Wednesday, October 13, 2010

Tamadun Ceneh Ulu Tembeling


















Tiada orang tinggal di Kampung Ceneh lagi yang tinggal hanya seekor kerbau tunggal dari Kampung Macang Perah sedang menyendiri.

Di antara Kampung Bukit Mat Daling di sebelah hulu dengan Kampung Bantal di sebelah hilir, dalam mukim Ulu Tembeling, ada sebuah kampung bernama Ceneh. Kampung ini letaknya di sebelah kanan hilir Sungai Tembeling.

Mengikut cerita orang-orang tua yang ditemui di Ulu Tembeling terutama sekali arwah Khatib Ibrahim pada awal tahun 1960an, bahawa pada zaman dahulu kampung yang diketahui sekarang sebagai Ceneh dan kawasan sekitarnya adalah sebuah negeri. Negeri itu dipanggil Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Pada masa cerita ini berlaku bahawa negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga itu diperintah oleh seorang Raja bernama Raja Budiman. Raja Budiman ada mempunyai seorang hulubalang yang amat berani lagi gagah perkasa bernama Selamat Selendang Desa.

Ceneh ini adalah satu tempat yang bersejarah patut mendapat tempat dalam perkara mengkaji sejarah tanah air-arkeoloji. WZWH semasa kecil pernah mendapat satu kapak batu (stone artifact) yang terdapat di sana. Di Bukit Komel, sebuah bukit di kawasan Ceneh, banyak terjumpa perkakas batu (stone artifacts) dan juga tembikar (sherds)

Segala benda yang terdapat ini menunjukkan bahawa pada zaman dulu Tanah Serendah Sekebun Bunga (sekarang Ceneh) sahlah sebuah negeri kawasan yang bertamadun sebagaiman yang diceritakan oleh Khatib Ibrahim dari Kampung Gusai.

Mengikut cerita sejarah Puteri Gunung Ledang, ada satu watak Tun Mamat-"the messenger". Hang Tuah dikatakan sudah tua tidak larat hendak mendaki Gunung Ledang. Ada ahli sejarah mengatakan Tun Mamat sengaja mereka-reka cerita syarat-syarat peminangan Puteri Gunung Ledang agar Sultan Mahmud Shah membatalkan hasratnya dan Tun Mamat sendiri tidak sanggup mendaki Gunung Ledang!

Maka Tun Mamat sudah cerita bohong kepada Sultan Mahmud. Kita semua tahu Sultan Mahmud sangat "brutal". Orang Jerantut cakap Tun Mamat sudah "pungkor" kepada rajanya. Jika Sultan Mahmud tahu muslihatnya sudah tentu amat berat hukuman menanti-hukum bunuh!

Mengikut cerita-cerita lama yang diperturunkan dari generasi ke generasi orang tua Ulu Tembeling, Tun Mamat telah melarikan diri ke Ulu Tembeling. Makamnya dikatakan terletak di Kampung Tanah Serendah Sekebun Bunga sebuah kampung lama di Ulu Tembeling, tidak ada orang tinggal di kampung itu lagi. Kampung itu sekarang dinamakan Kampung Ceneh, malah kampung Ceneh pun baik Ceneh Darat mahu pun Ceneh Laut (tepi sungai) juga tidak berpenghuni. Semua orang sudah pindah ke kampung seberang sungai dinamakan Kampung Macang Perah.

Kampung Ceneh adalah kampung nenek moyang WZWH. Makam ayahanda WZWH ada di Kampung Ceneh. Rombongan Muzium Negara pernah melawat Ulu Tembeling mencari Makam Tun Mamat.

WZWH masih ingat lagi di Ceneh darat terdapat banyak ladang getah lama yang ditanam oleh moyang WZWH, Tok Muda Wan Mustapha bin Wan Abdullah. Juga terdapat paya Ceneh yang pada pada masa dulu dan pada lewat tahun 1980an masih ada orang kampung menanam padi.

Sewaktu kecil masa cuti sekolah, WZWH suka mudik ke Kampung Ceneh. WZWH masih ingat lagi, rumah datuk dan nenek WZWH di Laut Ceneh (tepi sungai Tembeling). WZWH terpaksa berjalan kaki ke Darat Ceneh kerana datuk dan nenek ada di situ menuai padi. Selalunya WZWH ajak Tarmi anak Ayah Din meneman. Perjalanan memakan masa 1-2 jam.

Melalui banyak bukit dan permatang untuk sampai ke Darat Ceneh. Ianya kampung yang permai, cantik, indah dan tenang. Ada masanya orang kampung berpesta menangkap ikan-ikan paya. Sedih bila memikirkan kampung ini sudah tidak berpenghuni lagi seperti Kampung Peling mati tidak berpenghuni.

No comments:

Tembeling Terputus Hubungan

Tembeling terputus hubungan akibat hujan lebat 3 hari lepas Tanah runtuh di Jalan Ulu Tembeling dekat Kg Kuala Sat yang buat terputus hubung...