Saturday, August 28, 2010

Nik Aziz Pertahan, KJ Tempelak Isu Ahli Parlimen Teo

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” kata Nik Aziz kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.

“Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama,” katanya.

Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan DAP tidak sensitif dalam usahanya mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching mengunjungi Surau Al-Huda, Kajang, yang menurut Umno telah mencetuskan rasa tidak senang di kalangan orang Melayu.

“Ia menunjukkan DAP tidak sensitif kepada agama dan kaum lain manakala Teo pula terlalu naif,” kata Khairy kepada pemberita di sini hari ini.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata penjelasan Teo hari ini sebagai “sesuatu yang difikirkan kemudian” ekoran serangan pelbagai termasuk yang dibuat oleh Umno dan Perkasa.

“Kami tidak mahu alasan atau justifikasi. Isu ini mengenai sensitiviti agama lain,” katanya lagi.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mendakwa Barisan Nasional (BN) mengamalkan dwistandard mengkritik Teo berhubung kunjungannya ke surau itu.

“(Sebenarnya) satu kebiasaan bagi pemimpin parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan, Sabah dan Sarawak untuk datang ke masjid dan memberikan ucapan,” kata Salahuddin kepada The Malaysian Insider petang tadi.

Oleh itu kata beliau, apabila pemimpin BN melakukannya ia tidak dijadikan isu.

Terdahulu dalam kenyataan dikeluarkan tengah hari tadi, Teo menjelaskan bahawa kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberi sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

“Saya kesal perkara ini telah menimbulkan perasaan resah antara umat Islam dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak tertentu atas sebab-sebab politik,” kata beliau.

Teo turut menegaskan bahawa lawatannya ke surau berkenaan tidak berniat politik dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.

Beliau turut menyambut baik pesanan dan nasihat daripada semua pihak mengenai perkara tersebut dan akan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa akan datang.

Bagaimanapun Khairy menafikan bahawa Umno menjadikannya sebagai satu isu.

Beliau juga kecewa kerana Pakatan Rakyat menyalahkan Umno kononnya ia mempolitikkan isu berkenaan.

Kata beliau, DAP perlu memahami bahawa majoriti orang Islam negara ini kecewa dengan tindakan Teo.

Bagaimanapun Khairy menjelaskan PAS akan cuba menjustifikasikan tindakan wakil rakyat DAP penggal pertama itu.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menghantar surat amaran kepada Teo kerana menyampaikan ceramah di ruang solat surau itu.

Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan media di sini hari ini berkata tindakan Teo itu menyebabkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan berdukacita.

Malah menurut Khairy, tindakan Mais adalah adil kerana turut menghukum pengurusan jawatankuasa Surau Al-Huda.

2 comments:

Ahmad Putra said...

setuju dengan nik aziz, tindakan kita menjauhkan bukan Islam dengan keindahan Islam

Wan Zamzuri Wan Hasenan said...

Salam Ahmad Putra,
Kita perlu dengar titah Sultan Selangor dan pandangan Majlis Agama Islam Selangor berkenaan isu ini kerana Sultan dan MAIS ada authoriti dalam bidang mereka.

EKSPEDISI MAHKOTA Mudik Sungai Pahang 2024