China dan India yang lain serta penemuan arkeologi, Srivijaya merupakan pusat agama Buddha yang utama di Kepulauan Melayu.

Sebagai pusat perkembangan agama Buddha Vajrayana yang utama, Srivijaya menarik ramai penziarah dan sarjana dari negara-negara lain di Asia, antara yang terkenal ialah sami Buddha dari China, I-Tsing. Pada tahun 671 masihi, dalam perjalanan ke Universiti Nalanda, India, beliau singgah di Srivijaya untuk mempelajari Sabdavidya (tatabahasa Sanskrit). Pada tahun 695, beliau melawat Srivijaya sekali lagi untuk mendalami agama Buddha. Menurut I-Tsing, penduduk Srivijaya melakar imej-imej Buddha dengan emas dan memberi sembahan kepada Buddha dalam bentuk bunga teratai emas. Ibu kotanya didiami oleh ramai sarjana Buddha dan menjadi pusat pembelajaran agama Buddha yang utama di seluruh Nanyang (laut selatan).

“ Banyak raja dan pemimpin yang berada di pulau-pulau di Laut Selatan percaya dan mengagumi Buddha, di hati mereka telah tertanam perbuatan baik. Di sebalik tembok kota Srivijaya, terdapat lebih dari 1000 sami Buddha, yang belajar dengan tekun dan mengamalkannya dengan baik. Mereka mengkaji dan mempelajari semua subjek yang wujud sama seperti di "Kerajaan Tengah" (Madhya-desa, India); tidak banyak perbezaan dalam aturan-aturan dan upacara-upacaranya. Jika seorang biarawan Cina ingin pergi ke Barat (India) untuk mendengar (syarahan) dan membaca (teks asli), lebih baik ia tinggal dulu di sini selama satu atau dua tahun untuk mendalami aturan-aturan yang betul sebelum melanjutkan pelajaran ke tengah India. - I-Tsing ”

Selain aliran Vajrayana, ajaran Buddha dari aliran Hinayana dan Mahayana juga turut berkembang di Srivijaya. Dharmarakshita atau Suvarnadvipi Dharmakīrti, salah seorang sarjana Buddha yang terkenal dengan teks Mahayana beliau, "Roda Senjata Tajam" (Bahasa Tibet: blo-sbyong mtshon-cha 'khor-lo) hidup pada zaman pemerintahan Sri Chulamanivarman, dan merupakan ketua sarjana Buddha di Suvarnadvipa (Sumatera). Sarjana Buddha dari Benggala yang terkenal dengan peranannya mengembangkan Buddha Vajrayana di Tibet iaitu Atisha, dikatakan pernah berguru dengan Dharmarakshita di Sumatera, dari tahun 1011 hingga 1023 masihi.

Kemahsyuran Srivijaya sebagai pusat perdagangan di Asia Tenggara berkemungkinan besar menarik minat para pedagang dan ulama Muslim dari Timur Tengah menyebarkan agama Islam. Beberapa kerajaan yang pada mulanya merupakan sebahagian dari Srivijaya, bakal muncul menjadi kerajaan-kerajaan Islam di Semenanjung dan Sumatera, ketika pengaruh Srivijaya semakin lemah. Ada sumber yang menyebut, kerana pengaruh orang muslim Arab yang banyak berkunjung dan berdagang di Srivijaya, maka seorang raja Srivijaya yang bernama Sri Indrawarman pada tahun 718 berminat untuk mengetahui tentang agama Islam, sehingga mungkin kehidupan sosial Srivijaya adalah masyarakat sosial yang di dalamnya terdapat masyarakat Buddha dan Muslim sekaligus. Tercatat beberapa kali raja Srivijaya mengutus surat kepada khalifah Islam di Damsyik. Salah satu naskhah surat yang ditujukan kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz (717-720) berisi permintaan agar khalifah sudi mengirimkan da'i ke istana Srivijaya.

