Saturday, October 23, 2010

Hari Keputeraan Sultan Pahang




Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'Adzam Shah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ketujuh, memerintah negara dari 26 April 1979 sehingga 25 April 1984.

KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al- Muadzam Shah , Sultan Pemerintah Pahang dan jajahan takluknya.

Sultan Haji Ahmad Shah telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan dan kemudian di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Walau bagaimanapun, pembelajaran baginda terganggu ekoran Perang Dunia II. Sultan Haji Ahmad Shah turut mempelajari bahasa Jepun ketika pendudukan tenteraJepun di Tanah Melayu.

Pada 1944, ketika berusia 14 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang. Apabila peperangan tamat, baginda meneruskan pembelajaran baginda di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu.

Pada 1948, Sultan Haji Ahmad Shah meneruskan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Oxford. Baginda turut masuk ke University College, Exeter, Devon bagi kursus Pentadbiran Tempatan. Ketika menduduki kursus tersebut, baginda menjalani latihan di Majlis Daerah Perbandaran di Sidmouth untuk tiga tahun.

Ketika berusia 35 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpengkalan di Kem Batu 5, Mentakab. Perkhidmatan baginda terhadap ketenteraan dan rakyat jelata membuatkan baginda dikagumi rakyat yang menyifatkan baginda putera rakyat yang amat prihatin.

Sultan Haji Ahmad Shah juga gemarkan aktiviti luar terutamanya sukan dan amat mahir dalam bidang tersebut. Baginda terkenal sebagai pemain polo yang hebat di dalam dan di luar negara.

Pada 1982, Sultan Haji Ahmad Shah telah dianugerahkan Anugerah Bola Sepak Olimpik Antarabangsa. Baginda satu-satunya orang Malaysia yang dianugerahkan anugerah berprestij itu. Bola sepak, permainan bertaraf antarabangsa, telah diberikan nafas baru apabila Sultan Haji Ahmad Shah dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia. Bawah pimpinan baginda, Malaysia berjaya memperoleh Piala Merdeka selepas 9 tahun dengan mengalahkankan Korea Selatan 3–1 dalam masa tambahan pada 17 Februari 1993. Sultan Haji Ahmad Shah, peminat sukan nombor satu negara, telah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia sejak tahun 1984 dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia. Sultan Haji Ahmad Shah juga menggemari polo, hoki, badminton dan golf. Sultan Haji Ahmad Shah turut menyertai Sukan Olimpik di Los Angeles, Seoul,Barcelona dan Atlanta.

Sultan Haji Ahmad Shah telah dilantik sebagai Sultan Pahang yang ke-5 pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda DYMM Sultan Abu Bakar dan ditabalkan pada 6 Mei 1975.

Sultan Haji Ahmad Shah mengahwini Tengku Hajah Afzan binti Tengku Muhammad pada 22 April 1954. Pasangan diraja itu dikurniakan tujuh orang anak, dua orang putera dan lima orang puteri. Selepas kemangkatan Tengku Afzan pada 29 Jun 1988, Sultan Haji Ahmad Shah mengahwini Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang putera.

Sultan Haji Ahmad Shah telah menjadi Kelua Lembaga bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak Februari 1983.

Sultan Haji Ahmad Shah adalah raja berjiwa rakyat. Baginda kasih kepada rakyat Pahang dan rakyat kasih dan sayang kepada baginda. Raja payung rakyat. Raja dan rakyat berpisah tiada.

KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al- Muadzam Shah , Sultan Pemerintah Pahang dan jajahan takluknya banyak berperanan dan berjasa membangunkan Ulu Tembeling.

Ulu Tembeling adalah kawasan paling pedalaman, termundur dan termiskin di negeri Pahang sejak zaman kolonial British lagi. Kita harus akui adalah sesuatu tugas yang sangat sukar dan memerlukan peruntukan perbelanjaan kewangan yang sangat besar untuk membangunkan Ulu Tembeling.

Kerajaan kolonial British dan Kerajaan Perseketuan Tanah Melayu kemudian Malaysia (Persekutuan dan Pahang) telah berusaha sedaya upaya memajukan kawasan paling primitif Ulu Tembeling mengangkat ke ketamadunan yang lebih baik.

"Kota Rom tidak boleh dibina dalam sehari" itu kata ahli sejarah purba. Ahli politik, tokoh pemimpin tempatan, ahli ekonomi dan perancang, agensi kerajaan sudah merancang berbagai pembangunan bagi kemudahan penduduk Ulu Tembeling.

Posting WZWH ini mengenai jasa dan peranan KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al- Muadzam Shah membangunkan Ulu Tembeling. Sejak mula baginda dimashorkan sebagai Sultan Pahang, baginda selalu melawat Ulu Tembeling dan cukup prihatin melihat dan memantau projek-projek pembangunan di Ulu Tembeling.

Tuanku Sultan akan selalu bertanya kepada ahli politik dan pegawai kerajaan perkembangan projek-projek pembangunan itu. Sebenarnya baginda sangat berperanan besar baik secara tersirat dan tersurat, menggunakan pengaruh baginda mendesak supaya projek-projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual dan cepat.

Antara projek-projek pembangunan di Ulu Tembeling yang WZWH boleh senaraikan secara ringkas:

  • TNB bekalan elektrik dari 12 jam ke 24 jam
  • Loji air JBA
  • Bekalan air masyarakat
  • Telefon satelit
  • Masjid-masjid
  • Pembesaran sekolah-sekolah
  • Klinik dan Pusat Kesihatan
  • Telefon mudah alih
  • Felcra Ulu Tembeling-sedang progress
  • Jalan Ulu Tembeling fasa pertama-sedang progress
  • Jambatan Kampung Kuching-cadangan naiktaraf
Inilah jasa-jasa KDYMM Tuanku Sultan Pahang yang bertanggungjawab membantu demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat di pedalaman Pahang. Patik WZWH amat menyanjung tinggi usaha murni Tuanku.

Pada 24 Oktober 2010 ini, genaplah usia KDYMM Tuanku Sultan Pahang yang ke 80. Patik pacal yang hina ini merafak sembah memohon dan mendoakan selamat panjang umur kepada Kebawah Duli Tuanku. Semoga Tuanku sihat sejahtera hendaknya diberi Allah kekuatan memerintah negeri Pahang Darulmakmur ini.

Patik mendoakan kepada Allah yang maha besar semoga Tuanku dapat melihat Projek Jalan Ulu Tembeling dari Kampung Tuit ke Kampung Bukit Mat Daling selamat disiapkan. Sementelah pula Orang Tua Tuanku- Orang Kaya Indera Shahbandar DS Najib bin Tun Razak adalah Perdana Menteri Malaysia maka patik amat merasa sangat bertuah berakyat dibawah kekuasaan dan pengaruh Tuanku dan Orang Tua Tuanku, DS Najib. Amin.

1 comment:

chenerong ular said...

DAULAT TUANKU,DAULAT TUANKU,DUALAT TUANKU.

SEMOGA ALLAH SENTIASA MELINDUNGI KDYMM TUANKU SERTA KERABAT KERABAT DIRAJA,DARI BENCANA DAN DIKURNIAKAN KESIHATAN YANG SEHAT BERPANJANGAN,
DAPAT MENJADI PAYUNG NEGERI YANG ADIL DAN BIJAKSANA.

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...