Friday, August 27, 2010

Langkah-Langkah Mengatasi Konflik Etnik dan Ras

Konflik etnik dan ras ini tidak akan menguntungkan sesebuah negara itu mahupun rakyatnya. Ramai rakyat yang tidak berdosa telah terkorban dan banyak harta yang musnah. Malah ia membawa kerugian dan pengalaman pahit kepada rakyat di negara yang berlakunya masalah konflik etnik dan ras.

Konflik etnik dan ras di sesebuah negara boleh di atasi dengan beberapa langkah dan strategi untuk mempastikan peristiwa yang sedemikian rupa tidak akan terjadi.

Di antara langkah-langkah penting yang perlu dilakukan dengan membasmi kemiskinan tanpa mengira perbezaan etnik dan ras. Sesebuah masyarakat perlu dibuat penyusunan semula untuk memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi di antara kumpulan etnik dan menghapuskan pengenalan etnik dengan kegiatan ekonomi dan kawasan tempat tinggal. Dalam masyarakat tersebut kepentingan umum akan lebih diutamakan daripada kepentingan kaum atau kumpulan-kumpulan yang tertentu.

Kebebasan dan hak-hak asasi individu dalam sesebuah negara akan dijamin dalam perlembagaannya. Dengan ini satu masyarakat adil dapat dilahirkan, semua rakyatnya mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kemakmuran negara mereka, kekayaan negara pula akan diagihkan secara saksama dan tidak akan dibenarkan berlaku pemerasan manusia oleh manusia. Organisasi politik yang berasaskan kepada kepentingan etnik perlu dihapuskan dan mewujudkan percampuran di antara etnik-etnik untuk mewujudkan sebuah organisasi yang sependapat.

Sistem pendidikan juga boleh memainkan peranan yang berkesan untuk menjamin keamanan sesebuah negara yang mempunyai pelbagai golongan etnik dan ras. sistem pendidikan ini boleh menjadi agen sosialisasi bagi memupuk keperibadian dan kesedaran bersama di kalangan rakyat negara-negara yang terlibat.

Melalui pendidikan jugalah sesebuah negara itu dapat melahirkan perpaduan dan persefahaman antara golongan etnik dan ras. Sikap dan pemikiran perkauman di kalangan pelajar-pelajarnya dapat dikikis dan dihapuskan dengan pendidikan yang berkesan .

Sebilangan besar parti-parti politik yang berasaskan kepada perjuangan kepentingan kumpulan etnik masing-masing perlu dibawa bersama ke dalam satu ikatan politik yang lebih besar. Pembentukan politik campuran ini menyenangkan sesebuah kerajaan dalam proses pembentukan bangsa yang bersatu. Setiap permasalah yang timbul dalam kumpulan-kumpulan etnik boleh dibawa berbincang. Politik campuran ini boleh mencari jalan penyelesaian dalam keadaan berlakunya konflik.

Walaupun semua rakyat inginkan perpaduan tetapi masing-masing mempunyai tanggapan dan cara yang berlainan. Oleh itu, perbezaan pendapat tentang cara dan pendekatan untuk mencapai perpaduan itu sentiasa wujud. Perbezaan pandangan ini timbul kerana dipengaruhi oleh keadaan realiti politik dan masyarakat itu sendiri.

Pendekatan konsep 1Malaysia DS Najib adalah penyelesaian jangka panjang bagi membina perpaduan yang jitu di Malaysia. Walaupun DAP dan Perkasa memandang sinis konsep 1Malaysia, mungkin pelaksanaan awal tidak menampakkan hasil tetapi dari segi jangka panjang mana-mana kerajaan yang memerintah Putrajaya perlu mengakui konsep 1Malaysia sangat relevan bagi mengatasi konflik etnik dan ras.

Konflik etnik dan ras adalah masalah yang kompleks. Masalah ini muncul dari keadaan sejarah masyarakat dan berkait rapat dengan aspek politik, ekonomi dan sosial masyarakat. Dari segi politik, masalah ras tidak dapat dipisahkan dari keadaan majoriti dan minoriti. Bagi ekonomi pula, apabila keadaan ekonomi tidak seimbang akan memperhebatkan masalah ras atau perkauman. Perbezaan kebudayaan, bahasa, agama dan nilai juga boleh merumitkan lagi masalah ras.

Walaupun semua manusia inginkan perpaduan tetapi masing-masing mempunyai tanggapan dan cara yang berlainan. Oleh itu, perbezaan pendapat tentang cara dan pendekatan untuk mencapai perpaduan itu sentiasa wujud. Perbezaan pandangan ini timbul kerana dipengaruhi oleh keadaan realiti politik dan masyarakat itu sendiri. Sejarah telah banyak membuktikan kepada kita bahawa konflik etnik dan ras cuma akan membawa lebih banyak kesan-kesan negatifnya sahaja. Terpulanglah kepada rakyat di sesebuah negara untuk membuat pilihan yang bijak agar peristiwa yang tidak diingini tidak berlaku.

Oleh kerana itu faktor-faktor yang bertanggungjawab bagi menyuburkan perasaan perkauman itu mestilah dibendung dan dikawal demi menjamin keamanan sesebuah negara itu .

1 comment:

Anonymous said...

I'm more than happy to uncover this site. I need to to thank you for ones time for this wonderful read!! I definitely enjoyed every part of it and i also have you bookmarked to see new things in your blog.

Feel free to visit my web blog ... http://wiki.iz-pomestja.ru/

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024