Dalam dunia perdagangan, Srivijiya adalah empayar yang mengawal dua laluan utama antara India dan China, iaitu Selat Sunda dari Palembang dan Selat Melaka dari Kedah. Catatan Arab menyatakan yang empayar Maharaja Srivijaya adalah sangat luas sehinggakan kapal yang paling laju pada zaman itu pun tidak mampu untuk belayar mengelilingi semua pulau-pulanya selama dua tahun. Menurut keterangan I-Tsing, Raja Srivijaya memiliki kapal-kapal yang banyak untuk tujuan perdagangan. Komoditi utama adalah rotan, gaharu, kino merah, kapur barus, jadam, cengkih, minyak cendana, buah pala, buah pelaga, buah pinang, buah kelapa, kemukus, gading dan timah, menjadikan kekayaan Maharajanya setanding dengan mana-mana raja di India. Srivijaya juga adalah negara yang sangat kaya dengan emas, bahkan I-Tsing pernah menggelarnya sebagai "Chin Chou" atau "Kepulauan Emas". Rakyatnya menyediakan sembahan kepada Buddha dalam bentuk bunga teratai emas, menggunakan bekas-bekas dari emas, dan membina arca-arca dari emas. Berbeza dengan mata wang China pada zaman tersebut yang biasanya diperbuat dari tembaga, loyang atau besi, orang Srivijaya hanya menggunakan emas dan perak dalam perdagangan.

Selain menjalin hubungan dagang yang menguntungkan dengan India dan China, Srivijaya juga membentuk jaringan perdagangan dengan dunia Arab. Berkemungkinan besar, satu utusan yang dihantar Maharaja Sri Indravarman untuk menyampaikan surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dari Kerajaan Bani Umayyah pada tahun 718 masihi, telah kembali dengan Zanji (hamba wanita kulit hitam dari Zanj), hadiah Khalifah kepada Maharaja. Kemudiannya, catatan China ada menyebut tentang Shih-li-t-'o-pa-mo (Sri Indravarman), Maharaja Shih-li-fo-shih yang menghantar kepada Maharaja China ts'engchi (sebutan China untuk perkataan Arab Zanji) sebagai hadiah.

Pada separuh pertama kurun ke-10, ketika zaman kejatuhan Dinasti Tang dan kebangkitan Dinasti Song, perdagangan berkembang dengan pesat di antara dunia luar China dengan kerajaan Min di Fujian dan kerajaan Nan Han di Guangdong. Dengan kemakmuran yang dikecapi pada zaman permulaan Dinasti Song, keadaan ini sangat menguntungkan Srivijaya. Pada tahun 903 masihi, penulis Islam Ibn Rustah sangat kagum dengan kekayaan pemerintah Srivijaya sehingga beliau pernah menyatakan yang tiada Raja lain yang sekaya dan sekuat Raja Srivijaya. Pusat perbandaran utama Srivijaya pada zaman itu adalah di Palembang, Muara Jambi, Kedah dan Chaiya.

Ketika era keemasannya, Srivijaya adalah kerajaan yang terkuat dan terkaya di bahagian barat kepulauan Melayu, dan empayarnya meliputi 15 negeri seperti yang diceritakan oleh Chou-Ju-Kua; Pong-fong (Pahang), Tong-ya-nong (Terengganu), Ling-ya-si-kia (Langkasuka), Kilan-tan (Kelantan), Fo-lo-an (Dungun), Ji-lo-t'ing (Cherating), Ts'ien-mai (Semawe, Semenanjung), Pa-t'a (Sungai Paka, utara Semenanjung), Tan-ma-ling (Tambralinga, Ligor atau Nakhon Si Thammarat), Kia-lo-hi (Krabi), Pa-lin-fong (Palembang), Sin-t'o (Sunda), Lan-wu-li (Lamuri di Aceh), Kien-pi (Jambi) dan Si-lan (Kemboja).

Pengaruh kuasa perdagangan Srivijaya di Lautan India telah membawa kepada penghijrahan penduduk kepulauan Melayu ke Madagascar. Selain itu, pengaruhnya juga menjalar ke bahagian timur ke Borneo sehingga ke kepulauan Filipina, terutamanya kepulauan Sulu dan Visayas. Pada kurun ke-10, Kerajaan Tondo yang berada di bawah pengaruh Srivijaya telah ditubuhkan di Manila.

Akibat dari kekacauan yang berlaku di pesisir pantai China ketika zaman kejatuhan Dinasti Tang, bukan hanya aktiviti perdagangan orang Arab dan Parsidengan China terjejas teruk, malah Srivijaya juga menerima kesan besar darinya. Walaupun ia masih menguasai laluan perdagangan di Selat Melaka dan pesisir utara Semenanjung Tanah Melayu, perdagangan dan kekayaannya mula merosot pada penghujung kurun ke-9 dan awal kurun ke-10. Menjelang tahun 925 masihi, tiada lagi komuniti pedagang asing di China, kekacauan dan pelanunan semakin menjadi-jadi selama beberapa dekad berikutnya di sepanjang pesisir selatan China. Pada penghujung kurun ke-10, perdagangan dengan Asia Selatan dan Asia Tenggara mula pulih dengan peranan Dinasti Song Selatan di China, bagaimanapun ia menimbulan persaingan yang serius di antara Srivijaya dengan Kerajaan Medang di Jawa Timur dan Wangsa Chola di India selatan. Ketiga-tiga kerajaan bersaing merebut laluan perdagangan dengan China yang baru pulih.

Di antara tahun 1003 dan 1018, Srivijaya menghantar 7 utusan ke China, mengiklankan produk-produk Asia Selatan beserta dengan barangan wangi, rempah dan lada. Kerajaan Medang juga cuba menjalin hubungan perdagangan langsung dengan China manakala Chola pula menghantar satu utusan ke sana pada tahun 1015. Akibat dari persaingan tiga segi ini, Srivijaya menyerang dan menghancurkan kerajaan Medang pada tahun 1006, namun ia diserang pula oleh angkatan laut Chola di bawah Rajendra Chola I pada tahun 1025. Angkatan laut Chola menyeberang Teluk Bengal, menjarah ibu kota Srivijaya di Kadaram, dan menawan Maharajanya, Sri Sangrama Vijayatunggavarman. Selain Kadaram, Pannai di Sumatera dan Malaiyur di Semenanjung Tanah Melayu juga diserang. Inskripsi Tanjore yang bertarikh 1030 masihi ada menceritakan tentang kempen ketenteraan Chola ini:

Dalam masa 100 tahun, beberapa lagi serangan telah dilancarkan oleh Wangsa Chola ke atas Semenanjung dan Sumatera. Meskipun dipaksa berperang secara defensif dalam tempoh yang sangat lama, kekuatan Srivijaya yang terletak di pulau-pulau yang mengawal selat-selat, tidak mampu dimusnahkan sepenuhnya oleh angkatan Chola yang kuat. Serangan-serangan Chola selama 100 tahun ini boleh dianggap sia-sia kerana ia tidak membawa kepada pendudukan efektif Wangsa Chola di Kepulauan Melayu, sebaliknya ia hanya mampu melemahkan kedudukan Srivijaya bahkan melemahkan kuasa Chola sendiri dan membuka peluang kepada penguasaan orang Islam di Lautan Hindi.

Kelemahan Srivijaya telah menyebabkan banyak negeri lindungannya membebaskan diri dari kekuasaannya, beberapa kerajaan serantau lain yang kuat juga mula muncul menyainginya, seperti Kediri dan kemudiannya Singhasari. Kerajaan-kerajaan ini yang berasaskan pertanian, adalah berbeza dengan Srivijaya yang sangat bergantung pada perdagangan pesisir dan jarak jauh. Kekuatan tentera Srivijaya yang semakin lemah juga menyebabkan ia tidak mampu lagi mempertahankan dirinya dari serangan-serang dua kerajaan yang kuat: Sukhotai Siam di utara danSinghasari di selatan. Sukhotai menawan Ligor, Takuapa dan lain-lain bandar pelabuhan di Segenting Kra. Singhasari pula menawan kebanyakan wilayah di bawah ketuanan Srivijaya di Jawa dan Sumatera. Pada tahun 1288, Singhasari melancarkan Ekspedisi Pamalayu untuk menawan negeri-negeri Melayu di Sumatera. Menjelang tahun 1292, empayar ini telah runtuh sepenuhnya, Marco Polo yang melawat kepulauan Melayu pada tahun tersebut tidak ada menyebut langsung tentang Srivijaya. Begitu juga dengan Kakawin Nagarakretagama yang dikarang pada tahun 1365, tidak lagi menyebut tentang Srivijaya untuk wilayah-wilayah yang dulunya di bawah ketuanan Srivijaya.

Berakhirnya Kerajaan Srivijaya tidak bermakna tamatnya tradisi pemerintahan istana Melayu. Beberapa percubaan untuk menghidupkan kembali Srivijaya telah dilakukan oleh waris-waris diraja Srivijaya yang menjadi pelarian di negeri-negeri yang masih setia. Pada tahun 1293,Majapahit yang merupakan pengganti Singhasari menguasai sebahagian besar Sumatera. Putera Adityawarman diberi tanggungjawab memerintah Sumatera pada tahun 1347 oleh pemerintah ketiga Majapahit, Tribhuwana Wijayatunggadewi. Satu pemberontakan yang berlaku pada tahun 1377 berjaya dipatahkan oleh Majapahit. Pada tahun 1324, Sang Nila Utama yang mendakwa dari keturunan diraja Srivijaya dari Bentan, bersama para pengikut dan tenteranya yang terdiri dari Orang Laut, telah menubuhkan Kerajaan Singapura Lama di Temasek. Menurut Sejarah Melayu dan ahli sejarah China, Wang Ta Yuan, orang Siam menyerang kerajaan Singapura di antara tahun 1330 hingga 1340, namun berjaya dikalahkan. Serangan Majapahit pada penghujung abad ke-14 bagaimanapun berjaya menundukkan kerajaan ini, dan Rajanya yang terakhir, Parameswara terpaksa melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu.

Parameswara kemudiannya mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1402. Kesultanan Melayu Melaka akhirnya menggantikan kedudukan Srivijaya sebagai kuasa politik Melayu yang utama di kepulauan Melayu. Walaupun Kesultanan Melaka jatuh pada tahun 1511, Melaka kekal menjadi suatu prototaip institusi: satu paradigma tata urus negara dan satu titik rujukan budaya Melayu untuk negeri-negeri pengganti seperti Kesultanan Johor (1528–kini), Kesultanan Perak(1528–kini) dan Kesultanan Pahang (1470–kini).

Peninggalan terpenting kerajaan Srivijaya berkemungkinan besar adalah Bahasa Melayu itu sendiri. Selama beberapa abad, melalui penaklukan, kuasa ekonomi dan kekuatan ketenteraannnya, Srivijaya memainkan peranan besar dalam menyebarkanBahasa Melayu Kuno ke seluruh pelusuk Kepulauan Melayu. Ia menjadi bahasa utama perdagangan dan lingua franca, digunakan di banyak pelabuhan dan pusat perniagaan di rantau ini. Bahasa Melayu kemudiannya semakin berkembang maju semasa era pengganti Srivijaya, Kesultanan Melayu Melaka. Era Kesultanan Melaka menyaksikan pengaruh Islam yang kuat dalam Bahasa Melayu, dengan kemasukan banyak perkataan pinjaman dari Bahasa Arab dan Parsi. Perkembangan ini menghasilkan Bahasa Melayu Klasik yang kemudiannya menjadi asas kepada Bahasa Melayu Moden yang digunakan dengan meluas hari ini di Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

Srivijaya menjadi fokus kepada kebanggaan nasional dan identiti serantau, terutamanya kepada penduduk Palembang khususnya, dan kepada semua Orang Melayu amnya. 

3 comments:

maae said...

Ekonomi Malaysia hendak di sebotaj. Ekonomi Srivijaya aman makmur kerana kawalan terbaik sehingga di nobat Kesultanan Melayu begitu hebat melangkaui Nusantara.

Dulu Sejarah Melayu di rekod oleh Inggeris dan Hindu. Banyak di sembunyikan kecuali hanya kehebatan Inggeris menjajah termasuk India.

Terakru bangsa cina cuba "peletok" Sejarah Melayu dengan berbagai teori tanpa bukti sejarah sehingga "batu bersurat" di Kuala Brang di temui.

Rujukan menarik. Apa kata cik seri dan mistis file....

Anonymous said...

ha ha ha..

Che Wan baru baca cerita Cik Seri kot...ha ha ha..

BDW..kebanyakkan empayar melayu jatuh pun sebab melayu. Macam kes Temasik, Melaka. Semua sebab melayu, Di Temasik ada Sang Rajuna Tapa, Di Melaka, Putra Raja Pathani lari dari peperangan (refer tom pires), walhal Melaka tengah Menang..Kenapa Sultan Ahmad dipersalahkan di kejatuhan Melaka..

Ada cerita dalam cerita yang tidak diceritakan. Ada rahsia dalam rahsia yang masih belum terungkai.. Saya rasa Cik Seri masih mengkaji ..ha ha ha.


Anonymous said...

Byk info dari catatan ini tidak tepat dan mengelirukan...

Disarankan WZWH membaca di sini http://www7.plala.or.jp/seareview/newpage6Sri2011Chaiya.html
utk mendapatkan info2 terkini mengenai kerajaan Srivijaya.

Beberapa kesalahan yg ketara di sini ialah spt....

- Kantoli atau Kandari adalah merujuk kpd kerajaan Kedah Tua bukan kerajaan yg terletak di Jambi atau Palembang. Adalah mustahil sebuah politi yg mempunyai hubungan tributary-trade dgn China muncul di Sumatera seawal abad ke-5. Tidak ada evidence peninggalan2 arkeologi dijumpai di Palembang atau Jambi seawal abad ke-5. Kota pelabuhan Jambi mula flourished pada ke-11 setelah kejatuhan Kedah akibat serangan Chola. Setelah ini selat Melaka baru kerap digunakan pedagang2 asing. Sebelumnya pedagang2 asing byk menggunakan trans-peninsula route.

- Pusat Srivijaya mula berpindah ke Sumatera (Jambi) setelah kejatuhan Kedah pada awal abad ke-11. Sebelumnya pusat Srivijaya terletak di Chaiya, Kedah dan seketika di pulau Jawa (Jawa Tengah).

- Sepanjang sejarah Srivijaya, Palembang tidak pernah menjadi pusat atau ibukota Srivijaya melainkan hanya salah sebuah subordinate-state Srivijaya. Adalah mustahil Palembang pernah menjadi pusat agama Buddha Mahayana pada abad ke-7 dan merupakan titik temu perdagangan antara timur dan barat.

- Dari awal abad masehi sehingga abad ke-11 masehi, selat Melaka jarang digunakan oleh pedagang2 luar. Mereka lebih memilih utk menggunakan trans-peninsular atau overland routes yg lebih menjimatkan masa serta kurang risiko lanun2 laut. Hanya seawal abad ke-11 selat Melaka mula kerap digunakan.

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024